Selama lebih kurang seribu tahun sehingga detik ketumbangannya di tangan Turki Uthmaniyah pada tahun 1453 Masehi, kota Konstantinopel merupakan salah sebuah kota terbesar dalam Dunia Kristian. Di tengah-tengah kota ini terletak Hagia Sophia (bermaksud ‘Kebijaksanaan Suci’ dalam bahasa Yunani), salah sebuah bangunan paling ikonik di Konstantinopel. Struktur Hagia Sophia pada masa kini memiliki sejarah yang boleh dijejak kembali pada zaman pemerintahan Maharaja Justinian sekitar kurun ke-6M dan yang ketiga dibina di tapak berkenaan.
Jika dibandingkan dengan strukturnya yang dahulu, basilica Justinian merupakan satu kejayaan dalam seni bina. Ia merupakan sebuah monumen yang melambangkan keemilangan empayar (sekaligus maharaja). Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa Hagia Sophia adalah sebuah mahakarya. Akan tetapi, apa yang terletak di bawah permukaan struktur ini mungkin sama menarik, kalau bukan lebih menarik, berbanding apa yang dapat kita saksikan di atas permukaannya.
Dua gereja yang dianggap paling penting dalam dunia Kristian pada kurun ke-6M, iaitu gereja Old St. Peter di Rome dan Church of the Holy Sepulchre di Jerusalem turut mempunyai ruangan bawah tanah. Bagi Gereja Old St. Peter misalnya, strukturnya dibina di atas sebuah tanah perkuburan dan terletak berhampiran sebuah kuil bagi satu dewa pujaan Etruscan. Sementara itu, bagi Church of the Holy Sepulchre pula, ia dibina di atas sebuah kuil yang didedikasikan kepada Dewi Aphrodite.
Terdapat banyak pendapat yang dilontarkan berkenaan kewujudan ruangan luas yang tersembunyi di bawah Hagia Sophia. Antara lain, ilmuwan sedia maklum bahawa bilik bawah tanah di sesebuah gereja merupakan suatu ciri umum bagi seni bina gereja di zaman awal Kristian. Amalan Kristian yang mengebumikan si mati di bilik bawah tanah gereja agak berbeza dengan amalan pagan yang mengebumikan si mati di luar tembok kota.
Memandangkan Hagia Sophia merupakan salah sebuah gereja terpenting dalam agama Kristian, maka tidak hairanlah sekiranya ia turut mempunyai ruangan bawah tanah yang sama seperti Gereja Old St. Peter dan Church of the Holy Sepulchre. Tambahan lagi, Hagia Sophia juga berkemungkinan dibina di atas sebuah kuil pagan, sama seperti dua gereja tersebut.
Walau bagaimanapun, tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi berkenaan ruangan tersembunyi di bawah Hagia Sophia, walaupun bangunan keagamaan tersebut telah pun menjalani sejumlah peninjauan oleh para penyelidik sejak tahun 1935. Menurut satu legenda, Iblis (Devil) dipercayai telah dipenjarakan di bawah Hagia Sophia.
Dalam legenda lain pula disebutkan bahawa relik-relik Byzantine disembunyikan oleh para paderi di dalam kamar-kamar rahsia yang terdapat di ruangan bawah tanahnya semasa penaklukan kota tersebut di tangan Uthmaniyah. Apapun, kesemuanya itu cuma sekadar legenda tanpa kewujudan bukti untuk mengesahkan kebenarannya.
Walaupun tidaklah terletak tepat di bawah Hagia Sophia, kedudukan Tangki Basilica yang masyhur itu berjarak hanya 150m arah barat daya dari struktur keagamaan itu. Ia dibina oleh Maharaja Justinian I pada tahun 532M.
Tangki ini mempunyai ukuran panjang yang mencecah 138 meter dan lebar 64.6 meter, meliputi kawasan seluas 1000 meter persegi. Perincian-perincian indah turut dimasukkan ke dalam binaan yang mengagumkan ini, antaranya termasuklah 336 batang tiang marmar yang menyokong strukturnya, di mana setiap satu batang tiang adalah setinggi 9 meter dan ianya disusun ke dalam 12 barisan dengan setiap baris mempunyai 28 batang tiang.
Pada tahun 1937, para penyelidik memulakan tinjauan ke atas ruangan bawah tanah yang terletak tepat di bawah Hagia Sophia. Tinjauan ini berakhir tanpa hasil yang muktamad berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1945, kerajaan memutuskan agar air yang terdapat di bawah Hagia Sophia dibuang untuk tujuan penyelidikan. Namun, paras air tidak dapat diturunkan dan motor pam pula terbakar sekaligus usaha tersebut terpaksa diberhentikan.
Pada tahun 2009, pembuat filem yang bernama Goksel Gulensov menghasilkan sebuah dokumentari yang menerokai ruangan bawah tanah Hagia Sophia. Pasukan beliau diberikan kebenaran untuk melakukan selaman ke dalam dua buah takungan yang menghubungkan Hagia Sophia dengan Istana Topkapi serta Tangki Bawah Tanah. Pada tahun 2005, satu usaha tinjauan ke atas perigi-perigi yang terdapat di dalam dan sekitar Hagia Sophia dijalankan dengan matlamat jangka panjang iaitu memahami kefungsian terowong-terowong bawah tanah dan sistem air yang digunakan bagi kemudahan bangunan tersebut dan kawasan sekitarnya.
Tinjauan ini berhasil menemukan sembilan buah perigi di dalam dan sekitar Hagia Sophia dan kebun-kebunnya. Lima daripada sembilan perigi tersebut masih mengandungi air dan dua buah lagi sedang diteroka oleh pasukan peninjau. Tambahan lagi, terowong-terowong yang digunakan untuk menyediakan pengudaraan dan mengurangkan kelembapan turut berjaya ditemui.
Berhampiran dasar takungan pertama, para penyelam berjaya menemukan dua keeping kayu yang tebal, sebuah baldi dan tulang seekor haiwan. Pada takungan kedua pula pasukan itu menemukan sejumlah kelalang yang berusia dari tahun 1917, kaca daripada chandelier-chandelier Hagia Sophia, seutas rantai dengan dua gelung cincin di hujungnya, dan serpihan gelas kotor. Didakwa bahawa kelalang-kelalang tersebut mungkin dibuang oleh tentera-tentera British yang mahu mendapatkan air suci semasa mereka menyerang kota itu pada tahun 1917.
Tinjauan tahun 2005 dan dokumentari tahun 2009 ini mungkin merupakan langkah pertama ke arah memahami ruangan bawah tanah Hagia Sophia dengan lebih lanjut. Dipercayai bahawa lebih banyak penerokaan dan penyelidikan diperlukan sebelum rahsia di bawah Hagia Sophia dapat diungkapkan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih