Selepas kematian mending Chester, seluruh manusia global memberikan reaksi terkejut akan kematiannya yang tiba-tiba. Ada yang sedih, ada yang murung dan ada yang memaki. Kenapa maki? Sebab dia bunuh diri. Masalah orang kita ialah mereka tak ambil tahu pun kenapa dia bunuh diri, tentang kenapa manusia membunuh diri. Ini semua ialah stigma.
Tak lama selepas itu, seorang pembaca setia The Patriots telah menghubungi kami tentang stigma penyakit mental yang masih membelenggu masyarakat kita.
Oleh kerana dia menyentuh tentang hal masalah mental, maka saya terpanggil untuk menyentuh perkara ini kembali kerana saya memahami keadaannya. Saya memahami perasaan dibelenggu kemurungan dan masalah lain. Berikut ialah terjemahan bagi mesejnya:
Kepada para penulis The Patriots, boleh dikatakan saya antara pengikut setia anda kerana saya sentiasa membaca segala apa yang terkandung di dalam page ni sekalipun selalu dimaki oleh pengomen-pengomen langau.
Saya menulis mesej ini kerana mempunyai permintaan untuk anda. Mungkin ini pelik, tapi saya nak anda berfikiran terbuka tentang perkara yang saya mahu ceritakan.
Ini berkenaan kesihatan mental saya. Saya telah didiagnos sebagai pesakit PTSD sejak Mac lepas, dan saya masih lagi didiagnos mempunyai masalah Major Dipressive Disorder. Dalam bahasa mudahnya, penyakit murung.
Dari segi akademik, saya merupakan pelajar pintar. Saya mendapat 7A buat PMR dan SPM. Saya bermain sukan dan bersekolah di sekolah sukan dahulu. Sekarang ini saya sedang melanjutkan pelajaran dalam kursus perguruan di IPG. Namun buat masa ini, saya direhatkan daripada belajar kerana saya merupakan PESAKIT MENTAL.
Sekarang ini, saya masih lagi menjalani perubatan dengan pakar psikiatris di hospital kerajaan. Masalahnya, kesihatan mental saya seperti tak baik-baik langsung.
Tahu kenapa?
Sebab ada stigma, bahawa pesakit mental itu GILA. TAK SIUMAN. Seorang pesakit mental tak mampu bekerja elok-elok. Seorang pesakit mental perlu sakit fizikal untuk dikatakan benar-benar SAKIT dan MEMERLUKAN keperluan perubatan.
Nak tahu apa yang lebih teruk? Bila keluarga anda sendiri tak faham kenapa anda ada masalah kesihatan mental. Mereka menuduh anda cuma ada masalah stress; mereka akan berikan duit untuk berhibur, main bowling, tengok wayang, berhibur sehari dan menjangkakan kita akan sihat pada malamnya.
Kawan anda? Pensyarah anda? Mereka akan bandingkan masalah kita dengan diri mereka. “Saya pun makan nasi seperti awaklah, saya pun kuat belajar macam awak, tapi kenapa awak ada masalah tekanan pula?” Ada juga yang melihat anda sebagai si gila perhatian, hanya sebab buat masalah. Mereka ternampak saya senyum kepada mereka dan kemudiannya mengatakan saya tak mempunyai masalah tekanan pun, tapi bila saya tak senyum kepada mereka, mereka akan memandang saya seperti si sundal berlagak.
Saya harap mesej saya ni boleh dijadikan sebagai bahan artikel seterusnya. Bolehkah pihak tuan membantu saya dan yang lain-lain dalam membasmi stigma ini?
Selepas membaca mesej ini, saya terdiam sebentar. Saya tahu dan saya faham benar tentang masalah stigma penyakit mental yang membelenggu msayarakat kita. Oleh itu, saya akan menunjukkan stigma-stigma yang kami selalu terima dan juga penyahtinjaan stigma berkenaan. Hell is other people, indeed.
STIGMA DAN STEREOTAIP PENYAKIT MENTAL
#EndThisStigma 1: Lawak dan jenaka penyakit mental.
Selalu kalau kita tengok filem yang mempunyai pesakit mental, pasti akan ada lawak berkenaan penyakitnya. Kadang kala, kawan dan keluarga kita juga akan membuat lawak tentang sakit kita. Contoh lawak yang saya pernah terima:
“Diamlah OCD”
“Dia bengong macam tu sebab dia ada OCD”
Lawak ni bila dengar balik sebenarnya kelakar. Lawak dia macam anda buat lawak olok-olok sakit jantung dekat bapa awak yang jantung bermasalah. Ya, “lawak”.
“Tapi, penyakit (masukkan nama penyakit mental) tu bukan merbahaya. Kalau sakit jantung…haa yang tu bahaya.”
Yang ini, kita teruskan kepada stigma seterusnya.
#EndThisStigma 2: Penyakit mental tak menyebabkan kematian.
Sekiranya kematian tu anda maksudkan sebagai mati serta merta macam kena langgar kereta, ya, penyakit mental takkan jadi macam tu. Kalau kita ikut definisi general, penyakit mental itu MEMBUNUH. Dalam kebanyakan kes, dia bukannya ada simptom-simptom fizikal macam demam denggi. Ada sakit-sakit sendi semua tu. Tak, penyakit mental tak selalu ada masalah fizikal dan kalau ada pun, susah nak tahu tu berpunca daripada apa. Penyakit mental membunuh mangsanya dari dalam dan sebab itulah, rata-rata daripada pesakit mental mempunyai umur purata yang LEBIH RENDAH BERBANDING PEROKOK TEGAR. Selalunya, umur pesakit mental yang tak dirawat pendek 7-24 tahun berbanding perokok tegar, 9-10 tahun. Lagi satu, kesemua penyakit mental akan menjurus kepada satu titik akhir yang sama, yakni BUNUH DIRI, tak kisah penyakit tu penyakit genetik seperti skizofrenia, OCD dan bipolar ataupun bukan genetik macam PTSD. Hal ini kerana mereka dibelenggu dengan masalah kemurungan berpanjangan. Soalannya, apa yang menyebabkan mereka murung? Saya sertakan contoh:
- Skizofrenia: tak boleh nak beza realiti dengan fantasi. Halusinasi suara dan kadang-kadang, orang betul.
- OCD: macam skizo, cuma anda tahu suara tu tak betul dan ia cuma wujud dalam minda. Untuk legakan suara ni, pesakitnya akan buat ritual seperti mengemas barang, mencuci tangan dan sebagainya (OCD biasa). Kalau Pure O, ritual ni hanya berlaku di minda.
- Bipolar: Mood sentiasa berubah. Sekejap gembira, sekejap sedih.
- PTSD: Teringat trauma kisah hitam dulu yang terjadi padanya (perang, rogol, buli dsbg)
Pesakit mental genetik sentiasa berhadapan dengan gejala-gejala mereka 24/7 tanpa henti. Saya sendiri ada tabiat bercakap seorang diri seperti berkata ‘tak’, ‘nope nope nope..’, dan ‘shut up’ semata-mata untuk hilangkan suara intrusive thoughts OCD. Yang paling seronok ialah bila dia tayangkan memori-memori yang saya tak mahu ingat balik. Apabila saya terlampau banyak berfikir, saya akan dapat insomnia dan tak tidur sehari itu sudah jadi normal buat saya. Otak saya tak/kurang mempunyai bahan kimia untuk hentikan proses pemikiran (dan sebab itulah, suara minda OCD). Semua ni sudah berlaku sejak saya masih kecil lagi.
#EndThisStigma 3: Pesakit mental tak mampu buat kerja dengan normal.
Betul, pesakit mental tak mampu buat kerja dengan normal sebagaimana orang demam tak boleh buat kerja kuat.
Bila fikir balik, analogi ni salah sebab pesakit demam sistem fizikal dia terganggu dan sekaligus mengacau pekerjaannya tak macam pesakit mental, sistem fizikal dia tak terganggu tapi tu la, ironi. Kenapa pula pesakit mental tak boleh buat kerja dengan normal? Bukannya dia ada masalah otot koyak pun.
“Tapi orang sakit mental ni boleh jadi dia meroyan jadi gila isim lepas tu kerja semua tak siap”
Macam mana kami tak meroyan kalau spesis manusia berstigma macam ni masih wujud? Macam mana kami tak stress kalau jumpa spesis ‘bising lebih tapi tolong taknak’? Kami ni manusia biasa, mampu bekerja seperti biasa, mampu hidup seperti biasa cuma bila kami stress, maka motivasikanlah kami. Masalah stress ni bukan eksklusif pada kami sahaja, bahkan kepada semua manusia yang melata atas bumi ni. Kita tolong antara satu sama lain.
#EndThisStigma 4: Pesakit mental akal terencat.
Tiada kaitan. Walau bagaimanapun, kalau kita lihat dari sudut lain, mereka yang mempunyai masalah mental adalah kreatif dan lebih bijak (terutamanya buat mereka yang berpenyakit mental genetik). Masakan tidak kalau gangguan emosi dan suara-suara minda bertindak menjadi muse kepada mereka.
Sebagai contoh, pelukis Van Gogh menghadapi masalah bipolar yang menyebabkannya murung sepanjang masa. Nikola Tesla selalu tidur 3 jam sehari dan ada masalah OCD teruk (susun barang dan takut pada nombor tertentu). Albert Einstein dan Thomas Edison mempunyai masalah disleksia, susah nak membaca.
#EndThisStigma 5: Pesakit mental takkan pulih.
Kami. Boleh. Pulih. Kita sekarang hidup pada zaman hipster di mana ubat mampu disintesis dengan mudah dan cepat, diagnosis penyakit lebih tepat dan komuniti dunia saling berhubung. Ini bukan zaman Sebelum Masihi! Selain daripada perubatan fizikal, ilmu perubatan penyakit mental juga bergerak seiring zaman. Bahan-bahan kimia otak yang selalunya kurang dapat ditambah dengan bantuan ubat seperti Prozac. Begitu juga dengan prognosis. Kalau dulu, kita anggap dia kena rasuk jin. Sekarang, prognosis moden mengatakan dia ada DID (Dissociative Identity Disorder). Berbagai personaliti. Bukan semua penyakit pelik ni sebab kena rasuk jin, tahu?
#EndThisStigma 6: Pesakit mental dapat dirawat dengan kuatkan iman
Benar, iman itu penting tapi kalau setakat kuatkan iman sahaja pun tak jalan. Hubungan dengan Tuhan itu penting, tapi bagaimana dengan manusia dan juga alam? Adakah dua perkara tersebut tak penting? Kalau hubungan dengan Tuhan sahaja penting, bagaimana dengan keluarga anda? Adakah keluarga anda tak penting? Pesakit mental tak dirawat dengan dikuatkan iman semata-mata. Bantuan dan sokongan daripada keluarga juga sama penting dengan ubat dan iman.
#EndThisStigma 7: Untung la dapat penyakit pandai
Saya setuju penyakit saya sangat membantu saya dalam pelajaran, terutamanya falsafah. Malah, saya pernah beritahu tentang pencapaian akademik saya dalam artikel Penyakit Mental yang menular dulu. Pembaca yang menulis mesej di atas juga merupakan pelajar pintar. Begitu juga dengan golongan bijak pandai yang mempunyai penyakit mental. Namun, sekiranya mempunyai tahap IQ yang lebih tinggi berbanding tahap purata IQ manusia global perlu dibayar dengan kewarasan, kami RELA tukar otak kami dengan otak biasa. Saya berani jamin, kami semua mahukan hidup yang tenang dan aman sentosa, bukan hidup yang dirundung kemurungan dan persoalan. Sekiranya anda nak kata kami kufur nikmat, anda patut soalkan perkara ini pada diri anda dulu.
BERKENAAN MASALAH KEMURUNGAN
Ada orang tanya, macam mana rasa bila murung? Bunyi macam tak signifikan, tapi sebenarnya soalan ni penting sebab tak ramai yang reti beza ‘murung’ dengan ‘sedih’. Kalau sedih, anda akan rasa seperti benda berat menghempap anda. Murung pula rasa macam…kosong. Tak rasa apa-apa. Disebabkan rasa kosong inilah penghidapnya terasa bersindirian dan sunyi. Kadang-kala mereka akan tertanya-tanya, kenapa Tuhan mencipta mereka? Kenapa dicipta menjadi manusia? Kenapa tak jadi biawak ke, semut ke. Kenapa rasa kosong sangat? A total state of isolation. Murung ni macam lagu Alone Again, Naturally oleh Gilbert O’ Sullivan. Tak pun Guess I’m doing Fine oleh Beck.
Jadi, macam mana nak rawat masalah kemurungan?
Sudah tentulah psikiatris. Jumpa mereka. Biar mereka ikhtiar. Ceritakan segala masalah anda. Kalau mereka beri ubat, makan. Sama macam anda jumpa doktor bila sakit fizikal.
Selepas itu? Anda sendiri. Anda yang kawal hidup anda. Maka, anda bertanggungjawab terhadap kehidupan anda. Kalau lapar, makan. Kalau mengantuk, tidur. Kalau murung, cari bantuan. Cukup saya ringkaskan pada tahap ini sahaja. Saya taknak sentuh falsafah Eksistensialisme Nietzsche. Yang itu anda boleh baca pada artikel anime FMAB dan Saga of Tanya the Evil yang saya sudah tulis.
Yang terakhir barangkali adalah yang terpenting. Sokongan orang ramai, terutamanya ahli keluarga anda. Kita, manusia dicipta untuk hidup secara sosial dan berkumpulan. Dalam sistem sosial yang kompleks, kita saling memerlukan antara satu sama lain bagi kebahagiaan fizikal dan juga mental.
Dahulu, selepas saya dilanda masalah intrusive thoughts yang teruk, saya bertindak menyendirikan saya daripada orang ramai. Saya tak mahu ganggu orang lain. Saya takut saya akan terbuat apa yang dicanang oleh minda OCD. Saya tak mahu fikir lebih-lebih. Hasilnya, kehidupan saya semakin aman tapi pesimistik.
Thomas Hobbes, seorang ahli falsafah politik British mengatakan sifat semula jadi manusia itu ganas, singkat dan kotor. Saya berpandangan sama dengan beliau. Sebagai seorang pelajar biologi, saya perasan antara sifat semula jadi makhluk ialah persaingan di antara kita sangat rancak, dan hanya yang kuat sahaja yang berjaya. Hal ini juga terpakai kepada manusia. Oleh itu, saya sangat bersifat pesimistik dengan hal perihal manusia. Bezanya saya masih lagi meninggalkan sedikit ruang bagi sisi optimistik. Kononnya mahu melindungi diri daripada kemurungan melampau. Tanpa saya sedari, saya sebenarnya memutuskan diri saya daripada sebarang hubungan dengan dunia luar. Memanglah saya sudah kurang murung tapi adakah ini yang terbaik buat saya dan lain-lain? Saya sendiri hairan, macam mana seorang kanak-kanak yang dahulunya riang dan ekstrovert mampu menjadi remaja anti-sosial bernama Ammar Akmal? Saya tak perasan sudah terlampau lama saya bersikap realistik dan pesimistik sampai saya terlupa tentang sisi lain kehidupan. Saya terlupa, kalau kita mendiami gua buat masa yang lama, kita akan terlupa tentang keindahan sinar mentari.
Oleh itu, saya rasa sudah tiba masanya buat saya keluar dari kepompong yang saya sendiri cipta. Saya akan bina kembali jambatan hubungan yang sudah runtuh. Saya akan cucuk kembali pancang-pancang komunikasi dan batu bata persahabatan sehingga siap ke tebing seberang. Slowly, but surely. Kalau lah hati manusia itu seperti jendela lutsinar, mungkin kita dapat melihat segala macam masalah yang dihadapi mereka. Mungkin juga…ya mungkin juga segala masalah di dunia ini, akan hilang. Kita lebih suka berbasa-basi tentang orang lain, sedangkan kita boleh berbahasa antara satu sama lain. Solusinya sangatlah ringkas, dan kerana ringkaslah kita sering memandang enteng terhadap hal ini. Tak kira apa pun yang berlaku, manusia sentiasa memerlukan antara satu sama lain. Masalah kemurungan adalah tanggungjawab bersama. Hell is other people, if and only if they choose to be one. Otherwise, they can be other people’s heaven.
Sebelum saya tamatkan artikel ini, saya nak buat pengumuman. Dalam jangka masa terdekat, kami dan juga badan persatuan kesihatan mental yang lain akan menggerakkan kempen #EndThisStigma. Kami memerlukan cerita (stigma, penderitaan, masalah etc.) daripada mereka yang disahkan mempunyai penyakit mental untuk dibukukan dan keuntungan akan diberikan kepada badan-badan kesedaran penyakit mental. Juga buat mereka yang ada masalah kemurungan atau penyakit mental dan tak mempunyai sesiapa untuk bertanya dan bercakap, anda boleh hubungi pages psikiatris seperti Relate Malaysia dan juga Minda. Saya tak sarankan anda mesej kami The Patriots sebab kami sibuk, tapi anda boleh mesej terus kepada laman FB saya selaku wakil The Patriots, https://www.facebook.com/ammar.akmal.12 . Saya akan bantu apa yang saya boleh buat. Sekali lagi saya ingin tekankan, masalah mental adalah tanggungawab bersama.
#EndThisStigma #ImNotAshamed
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih