Antara kisah sejarah perjuangan tokoh Islam yang disebut-sebut sekitar ceramah surau dan masjid ialah kisah Tariq bin Ziyad. Tetapi malangnya, kisah beliau dipenuhi dengan romantisme sehingga sesetengah fakta yang diketahui sebenarnya tidak benar. Atas sebab itu, diharap perkongsian ini sedikit sebanyak menyingkap tabir romantisme yang menyelubungi kisah panglima perang Bani Umayyah itu.
Tariq atau nama sebenarnya Tariq bin Ziyad bin Abdullah bin Walghu bin Warfajum bin Naighas bin Masthas bin Bathusats bin Nafzah lahir pada 670 Masihi. Begitupun, para sejarawan berselisih pandangan tentang asal-usul sebenar beliau termasuk kabilah Barbar yang diwakilinya. Tetapi majoriti sejarawan bersetuju bahawa pada satu ketika, Tariq pernah menjadi hamba kepada Gabenor Bani Umayyah di Afrika Utara, Musa bin Nusair sebelum dimerdekakan.
Beliau dan bapanya dikatakan memeluk Islam selepas kempen penaklukan wilayah-wilayah Afrika Utara yang digerakkan Musa. Tidak mustahil semasa ekspedisi ini, Tariq dan bapanya turut sama menyertai kempen beliau. Secara perlahan-lahan, keberanian dan kelicikannya di medan perang mula diketahui ramai termasuk Musa.
Lantas, ini menjelaskan mengapa Khalifah al-Walid bin Abdul Malik mengangkat Tariq sebagai Gabenor Tangiers sekitar 710-711 Masihi. Perlantikan yang mendapat sokongan Musa itu bukan saja sebagai cara meraih sokongan suku kaum Barbar ketika itu. Malah, ia merupakan pengiktirafan kepada protege Musa sebagai orang yang berkebolehan dan boleh diharapkan dalam apa jua situasi.
Semasa kempen penaklukan Afrika Utara Bani Umayyah masih berjalan, wujud situasi tidak menyenangkan membabitkan kerajaan Visigoth di Hispania (nama lama Sepanyol). Pada ketika itu, kerajaan Visigoth diperintah oleh Roderick dengan Julian pula merupakan wakil kerajaan itu di Ceuta.
Berdasarkan versi popular di medan ceramah agama, pada satu ketika, Julian menghantar puterinya ke istana Visigoth di Toledo. Beliau berharap dengan menghantar puterinya di situ membantunya mendapat pendidikan yang baik bersesuaian dengan statusnya sebagai puteri seorang bangsawan.
Bagaimanapun, harapkan pagar, pagar makan padi. Roderick didakwa terpesona dengan kejelitaan puteri Julian lalu merogolnya sehingga wanita malang itu mengandung. Apabila hal tersebut diketahui Julian, beliau menulis sepucuk surat kepada Musa agar membawa ketumbukan Bani Umayyah ke Hispania dan menyingkirkan Roderick. Kesempatan itu dimanfaatkan beliau dengan mengutus angkatan perang Umayyah pimpinan Tariq untuk meluaskan lagi pengaruh kerajaan itu.
Tetapi sebelum kisah ini diteruskan, perlu diingatkan bahawasanya versi kisah ini tidak seindah realiti sebenar. Hakikatnya, konflik Roderick-Julian merupakan sebahagian daripada sejarah perebutan kuasa yang wujud dalam kerajaan Visigoth. Tidak seperti kerajaan monarki lain, pemerintah Visigoth memerlukan ihsan golongan aristokrat dan bishop yang berpengaruh ketika itu. Walaupun anda berstatus putera kepada pemerintah sebelumnya, itu bukan lesen untuk menaiki takhta.
Hal ini turut terpakai kepada Roderick. Selepas pemerintah Visigoth sebelumnya, Wittiza mangkat sekitar 702/703 Masihi, takhta bukan disandang oleh salah seorang puteranya tetapi Roderick. Ini selepas baginda mendapat sokongan diperlukan untuk bergelar raja kerajaan itu. Dengan kedudukan putera-putera Wittiza semakin terjejas susulan perpindahan ibu kota dari Seville kepada Toledo, penyokong raja lama Visigoth itu terpaksa keluar dari Hispania dan berlindung di Ceuta.
Situasi ini sudah pasti merungsingkan Julian yang melihat kedudukannya ibarat telur di hujung tanduk. Jika keadaan ini berterusan, sudah pasti kedudukan beliau dalam bahaya. Lantas, ini mendorong Julian mengutus sepucuk surat kepada Musa dan merayu kepada beliau untuk menyerang Roderick di Hispania. Keadaan raja Visigoth itu diburukkan lagi dengan keengganan kerajaan-kerajaan kecil sekitarnya yang enggan mengiktiraf kekuasaan Visigoth ke atas mereka.
Selepas menerima surat Julian, Musa dan Tariq mempunyai sebab untuk meragui keikhlasan pemimpin Ceuta itu. Beliau tidak mahu surat ini hanyalah satu perangkap oleh pihak Visigoth bagi mengelak wilayah mereka jatuh ke tangan Bani Umayyah. Bagi menguji keikhlasan Julian, Tariq mengutus Tarif bin Malik mengetuai pasukan kecil ke Semenanjung Iberia dengan pemerintah Ceuta itu sebagai pemandu dan perantara mereka dengan penduduk tempatan.
Setibanya mereka di situ, pasukan ini disambut mesra oleh penduduk tempatan. Ramai sejarawan percaya kumpulan yang menyambut pasukan Tarif ialah penyokong-penyokong Julian dengan tujuan memberi gambaran kehadiran tentera Bani Umayyah amat dialu-alukan. Ekspedisi ini pulang semula ke Afrika Utara bersama harta rampasan dan tawanan.
Selepas menerima laporan baik Tarif, barulah Musa bersedia menggerakkan ekspedisi ketenteraan Bani Umayyah ke Hispania. Setahun selepas itu, Musa menggerakkan ketumbukan 7,000 tentera pimpinan Tariq untuk mara ke Semenanjung Iberia. Pasukan ini bergerak merentasi Selat Gibraltar dengan kapal-kapal yang disediakan Julian sebelum tiba di satu kawasan hijau yang luas dipanggil Jazirah al-Khadra (Pulau Hijau) (kini dikenali sebagai Algeciras).
Keputusan Musa melantik Tariq bukan didorong oleh faktor kronisme. Bagi beliau, Tariq sesuai sebagai panglima kerana majoriti tentera yang dihantar ke Hispania terdiri daripada orang Barbar. Ini menjadikan beliau masak dengan budaya dan perangai mereka. Selain itu, kepimpinannya sebagai pemimpin tentera turut diakui oleh tentera Bani Umayyah baik orang Arab mahupun orang Barbar.
Di situ, Roderick menempatkan sebuah pasukan tentera kecil yang berperanan sebagai pengawal garison pertahanan. Apabila angkatan perang Umayyah bertembung dengan mereka, seperti biasa tiga pilihan ditawarkan kepada mereka sebelum pertempuran tercetus. Tiga pilihan itu ialah memeluk Islam, membayar jizyah atau melawan tentera Umayyah. Pasukan garison ini memilih untuk bertempur tetapi mudah ditewaskan oleh tentera Bani Umayyah.
Bagaimanapun, panglima pasukan ini iaitu Tedmore berjaya melarikan diri ke Toledo dan melaporkan apa yang berlaku. Pada awalnya, Roderick tidak ambil pusing pun. Anggapannya ialah pasukan ini mirip orang Viking yang menyerang dan menjarah petempatan-petempatan sekitar Eropah sebelum berangkat pulang. Tetapi semua itu berubah selepas baginda mendengar kisah Tedmore dan mendapat tahu kemaraan pasukan Umayyah ke Cordova.
Sebagai persiapan berdepan dengan angkatan perang Visigoth, Tariq memilih mengumpan mereka ke Guadalete. Guadalete dipilih kerana di bahagian belakang dan kanan kawasan tersebut merupakan kawasan pergunungan. Justeru, sebarang cubaan musuh untuk menyerang dua bahagian ini tidak akan berhasil. Sementara di sebelah kiri mereka ialah tasik La Janda (sama ada Sungai Guadalete atau Sungai Barbate).
Justeru, satu-satunya pilihan Roderick ialah menyerang di sebelah hadapan dengan mengambil kira faktor muka bumi sekitar Guadalete. Di sebalik kelebihan yang dimiliki Tariq, baginda masih mempunyai kelebihan sebanyak 100,000 orang tentera. Sementara pihak Umayyah pula mempunyai 12,000 orang tentera – 5,000 tentera yang baru tiba dari Afrika Utara diketuai Tarif selepas mendapat kelulusan Musa.
Di atas kertas, 100,000 tentera patut mencukupi untuk mengatasi pasukan pimpinan Tariq. Tetapi hakikatnya, ramai bangsawan Visigoth menanti peluang untuk mengabaikan Roderick akibat konflik dengan penyokong putera-putera Raja Wittiza beberapa tahun sebelumnya.
Di pihak Tariq pula, sejarawan merekodkan penyertaan ramai orang Yahudi dalam pasukannya. Orang Yahudi memilih menyokong tentera Bani Umayyah kerana sudah tidak tahan diberi layanan macam sampah oleh pemerintah-pemerintah Kristian Hispania termasuk Visigoth. Mereka merasakan kehidupan mereka akan menjadi lebih baik sekiranya berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam setelah ditindas selama bertahun-tahun.
Guadalete juga menjadi saksi kisah tindakan Tariq yang paling terkenal: membakar kapal-kapal yang membawa mereka ke Iberia. Tariq mengingatkan mereka bahawa kini mereka mempunyai dua pilihan sama ada menang di medan Guadalete atau syahid menjulang panji tauhid. Ucapan beliau memberi motivasi kepada anak-anak buahnya untuk melawan angkatan Roderick habis-habisan dan membawa kepada kemenangan di Guadalete.
Kisah ini memang popular dalam pelbagai siri ceramah mahupun artikel. Tetapi maaf, kisah ini berkemungkinan palsu berdasarkan pandangan Prof Dr Raghib as-Sirjani dari Universiti Kaherah. Pertama, tidak diketahui siapa yang merekodkan kisah ini dengan rantaian setiap individu yang merekodkannya dipercayai atau tidak. Dari segi ini saja, kisah ucapan luar biasa Tariq ini sudah mula goyah.
Kedua, dengan membakar kapal-kapal ini, ia pastinya mengundang kemarahan Musa dan Khalifah Walid bin Abdul Malik. Ini kerana dengan tindakan tersebut, ia memperlihatkan beliau tidak arif dengan taktik ketenteraan. Memusnahkan aset ketenteraan yang dimiliki merupakan kerja sia-sia dan bisa meruntuhkan moral tentera yang bertempur.
Ketiga, ia memusnahkan hubungan yang terjalin antara pihak Umayyah dengan Julian. Selain memberi bantuan dari segi maklumat perisikan, pemerintah Ceuta itu turut membekalkan kapal-kapal untuk membawa mereka ke Hispania. Tindakan ini bukan saja menjejaskan kepercayaan yang wujud antara Julian dengan Musa. Malah, ia boleh menyebabkan pemerintah-pemerintah bukan Islam lain berfikir dua kali untuk membentuk pakatan dengan kerajaan Bani Umayyah ketika itu.
Ramai sejarawan moden percaya kisah ini disebarkan oleh sejarawan Kristian yang cuba menutup apa yang berlaku di Guadalete. Dalam pertempuran tersebut, ramai bangsawan Visigoth meninggalkan raja mereka dan membiarkannya menjadi mangsa serangan pihak Umayyah. Akibatnya, ia meninggalkan lompang yang besar dalam angkatan mereka sekaligus membenarkan tentera Umayyah mengalahkan angkatan Roderick dengan mudah. Roderick sendiri dilaporkan mangkat di medan sama.
Dari Guadalete, Tariq terus mara ke kota-kota Hispania lain termasuk Toledo. Pada tahun berikutnya, pasukan beliau kemudiannya disokong Musa yang tiba bersama 18,000 tentera untuk meneruskan kempen di al-Andalus/Andalusia, nama wilayah baru Bani Umayyah. Hasilnya, satu pertiga daripada Semenanjung Iberia jatuh ke tangan Bani Umayyah.
Namun begitu, ia juga mencetuskan pertelagahan antara Tariq dengan Musa berkenaan soal rampasan perang apabila kedua-duanya bertemu semula. Pertelagahan ini merenggangkan hubungan mereka dan keadaan ini tidak dibantu apabila al-Walid memerintahkan kedua-duanya menghadap baginda di Damsyik.
Kebanyakan cerita Tariq dan Andalusia dalam siri ceramah berakhir dengan penaklukan Andalusia. Tetapi nasib yang menanti Tariq dan Musa langsung tidak disentuh. Jika elemen romantisme diketepikan, nasib tragis menanti kedua-duanya setibanya mereka di Damsyik. Semasa mereka tiba, al-Walid dilaporkan dalam keadaan gering dan Musa dinasihatkan oleh pengganti al-Walid dan adindanya, Sulaiman agar menangguhkan ketibaan mereka.
Malangnya, nasihat tersebut tidak diendahkan oleh Musa yang masuk ke Damsyik dengan membawa banyak harta rampasan perang dari Andalusia. Kejayaan beliau dan Tariq menjadikan mereka popular dalam kalangan penduduk ketika itu. Tidak lama selepas itu, al-Walid mangkat dan Sulaiman menaiki takhta sebagai khalifah Bani Umayyah yang baru.
Antara titah terawal baginda ialah menyingkirkan mana-mana pegawai dan gabenor yang ada kaitan dengan Gabenor Iraq ketika itu, al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi atau disyaki tidak setia. Dalam kes Musa dan Tariq, kedua-duanya termasuk dalam kategori kedua. Walaupun tindakan tersebut cuba dibantah oleh Musa, bantahan tersebut tidak dilayan oleh baginda.
Bahkan, Sulaiman mengarahkan semua harta yang dimiliki Musa di Afrika Utara dirampas. Putera Musa, Abdul Aziz kemudiannya dibunuh atas arahan baginda selepas mendapat khabar angin bahawa beliau telah murtad. Ini selepas Abdul Aziz diketahui berkahwin dengan balu Roderick, Egilona yang beragama Kristian. Seorang lagi putera Musa, Abdullah turut dikenakan hukuman sama selepas didakwa membunuh penyandang gabenor wilayah yang ditadbirnya sebelum ini.
Bekas gabenor Afrika Utara itu dikatakan meninggal dunia semasa dalam perjalanan mengerjakan haji di Baitullah sekitar 715-716. Disebabkan nasib malang yang menyelubungi Musa, ramai sejarawan pada Zaman Pertengahan menisbahkan penaklukan wilayah Afrika Utara kepada Uqbah bin Nafi’. Melihat nasib malang yang menimpa mentornya itu, tidak hairanlah mengapa Tariq memilih untuk tunduk kepada tindakan Sulaiman dan tidak lagi muncul dalam lipatan sejarah Bani Umayyah.
Di sebalik pengakhiran tragis yang menimpa Tariq dan Musa, ia langsung tidak memadamkan hakikat panji tauhid bertapak di Sepanyol selama lebih 700 tahun. Ironinya, berpuluh tahun selepas itu, Bani Umayyah menerusi Abdul Rahman al-Dakhil memilih bertapak di situ bagi mengelak pembantaian yang digerakkan pengasas kerajaan Bani Abbasiyah, Abu Abbas al-Saffah terhadap mereka.
RUJUKAN
Septian Putra, J. dan Ritonga, M. A. (2021). Strategi Perang Thariq bin Ziyad Menaklukan Andalusia Tahun 711-714 M. Journal of Islamic History Vol. 1, No. 2, Desember 2021: h.138-169.
Ibnu Abdul Hakam, Kitab Futuh Misr wa’l Maghrib wa’l Andalus. Terjemahan oleh Charles Cutler Torrey. (1901). “The Mohammedan conquest of Egypt and North Africa in the Years 643-705 A.D., translated from the Original Arabic of Ibn ‘Abd-el Hakem'”, Biblical and Semitic Studies Jil. 1.
Powers, Stephan, ed. (1989). The History of al-Ṭabarī, Volume XXIV: The Empire in Transition: The Caliphates of Sulaymān, ʿUmar, and Yazīd, A.D. 715–724/A.H. 96–105. SUNY Series in Near Eastern Studies. State University of New York Press.
The Patriots. (2020, 13 Ogos). Benarkah Tariq Bin Ziyad Membakar Kapal-Kapalnya?.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih