Apabila kita menyebut Lombok kita akan membayangkan keindahan pulau-pulaunya dan membayangkan pulau yang memiliki hampir seribu masjid dan jika kita memikirkan ‘Bali’ di sudut ruang fikiran kita sudah pasti membayangkan keindahan Pulau Bali di Kepulauan Nusa Tenggara.
Namun apa yang lebih menarik apabila kita berkunjung ke Lombok kita akan turut menikmati budaya Bali meskipun masyarakat Bali merupakan golongan minoriti di pulau ini. Kebudayaan dan adat resam serta tradisi masyarakat Bali ini masih kuat dan teguh diamalkan khususnya di kawasan yang mempunyai penduduk kampung masyarakat Bali iaitu di kawasan Mataram, Cakranegara dan Ampenan.
Antara perayaan yang menarik dan unik untuk dibahaskan adalah Perayaan Hari Ogoh-Ogoh. Perayaan ini merupakan ritual budaya yang telah lama dilaksanakan oleh penduduk minoriti masyarakat suku Bali yang beragama Hindu di Pulau Lombok yang dilihat sebagai suatu bentuk kegiatan desa yang dilaksanakan secara bersama. Boleh dikatakan hampir setiap perkampungan atau desa yang mempunyai penduduk suku Bali akan menampilkan boneka atau patung yang bentuk Ogoh-ogohnya adalah berbeza-beza.
Perayaan ini dilaksanakan sehari sebelum Hari Raya Nyepi atau Tahun Baru Saka yang disambut pada setiap tahun oleh penganut Hindu Bali. Ogoh-ogoh ini sebenarnya merupakan suatu replika perwujudan roh jahat mahupun sifat jahat yang diwujudkan dalam suatu bentuk patung atau boneka yang besar.
Dari segi istilah pula, Ogoh-ogoh dalam kamus bahasa Jawa mahupun sanskrit tidak mempunyai definisi, akan tetapi jika diteliti makna Ogoh-Ogoh ini dalam kamus bahasa Bali, Ogoh-ogoh mempunyai erti sejenis patung yang dibuat dari bambu dan kertas berbentuk Butha Kala atau raksasa. Bentuk Ogoh-ogoh ini dilihat menyerupai bentuk setan, bertaring bahkan adakalanya mengandungi unsur pornografi.
Ogoh-ogoh juga dapat dikatakan sebagai cerminan sifat-sifat negatif yang ada pada diri manusia. Oleh hal yang demikianlah semasa perayaan Hari Ogoh-ogoh ini dilakukan oleh desa suku Bali di Lombok, mereka akan membawa patung Ogoh-ogoh ini berarak di sekeliling desa yang dikatakan bertujuan untuk mengusir kuasa jahat agar tenaga negatif yang ada di sekitar desa atau dalam diri mereka akan ikut serta atau diserap masuk bersama-sama ke dalam Ogoh-ogoh tersebut.
Patung Ogoh-ogoh yang dibawa berarak mengelilingi desa ini kemudiannya akan dibakar. Menurut kepercayaan masyarakat Bali ini apabila Ogoh-ogoh ini dibakar maka tenaga negatif dan kuasa jahat yang diserap dalam Ogoh-ogoh tersebut akan dihapus dan dilenyapkan. Oleh itu masyarakat akan merasakan mereka dapat hidup dengan aman dan tenteram.
Namun masih ada juga patung Ogoh-ogoh yang dihasilkan tetapi ianya tidak dibakar khususnya di kawasan Cakranegara yang mempunyai banyak Ogoh-ogoh yang tidak dibakar. Terdapat faktor yang menyebabkan mengapa Ogoh-ogoh itu tidak dibakar antaranya ialah sebagai Pralina. Pralina ini berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud larut atau dalam erti kata lain meniadakan atau menghilangkan.
Dalam hal ini dapatlah dijelaskan bahawa Pralina yang dimaksudkan adalah mengembalikan kepada nurani dan juga sekadar dibuat sebagai simbolik di sesetengah Peru atau kuil. Oleh sebab itulah sekiranya kita ke kampung suku Bali terdapat patung Ogoh-ogoh yang dibuat secara sederhana diletakkan di hadapan pintu rumah sebagai pengusir dan penyerap kuasa-kuasa negatif atau kuasa jahat yang cuba untuk masuk ke dalam kawasan kediaman rumah mereka.
Keunikkan kebudayaan ritual suku Bali yang beragama Hindu ini bukan sahaja menarik perhatian penulis dari segi persembahan ritual keagaamannya tetapi ianya telah memperlihatkan keharmonian masyarakat Lombok dalam memeriahkan suasana perayaan sesuatu agama meskipun masyarakat Sasak di Lombok majoritinya adalah terdiri daripada penganut agama Islam.
Hal ini kerana setiap kali perayaan Hari Ogoh-ogoh ini berlansung, ramai warga muslim yang turut berdiri disepanjang jalan protokol di Kota Mataram yang dilalui oleh pengiring-pengiring desa suku Bali yang membawa patung Ogoh-ogoh ini. Keharmonian ini lah menjadikan perayaan Hari Ogoh-ogoh ini terus mekar dilaksanakan oleh penganut suku Bali di Lombok walaupun mereka merupakan golongan minoriti di Lombok namun upacara dan ritual keagamaan khususnya dalam pengabdian dan pembersihan diri terus kekal dilakukan.
RUJUKAN
Indiani, N. M., & Suda, I. K. (2018). Interpret Ogoh-ogoh towards Hindu Contemporary Society. International research journal of management, IT and social sciences, 5(1), 65-71.
Alit Kumala, D. (2015). Karya Seni Monumental “Ogoh-ogoh Festival”.
Aristrawati, N. L. P. (2014). Evaluasi Parade “Ogoh-Ogoh” Sebagai Pendukung Pengembangan Pari wisata Budaya Di Kota Denpasar.
Alfattah, M. S. Tradisi Upacara Ogoh-Ogoh. Jurnal Antro, (3).
Artikel dikirimkan oleh Khadijah Ahad untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih