Semua sedia maklum tragedi RMS Titanic merupakan tragedi maritim paling terkenal dalam sejarah dunia. Semasa dalam pelayaran menuju ke New York, kapal tersebut berlanggar dengan aisberg di luar pesisir perairan Newfoundland yang mengakibatkan kerosakan teruk kepada badan kapal pada tengah malam 15 April 1912. 1,500 orang terbunuh dan ini memaksa kepada perubahan amalan keselamatan maritim. Tragedi ini juga sudah diadaptasi dalam bentuk buku, siri televisyen dan filem. Dan ini turut mewujudkan beberapa teori konspirasi berkenaan tragedi kapal malang itu.
1. ‘TIADA POPE’
Kapal RMS Titanic dibina oleh syarikat Harland dan Wolff di limbungan mereka di Belfast. Satu teori berkenaan ini ialah apabila pekerja-pekerja Katolik enggan meneruskan pembinaan selepas menemui nombor badan kapal iaitu 3909 04 didedahkan. Nampak biasa tetapi jika anda terbalikkan semua nombor tersebut, ia berubah menjadi pesanan No Pope (Tiada Pope). Ramai melihat mesej ini sebagai bantahan kepada Paus Pius X yang merupakan ketua gereja Katolik ketika itu. Mesej ini mendorong ramai pekerja Katolik enggan bekerja dan syarikat memberi jaminan bahawa ia satu kebetulan, bukannya sesuatu yang disengajakan.
Tetapi ada satu masalah berkenaan teori ini. Pertama, Harland dan Wolff memberi nombor limbungan 401 kepada Titanic dan bukan 3909 04. Nombor yang dikatakan itu sebenarnya hanya rekaan semata-mata. Kedua, semua tenaga kerja Harland dan Wolff berfahaman Protestan dan bukan Katolik, sekaligus mereka tidaklah memberi reaksi radikal sehingga enggan bekerja hanya kerana melihat 3909 04. Ini kerana hampir 30 tahun sebelumnya, kelompok pekerja Protestan menyerang pekerja-pekerja Katolik sehingga memaksa mereka meninggalkan syarikat tersebut. Dan menjelang abad ke-20, Harland dan Wolff mempunyai reputasi mengambil pekerja yang berfahaman Protestan saja.
2. SUMPAHAN MUMIA
Kita semua meminati cerita mumia dalam filem seperti siri filem The Mummy dan filem pengenalan Dark Universe, The Mummy yang menampilkan Tom Cruise dan Russell Crowe. Dan kisah ini boleh diletakkan sebaris dengan kisah-kisah di atas untuk satu sebab: menarik tetapi bersifat fiksyen semata-mata. Menurut beberapa teori konspirasi, Titanic dikatakan karam kerana membawa sebuah mumia milik seorang pengumpul Amerika selepas dibeli dari sebuah muzium. Mumia tersebut dikatakan membawa sumpahan yang membawa kecelakaan kepada sesiapa yang mengambil dan memilikinya, ini termasuk pengumpul yang dikatakan mengambil mumia tersebut. Macam babak awal kedua-dua filem The Mummy bila dengar, kan?
Hakikatnya berdasarkan maklumat kargo Titanic, tiada sebarang mumia dalam senarai kargo mereka. Malah nama Helena Blavatsky yang dijadikan sumber kepada sumpahan ini juga tidak sahih kerana Blavatsky mati pada 1891 sementara Titanic berlayar untuk pelayaran pertama dan terakhirnya pada 1912. Lepas itu, lihat pula nama mumia yang diberi nama Puteri Amun-Ra. Bagi yang mengkaji sejarah Mesir Purba, Amun-Ra sebenarnya merujuk kepada dewa paling berkuasa yang dipuja masyarakat ketika itu. Dan jika ada mengatakan mumia berkenaan sudah tiada, itu sebenarnya merujuk kepada mumia dalam koleksi pameran Mesir Purba Muzium British di London. Sehingga ke hari ini, mumia tersebut masih ada di tempatnya dan tidak pernah dialihkan.
Jadi siapa yang mencetuskan cerita mengarut ini? Anda perlu beri kredit kepada dua individu ini iaitu William Stead dan Douglas Murray. Mereka berdua ini membuat satu cerita tentang satu mumia yang dibawa ke England membawa sumpahan di mana ia memusnahkan barang-barang yang mudah pecah walau di mana saja ia diletakkan. Hakikatnya, ia hanya satu gurauan untuk menakutkan kenalan mereka itu. Kemudian selepas melawat Muzium British, mereka melihat penutup keranda Paderi Ra dan menambah satu lagi elemen: roh mumia tersebut amat terganggu dan semangatnya menghantui dunia ketika itu sehingga menggugat sesiapa yang menyimpannya. Dan tidaklah mengejutkan kisah ini turut disebarkan Stead kepada para penumpang Titanic pada pelayarannya menuju ke New York. Ironinya, Stead merupakan antara individu yang terbunuh dalam tragedi kapal malang itu. Bagaimanapun, kisahnya itu terus hidup walaupun ia sebenarnya satu lagi kisah berbentuk penipuan.
3. U-BOAT
Tragedi karamnya RMS Titanic merupakan tragedi maritim paling berdarah yang berlaku pada masa aman. Tapi ada yang berpandangan kapal tersebut sebenarnya menjadi sasaran kapal selam Jerman. Jika teori ini benar-benar berlaku, ini menjadikan Titanic mangsa pertama serangan kapal selam Jerman bukan kapal Lusitania. Ini kerana tiga tahun selepas itu, sebuah kapal selam Jerman melancarkan torpedo ke atas Lusitania di luar perairan Ireland yang membunuh 1,198 orang.
Walaupun teori ini ketiadaan bukti kukuh yang menyokongnya, terdapat beberapa keterangan yang menyatakan ianya berlaku. Antara penyokong teori ini ialah mendiang Dr Franklin Ruehl yang mendedahkan beberapa anggota krew dan penumpang tidak merasai impak perlanggaran yang dianggap kecil saja. Namun mereka melaporkan empat bunyi atau letupan di bahagian bawah kapal selepas ia berlanggar dengan aisberg. Semua saksi ini memberi keterangan kepada panel inkuiri Senat Amerika Syarikat untuk menyiasat punca karamnya kapal Titanic.
Selain itu, para penumpang dan krew yang terselamat dalam bot penyelamat melaporkan mereka melihat cahaya lampu dari jarak jauh sekaligus memberi keyakinan bahawa bantuan sudah tiba. Justeru ramai menyangka lampu tersebut datang dari kapal SS Californian. Tetapi bila ditanya berkenaan lampu tersebut, nakhoda kapal menafikannya kerana mereka masih terperangkap dengan lapangan ais dan hanya boleh bergerak pada waktu siang. Beberapa anggota krew turut melaporkan melihat sebuah kapal yang mempunyai jarak lima atau enam batu sehingga jam 2.00 pagi. Kapal tersebut berkemungkinan kapal selam Jerman yang timbul untuk melihat kerosakan yang dilakukan dan bukan kapal penyelamat SS Carpathia.
Walaupun ini sesuatu yang menarik untuk dikaji tetapi agak sukar untuk dilakukan kerana keadaan kapal sendiri yang tidak kukuh. Untuk mengambil sebahagian kecil kapal yang mempunyai berat 20 tan saja memerlukan proses yang perlu dilakukan secara berhati-hati. Belum ditambah pula dengan kos siasatan yang mahal. Selagi mana tiada maklumat baru timbul dari arkib Jerman, Britain atau Amerika Syarikat berkenaan kapal selam berkenaan, ia hanya satu lagi teori.
4. PENIPUAN INSURAN
Ada yang mengada-ada mengatakan kapal Titanic yang tenggelam di luar pesisir perairan Newfoundland bukan Titanic tetapi satu lagi kapal milik White Star Line, RMS Olympic. Dan seorang penyelidik bernama Robin Gardiner mendakwa kedua-dua kapal tersebut ditukar secara rahsia. Dan ini berkait dengan skim penipuan insuran yang dijalankan syarikat induk White Star Line, International Mercantile Marine (IMM).
Menurut Gardiner, skim ini bermula apabila Olympic melanggar sebuah kapal kruzer British, HMS Hawke pada tahun 1911. Akibatnya, kapal tersebut dipersalahkan dan syarikat gagal mendapat bayaran insuran untuk membaiki kerosakan yang dialami Olympic. Gardiner mendakwa Harland dan Wolff membaiki semula Olympic sebaik mungkin dan menukar ia sebagai Titanic. Dengan membenarkan kapal berkenaan berlayar di bawah nama palsu, IMM dan White Star Line dapat mengambil bayaran insuran apabila ia karam. Niat di sebalik tindakan ini bukan membunuh penumpang atau krew sekiranya ia berjalan lancar. Kapal akan karam secara perlahan-lahan dan sebuah kapal berhampiran akan datang untuk menyelamatkan penumpang dan krew. Malangnya, rancangan ini hancur berkecai apabila mereka melanggar kapal penyelamat yang disangka bongkah aisberg.
Bagaimanapun di sebalik teori Gardiner, kebanyakan barang yang diambil dari Titanic mempunyai nombor pembinaan 401, nombor yang hanya digunakan Titanic. Sementara Olympic pula hanya menggunakan nombor 400. Dan menurut penulis buku Conspiracies At Sea: Titanic and Lusitania, J. Kent Layton menulis, “Tiada satu pun hasil kerja kayu yang diambil dari Olympic muncul dengan nombor 401 pada bahagian belakang.”
5. BANK RIZAB PERSEKUTUAN
Setiap kali artikel Titanic dinaikkan, antara teori yang selalu muncul di ruang komen The Patriots ialah Titanic kononnya ditenggelamkan bagi memberi ruang kepada pembentukan Bank Rizab Persekutuan di Amerika Syarikat. Idea ini dicadangkan oleh orang besar Wall Street merangkap pemilik IMM sendiri, J.P Morgan. Bagaimanapun rancangan tersebut ditentang ramai individu berpengaruh lain seperti John Jacob Astor, Benjamin Guggenheim dan Isidor Straus. Ketiga-tiganya mati dalam tragedi tersebut sementara Morgan pula terselamat kerana dikatakan membatalkan pelayaran pada saat-saat akhir berikutan mahu tinggal di resortnya di Aix-les-Bains, Perancis.
Jadi mengapa Morgan sanggup bertindak sedemikian? Ahli-ahli konspirasi menyifatkan tindakan tersebut untuk membuang semua penentang kewujudan bank berkenaan dan ketiga-tiga mereka dimanipulasi oleh Morgan untuk berlayar pada pelayaran sulung Titanic supaya mudah untuk beliau membunuh mereka. Malangnya, teori ini sudah boleh ditembak jatuh awal-awal. Ini kerana tenggelamnya Titanic membawa masalah kewangan besar kepada IMM sehingga memaksa mereka meminta perlindungan muflis pada tahun 1915. Selepas situasi Perang Dunia Pertama, IMM muncul sebagai syarikat baru yang diberi nama United States Lines dan terus beroperasi sehingga tahun 1986.
Selain itu, ketiga-tiga individu berkenaan yang dikatakan penentang kewujudan Rizab Persekutuan belum tentu menentang kewujudan bank rizab berkenaan. Dan dengan jenayah berskala sedemikian, pastinya ia satu tindakan bodoh bagi Morgan kerana itu boleh mengancam empayar kewangannya dan memusnahkan terus reputasinya yang telah dibina sejak bertahun-tahun lamanya. Dan sebagai penutup apabila ditanya reaksi berkenaan insiden Titanic, Morgan berkata, ”Kerugian kewangan tidak boleh mengatasi kehilangan nyawa. Kehilangan nyawa itu sesuatu yang lebih penting. Ianya satu kematian yang menakutkan.”
SUMBER
- Ruehl, Franklin. (2012). Huffington Post. Did A German U-Boat Sink The Titanic?. https://www.huffingtonpost.com/dr-franklin-ruehl-phd/-did-a-german-uboat-sink-_b_1413770.html
- Bird, Mike. (2015). Business Insider. There’s a crazy conspiracy theory that the Rothschilds sank the Titanic to set up the Federal Reserve. http://uk.businessinsider.com/conspiracy-theory-that-the-rothschilds-and-federal-reserve-proponents-sank-the-titanic-2015-10/?IR=T
- Cane, Aine. (2018). Business Insider. 5 wild conspiracy theories surrounding the sinking of the Titanic. https://www.businessinsider.my/titanic-sinking-conspiracy-theories-2018-4/?r=US&IR=T
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih