Pada September tahun lepas, dua orang pendayung kayak berharap dapat menikmati hari-hari terakhir musim panas dengan berkayak di Sungai Minnesota. Sedang mereka asyik berkayak, tiba-tiba mereka melihat sesuatu yang aneh dan berwarna coklat di tebing sungai. Sebaik mereka melihat objek berkenaan, alangkah terkejutnya mereka melihat tengkorak lama yang terdampar di tebing Sungai Minnesota.

Penemuan tersebut dilaporkan kepada Pejabat Sheriff Renville County. Sebaik mereka tiba di kawasan yang dinyatakan, pihak berkuasa menyangka tengkorak tersebut milik seseorang yang mati lemas atau hilang dari daerah berhampiran. Lantas, tengkorak tersebut dihantar kepada pejabat pemeriksa perubatan dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk analisis.

Siasatan mereka mendapati tengkorak tidak menyamai mana-mana individu yang dilaporkan hilang sebelum ini. Tetapi pentarikhan karbon yang mendedahkan sesuatu yang mengejutkan: ia bukan tengkorak berusia belasan atau puluhan tahun tetapi ia berusia 8,000 tahun! Walaupun ada kesan pukulan pada tengkorak berkenaan, pakar-pakar arkeologi percaya ia bukan sebab sebenar kematian pemilik tengkorak itu.

Serpihan tengkorak berusia 8,000 tahun yang dijumpai di tebing Sungai Minnesota pada September 2021. Sumber: Pejabat Sheriff Renville County.

Profesor Kathleen Blue dari Minnesota State University percaya tengkorak ini milik seorang lelaki muda yang hidup pada zaman Archaic Minnesota sekitar 6000 hingga 5500 SM – sama tempoh dengan hasil pentarikhan karbon yang dibuat. Zaman Archaic dikatakan bermula dari 8000 SM hingga 1000 SM dengan penduduk Amerika Utara pra-Columbus ketika itu mengamalkan ekonomi sara hidup. Ekonomi tersebut disokong dengan cara mengeksploitasi hasil bumi seperti kacang dan kerang-kerangan.

Disebabkan tempoh tersebut, Profesor Blue percaya antara makanan yang diambil pemilik tengkorak itu ialah tumbuhan, ikan, daging rusa dan kupang di satu kawasan kecil. Diet sebegini turut menolak idea mereka pada Zaman Archaic mengikut pergerakan mamalia seperti bison tatkala berhijrah dengan perjalanan memakan jarak berbatu-batu.

Sebelum ini, negeri Minnesota sudah mempunyai tiga rangka dari zaman sama dengan tengkorak yang ditemui. Bagaimanapun, agak sukar mengkaji rangka Zaman Archaic bagi tujuan ilmiah berikutan keengganan puak orang asli Amerika membenarkan kajian tersebut dibuat. Alasannya, ia seolah-olah menghina maruah orang yang telah tiada dengan memperlakukan tulang sebagai bahan kajian.

Tambah Profesor Blue lagi, terdapat dua teori bagaimana tengkorak purba ini boleh berada di tebing sungai. Pertama, ia boleh saja dihanyutkan ke dalam sungai selama ribuan tahun sebelum terdampar di kawasan yang kemudiannya membentuk tebing Sungai Minnesota. Kedua, ia ditanam dalam satu kubur berhampiran sungai sebelum dihanyutkan ke sungai akibat hakisan dan banjir.

Namun begitu, tindakan Pejabat Sheriff Renville County menyiarkan hantaran tengkorak tersebut di Facebook mengundang rasa kurang senang ramai wakil kumpulan orang asli termasuk Majlis Hal Ehwa Warga Pribumi Minnesota (MIAC).

Trauma orang asli Amerika akibat pelbagai tragedi termasuk penjarahan ke atas kubur-kubur nenek moyang mereka masih berbekas sehingga hari ini.

MIAC dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan pejabat sheriff menaikkan imej tengkorak tersebut kembali mencetuskan trauma yang dialami orang pribumi Amerika sepanjang lipatan sejarah. Bukan satu rahsia banyak kubur orang asli dijarah dan dirompak bagi mendapatkan rangka tulang atau barangan berharga. Sesetengah daripadanya menjadi koleksi peribadi individu-individu tidak bertanggungjawab ini. Ada juga yang kemudiannya didermakan kepada institusi-institusi tertentu termasuk muzium dan universiti.

Tetapi Profesor Blue mengakui jika tidak kerana keputusan Pejabat Sheriff Renville County menghantar tengkorak tersebut untuk dianalisis, identiti sebenar pemilik tengkorak itu tidak akan diketahui. Susulan kontroversi yang timbul, tengkorak purba itu telah diserahkan kepada pegawai-pegawai komuniti orang asli Upper Sioux.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Tengkorak 8,000 tahun ini bukan satu-satunya penemuan arkeologi yang dicetuskan akibat perubahan iklim. Kemarau yang melanda barat daya Amerika Syarikat menyaksikan paras air Tasik Mead di Nevada turun mendadak. Ini membawa kepada penemuan tong besi yang mengandungi rangka manusia yang dipercayai dibunuh 40 tahun yang lalu sebelum ia dicampakkan ke dalam Tasik Mead. Dan polis Las Vegas tidak menolak lebih banyak rangka akan ditemui di situ.

 

RUJUKAN

Hammer, A. (2022, 22 Mei). Skull of young man dating back 8,000 YEARS is found by two kayakers during drought in Minnesota River as Native Americans slam officials for posting ‘offensive’ picture of it on social media. Daily Mail.

Medina, E. (2022, 19 Mei). Human Skull About 8,000 Years Old Is Found in Minnesota River. New York Times.

Osborne, M. (2022, 31 Mei). Human Skull Found by Minnesota Kayakers Dates Back 8,000 Years. Smithsonian Magazine.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply