Mungkin ramai yang sudah tahu tentang piliharan raya Amerika Syarikat pada 2016. Pilihan raya tersebut menunjukkan persaingan yang sangat sengit di antara Hillary Clinton mewakili Parti Demokrat dan Donald Trump mewakili Parti Republikan.

Kedua-dua calon Presiden Amerika Syarikat ke-45 tersebut melaungkan janji-janji manifesto yang digunakan untuk menarik minat warga Amerika Syarikat supaya mengundi mereka. Pada akhir pilihan raya tersebut, kemenangan telah menyebelahi wakil daripada Parti Republikan, Donald Trump, iaitu 306 undi pemilih yang mana telah mengatasi undi wakil daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton yang hanya memperoleh 227 undi pemilih.

Namun, tidak ramai yang tahu tentang kewujudan satu teori konpirasi yang secara tidak langsung telah memberi kesan kepada keputusan pilihan raya Amerika Syarikat pada 2016. Teori yang penulis maksudkan ialah teori konspirasi pizzagate atau ‘pintu pizza’ jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Mungkin istilah ini akan menimbulkan rasa lapar kepada pembaca. Tetapi, teori konspirasi pizzagate ini bukanlah tentang resepi untuk membuat pizza atau satu jenaka. Tetapi ia melibatkan satu isu yang lebih serius dan telah membangkitkan kemarahan penduduk Amerika Syarikat. Lebih teruk lagi, ia telah membawa kepada satu tindakan keganasan.

Teori ini tular di media sosial pada bulan November 2016 iaitu lebih kurang sebulan sebelum pilihan raya Amerika Syarikat berlangsung. Ia bermula apabila email John Podesta iaitu seorang campaign manager Hillary Clinton telah digodam dan dikatakan bahawa penggodam tersebut daripada Russia.

Mesej yang ada di dalam email Podesta telah ditularkan kepada masyarakat umum di media sosial oleh Wikileaks. Menurut The New York Times, salah satu mesej di dalam email tersebut adalah di antara Podesta dengan James Alefantis, yang merupakan pemilik kepada D.C.’s Comet Ping Pong. Mesej tersebut membincangkan mengenai Alefantis sebagai salah seorang pengumpul dana bagi Hillary Clinton.

Hal ini menjadi semakin teruk apabila terdapat individu yang merupakan pengguna laman web 4Chan telah membuat spekulasi tentang hubungan diantara Comet Ping Pong dan Parti Demokratik. Individu yang tidak diketahui identitinya itu telah membuat spekulasi bahawa pizzaria tersebut merupakan salah sebuah pusat pemerdagangan kanak-kanak  yang melibatkan wakil presiden Amerika Syarikat daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton.

Menurut individu tersebut, pizza merujuk kepada kod pornografi kanak-kanak, manakala ‘pasta’ mer kan itu. Namun yang memburukkan lagi keadaan adalah apabila terdapat individu yang memberi tindak balas yang ganas terhadap spekulasi teori konspirasi pizzagate yang masih lagi tidak pasti tentang kesahihannya.

Edgar Maddison Welch, 28 tahun, dari Salisbury, Carolina Utara, telah didakwa selepas insiden di restoran Comet Ping Pong di Washington berhampiran sempadan Maryland pada 4 Disember 2016 waktu tengah hari Ahad. Edgar masuk ke dalam restoran pizza tersebut dengan bersenjatakan senapang jenis AR-15 bagi menyiasat sendiri tentang isu tular di media sosial yang mengatakan bahawa restoran tersebut terlibat dalam satu sindiket pemerdagangan kanak-kanak yang kononnya diketuai oleh Hillary Clinton.

Menurut Alefantis, selepas isu tersebut menjadi bualan ramai, dia mendapat 75 mesej peribadi setiap hari dalam laman sosial miliknya. Semuanya bertanyakan tentang teori konspirasi pizzagate dan beliau juga mendapat mesej ugutan daripada beberapa individu yang mempercayai teori tersebut. Selain itu, kenalan dan keluarga Alefantis turut diganggu dengan panggilan dan mesej tentang kebenaran teori rekaan individu yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Tekanan yang sama turut dihadapi oleh Podesta, dia mendapat panggilan orang yang tidak kenali yang bertindak memaki dirinya, memanggil dia sebagai pedofilia dan telah diugut. Hal tersebut bukan hanya dihadapi oleh dirinya sahaja, turut memberi kesan kepada isterinya, Mary. Hillary Clinton turut menerima kesan yang lebih besar apabila teori konspirasi tersebut menyebabkan beliau hilang sokongan.

Menurut Economist/YouGov, isu teori konspirasi pizzagate yang tular ini dianggap oleh 45% penyokong Donald Trump dan 17% penyokong Hillary Clinton sebagai benar dan sahih. Oleh itu, Donald Trump amat beruntung dan seharusnya berterima kasih kepada individu yang telah mewujudkan teori konspirasi pizzagate kerana telah memudahkan tugasnya menjatuhkan seteru politiknya semasa pilihan raya 2016.

Beberapa tahun kemudian, beberapa hasil siasatan telah dikeluarkan yang menunjukkan bahawa teori konspirasi tersebut adalah suatu yang palsu, tidak benar, dan tidak sahih. Selain itu, Edgar sendiri tidak lagi percaya dengan teori tersebut dan berasa kesal dengan tindakan yang dilakukan olehnya di restoran Comet Ping Pong Pizza.

Bagi penulis, teori tersebut telah membuat warga Amerika Syarikat berasa teraniaya terutamanya yang mempercayai teori tersebut bulat-bulat tanpa ada usul periksa. Ia juga telah mewujudkan satu istilah yang telah memberi mimpi buruk kepada demokrasi Athens, demagague (seorang pemimpin yang memenangi hati rakyat menggunakan prejudis, kenyataan, dan janji yang palsu).

Oleh itu, amat penting bagi penulis untuk menekankan pengajaran yang kita perolehi daripada apa yang telah dihadapi oleh warga Amerika Syarikat ini. Tidak kira pada waktu pilihan raya ataupun di hari-hari dan bulan-bulan yang biasa, semua pengguna laman sosial dan penerima informasi haruslah berhati-hati dalam mempercayai suatu informasi yang dikongsikan. Jika tidak tahu akan kesahihan suatu informasi tersebut, janganlah dikongsi di mana-mana.

Seandainya informasi atau berita tersebut adalah suatu yang palsu dan tidak benar dan anda kongsikannya, maka anda ialah seorang penyebar berita palsu! Bagi mengelakkan isu penyebaran berita palsu ini berlaku, setiap pengguna media sosial seharusnya meningkatkan literasi informasi mereka. Hal ini dapat memberi kemahiran kepada pengguna media sosial untuk mengesan suatu informasi atau berita itu palsu atau tidak.

Penyebaran berita palsu di media sosial ini akan menjadi satu perkara yang membawa kepada tindakan yang tidak diingini. Individu yang menjadi mangsa kepada penyebaran berita dan informasi ini sememangnya akan menghadapi tekanan, amat dibimbangi adalah mereka yang tidak mempunyai peribadi yang kuat.

Kerana berkemungkinan untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan tohmahan, ancaman dan kecaman terhadap dirinya daripada kesan penyebaran berita dan informasi yang palsu. Masyarakat yang terlalu mudah mempercayai berita dan informasi tidak sahih ini pula akan ‘menggila’ berkongsi perkara tidak sahih itu kepada teman media sosial yang lain. Ada juga yang akan bertindak sendiri, seperti apa yang dilakukan oleh Edgar di Comet Ping Pong Pizza. Bagi sesebuah negara pula, ia akan membawa kepada masalah keamanan dan juga keselamatan.

Jadilah masyarakat yang berfikiran kritis, sentiasa memeriksa suatu informasi yang diperoleh. Jangan mudah percaya kepada segala informasi yang jauh daripada pemikiran yang rasional. Bentuk diri anda sebagai seorang pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab!

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seseorang itu melakukan sesuatu dosa sekiranya dia selalu mengatakan apa sahaja yang didengarinya.” (Riwayat Abu Dawud dan al-Hakim)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Artikel disumbangkan oleh Izzat Dahelan untuk The Patriots.

RUJUKAN

Sebastian, Michael. “Even the Pizzagate Suspect No Longer Believes the Conspiracy Theory”. Esquire. 2016. https://www.esquire.com/news-politics/news/a51268/what-is-pizzagate/

“Presiden Amerika Syarikat”. Kedutaan A.S di Malaysia. Tiada Tahun dan Nama penulis Artikel dinyatakan. https://my.usembassy.gov/ms/our-relationship-ms/us-president-ms/

Retoran diancam gara-gara berita palsu. (2016). Utusan Borneo (Sarawak). https://www.pressreader.com/

Kroll, Andy. “The former Clinton campaign chairman is among the victims still recovering from a vile conspiracy theory that ended in gunfire”. RollingStone. 2018. https://www.rollingstone.com/politics/politics-features/john-podesta-pizzagate-766489/

Helm, Burt. “Pizzagate Nearly Destroyed My Restaurant. Then My Customers Helped Me Fight Back”. Inc. 2017. https://www.inc.com/magazine/201707/burt-helm/how-i-did-it-james-alefantis-comet-ping-pong.html

“How ‘Social Media Phenomena’ Influence Social Behavior: ‘Pizzagate’ Conspiracy Theory”. Idareact. 2018. https://www.idareact.org/how-social-media-phenomena-influence-social-behavior-pizzagate-conspiracy-theory/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.