Saintis sentiasa ingin tahu tentang keadaan di luar lingkaran Sistem Suria. Pengetahuan tentang alam lain boleh mengajar sedikit sebanyak tentang Bumi. Ambil contoh planet Zuhrah, yang bagaikan neraka nyata. Selalu sangat dengar pasal kesan rumah hijau.
Zuhrah hari ini memberi bukti di sebalik teori kesan rumah hijau. Jadi ada banyak manfaat sebenarnya jika manusia berpaling mata pada angkasa.
Utarid hingga Neptun adalah planet dalam sistem sama, iaitu Sol yang berkongsi satu bintang. Sistem bintang paling dekat dengan Sol adalah Alpha Centauri, terletak dalam lingkungan 4.367 tahun cahaya jauh.
Gambaran saja macam dekat. Teknologi roket sedia ada mengambil masa 18,000 tahun untuk sampai di Alpha Centauri.
Jarak ini bukanlah penghalang kalau setakat ingin teropong dari jauh saja. Manusia sudah membina teknologi cukup maju untuk usaha pencerapan. Teleskop Hubble pernah mencapai Galaksi GN-z11, yang terletak 13.4 bilion tahun cahaya jauh. Jadi jarak ke Alpha Centauri bukanlah penghalang untuk cerap secara terperinci.
Pencarian Bumi Kedua
Manusia apabila dapat satu lembah emas akan mencari lembah emas kedua. Ini memang fitrah, sepertimana boleh tengok bagaimana banyak negara gigih mencari planet baru. Sol adalah sebuah sistem berbintang tunggal, iaitu Matahari yang menerangi alam.
Alpha Centauri pula merupakan sistem berbintang tiga, yakni Rigil Kentaurus, Toliman dan Proxima Centauri.
Setakat ini saintis hanya dapat sahkan kewujudan dua planet yang terletak berhampiran dengan Proxima Centauri. Sebuah sistem berbintang tiga takkan mungkin ada dua planet sahaja. Mungkin inilah sebab kenapa empat pihak membanting tulang ingin membina sebuah teleskop. Mereka adalah Universiti Sydney, Breakthrough Initiative, Saber Aeronautics dan tidak lain tidak bukan NASA melalui Jet Propulsion Laboratory.
Teleskop citaan mereka menggunakan lensa yang lengkap dengan kebolehan ukur imbas. Bagi yang tidak tahu, kebolehan ini mampu mengesan sebarang pergerakan – meskipun kecil – dalam sebuah sistem bintang. Pergerakan sebuah planet selalunya meninggalkan jejak pada kedudukan bintang. Teleskop ini mampu mengukur dan mengimbas jejak ini (Luntz, 2021).
Teknik ukur imbas hanya sesuai digunakan bagi sistem bintang yang berhampiran dengan teleskop. Jadi Alpha Centauri adalah calon paling baik untuk teknik ini. Dan matlamat mereka adalah untuk mencari planet yang boleh didiami (habitable planet). Buat masa sekarang, misi pencarian hanyalah untuk penyelidikan sahaja. Mungkin 100 tahun akan datang, baru sebarang usaha pendaratan boleh difikirkan.
Setakat ini saintis sudah menemui 4,864 planet dalam 3,595 sistem tersendiri. Dalam kalangan sistem ini pula, hanya 803 sahaja disahkan mempunyai lebih daripada satu planet. Penemuan banyak planet adalah atas sumbangan Teleskop Kepler yang memang tujuannya untuk mencari planet mirip Bumi di luar lingkaran Sol (Dunham, et al., 2010).
Walaupun banyak sudah ditemui, hanya 55 planet luar Sol sahaja dipercayai boleh menampung kehidupan. Semua tidak mungkin dapat dicapai secara fizikal buat masa sekarang.
Jika Alpha Centauri mempunyai habitable planet, tentu sekali naratif pencarian akan berubah. Semua mata akan terletak pada planet ini pula. Kerana habitable planet boleh menampung kehidupan asing, yang tidak semestinya makhluk berakal… waima sebutir sel di luar Bumi pun layak digelar makhluk asing.
RUJUKAN:
Dunham, E., et al. (2010). Statement from the Kepler Science Council.NASA.
Luntz, S. (2021, November 17). Space Telescope Being Built Just To See if Alpha Centauri Is Habitable. IFL Science.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih