Melihatkan gambar ini, aku pada mulanya ingatkan ini adalah gambar busut binatang. Iyalah, rupanya pun sememangnya menampakkan rupa busut. Tak pun sarang penyengat. Namun, lelubang yang melata di gurun China ini bukanlah busut. Ini sebenarnya adalah gambar terusan air bawah tanah di persekitaran gurun Turpan, China yang kering kontang.
Dari sudut geografinya, Turpan terletak di kawasan yang kering dan mempunyai jumlah purata hujan yang kurang. Namun begitu, ia dikelilingi pergunungan dan kedudukan Turpan yang terletak di kawasan lembah. Seperti yang pernah aku nukil tentang oasis, air bergerak dari kawasan tadahan hujan ke perlembahan. Perkara yang sama juga berlaku pada di Turpan.
Cumanya, Turpan terletak di persekitaran Laluan Sutera. Oleh itu, jumlah pedagang yang melalui di situ adalah banyak. Ini sekaligus meningkatkan keperluan logistik bagi bukan sahaja penduduk di Turpan, malah juga buat pedagang dan haiwan bebanan seperti keldai dan unta. Itupun tak masuk lagi keperluan agrikulutur masyarakat di situ. Setakat oasis semata mata tak memadai. Oleh itu, karez, atau perigi dalam bahasa Uyghur dibina dari kaki pergunungan terus ke kawasan pekan dan kota kota yang sedia ada.
Secara konsepnya, pergunungan di Turpan mempunyai lapisan berais di puncaknya. Ais-ais ini kemudiannya akan mencair dan mengalir ke kaki dan tapak pergunungan. Sekiranya kita hidup di kawasan seperti Malaysia mahupun Eropah, cadangan yang terbaik ialah menggali terusan supaya dibentuk sungai buatan terus ke pekan. Namun, kita sedang bercakap tentang Turpan yang sangat kering. Oleh itu, terusan tersebut perlu digali dalam untuk membentuk terusan bawah tanah. Konsep yang sama boleh dijumpai dalam sistem terusan qanat di Iran.
Kemudian, muncul lagi satu masalah. Jarak di antara gunung dan penempatan manusia ni agak jauh. Sekurang kurangnya sistem karez ini mempunyai kepanjangan sejauh 3 kilometer. Yang terpanjang pula sepanjang 25 kilometer dan dibina pada tahun 1956. Walau bagaimanapun, bukan semua karez ini digali pada zaman moden. Ada yang telah pun wujud sejak zaman dinasti Tang, yakni dinasti sama yang ada pada zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin. Boleh jadi karez ni pun telah wujud lagi lama daripada itu.
Mendengarkan kewujudan karez yang telah lama ada, maka kita boleh bayangkan kepayahan menggali terusan ini dengan alatan asas sahaja. Itu tak termasuk lagi air yang dibawa masuk ke dalam karez (ais yang mencair) dan keadaan gelap lagi sempit di dalamnya. Disebabkan karez ini terusan bawah tanah, maka untuk mengekalkan arah terusan ini agar kekal lurus ke destinasi penempatan adalah agak sukar.
Oleh itu, jurutera purba pada zaman tersebut menggunapakai beberapa mekanisme untuk menentukan kelurusan terusan ini. Antaranya adalah dengan menggunakan pelita dan bayang bayang. Setelah destinasi dan punca air karez ditentukan, pelita diletak dalam terusan dan penggali perlu membelakangkan pelita berkenaan.
Disebabkan pelita tersebut telah direka khas untuk hasilkan cahaya dari satu sudut sahaja, maka bayang bayang yang terhasil daripada cahaya ini pun hanya satu dan tetap arahnya. Jadi, penggali tersebut akan menggali berdasarkan arah bayang bayangnya sendiri. Disebabkan sistem ini tetap dan kurang deviasi, sistem ini membolehkan penggalian karez dari dua tempat, yakni destinasi dan punca air, hingga ke titik pertemuan dua tempat ini. Tanah yang digali dalam karez akan dibawa keluar naik ke atas lalu membentuk busut busut yang kita nampak dalam gambar sebelum ini.
Setelah karez ini menghampiri kawasan penempatan manusia, terusan bawah tanah ini akan dinaikkan menjadi terusan atas tanah persis sungai buatan. Penduduk di situ yang penat dipanahi terik mentari akan berehat berdekatan dengan karez, tak kisah sama ada yang di bawah tanah mahupun atas tanah dek suhunya yang nyaman dan sejuk.
Oleh sebab itu, sekiranya anda terlihat penduduk di situ tidur di sekitar karez atas tanah ni, maka benda itu bukanlah perkara yang menghairankan. Selain itu, ia juga dihubungkan kepada kawasan kebun dan ladang sebagai irigasi tumbuh tumbuhan. Lebihan air karez ini akhirnya akan dikumpulkan dalam empangan terbuka sebagai kolam air terbuka.
RUJUKAN:
Boulnois, Luce (2005). Silk Road: Monks, Warriors & Merchants. Hong Kong: Odessey Books & Guides. pp. 148–149, 201. ISBN 978-962-217-721-5.
“The Karez Well System — Turpan’s Ancient Wells”. chinahighlights.com. Dipetik pada 2020-06-19.
“Karez (Qanats) of Turpan, China”. water history.org. Retrieved 2007-09-23.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih