Hari ini kita akan bicarakan perihal kejatuhan Raja-Raja Melayu pula. Tapi nanti dulu. Jangan hanya melihat gambar dan membaca tajuk sahaja. Ianya sengaja dibuat bagi melihat dan memerangkap golongan tipikal yang jenis tak baca keseluruhan artikel sebelum komen. Dari situ, kita dapat tapis, mana satu pembaca berkualiti mana satu yang tidak.

Ya… Raja-Raja Melayu. Tapi bukan di Malaysia kita. Kerana bukan hanya di Malaysia sahaja ada Raja Melayu. Sebaliknya ini kisah di negara jiran serumpun kita, Indonesia. Artikel ini sekaligus menempelak golongan tak habis sekolah yang menyangka Melayu asal Indonesia.

Kepada juak-juak yang melaungkan “Melayu Balik Indonesia”, meh sini aku nak sekolahkan sikit. Alam Melayu atau Nusantara itu asalnya luas, hampir sama besar dengan Asia Tenggara ini. Orang Melayu bebas ke sana ke mari berlayar ke serata ceruk negeri-negeri Melayu. Dulu, mana ada definasi persempadanan Moden Malaysia, Indonesia, Singapura semua ni.

Dulu, semua ini wilayah Melayu yang dalamnya terdiri pelbagai kerajaan dan kadang-kadang bersatu di dalam empayar liga Melayu. Dari kawasan Champa, Langkasuka, Sumatera, Sulu, Brunei dan lain-lain. Raja-Raja Melayu (Semenanjung) ada yang berkahwin dengan puteri Raja Melayu luar Semenanjung. Bahkan, sehingga kini, masih ada para Sultan semenanjung yang menziarahi tinggalan susur galur mereka di luar kawasan Semenanjung.

Alam Melayu mula berpecah apabila masuknya penjajah membuat onar di Tanah Melayu dengan membahagi-bahagikan wilayah besar Alam Melayu memandangkan ketika itu kerajaan Melayu berada pada titik lemah. Contohnya, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 membahagikan Wilayah Alam Melayu kepada garis sempadan Malaysia-Indonesia sekarang manakala Perjanjian Burney 1826 antara Inggeris-Siam membahagikan wilayah utara Tanah Melayu agar masuk menjadi sebahagian wilayah Siam. Kedua-dua perjanjian ini dilakukan oleh Inggeris dalam tempoh masa 2 tahun.

Begitulah licik dan tersusunnya gerak kerja penjajah. Seterusnya, sempadan Malaysia-Thailand pada hari ini dimuktamadkan dalam Perjanjian Bangkok 1909 juga oleh Inggeris-Siam. Alam Melayu yang dicarik-carik ini menerima nasib yang berbeza mengikut penjajah yang menguasai mereka. Negeri Melayu di utara seperti Patani menerima kekuasaan Thailand manakala Melayu di Indonesia menerima kekuasaan Belanda. Melayu Semananjung pula menerima kekuasaan Inggeris. Sejak ini lah Alam Melayu mula berpecah dan mula membentuk garis sempadan moden. Selama ini Alam Melayu itu satu.

Selama ini, negeri-negeri Melayu ini semuanya dimiliki (diperintah) oleh Sultan/Raja/Yang Dipertuan Besar/Panggeran. Rakyat bernaung dibawah Sultan masing-masing. Menjadi Rakyat Sultan. Berikut merupakan senarai Kerajaan Melayu di seluruh Nusantara.

SUMATERA TIMUR merangkumi Deli Darul Maimon, Serdang Darul Arif, Asahan, Langkat Darul Aman, Kerajaan Panai, Kerajaan Tanah Karo dan Simalungun.

SUMATERA TENGAH & SELATAN merangkumi Riau-Lingga, Siak, Pelalawan, Indragiri, Jambi dan Palembang.

SUMATERA UTARA iaitu Acheh dan SUMATERA BARAT iaitu Minangkabau walaupun mereka rumpun Melayu, namun di Indonesia kini, suku Minang dan suku Acheh dianggap sebagai dua etnik yang berbeza dengan suku Melayu menurut tafsiran mereka.

Disebelah Borneo-Kalimantan pula, selain Kesultanan Brunei dan Sulu, terdapat pelbagai lagi kerajaan Melayu yang wujud. Kesultanan Sarawak Darul Hana adalah contoh kerajaan Melayu sebelum kedatangan Dinasti Brooke Raja Putih. Selain itu, berikut merupakan senarai kesultanan yang lain.

KALIMANTAN TIMUR merangkumi Kesultanan Bulungan, Kesultanan Gunung Tabur, Kesultanan Sambaliung, Kerajaan Kutai dan Kesultanan Pasir.

KALIMANTAN BARAT merangkumi Kesultanan Sambas, Kesultanan Pontianak, Kerajaan Mempawah, Kerajaan Landak, Kerajaan Kubu, Kerajaan Matan, Kerajaan Sukadana, Kerajaan Simpang, Kerajaan Sanggau, Kerajaan Sekadau, Kerajaan Tayan dan Kerajaan Sintang.

Seterusnya KALIMANTAN TENGAH iaitu Kerajaan Kutaringin dan KALIMANTAN SELATAN Kerajaan Banjar. Begitulah banyaknya kerajaan dan kesultanan Melayu. Ini belum dikira lagi jika dimasukkan sekali dengan Kerajaan Patani Darul Makrif/Salam, Bugis, Jawa dan lain-lain.

Entri kali ini ingin fokuskan pada sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu di SUMATERA TIMUR. Sebelum ini, Sultan-Sultan di Sumatera juga berdaulat sepertimana Sultan-Sultan di Malaysia pada hari ini. Namun, kuasa Sultan Melayu di Negeri-Negeri Sumatera dicabut, mereka digulingkan malah dibunuh. Semua ini disebabkan oleh gerakan KOMUNIS INDONESIA yang memperjuangkan konsep “Kedaulatan Rakyat” dalam peristiwa Revolusi Sosial 1946. Mereka ingin menjatuhkan monarki Melayu bagi mewujudkan sebuah Republik.

Tengah Malam 3 Mac 1946 merupakan detik hitam orang Melayu hingga menjadi penyesalan yang tidak berguna lagi. Tragedi ini menjadi faktor penolak terhadap gagasan penubuhan Melayu Raya. Hanya dalam satu malam sahaja, secara serentak, seluruh kerajaan Sultan-Sultan Melayu Sumatera Timur digulingkan. Golongan pro komunis dengan bantuan kuli-kuli pendatang luar menyerbu istana dan pejabat kerajaan Melayu dan mengumumkan penggulingan Kerajaan Melayu oleh Kuasa Rakyat.

Kerabat ditangkap, dihina, diseksa dan dibunuh. Pembunuhan kerabat raja secara besar-besaran dilakukan secara zalim dengan dilemaskan di laut, di pancung kepala, ditanam hidup-hidup dan pelbagai pembunuhan sadis lain. Lebih memilukan, puteri-puteri dirogol didepan mata kerabat. Tidak cukup dengan itu, istana Raja Melayu dibakar hangus dan harta dijarah semahunya kerana ketika itu Raja-Raja Melayu amat kaya sekali.

Kebangkitan rakyat yang terpengaruh dengan sentimen emosi mainan Komunis mengakibat runtuhnya institusi Raja-Raja Melayu secara total disana. Kini, saki-baki pewaris yang masih tinggal hanya menjadi Pemangku Adat. Hanya menjadi penyeri majlis tanpa sebarang kuasa. Cop Mohor mereka sudah tidak laku lagi dalam apa jua dokumen rasmi kerajaan. Jika di Malaysia, penyerahan pangkat Datuk dari Sultan-Sultan Sumatera ini sudah tidak diakui sah. Hanya darjah kebesaran dari 10 Raja-Raja Melayu sahaja yang diakui iaitu 9 Sultan di Malaysia dan Sultan Brunei.

Oleh itu, kita perlulah memelihara keberlansungan INSTITUSI Raja-Raja Melayu di Malaysia. Kedudukan YDP Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah lebih tinggi berbanding politik kepartian. YDP Agong ialah Ketua Negara. Kesetiaan pada Raja dan Negara adalah ditangga kedua setelah Kepercayaan kepada Tuhan. Setelah itu, barulah Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Begitulah tingginya kedudukan institusi Raja-Raja Melayu ini. Mereka adalah payung dimana seluruh Rakyat Malaysia tidak kira kaum mahupun agama bernaung dibawahnya. Tidak perlu bersikap biadap seperti mana-mana pihak yang cuba hendak perlekehkan hakikat ini. Kita adalah Rakyat Raja menerusi sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

* Jemput follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.