Shimao merupakan sebuah kota purba China yang telah hilang sejak sekian lama. Namun pada tahun-tahun kebelakangan, ia mendedahkan banyak rahsia yang disimpannya kepada ahli-ahli arkeologi. Antara penemuan yang paling mengagumkan adalah sebuah piramid bertingkat dan bukti amalan korban manusia. Penemuan-penemuan tersebut memberikan kefahaman lanjut tentang sejarah awal tamadun China dan upacara korban manusia.

Di lembah Sungai Kuning, wilayah Shaanxi, terdapat sebuah lembangan. Penduduk kampung di sana menyedari kewujudan runtuhan tembok yang sangat besar di sebuah tapak yang mereka sebut sebagai Shimao. Memandangkan kawasan itu merupakan sempadan antara empayar China dan empayar nomad (Xiongnu misalnya), maka mereka hanya menganggapnya sebagai sebahagian daripada runtuhan Tembok Besar.

KOTA NEOLITIK SHIMAO

Namun pada tempoh kebelakangan, dijumpai kepingan-kepingan jed yang merupakan suatu barangan berharga di zaman China purba. Batu permata berharga itu berasal dari kawasan yang terletak 1000 batu (1609.34 km) jauh, justeru penemuan tersebut menimbulkan persoalan tentang bagaimana jed-jed berkenaan boleh berada di kawasan yang dianggap lengang dari manusia purba.

Maka pada tahun 2013, sepasukan arkeologis China mengunjungi tapak berkenaan untuk menjalankan penyelidikan dan mereka bukannya menjumpai runtuhan Tembok Besar, akan tetapi sebuah kota yang telah lama hilang! Kota tersebut dikelilingi oleh tembok batu sepanjang 6 batu (9.6 km) dan mempunyai sebuah piramid bertingkat di dalamnya. Ujian pentarikhan-karbon mendapati kota berkenaan berusia 4300 tahun – jauh lebih awal sebelum terbentuknya tamadun China, jika mengikut rekod rasmi.

Justeru dalam erti kata lain, penemuan ini melibatkan sebuah kota Neolitik. Piramid bertingkat yang dijumpai itu dianggap sebagai mercu kota Shimao dan didapati bahagian platformnya dihuni oleh golongan elit yang hidup secara terpisah daripada masyarakat umum. Aspek pertahanan Shimao juga amat mengagumkan – dan hal ini agak munasabah memandangkan kota itu tentunya terdedah kepada s3rangan warga-warga gasar dan nomad

Pemandangan udara Gerbang Timur Shimao

Besarnya kuantiti sumber dan bahan-bahan yang diperlukan bagi membina kota sebegitu mengisyaratkan kepada kita bahawa kumpulan masyarakat yang membangunkan Shimao memiliki kemajuan dan sistem sosial berhierarki. Ketua ekskavasi di Shimao, Sun Zhouyong dipetik oleh National Geographic, “Penemuan ini mendorong kam untuk melihat sejarah perkembangan tamadun awal di China dengan kanta yang berbeza.”

LUBANG-LUBANG YANG DIPENUHI TENGKORAK

Semasa menjalankan ekskavasi di ruangan dalam piramid yang setinggi 230 kaki (70.1m) itu, pasukan arkeologis menemui beberapa buah artifak dan lukisan dinding. Untuk menyebut secara khusus, mereka menemukan ’70 relif patung – meliputi ular, raksasa, makhluk separa-manusia yang mana ia mirip dengan ikonografi Zaman Gangsa China’. Turut ditemui di tapak berkenaan harp mulut terawal yang diketahui di China, serta sejenis instrumen angin.

5: Barangan jed yang ditemui di Gerbang Timur; 7: Gelang jed dan logam bersama tulang lengan manusia; 8: patung kepala daripada batu; 9: seramik Shimao

Di bawah salah sebuah tembok itu pula terdapat enam buah lubang yang dipenuhi dengan 80 tengkorak manusia. Rapinya keadaan tengkorak-tengkorak itu disemadikan seolah-olah mengisyaratkan kepada kita yang ianya merupakan korban ritual. Sun Zhouyong juga menyebutkan bahawa “tengkorak-tengkorak tersebut memiliki tanda-tanda yang ianya dipukul dan dibakar”. Diandaikan bahawa kesemua tengkorak itu adalah milik tawanan p3rang, yang berkemungkinan musuh Shimao.

Penyelidikan yang dijalankan kemudiannya mendapati tengkorak-tengkorak itu semua adalah milik gadis muda, yang berkemungkinan merupakan puteri mahupun bangsawan dari musuh Shimao. Walau bagaimanapun, tiada rangka yang dijumpai – tengkorak semata-mata. Li Min, seorang penyelidik dari Universiti California memaklumkan kepada National Geographic bahawa ‘darjah keganasan ritual yang dilakukan di Shimao tidak pernah disaksikan dalam sejarah awal China.”

Lubang yang menguburkan sejumlah tengkorak di Shimao


RUANG KERAMAT

Di atas lubang-lubang ini terdapat monumen-monumen batu yang mempunyai rekaan yang sama seperti mata. Batu-batu ini dihiasi dengan ribuan kepingan jed. Kawasan ini, berserta dengan segala lubang tengkorak yang disebutkan tadi, merupakan sebuah kawasan keramat yang mungkin digunakan bagi memperagakan pengaruh dan kekuasaan elit Shimao yang hidup di puncak piramid.

Blok batu yang berukir dewa berupa manusia

Amalan mengorbankan kaum wanita mungkin merupakan sebahagian daripada ritual yang bertujuan untuk menjadikan kota itu unik, di samping meraih ‘keberkatan’ para dewa. Namun, terdapat juga kemungkinan bahawa amalan korban itu mempunyai kaitan dengan sejarah penubuhan kota Shimao.

Penemuan-penemuan terkini mengukuhkan lagi pendapat bahawa daerah Shaanxi memainkan peranan signifikan dalam pembentukan tamadun awal di China. Shimao hanyalah salah sebuah dari 70 buah petempatan Zaman Batu yang ada di wilayah tersebut, setakat yang telah ditemui.

Petempatan-petempatan lain yang ada semuanya hanyalah petempatan yang mengiringi Shimao, sekaligus mengisyaratkan bahawa kota itu merupakan kota utama bagi sebuah negara. Menerusi jumpaan jed dan barangan lain, jelas pada kita bahawa Shimao turut berinteraksi dengan kebudayaan-kebudayaan lain.

Piramid bertingkat Shimao


AMALAN KORBAN YANG BERLANJUTAN

Tamadun yang terbangun di Shimao berkemungkinan memberi pengaruh yang kuat pada tamadun-tamadun China pada zaman terkemudian, sebagaimana yang dapat dibuktikan menerusi amalan mengorbankan manusia. Amalan sebegini mendahului amalan korban secara besar-besaran “yang mencirikan tamadun Shang beberapa kurun kemudian (sekitar 1600-1046SM), sebelum dinasti-dinasti selanjutnya membasmi amalan tersebut.”

Sebagai maklumat tambahan, menurut Encyclopedia Britannica, Dinasti Shang merupakan “Dinasti China pertama yang kewujudannya terbukti dalam rekod dokumen dan arkeologi”. Dinasti tersebut memainkan peranan yang sangat besar dalam perkembangan tamadun China purba.

Amalan mengorbankan manusia yang dipraktikkan oleh mereka mengisyaratkan bahawa Shang turut dipengaruhi oleh kebudayaan di Shimao. Maklumat ini berupaya membantu sejarahwan untuk menulis semula sejarah tentang amalan mengorbankan manusia di China. Ramai penyelidik memanjatkan harapan agar tapak berkenaan terus membekalkan mereka dengan maklumat lanjut berkenaan pertumbuhan tamadun awal di China.

TERJEMAHAN:

Ed Whelan. (8 Ogos 2020). Pits of Skulls Found in Shimao: China’s Neolithic City of Mystery. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/shimao-0014097


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.