Siapa yang menyangka musim kedua Agents of SHIELD akan jadi lebih mudah untuk menerima banyak kejutan. Dengan SHIELD terpaksa beroperasi secara rahsia pada musim tersebut, kejutan-kejutan sebegini bukan saja menguatkan perjalanan naratif Agents of SHIELD tetapi juga mengembangkan lagi cerita-cerita di sebalik watak-watak yang menghidupkannya. Dalam bahagian kedua penerokaan tema Agents of SHIELD, terdapat beberapa tema utama yang berkait rapat bukan saja dengan Marvel Cinematic Universe (MCU) tetapi juga dengan kehidupan kita sendiri.
1. Menjadi pemimpin bukan satu tugas mudah.
Saya tahu ramai di luar sana berpandangan jadi pemimpin ini satu tugas yang mudah. Siapa tak nak dengan kelebihan yang dimiliki dan kuasa di tangan, nampak macam kacang, kan?
Hakikatnya, ia satu tugas yang berat di mana si pemimpin berperanan menggerakkan sesebuah organisasi mengikut hala tuju yang ditetapkan. Dan si pemimpin juga perlu bersikap objektif demi memastikan matlamat dan hala tuju yang ditetapkan tercapai walaupun ia berpotensi mengundang rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan orang bawahan. Bagi si pemimpin, dia memikirkan apa yang terbaik bagi organisasinya bukan saja untuk jangka pendek tetapi juga untuk jangka panjang. Dan ini satu situasi yang terpaksa dihadapi Coulson sebagai pengarah baru SHIELD di mana selain memastikan SHIELD tidak dapat dikesan bukan saja oleh HYDRA tetapi juga pihak kerajaan Amerika, beliau juga perlu berusaha mendapatkan aset dan merancang strategi berkesan untuk meneruskan aspirasi asal SHIELD sebagai perisai dan pedang untuk melindungi orang-orang yang tidak berdosa.
Walaupun keputusan beliau dipersoalkan oleh orang-orang bawahannya dalam beberapa isu seperti merahsiakan keputusan merekrut Mike Peterson (Deathlok), merahsiakan kewujudan Helicarrier yang digunakan Nick Fury untuk menyelamatkan penduduk Sokovia dalam filem Avengers: Age of Ultron dan merahsiakan simptom TAHITI yang dialami, itu tidak menghalang SHIELD mencapai matlamat yang dimahukannya.
2. Setiap orang istimewa tanpa mengira status atau latar belakang mereka.
Musim kedua Agents of SHIELD memperlihatkan pergelutan Leopold Fitz dalam menangani trauma selepas dicampak ke dalam laut bersama Jemma Simmons oleh Grant Ward pada musim pertama. Beliau menghadapi kesukaran untuk fokus tugas yang diberi dan sukar berkomunikasi dengan baik dengan anggota-anggota SHIELD. Beliau bernasib baik ada teman seperti Alphonse ‘Mac’ Mackenzie yang memahami kesukaran yang dihadapinya. Dan ini satu perkara yang kita sukar terima tetapi berlaku saban hari di mana sesetengah individu tidak bertanggungjawab memperlakukan orang kelainan upaya (OKU) seperti sampah. Pada mereka, individu seperti ini tidak layak berada dalam masyarakat dan patut dipinggirkan terus. Orang sebegini terlupa bahawa mereka juga manusia seperti dia, punya akal dan perasaan serta mahukan hak mereka dalam masyarakat. Manusia sebegini juga lupa, orang yang dianggap sampah seperti OKU ini sebenarnya banyak menyumbang bakti kepada negara.
Bagi penggemar sains, saintis OKU yang terkemuka ketika ini ialah Stephen Hawking. Walaupun Hawking berdepan dengan penyakit yang melemahkan keupayaan fizikalnya dan memaksa beliau berkomunikasi menggunakan komputer, itu tidak menghalang beliau untuk terus berbakti dalam bidang sains dan sumbangan beliau mendapat pengiktirafan ramai pihak. Jadi, siapa kata orang OKU orang biasa-biasa? Mereka seperti Fitz dan Hawking, bukan biasa-biasa tetapi luar biasa!
3. Dua nakhoda idea paling buruk untuk kepimpinan.
Ramai beranggapan ada dua pemimpin dapat memimpin sesebuah organisasi ke arah lebih baik, secara teori. Tetapi hakikatnya, bila ada dua nakhoda yang memimpin sesebuah organisasi, ia akan menimbulkan perpecahan kerana kedua-duanya sudah tentu ada aspirasi berbeza untuk organisasi yang diketuai. Bila itu berlaku, sukar bagi orang bawahan untuk melaksanakan apa yang dirancang dan semakin hilang kredibiliti dengan kepimpinan sedia ada, sekaligus menyemai benih-benih pemberontakan dan kehancuran organisasi tersebut. Dan inilah apa yang dihadapi Coulson bila muncul satu lagi kumpulan menggelar diri mereka ‘SHIELD sebenar’ diketuai oleh Robert Gonzalez (Edward James Olmos) dan menganggap SHIELD yang dipimpin Coulson tidak layak sama sekali mengetuai organisasi tersebut. Walaupun konflik tersebut berakhir dengan penyatuan kedua-dua kumpulan di mana Coulson kekal sebagai pengarah dan Gonzalez bertindak sebagai salah seorang ahli majlis penasihat SHIELD, ia menyebabkan tumpuan SHIELD terganggu dalam membanteras ancaman HYDRA.
4. Manusia sentiasa akan menentang orang yang berbeza dengannnya.
Musim kedua Agents of SHIELD menampilkan kelompok Inhumans melalui Daisy Johnson yang mempunyai kuasa gempa bumi setelah terdedah kepada kristal Terrigen dan kelompok Inhumans diketuai ibu Daisy, Jiaying. Kelompok ini terlindung dari dunia luar dan tidak mahu mendedahkan kewujudan mereka. Sekiranya mereka merasa terancam, mereka akan melakukan apa saja termasuk membunuh demi memastikan kedudukan mereka stabil walaupun ancaman tersebut hanya wujud dalam imaginasi mereka saja. Dalam sejarah, konflik sebegini sebenarnya bukan asing. Apabila peneroka-peneroka Eropah tiba di kawasan-kawasan tumpuan mereka seperti Dunia Baru dan Kepulauan Melayu, akan ada konflik antara mereka dengan penduduk tempatan kerana kedua-duanya punya motif berbeza. Bagi penduduk tempatan, walaupun mereka mengalu-alukan kehadiran peneroka tersebut, mereka juga pasti merasa curiga motif kehadiran peneroka-peneroka ini di kawasan mereka. Sementara bagi peneroka-peneroka ini pula, mereka hadir untuk meninjau kawasan dan melihat potensi kawasan tersebut untuk pemerintah-pemerintah mereka di Eropah. Bila konflik antara kedua-dua kumpulan ini berlaku, ia bukan saja menyemai benih-benih kemusnahan sesebuah kaum atau kawasan tetapi juga memberi petunjuk bahawa kawasan tersebut ada potensi sebagai wilayah jajahan atau pos tentera mereka.
Antara contoh konflik sebegini ialah pertembungan kumpulan peneroka Sepanyol diketuai Ferdinand Magellan dengan penduduk tempatan diketuai oleh Lapu-Lapu, seorang pemerintah sebuah pulau di Filipina. Konflik tersebut berakhir dengan kematian Magellan dan kumpulan ekspedisi Sepanyol terpaksa berundur lalu meneruskan pelayaran pulang. Walaupun konflik SHIELD-Inhumans yang dipimpin Jiaying tidaklah seteruk konflik Magellan-Lapu-Lapu, ia menyedarkan Coulson bahawa mereka perlu ada satu pasukan rahsia yang bukan saja meneruskan aspirasi SHIELD tetapi juga membanteras mana-mana ancaman Inhumans yang boleh mengancam kestabilan hubungan manusia-Inhumans. Ini yang membawa kepada penubuhan satu pasukan khas SHIELD iaitu Secret Warriors dipimpin oleh Daisy.
Musim kedua Agents of SHIELD memperlihatkan kekuatan mereka bukan saja sebagai ejen tetapi juga penceritaan yang semakin mantap. Walaupun ada topik yang disentuh di sini agak kontroversi dan lain dari yang lain tetapi inilah yang mengukuhkan kedudukannya dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) bukan saja untuk mewarnai apa yang berlaku selepas sesuatu filem tetapi mempengaruhinya walaupun sekadar sebiji benih.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih