Kek. Siapa tak suka kek? Manis lagi enak. Tetapi disebabkan hal ini juga, ia mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan Itali berusia 13 tahun kempunan merasa kek 77 tahun lepas. Ini selepas kek itu dicuri oleh sekumpulan tentera Amerika Syarikat yang tiba di Itali semasa Perang Dunia Kedua (WWII).

Semasa tempoh tersebut, si anak kecil bernama Meri Mion bakal menyambut hari lahirnya ke-13 di perkampungan San Pietro, Vicenza. Tetapi tempoh ini juga menyaksikan tentera AS yang mara ke utara Itali bertempur dengan tentera Jerman berhampiran perkampungan berkenaan.

Meri Mion yang kini berusia 90 tahun. Sumber: Tentera Amerika Syarikat

Disebabkan pertempuran sengit antara kedua-dua belah pihak, ramai penduduk kampung termasuk keluarga Mion berlindung di loteng rumah mereka. Mereka hanya keluar pada keesokan harinya selepas pihak musuh dipaksa berundur dari San Pietro.

Bagi keluarga Mion, mereka hanya mampu memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Ilahi. Ini kerana pada malam sebelumnya, tentera Jerman melepaskan tembakan terhadap tentera Bersekutu berhampiran kediaman mereka – satu situasi yang boleh saja mengancam nyawa mereka. Dengan perginya pihak musuh pada pagi hari berikutnya, ia memberi kelegaan kepada mereka.

Sebagai cara meraikan ulang tahun kelahiran Mion, ibunya menghasilkan kek khas buat puteri kesayangannya itu. Kek itu diletakkan di tingkap sebagai cara untuk menyejukkannya sebelum dihidangkan. Tetapi malangnya, kek tersebut telah diambil dan dimakan oleh sekumpulan tentera AS yang kelaparan.

Pada awalnya, Mion merasa terkejut dan kecewa selepas melihat kek itu hilang. Tetapi sebaik mendapat tahu yang mengambilnya ialah tentera Bersekutu yang kelaparan, dia tidak lagi merasa sedih. Ini kerana selepas mengharungi apa yang disifatkan sebagai neraka pada hari sebelumnya, ia dianggap satu kesudahan yang baik buat mereka.

Sebagai cara menebus semula kesilapan mereka, sebuah kek krim strawberi besar yang dihias dengan telur-telur Easter mini dihadiahkan oleh garison tentera AS kepada Mion pada seminggu lepas. Upacara penyerahan hadiah ini dibuat oleh Sarjan Peter Wallis dan Kolonel Matthew Gomlak, komander garison AS di Itali di Giardini Salvi, Vicenza.

Sarjan Wallis (kanan) menyerahkan kek kepada Mion sambil disaksikan oleh Kolonel Gomlak (kiri). Sumber: Tentera Amerika Syarikat.

Ia turut disaksikan oleh tentera kedua-dua negara, pegawai-pegawai dan penduduk tempatan. Semasa penyerahan dibuat, nyanyian ‘Selamat Hari Lahir’ dalam Bahasa Itali dan Bahasa Inggeris dimainkan sebagai penghormatan kepada Mion.

Bila diminta mengulas kepentingan upacara ini, Kolonel Gomlak memberitahu ramai veteran AS yang pernah bertempur di situ tidak akan dapat melupakan kebaikan penduduk Vicenza terhadap mereka. Selepas berjaya mengusir tentera Jerman dari kawasan berkenaan, mereka dijamu dengan roti dan wain oleh penduduk sebagai menghargai jasa mereka. Pertempuran di Vicenza menyaksikan 19 orang tentera AS terbunuh.

Bagi Sarjan Wallis, ia merupakan sesuatu yang janggal dan aneh buat dirinya. Tetapi pada masa sama, ia sememangnya satu hari yang baik terutama selepas menyerahkan kek kepada Mion.

Dengan menerima kek yang dihadiahkan, maka ia mengubat apa yang berlaku 90 tahun lepas. Bagi Mion, dia mahu berkongsi kek berkenaan dengan orang tersayang dan menyifatkan sambutan hari lahir ke-90 sebagai sambutan yang tidak akan dapat dilupakan.

RUJUKAN

Giuffrida, A. (2022, 29 April).US army replaces cake it stole from Italian girl 77 years ago. The Guardian.

Associated Press. (2022, 29 April). US army replaces birthday cake stolen from Italian girl by WWII soldiers. Euronews.

BBC News. (2022, 30 April). US Army replaces cake it stole from Italian girl in 1945.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply