Semenjak dahulukala, masyarakat yang menetap di Asia Tengah mengamalkan suatu kepercayaan yang dikenali sebagai Tengrisme. Kepercayaan ini memberikan banyak penumpuan pada tuntutan menjalani kehidupan yang harmoni bersama alam, di samping memusatkan keyakinan kepada satu dewa bernama Tengri.
Tarikh kemunculan agama ini tidak diketahui secara pasti, namun sejarahwan mengandaikan yang ianya mula diamalkan sekitar Zaman Gangsa yang berlangsung dari tahun 3,300 hingga 1,200 SM. Justeru, bukan menjadi suatu hal yang menghairankan jika Tengrisme disifatkan sebagai antara agama tertua yang dianuti manusia, lebih-lebih lagi ia menggabungkan elemen shamanisme, animisme, totemisme, dan pemujaan nenek moyang.
Menurut Tengrisme, kewujudan manusia diadakan menerusi campur tangan Bapa Langit (Tengri), Bonda Bumi (Eje), dan semangat suci. Alam semesta pula berasal-usul daripada dua kewujudan, iaitu Tengri dan teman yang diciptanya sendiri, Kishi. Kisahnya, sejak azali lagi mereka terbang bersama di alam yang masih belum berbentuk – hinggalah pada suatu ketika, Kishi dihasut rasa iri dan haloba. Kishi mahu terbang lebih tinggi berbanding Tengri.
Dek niat buruknya itu, Kishi pun kehilangan upaya untuk terbang lantas terjatuh ke dalam laut. Bagi membantu temannya, Tengri memunculkan batu-batuan dan permukaan bumi dari dasar laut, sekali gus mewujudkan gunung azali. Di atas gunung inilah kemudiannya lahir Pokok Semesta, atau turut dikenali sebagai Pokok Kehidupan. Manusia terawal dan dewa-dewa kecil lain, kesemuanya lahir daripada Pokok Kehidupan tersebut. Kononnya, pokok ini dilindungi oleh anjing dan ular.
Sementara itu, ada pula yang mengisahkan betapa Tengri menjalani hidup harmoni bersama Yer si semangat bumi. Kononnya, perkahwinan antara kedua-dua mereka membawa kepada kelahiran manusia; Yer memberikan manusia tubuh fizikalnya, manakala Tengri meniupkan roh ke dalam tubuh manusia.
Dalam kepercayaan Tengrisme sendiri terdapat variasi. Misalnya, masyarakat Monggol yang menganuti Tengrisme meyakini kewujudan 99 dewa sementara Tengrisme-Turki pula hanya memuja 17 dewa sahaja. Antara dewa yang biasa dipuja dalam Tengrisme termasuklah Tengri (Bapa Langit), Yer Tanri (Bonda Bumi), Umai (dewi kesuburan), Erlik (dewa kematian), dan dewa-dewa elemen seperti air, api, matahari, bulan, bintang, udara, awan, angin, ribut, petir, hujan, dan pelangi.
Sama seperti mana-mana kepercayaan animisme lain, perbuatan memuja dewa-dewi kononnya akan membawa kepada kemakmuran dan kesejahteraan dalam hidup, di samping membantu menyeimbangkan alam. Prinsip-prinsip utama dalam ajaran Tengrisme antaranya adalah:
- Tengri dipuja sebagai dewa tertinggi yang tunggal. Ia mengetahui segala sesuatu dan menghakimi kesemua amal perbuatan manusia – baik buruknya. Tambahan, tiada sesiapa yang mampu mengetahui rupa bentuk Tengri, apatahlagi membayangkannya.
- Tengri adalah zat yang mentadbir sekalian alam – seluruh semesta berada di dalam genggamannya.
- Bagaimanapun, wujud juga semangat-semangat lain – baik mahupun jahat. Semangat-semangat ini ada yang hidup di langit (semangat langit), di alam bawah (alam kema-tian), dan di dalam tanah (semangat tanah). Sebahagian mereka mampu menimpakan keburukan dan ancaman bahaya buat manusia.
- Tiada agama atau kepercayaan yang mutlak di dunia ini. Mana-mana manusia bebas menganut mana-mana kepercayaan, dan Tengri akan menghakimi mereka semua dengan adil dan saksama.
- Tiada manusia yang terlepas daripada sifat lemah, justeru toleransi ke atas keuzuran atau kekurangan amat dianjurkan. Begitu juga dengan toleransi dalam beragama.
Ajaran Tengrisme memainkan peranan yang tersendiri dalam Empayar Gok-Turk dan Empayar Monggol. Genghis Khan dan kebanyakan pengikutnya sendiri berpaut pada ajaran ini. Ia diingati secara khusus dalam sejarah kerana anjurannya terhadap toleransi beragama, lebih-lebih lagi Tengrisme tidak mempunyai tuntutan untuk mendominasi lanskap agama dunia (seakan Wahdatul Adyan).
Hal ini sebagaimana yang dituturkan oleh Möngke Khan, “Kami percaya akan kewujudan satu Tuhan, yang dengannya kita hidup dan untuknya kita ma-ti – untuknya jugalah kita berusaha untuk memupuk hati yang baik. Namun, Tuhan menciptakan kita dengan jari-jari tangan yang berbeza dan perbezaan inilah yang membentangkan kepada manusia pelbagai jalan untuk mendekatinya. (“Account of the Mongols, Diary of William Rubruck”. Dicatatkan oleh W. Rubruck pada 31 Mei 1254)
Pada hari ini, ajaran Tengrisme masih diamalkan di Kyrgyzstan, Kazakhstan, Sakha, Buryatia, Tuva, Monggolia, dan Turki – di samping ajaran Buddhisme Tibet dan Burkhanisme.
TERJEMAHAN
M R Reese. (2 Disember 2014). The Ancient Practice of Tengriism, Shamanism and Ancient Worship of the Sky Gods. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih