Tembok dan sejarah. Tajuk sebegini sudah tentu akan mencetuskan bayangan beberapa buah tembok bersejarah di ruang fikiran kita. Antaranya seperti Tembok Besar Cina, Tembok Hadrian di England, Tembok Berlin di Jerman, Tembok Barat (Tembok Ratapan) di Jerusalem atau yang paling kontroversi, Tembok Besi Zulkarnain.

Namun pada bulan Ogos yang lalu, sepasukan ahli arkeologi dari Universiti Tehran yang membuat tinjauan di Iran Barat menemukan runtuhan tembok batu yang memiliki kepanjangan yang hampir sama dengan Tembok Hadrian binaan Rom di England. Hasil tinjauan tersebut dilaporkan di dalam sebuah artikel yang disiarkan di dalam jurnal Antiquity dan menerima liputan secara meluas pada awal November.

Menurut ketua penyelidik, Sajjad Aligabaigi, seorang pemegang Doktor Falsafah (Arkeologi) dari Jabatan Arkeologi di Universiti Tehran, tembok sepanjang 71 batu (115km) itu ditemui di Daerah Sal Pol-e Zahab, Wilayah Kermanshah, bahagian barat Iran. Tembok ini terbentang di sepanjang Pergunungan Bamu hingga ke kawasan berhampiran kampung Zhaw Marg di hujung selatannya. Permukaan tembok tersebut kebanyakannya bertapak di permukaan yang berbatu-batu dan juga di atas bukit.

Sebahagian daripada Tembok Gawri yang merentang sepanjang 115km

Tembikar-tembikar purba yang ditemui di kawasan berhampiran tembok ini memberikan petanda bahawa binaan tersebut didirikan pada tempoh antara kurun ke-4 Sebelum Masehi hingga kurun ke-6 Masehi, atau erti kata lain, sekitar 2200 tahun yang lalu. Sambil itu di dalam laporannya, Alibaigi menulis:

“Sisa runtuhan tembok yang telah musnah ini masih boleh dilihat di sepanjang binaannya. Ia mungkin turut memiliki sejumlah menara, gerbang mahupun binaan-binaan lain.” Beliau turut mencatatkan bahawa tembok tersebut diperbuat daripada bahan-bahan seperti batu bundar (cobbles) dan batu tongkol (boulders), di samping gypsum mortar yang dilaporkan masih kekal sehingga ke hari ini.

Disebabkan ia tidak dipulihara dengan baik dalam kurun-kurun panjang yang ditempuhinya selama ini, maka saintis tidak berupaya untuk mengenal pasti secara tepat ukuran lebar dan tinggi tembok tersebut. Anggaran terbaik yang dapat mereka utarakan adalah 13 kaki (4 meter) lebar dan 10 kaki (3m) tinggi.

Sajjad Alibaigi turut menambah, “Dengan penggunaan batu yang secara keseluruhannya dianggarkan sebanyak 1 juta meter kubik, pembinaan ini sememangnya memerlukan sumber yang sangat besar, baik dari segi tenaga kerja, bahan pembinaan mahupun masa.” Lantaran itu, beliau mengemukakan pendapat bahawa pembinaan tembok ini dilakukan oleh pemerintah monarki yang amat berkuasa, yang memerintah pada sekitar kurun ke-4SM hingga kurun ke-6M (era Partho-Sassanian di bumi Parsi atau Iran moden).

Dengan maklumat yang masih lagi terhad, para penyelidik masih belum dapat mengenal pasti siapakah yang membina tembok ini, dan atas tujuan apakah ia dibina. Alibaigi berpendapat bahawa tembok ini dibina oleh Empayar Parthians ataupun Parsi-Sassanid dengan tujuan sebagai tembok pertahanan dan/atau sekadar berfungsi sebagai penanda sempadan empayar.

Pandangan udara Tembok Gawri, Iran

Walaupun kewujudan tembok ini sama sekali tidak diketahui oleh ahli-ahli arkeologi sebelum tersiarnya laporan kajian daripada Sajjad Alibaigi, penduduk tempatan yang menetap berhampiran lokasi tembok berkenaan sudah lama menyedari keberadaan tembok yang dinamakan sebagai Tembok Gawri itu. Malahan, seorang jurucakap Antiquity memaklumkan bahawa selepas kertas kajian Alibaigi tersebut disiarkan, mereka mendapati terdapat sebuah lagi pasukan ahli arkeologi yang menjalankan penyelidikan yang lebih awal tentang tembok itu. Akan tetapi, laporan kajian yang ditulis oleh mereka tidak berpeluang untuk disiarkan.

Apapun, Tembok Gawri yang baru dikenali dunia ini bukanlah satu-satunya tembok besar purba yang terdapat di Iran. Ahli-ahli arkeologi sebelum ini pernah menemukaan binaan sama di bahagian utara dan timur laut Iran yang juga diyakini dibangunkan sebagai perlindungan dari serangan bangsa-bangsa gasar seperti Zagros, Scythia dan Hun. Antara tembok bersejarah di Iran yang masyhur adalah Tembok Panjang Gorgan dan Tammisha yang terletak di utara Iran.

Besar harapan dunia arkeologi di Iran untuk memperoleh lebih banyak maklumat berkenaan Tembok Gawri ini menerusi usaha-usaha penggalian yang sedang dan bakal dijalankan, dengan intensiti yang dijangka lebih tinggi berikutan signifikasi sejarah yang dimiliki oleh tembok berkenaan.

Tembok Gorgan, Iran

RUJUKAN

Ed Whelan. (6 November 2019). Great 2200-year-old Barrier Wall Found in Iran. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/barrier-wall-0012823

Tehran Times. (6 November 2019). Ancient 70-mile-long wall found in western Iran.
https://www.tehrantimes.com/news/441752/Ancient-70-mile-long-wall-found-in-western-Iran

Owen Jarus. (6 November 2019). Ancient 70-mile-Long Wall Found in Western Iran. But Who Built It? Live Science.
https://www.livescience.com/hadrians-wall-of-iran-discovered.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.