Selasa, 13 Oktober 202613 Okt 2026
Alam Melayu

Tempe Bukan Sekadar Kudapan

Onde bukan sebarang ondeOnde menawan si anak dara, Tempe bukan sebarang tempe,Tempe pujaan senusantara. Siapakah yang tidak mengenali tempe? Mungkin ada juga yang belum pernah merasa tempe namun pasti pernah melihat dan mendengar tentangnya. Masaklah dengan apa-apa cara sekalipun, tempe tetap memenuhi selera. Masak lodeh, sambal goreng kering, tumis dengan sayur, digoreng dengan bihun tetap

Onde bukan sebarang onde
Onde menawan si anak dara,
Tempe bukan sebarang tempe,
Tempe pujaan senusantara.

Siapakah
yang tidak mengenali tempe? Mungkin ada juga yang belum pernah merasa tempe
namun pasti pernah melihat dan mendengar tentangnya. Masaklah dengan apa-apa
cara sekalipun, tempe tetap memenuhi selera. Masak lodeh, sambal goreng kering,
tumis dengan sayur, digoreng dengan bihun tetap juga sedap. Digoreng dan
dimakan begitu sahaja juga sudah enak dimakan.          

Kata “tempe” dikatakan berasal dari bahasa Jawa Kuno. Pada zaman Jawa Kuno terdapat makanan berwarna putih diperbuat daripada tepung sagu yang disebut tumpi. Tempe segar yang juga berwarna putih terlihat memiliki kesamaan dengan makanan tumpi tersebut.

Selain itu, terdapat rujukan mengenai tempe dari tahun 1875 dalam sebuah kamus bahasa Jawa-Belanda. Sumber lain mengatakan bahawa pembuatan tempe berlaku seawal era Tanam Paksa di Jawa. Pada saat itu, masyarakat Jawa terpaksa menggunakan hasil tanaman, seperti ubi kayu, ubi keledek, dan kacang soya sebagai sumber makanan.

Selain itu, ada pula pendapat yang mengatakan bahawa tempe mungkin diperkenalkan oleh orang-orang Tionghoa yang memproduksi makanan sejenis, iaitu kojikedelai yang difermentasikan menggunakan kapang Aspergillus. Selanjutnya, teknik pembuatan tempe tersebar ke seluruh Indonesia, sejalan dengan penyebaran masyarakat Jawa yang bermigrasi ke segenap pelosok rantau.

Pembuatan tempe memerlukan kacang soya, ragi tempe, daun
pisang dan surat khabar. Langkah-langkah pembuatannya adalah seperti berikut:

  • Membersih

Proses yang pertama dan wajib dilakukan
ialah membersihkan kacang soya. Pastikan sebarang kotoran mahupun benda asing
seperti kacang dal dibuang. Sebaiknya anda basuh kacang soya ini sebanyak 3
kali. Hal ini kerana jika tempe yang digunakan adalah bersih dan tidak
bercampur dengan benda asing akan menghasilkan tempe yang berkualiti. Jika
terdapat kotoran, ia akan mempengaruhi kualiti tempe yang dihasilkan. Pilihan
di tangan anda

  • Merendam

Seterusnya, kacang soya perlu direndam di dalam baldi ataupun besen selama dua malam untuk mendapatkan soya yang kembang. Ramas kacang soya tersebut supaya kulitnya tertanggal.

  • Membasuh

Basuh kacang soya yang direndam sekali lagi. Buang kulit kacang soya.
Pastikan kacang soya bersih daripada
kulit dan benda asing.

  • Merebus

Terdapat dua
pilihan untuk merebus kacang soya. Pilihan yang pertama adalah jika anda
merebus di atas dapur kayu, anda perlu membiarkannya selama dua jam tetapi jika
anda menggunakan dapur gas, maka anda hanya merrebus selama 45 minit hingga 1
jam sahaja.

  • Pengeringan

Setelah selesai direbus, kacang soya tersebut sedia untuk dikeringkan. Cara mudah, anda hamparkan sehelai kain yang bersih pada permukaan yang rata. Toskan kacang soya anda terlebih dahulu kemudian tuang kacang soya ke atas kain yang bersih tadi dan ratakan.

Anda boleh menggunakan kipas angin jika mahu mempercepatkan lagi proses pengeringan. Balik-balikkan kacang soya supaya ia cepat kering. Setelah kering, letakkan kacang soya ke dalam dulang yang dialas dengan kertas minyak.

  • Gaul

Taburkan ragi tempe sebanyak 1 sudu besar ke atas kacang soya. Gaulkan
sehingga rata pada semua kacang soya
yang ada.

  • Pembungkusan

Kacang soya sedia untuk dibungkuskan mengikut sukatan yang dimahukan.
Untuk lapisan pertama, balut dengan daun
pisang dan seterusnya balut dengan surat khabar.

Tempe sangat bergizi dan kaya dengan protein, selain enak
dimakan dalam apa cara sekalipun. Ia dikatakan makanan yang hebat
kerana proses fermentasinya yang menjadikan tempe sebagai makanan
dengan sumber probiotik, iaitu bakteri baik yang dapat membantu menjaga
kesihatan usus dan sistem kekebalan tubuh. Tempe mempunyai pelbagai manfaat
kepada kesihatan manusia.

Salah satu manfaat tempe adalah menurunkan kadar kolesterol yang jahat. Tempe mengandungi protein yang sangat tinggi. Tidak seperti protein dari sumber haiwan, protein dalam tempe memiliki manfaat tambahan dalam menurunkan kadar kolesterol jahat (LDL) dan meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL).

Jadi, tempe dapat membantu menurunkan risiko serangan jantung, penyakit jantung, dan stroke. Selain menurunkan kadar kolesterol, tempe juga dapat membantu menurunkan kadar gula darah dan trigliserida penghidap diabetes.

Selain itu, tempe juga mampu menurunan
tekanan darah. Tempe mengandungi magnesium yang memainkan
peranan penting dalam sistem kardiovaskular dan bertanggungjawab terhadap
proses metabolisme tubuh. Magnesium juga membantu mencegah terjadinya
pembekuan darah, menurunkan tekanan darah, menjaga kekuatan tulang, dan
membantu mencegah komplikasi yang berkaitan dengan diabetes.

Manfaat tempe yang lain adalah melindungi sistem
pencernaan. Tempe juga mengandung serat makanan
yang baik bagi tubuh. Serat memainkan peranan dalam mengikat lemak dan
kolesterol yang membantu mengawal berat badan. Selain itu, serat yang
terkandung dalam tempe sangat bermanfaat dalam menjaga kesihatan usus dan
sistem pencernaan.

Bagi golongan wanita yang mula memasuki fasa
gejala menopause, tempe dikatakan dapat membantu anda untuk mengatasi
gejala-gejala tersebut. Tempe yang diperkaya dengan
isoflavon membantu mengawal hormon estrogen. Terdapat
penyelidikan yang menunjukkan bahwa isoflavon dalam soya boleh mengurangkan
rasa panas dalam dan tidak nyaman pada wanita menopause.

Tempe juga dikatakan boleh menjadi sumber
tenaga. Tempe turut mengandungi
riboflavin atau dikenali sebagai vitamin B2. Mikronutrisi ini
berperanan dalam metabolisme tenaga dan juga diperlukan dalam
metabolisme karbohidrat, protein dan lemak. Selain itu, ia
juga penting dalam pembentukan sel darah merah.

Kepelbagaian khasiat yang dimiliki oleh
tempe menjadikan tempe bukan sekadar untuk pembuka selera. Namun begitu, oleh
sebab tempe sangat sinonim dengan masyarakat Jawa dan masyarakat Jawa di negara
Malaysia pula secara pensejarahan berasal dari Pulau Jawa maka secara tuntasnya
banyak pihak yang mengatakan bahawa tempe berasal dari negara Indonesia.

Hakikatnya, apabila bercerita tentang makanan, begitu banyak persamaan antara kedua-dua buah negara. Malaysia dan Indonesia, dua negara bangsa, kedua-duanya terikat dengan satu perkara yang mendekatkan mereka — budaya serumpun yang diwarisi sejak nenek moyang mereka lagi. Disebabkan itu jugalah, kedua-duanya memiliki sejarah budaya kulinari yang sama.

Sewaktu Persidangan Antarabangsa Hubungan Malaysia-Indonesia 2009 (Media dan Budaya) anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, selain membincangkan isu dasar dan kebudayaan serumpun, yang adakalanya mencetuskan hubungan turun naik dua negara ini, turut diberi perhatian ialah isu makanan.

Hal ini mungkin topik terpencil bagi sesetengah pihak, namun tanpa disedari, impak makananlah yang berjaya memasuki hingga ke seluruh peringkat umur dan lapisan masyarakat di kedua-dua negara.

Profesor Dr Ir Sudrajati Ratnaningtyas, dari Universiti  Winaya Mukti, Bandung, Jawa Barat, mengatakan bahawa Indonesia dan Malaysia mempunyai nenek moyang yang sama iaitu masyarakat proto-Melayu yang bermigrasi 5,000 tahun sebelum Masehi. Kadang kala suatu makanan yang dianggap khusus milik suatu bangsa sebenarnya turut dituntut oleh bangsa lain. Sebagai contoh, tempe yang dianggap berasal dari Indonesia, turut terdapat di China yang dinamakan koji.

Bagaimanapun, menurut Dr Ratna lagi, terdapat juga kajian yang mengatakan tempe ialah sumbangan Jawa pada seni masakan dunia. Dengan demikian tempe dianggap asli dari Jawa yang ditemukan pada abad ke-19, tetapi bahan tempe yang berasal dari kacang soya pula berasal dari negara China sejak 5,000 tahun dahulu.

Tidak kiralah tempe itu berasal dari negara mana, perkara yang pasti ialah tempe merupakan antara makanan tempatan yang sudah sebati dengan rakyat Malaysia. Seorang rakan pernah berseloroh dengan saya dengan mengatakan bahawa, “kalau seseorang itu hendak menjadi menantu dalam keluarga Jawa, haruslah menerima tempe dalam kehidupannya.” Gurauan yang berupa peringatan ini sekadar mewarnakan keistimewaan tempe dalam kalangan masyarakat Malaysia.

RUJUKAN:

1.         Tempe: Persembahan Indonesia untuk Dunia. http://www.bsn.go.id/uploads/download/Booklet_tempe-printed21.pdf

2.         Perjalanan Tempe Menuju Status Warisan Dunia UNESCO. https://tirto.id/perjalanan-tempe-menuju-status-warisan-dunia-unesco-cG8k

3.       Memahami Sejarah Budaya Makanan Nusantara. https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2009/11/30/memahami-sejarah-budaya-makanan-nusantara

4.        Cara Pemprosesn Tempe. http://myagri.com.my/2017/11/cara-pemprosesan-tempe/

5.        5 Sebab Kenapa Perlu Makan Tempe. https://www.wanista.com/2015/72771/manfaat-kesihatan-tempe/

6.        Penyelidikan – Inovasi Tempe. https://www.majalahsains.com/penyelidikan-inovasi-tempe/

7.        Sistem pencernaan pengaruhi kesihatan. https://www.bharian.com.my/node/199934

8.       Diet Untuk Penyembuhan Luka – Mitos Atau Fakta.  http://www.myhealth.gov.my/diet-untuk-penyembuhan-luka-mitos-a-fakta/

9.      Pemakanan Untuk Tulang Sihat.   https://www.hmetro.com.my/hati/2017/09/265317/pemakanan-untuk-tulang-sihat

10.   Jasa Usus Anda.    https://www.hmetro.com.my/hati/2018/12/400859/jaga-usus-anda

11. Sejarah Dan Perkembangan Tempe. https://iqbalfauzynurhida.wordpress.com/2015/05/31/sejarah-dan-perkembangan-tempe/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet