“VENICE TIMUR” itulah nama gelaran yang diberikan oleh pengembara-pengembara bangsa Eropah ke atas satu perkampungan yang bernama Kampung Ayer di Bandar Seri Begawan, Brunei.  Disamakan dengan Venice, Itali kerana ianya didirikan di atas air di Teluk Brunei serta pengangkutan utamanya adalah menggunakan perahu atau bot.  Dan pada setiap rumah atau sekolahnya dihubungkan dengan titian kecil antara satu sama lain.

Menjengah sejarah perkampungan ini boleh dijejaki sehingga 1300 tahun yang dahulu apabila disinilah berhimpunnya kronologi bersejarah yang banyak berlaku di Brunei.  Di dalam Silsilah Raja-raja Brunei (SRB) iaitu salah satu manuskrip bersejarah Brunei yang ditulis berbentuk sebuah gurindam ada menceritakan pemilihan perkampungan ini diwujudkan suatu waktu dahulu oleh pemerintah Brunei.  Antara bait-baitnya adalah seperti berikut:

Tiada payah tempat mencari
Di bawah tangga dawai tengiri
Bisainya itu tiada berbanding
Di darat rumah bukit menyinding
Beratur rumah seberang tambing
Tiadalah jauh mengambil ayeng

Mengambil ayeng pun kanak-kanak
Bukannya ayeng di dalam semak
Tiada terkena angin dan ombak
Ayengnya hampir dapat berlomak

 -Silsilah Raja-raja Brunei-

Dan bila kita menguak cerita 1300 tahun yang dahulu iaitu di awal pembukaan Kampung Ayer sudah tentu tidak dapat dipisahkan dengan cerita pemerintah pertama Kesultanan Brunei Darussalam iaitu Awang Alak Betatar.  Menurut sumber lisan dinyatakan bahawa Awang Alak Betatar yang pada awalnya telah berpindah dari Garang ke Sungai Brunei bersama-sama dengan Semaun.  Turut bersama baginda pada masa itu adalah masyarakat Murut (Lun Bawang) yang menjadi pendokong kuatnya pada ketika itu.

Kemudian dari sumber lisan juga menyatakan bahawa adanya orang Jawa yang mula menghuni Kampung Ayer.  Kedatangan ini dikatakan berlaku di dalam dua waktu iaitu apabila seorang putera Jawa bernama Raden Angsuka Dewa telah berkunjung ke Brunei kerana mendengar bahawa ayam jantan milik Awang Alak Betatar terlalu kuat.  Jadi ia mencabar ayam jantan pemerintah Brunei pada ketika itu.

Antara pertaruhannya adalah segala yang dibawa oleh Raden Angsuka Dewa termasuk rombongannya iaitu panglima Jawa seramai 42 orang akan menjadi milik Brunei sekiranya beliau kalah.  Pada masa itu pemerintah Brunei memilih ayam sabung milik wakil baginda iaitu Awang Senuai mewakili Brunei di dalam pertandingan tersebut.  Ternyata ayam sabung Awang Senuai memenanginya maka segala apa yang ada pada Raden Angsuka Dewa menjadi milik kepada Brunei.

Kemudian kedatangan orang Jawa mendiami Kampung Ayer berlaku lagi sekitar abad ke-15 apabila Sultan Bolkiah berkunjung ke Jawa untuk urusan perkahwinannya.  Dek kerana begitu memandang tinggi betapa pakarnya orang Jawa bercucuk tanam maka dibawanya pulang ke Brunei untuk mengajar masyarakat Brunei bercucuk tanam dengan betul.  Mereka juga dikenali sebagai pengikut Puteri Lela Mechanai iaitu yang dikahwini oleh Sultan Bolkiah pada masa itu.  Dan mereka inilah yang dikenali sebagai puak Kedayan yang menjadi antara tujuh puak jati Brunei sekarang.

Kampung Ayer pada awalnya turut diceritakan sebagai kediaman untuk masyarakat Melayu dari Johor Tua.  Perkaitannya adalah ketika bagaimana Awang Alak Betatar telah berkahwin dengan seorang puteri dari Kerajaan Johor Tua dan sejarah ini tertulis di dalam Syair Awang Semaun (SAS) dan Silsilah Raja-raja Brunei (SRB).  Dek kerana adanya hubungan ini maka adalah tidak mustahil bahawasanya suatu waktu dahulu perpindahan rakyat dari Kerajaan Johor Tua turut ada samada secara berperingkat-peringkat mahupun sebagai pengikut kepada seorang puteri dari Kerajaan Johor Tua.

Kerajaan Pagaruyung iaitu satu kerajaan Minangkabau turut mempunyai hubungan dengan Brunei suatu waktu dahulu.  Malah jika kita melihat sendiri kepada nama-nama saudara Awang Alak Betatar turut mempunyai persamaan dengan nama Patih Berbai.  Di dalam penceritaan cerita legenda orang Minangkabau di Pagaruyung ada mengatakan bagaimana suku Sakai yang dipimpin oleh Patih Barbai telah membelah lautan luas untuk mengembara ke Borneo suatu waktu dahulu.

Dan bagaimana untuk menidakkan cerita mengenai Datu Abang Godam atau Raja Umar (nama sebenarnya) iaitu salah seorang putera Pagaruyung yang berkelana ke Borneo akibat membawa diri kerana ditidakkan menjadi raja Pagaruyung hanya kerana ibunya bukan orang Minang.  Persahabatan baik beliau dengan Sultan Brunei memungkinkan masyarakat Minangkabau turut menjadi antara pembentuk masyarakat yang mendiami Kampung Ayer suatu waktu dahulu.

Itu cerita masyarakat yang menjadi penduduk awal perkampungan yang penuh bersejarah di Brunei iaitu Kampung Ayer.  Menurut laporan Crawfurd yang diterbitkan pada tahun 1824 ada menyatakan bahawa masyarakat yang mendiami Kampung Ayer pada asalnya terdiri daripada pelbagai bangsa, etnik yang berbeza malah datang dari kerajaan yang berbeza suatu waktu dahulu.  Namun setelah lama mendiami Negara Brunei maka telah menjadi orang Brunei mengambil bersempena dengan negara yang lokasinya berada Kampung Ayer diwujudkan.

Kampung Ayer bukanlah sahaja kaya dengan sejarah masyarakatnya malah sehingga kepada beberapa peristiwa penting yang berlaku di dalam sejarah pemerintahannya.  Salah satunya adalah perang saudara yang berlaku pada pertengahan abad ke-17 Masihi.  Perang saudara ini berlangsung hampir 12 tahun lamanya di dalam sejarah Brunei.

Di dalam perang saudara itu, Sultan Abdul Mubin yang telah merebut takhta kerajaan daripada Sultan Haji Muhammad Ali telah ditentang oleh Pengiran Muhyiddin. Ianya menyaksikan bagaimana Sultan Abdul Mubin terpaksa berundur dan berkubu dari Kota Batu ke Pulau Chermin.  Manakala Pengiran Muhyidin bersama-sama dengan penyokong kuatnya telah berkubu di sekitar Kampung Ayer.

Pengiran Muhyidin telah menyerang baginda di Pulau Chermin sehingga memaksa baginda berundur sehingga ke wilayah Brunei yang lain.  Dan pada masa itulah menyaksikan di dalam sejarah Brunei bagaimana ianya pernah diperintah oleh dua raja di dalam satu masa.

Tidak kurang penceritaan sejarah mengenai Kampung Ayer ini baik di dalam pensejarahan masyarakat mahupun manuskrip bersejarah Negara Brunei.  Malah turut pernah ditampilkan di dalam jurnal pengembaraan seorang pengembara yang bernama Antonio Pigafetta.  Beliau menggelarnya Venice Timur kerana hampir sama seperti tanahairnya iaitu Venice, Itali.  Antara penulisan beliau yang menceritakan Kampung Ayer adalah seperti berikut:

“The city is built in the sea, the King’s palace and the houses of the principal persons excepted.  It contains twenty-five thousand hearths of families.  The houses are built of wood upon large piles, to keep them from the water.  When the tide rises, the women who are chief venders of necessaries, traverse the town in boats.  In front of the King’s place is a large wall, built with bricks of great size, with embrazures, or rather port-holes, as in a fortress; and on the wall are mounted fifty-six bombard of brass and fix of iron: in course of two days we passed int the city, they made several discharges from these guns.” – Antonio Pigafetta –

Kampung Ayer adalah satu perkampungan yang bersejarah yang berabad lamanya menjadi saksi bisu segala yang terjadi di Negara Brunei Darussalam. Walau sudah banyak kemodenan yang mentransformasikannya daripada sebuah penempatan tradisional kepada penempatan moden di atas air, Kampung Ayer dari dahulu sehingga adalah lambang jatidiri rakyat di Negara Brunei Darussalam.

Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

 

 

 

Rujukan:

 

  1. Pigafetta, Brunei’s 15th Century Chronicler

http://bruneiresources.blogspot.my/2011/06/pigafetta-bruneis-15th-century.html

  1. Sejarah Pengasasan Brunei Dan Asal Usul Kerajaan Brunei Berdasarkan Sumber Lisan – Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman (PDF)
  2. Kampung Ayer Brunei

http://www.wikiwand.com/ms/Kampong_Ayer_(Brunei)

  1. Brunei Tourism

http://www.bruneiresources.com/tourism.html

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply