Bagi peminat sukan seni mempertahankan diri, pasti ramai yang masak dengan sukan seperti judo, karate dan silat. Sesetengah daripadanya menjadi sukan elit bertaraf antarabangsa dan dipertandingkan di temasya seperti Sukan Olimpik atau Sukan Asia. Tetapi siapa sangka, ia juga boleh diaplikasikan sebagai aktiviti pemulihan kecederaan seperti dilakukan pengamal terapi judo.

Melihat sejarah sukan berkenaan selama berdekad-dekad lamanya, ia dipecahkan kepada dua cabang. Sappo atau kaedah bvnvh/menewaskan musuh dibangunkan sebagai sukan Olimpik manakala kappo atau kaedah pemulihan pula menjadi teras kepada terapi judo.

Bagi ahli judo, mereka memanfaatkan pengetahuan mereka tentang anatomi tubuh manusia termasuk sendi dan saraf untuk menewaskan musuh. Tetapi menerusi kappo, pakar terapi judo berusaha mempercepatkan mekanisme pemulihan badan secara semulajadi untuk merawat kecederaan yang tidak memerlukan pembedahan atau rawatan di hospital.

Bagi Hiroyuki Mitsuhashi, seorang eksekutif Persatuan Terapi Judo Jepun, pakar terapi judo dianggap pakar khas yang merawat kecederaan seperti patah tulang, lebam atau terseliuh. Tambahnya semasa ditemubual AFP, “Daripada melakukan pembedahan seperti yang dibuat oleh pakar bedah ortopedik, kami menggunakan tangan kami untuk memulihkan pesakit.”

Rajah 1: Mitsuhashi merawat seorang pemain ragbi di kliniknya di Tokyo. Sumber: https://www.malaymail.com/news/life/2020/07/19/judo-therapy-martial-art-with-healing-power/1885896

Ketika ini, terdapat 73,000 pakar terapi judo yang bekerja di lebih 50,000 klinik di Jepun. Syarat menjadi pakar terapi judo mudah saja iaitu pengamal bukan saja mempunyai latar belakang perubatan tetapi wajib mempunyai pengalaman dalam sukan judo. Mereka menjadi rujukan popular atlet pelajar dan individu yang menderita kesakitan akibat kecederaan lama walaupun ia dianggap sembuh oleh pakar perubatan konvensional.

Keadaan ini dialami ejen pelancongan, Yoshie Takahashi, 59, apabila dia mengalami kecederaan patah pergelangan tangan kanan pada awal Januari. Walaupun mendapat rawatan di hospital, imbasan terbaru sinar-X menunjukkan ia gagal merawat kecederaan yang dialaminya.

Justeru, ini mendorongnya bertandang ke klinik Mitsuhashi di mana dia menggunakan kaedah terapi judo untuk memanipulasi sendi dan menyusun kembali tulang yang patah. Semasa di situ, Takahashi menerima pelbagai rawatan termasuk merendam pergelangan tangannya yang cedera dalam tab berisi air panas dengan gelombang ultra-bunyi.

Bila ditanya pengalamannya menggunakan kaedah terapi judo, dia berkata, “Saya merasa lebih selesa di sini. Saya merasa kurang sakit. Saya fikir pakar terapi judo amat mementingkan kebajikan pesakit. Mereka mempunyai pendidikan yang baik dan menerangkan dengan jelas apa yang berlaku agar dapat difahami.”

Selain membantu merawat kecederaan, pakar terapi judo dilihat memainkan peranan penting dalam mengekalkan kecergasan dan kesihatan warga emas Jepun. Perlu diingat, ketika ini 28% populasi negara Matahari Terbit itu terdiri daripada warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Justeru, bukan satu rahsia ramai pakar terapi judo membuka kelas senaman berimpak rendah bagi membantu mereka kekal cergas dan tidak mudah jatuh. Salah seorang daripada mereka ialah Taisuke Kasuya dan telah mengajar senaman sebegini sejak 30 tahun lepas termasuk memasukkan elemen pernafasan perlahan daripada senaman taichi.

Rajah 2: Kasuya dalam satu kelas senaman berasaskan judo di sebuah pusat komuniti di Tokyo. Sumber: https://www.straitstimes.com/sport/judo-therapy-elderly-japanese-flocking-to-martial-art-with-healing-power

Tetapi pelopor sebenar senaman ini ialah bapa sukan judo moden, Jigoro Kano. Kasuya masih ingat salah satu pesanan pelopor sukan itu dan berkata, “Gunakan badan kamu sebaiknya. Itu akan membakar metabolisme dan menstabilkan keadaan mental kamu.” Tambahnya, “Tidak seperti senaman lain, kita mengaplikasikan falsafah senaman pada tubuh dan mental anda.”

Senaman sebegini memberi manfaat besar kepada warga emas terutama Yasue Ikezumi, seorang bekas ahli farmasi yang kini berusia akhir 70-an. Ikezumi yang telah mengikuti kelas Kasuya selama 15 tahun berkata, “Saya merasakan senaman ini berbeza dengan senaman-senaman lain. Sendi-sendi saya dirasakan lebih fleksibel.

“Saya sentiasa merasa kesakitan semasa berusia 60-an. Tetapi saya kini bakal berusia 80 tahun dan saya masih berupaya mengekalkan kecergasan saya. Ia seolah-olah satu peluang kepada saya untuk memulihkan kembali kesihatan saya.”

Pengamal judo dan guru seni mempertahankan diri, Koichi Haramaki mendedahkan senaman berasaskan pergerakan judo dapat menambahbaik keseimbangan diri dan mengelak ramai warga emas daripada jatuh.

Haramaki yang mengadakan kelas senaman mingguan bersama warga emas di dojonya di barat wilayah Wakayama menambah, “Tujuan utama bukanlah mereka (warga emas) menguasai pergerakan judo. Tetapi dengan berguling di atas tikar dan mempraktikkan gerakan, mereka menggunakan salur separuh bulat (bahagian dalam telinga yang mengawal keseimbangan) dan merangsang serebelum mereka.”

“Jika anda berlatih bagaimana untuk jatuh, pada akhirnya anda akan berhenti jatuh. Keseimbangan anda akan bertambah baik, “tambahnya semasa ditemubual AFP.

Melihat potensi judo bukan saja sebagai seni mempertahankan diri tetapi sebagai kaedah perubatan, penulis tertanya-tanya sekiranya silat juga boleh diaplikasikan dalam bentuk aplikasi yang lain. Tidak mustahil sekiranya ia dapat diadaptasi dalam pelbagai bentuk, ia secara tidak langsung mengharumkan seni mempertahankan diri kebanggaan orang Melayu itu.

RUJUKAN:

AFP. (2020). Judo therapy helps speed up body’s natural healing power. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2020/07/19/judo-therapy-helps-speed-up-bodys-natural-healing-power/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.