Saya runsing dengan masyarakat Malaysia zaman sekarang ini terutamanya dengan sikap segelintir daripada keturunan bukan Melayu yang selalu sahaja membuat onar dengan menidakkan kewujudan sejarah Melayu kuno Hindu-Buddha. Mereka sangat susah untuk menerima hakikat bahawa rumpun Melayu pada zaman kuno pernah menganuti agama Hindu mahupun Buddha.
Mungkin ini disebabkan kelemahan sistem pendidikan kita sebelum ini. Sampai bila gamaknya kami perlu terangkan kepada anda semua bahawa Hindu itu tidak semestinya anutan orang India dan Melayu itu tak semestinya beragama Islam. Bagi masalah ini kita harus ketepikan dahulu takrif Melayu dalam perlembagaan yang agak sempit itu, kerana 1000 tahun dahulu negara Malaysia dan perlembagaannya masih belum wujud.
Jika anda bertemu seseorang yang bernama Mohammad adakah anda akan mengecam bahawa dia seorang Melayu atau Arab, sedangkan orang kulit putih, orang negro Afrika dan orang China juga ada bernama Mohammad jika mereka beragama Islam? Malahan jika seseorang itu bernama Arab juga belum pasti bahawa mereka beragama Islam kerana wujud masyarakat Arab yang beragama Kristian dan Yahudi tetapi menggunakan nama dalam bahasa Arab seperti Jamal, Razak, Jamil, Abu Sufian, Musa, Isa dan Salman. Oleh itu adalah tidak berasas jika anda mengatakan bahawa seorang raja Malayu yang bernama Parameswara sebagai seorang yang berbangsa India, kerana selain daripada namanya, tiada bukti lain yang menunjukkan bahawa beliau berbangsa India. Nama sahaja belum dapat menentukan bangsa seseorang.
Ya, beliau mungkin beragama Hindu dan menggunakan gelaran Hindu, namun ini belum cukup membuktikan yang beliau berasal dari India atau berbangsa Tamil. Jika beliau memang berasal dari India atau berbangsa Tamil, mengapa tidak dikekalkan budaya, bahasa dan ciri-ciri keindiaan atau Tamilmya? Mengapa bila Islam datang tup-tup terus lenyap bahasa, tulisan dan ciri-ciri tamilnya raja itu. Macam magic la pulak! Sedangkan kaum Tamil Muslim yang wujud di India dan Malaysia pun masih mengekalkan bahasa, tulisan dan kebudayaan Tamil mereka sejak zaman berzaman dan disesuaikan dengan ajaran Islam. Jika anda kata raja tersebut telah ‘Masuk Melayu’ atau jadi Melayu kerana agama Islam, bagi saya alasan ini juga tidak munasabah kerana pada zaman tersebut rajalah yang paling berkuasa dan dijadikan contoh serta ikutan rakyat bukan sebaliknya raja yang perlu ikut cara hidup rakyat, tak ke pelik tu?
Kalau beliau seorang Tamil atau berasal dari India, beliauboleh saja mencorakkan orang Melayu mengikut corak budayanya sendiri seperti mewajibkan pemakaian sari, yang lelaki pakai doti, tulisan dan bahasa rasmi adalah dalam Tamil dan senibina rumah serta rumah ibadat juga senibina India selatan. Namun hakikatnya semua itu tidak berlaku kerana Parameswara dan lain-lain raja Malayu yang beragama Hindu dan bernama Hindu atau Sanskrit bukan berbangsa India tetapi MELAYU, walaupun memang terdapat dari kalangan mereka yang berkahwin dengan wanita dari bangsa India.
Masih lagi tidak mahu percaya? Masih lagi bingung dengan gambaran yang orang Melayu sebelum kemasukan Islam adalah beragama Hindu atau Buddha? Baiklah, sebenarnya kalau anda mahu lihat bagaimana cara atau amalan kepercayaan Hindu dan Buddha masyarakat Melayu pada zaman kuno, anda boleh lihat dengan mudah di Jawa Timur, Bali, Thailand dan Kemboja. Di Jawa Timur masih wujud sekelompok kecil masyarakat Jawa yang masih mengekalkan ajaran Hindu zaman Majapahit. Mereka adalah suku etnik Osing dan Tengger. Kedua-dua suku ini bersama suku Bali dan sedikit daripada suku Sasak adalah saki baki masyarakat rumpun Melayu dari cabang etnik Jawa yang masih mengekalkan adat, budaya dan kepercayaan zaman kerajaan Hindu yang terkenal di nusantara yakni Mojopahit.
Suku Osing dan Tengger misalnya dikatakan berasal daripada keturunan putera-putera Majapahit yang tidak mahu memeluk agama Islam pada kurun ke-16. Bilangan mereka adalah kira-kira 400,000 orang dan mereka tnggal di daerah Banyuwangi di Jawa Timur. Walaupun telah wujud ramai daripada suku ini yang memeluk agama Islam, namun Islam yang mereka amalkan bukanlah Islam murni sebaliknya Islam Abangan atau Islam yang bercampur ajaran Hindu dan nenek moyang.
Agama Hindu yang diamalkan mereka juga berbeza dengan ajaran Hindu di India kerana ia turut bercampur amalan animism dan pemujaan nenek moyang, agama Hindu mereka dinamakan Hindu Thirta atau Hindu Dharma. Budaya Osing dan Tengger juga serupa dengan budaya Bali, dan penganut Hindu Osing dan Tengger merayakan perayaan Hindu yang sama dengan di Bali. Jadi jika kita mahu melihat bagaimana orang Melayu zaman dahulu mengamalkan ajaran Hindu, maka lihat sahaja pada suku-suku ini.
Malahan kerajaan Hindu Jawa Timur iaitu Blambangan wujud sehingga tahun 1743 sebelum ditawan kerajaan Islam Mataram. Orang-orang Hindu yang lari daripada penguasaan Mataram inilah yang kemudiannya bermukim di Bali, Lombok dan Bayuwangi lalu membentuk kelompok etnik Bali, Tengger dan Osing.
Lihat juga pada kesenian, pakaian, senibina, makanan malah adat istiadat serta amalan keagamaan suku Osing, Tengger dan Bali yang lansung tidak sama dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Hindu di India. Dengan kata lain agama Hindu yang diamalkan masyarakat rumpun Melayu ini bukan lagi agama Hindu murni tetapi agama Hindu yang telah diubahsuai mengikut local genius masyarakat tempatan yang tepu dengan kepercayaan animisme serta pemujaan roh nenek moyang, jadi ia tidak lagi boleh dikatakan berpaksi kepada tamadun India sebaliknya ia adalah tamadun yang mempunyai ciri khas yang tersendiri dan hanya asasnya sahaja yang diambil dari tamadun India.
Perbezaan yang paling ketara ialah pada senibina kuil-kuil Hindu di Bali dan Lombok yang sangat jelas unsur-unsur local geniusnya, dan ia lansung tidak boleh disamakan dengan kuil-kuil Hindu di India apatah lagi di India selatan. Itu belum lagi jika saya menerangkan mengenai satu lagi kaum minotriti dalam rumpun Melayu yang masih kuat mengamalkan ajaran yang berasaskan Hindu iaitu Melayu Cham Balamon di Kemboja dan Vietnam. Mereka ini masih mengekalkan ajaran Hindu yang bercampur ajaran tradisional yang diwarisi dari kerajaan purba Champa. Merekalah Pembina Cham Tower yang indah serta unik binaannya tidak sama seperti binaan yang terdapat di India.
Analogi mudah ialah seperti masakan Kari Kepala Ikan yang amat terkenal di Malaysia dan Singapura. Walaupun Kari itu asalnya dari India, namun Kari Kepala Ikan tidak dicipta di India tetapi sebaliknya ia dicipta di Malaysia atau Singapura mengikut citarasa masyarakat tempatan. Oleh itu kita tidak boleh kata yang Kari Kepala Ikan sebagai masakan warisan dari India, walaupun tukang masaknya mamak India, kerana ia dicipta di Nusantara oleh kehendak masyarakat dan selera nusantara dan bukan India.
Begitulah juga dengan amalan dan kebudayaan Hindu-Buddha yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu serta suku etnik Osing, Tengger dan Bali sekarang. Analogi lain ialah tentang Laksa, walaupun dunia mengiktiraf bahawa bangsa China lah yang mencipta mee, namun masakan Laksa tidak boleh dikatakan sebagai masakan asli milik kaum Cina, kerana kuahnya dan rencahnya malah cara memasaknya adalah khas bercitarasa tempatan dan dicipta oleh orang tempatan. Oleh sebab itu tiada sebab mengapa orang India mahu mengklaim Kari Kepala Ikan atau orang Cina mahu klaim Laksa sebagai milik bangsa mereka…
Itu jika anda mahu lihat bagaimana amalan agama Hindu masyarakat rumpun Melayu zaman sebelum Islam. Jika anda ingin lihat bagaimana masyarakat Melayu zaman tersebut mengamalkan ajaran Buddha pula anda tak perlu fikir jauh-jauh hingga ke Sri Lanka atau Nepal, lihat sahaja jiran kita Thailand, Kemboja, Burma dan Laos. Boleh dikatakan sebahagian besar kerajaan-kerajaan Melayu kuno di Semenanjung dan Sumatera adalah penganut ajaran Buddha seperti kerajaan Chih Tu, Srivijaya, Gangganegara, Tambralingga, Kedah Tua, Kantoli, Pan-Pan, Langkasuka dan beberapa buah lagi kerajaan lain.
Walaupun kerajaan-kerajaan ini dikatakan mengamalkan ajaran Buddha, namun ia juga bukanlah semurni ajaran asal Buddha seperti yang pernah diamalkan di Nepal dan India. Sebaliknya seperti juga ajaran Hindu, ia telah bercampur dengan amalan pagan, animism dan pemujaan nenek moyang. Malahan terdapat juga percampuran unsur-unsur Hindu seperti keberadaan kasta Brahmin dalam golongan istana sepertimana yang dicatatkan utusan dari dinasti Han ketika mereka melawat Chih Tu, sebuah kerajaan Melayu Buddha yang dipercayai terletak di pedalaman Kelantan.
Seperti yang telah disebutkan tadi, ajaran Buddha yang diamalkan oleh masyarakat Melayu purba juga banyak diselitkan unsur-unsur tradisional dan animisme. Kita boleh meneliti hal ini jika kita mengkaji ajaran Buddha yang diamalkan di Thailand pada hari ini. Walaupun Thailand dikatakan mengamalkan ajaran Buddha Theravada, namun terdapat banyak unsur-unsur tempatan yang terpatri dan terpancar pada amalan dan ritualnya. Di Thailand dan Burma walaupun mereka menyembah Buddha tetapi mereka turut menyembah ‘Nat’ atau dewa-dewi alam serta roh nenek moyang. Malahan amalan membina ‘rumah makan hantu’ di hadapan rumah mereka dan ritual pemberian ancak dan bunga bukanlah amalan Buddha asli sebaliknya amalan tradisional masyarakat Asia Tenggara termasuk juga masyarakat Melayu kuno.
Amalan pemberian persembahan pada hantu, roh, busut dan pokok besar ini sudah sebati dalam kalangan masyarakat tempatan dan ia tidak berubah sebaliknya terasimilasi dengan ajaran Hindu mahupun Buddha apabila ia diperkenalkan di Asia Tenggara. Contoh lain ialah amalan sihir dukun Tok Cha atau tok sami di Thailand. Dalam ajaran asal Buddha tidak wujud upacara sihir dan jampi serapah dan sebagainya, tetapi amalan ini adalah sinkretisme dari amalan tradisi orang-orang Asia tenggara. Sami-sami Melayu zaman dahulu bukan sahaja mentelaah kitab-kitab Buddha tetapi turut menjadi dukun atau bomoh yang mengubati pelbagai penyakit terutama yang bersifat supra natural. Malah di Thailand sekarang masih wujud amalan pemakaian cacah atau tattoo bermantera yang dilakukan oleh sami-sami Buddha. Ternyata amalan ini tidak wujud pada ajaran asal Buddha.
Mengapa saya banyak mengambil contoh Thailand? Hal ini kerana Thailand masih mewarisi legasi kebudayaan Buddha zaman Melayu kuno terutama zaman Srivijaya atau lebih dikenali sebagai Siweechai dalam bahasa Thai. Selain itu sebahagian daripada wilayah tengah hingga selatan Thailand juga pada zaman kuno adalah dibawah pengaruh kerajaan Melayu Srivijaya. Oleh sebab itu pengaruh Melayu zaman kerajaan Buddha Srivijaya boleh digambarkan sekiranya kita melihat pada budaya tradisi masyarakat Thai malahan Khmer pada hari ini kerana kerajaan Khmer juga pernah bernaung dibawah kekuasaan kerajaan-kerajaan Melayu seperti Funan, Champa dan Srivijaya.
Seperti yang kita sedia maklum kerajaan Buddha yang paling kuat, besar serta terkenal di seluruh nusantara adalah kerajaan Srivijaya. Nama atau gelaran raja-raja Srivijaya jika dilihat secara kasar sangat tepu dengan pengaruh India atau lebih tepat sebenarnya pengaruh Sanskrit dan Pali. Namun demikian terdapat bukti yang kukuh bahawa mereka bukanlah dari bangsa India, antaranya ialah nama raja terawal Srivijaya yang pernah dicatatkan iaitu Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Dapunta Hyang adalah gelaran yang tiada pada mana-mana raja India kerana ia bukan berasal daripada bahasa Sanskrit apatah lagi Tamil, sebaliknya ia adalah gelaran khas terhadap raja-raja Melayu purba. Antara nama-nama Maharaja Srivijaya yang lain ialah seperti Sri Indravarman, Rudra Vikraman, Sri Dharmasetu, Samaratungga, Balaputradewa, Sri Udayadityavarman, Sri Chulamanivarman, Mara Vijayatungga Varman Serta Sagrama dan Samara Vijayatungga Varman.
Kesemua prasasti ini bukan ditulis dalam bahasa Hindustan, Punjabi, Gujarati, Benggali, Malayali, Telugu mahupun Tamil, sebaliknya ia ditulis dalam bahasa Melayu kuno yang bercampur dengan peminjaman kosakata Sanskrit tulin. Anda boleh Google sahaja tentang prasasti-prasasti ini dan baca bait-baitnya maka anda akan sedar bahawa ia memang bahasa Melayu yang bercampur Sanskrit dan bukan bahasa Tamil, Malayali atau Punjabi.
Orang Melayu kuno bukanlah orang bodoh yang hanya tinggal di gua dan memburu di hutan. Mereka pintar dan kreatif, mereka tidak meniru mentah-mentah ilmu yang datang dari India. Mereka meniru agama dari India tetapi mereka mencorakkan serta membangunkan agama serta tempat ibadatnya dengan kretiviti tempatan bernuansa nusantara. Huruf pallava India pula dimodifikasi menjadi huruf Jawa kuno dan Melayu kuno. Bahasa Melayu kuno juga ditambah dengan kosa kata dari bahasa sanskrit yang pada suatu masa dahulu menjadi bahasa internasional. Peminjaman kosakata dari Sanskrit bukanlah perkara yang asing dikalangan masyarakat Asia tenggara, kerana selain masyarakat Melayu, masyarakat Thai, Laos, Khmer dan Burma juga banyak meminjam atau mencedok bahasa Sanskrit dan Pali ke dalam bahasa mereka.
Oleh itu jelas disini bahawa hujah yang mengatakan bahawa kerajaan-kerajaan Hindu Buddha yang wujud di nusantara ini adalah kerajaan suku kaum India dan bukan milik kaum rumpun Melayu adalah salah sama sekali. Ternyata pihak yang mengeluarkan hujah begini adalah buta sejarah atau memang sengaja mahu membangkitkan sensitiviti orang Melayu dengan menidakkan ketamadunan bangsa Melayu. Mereka cuba meracun masyarakat Melayu dengan cara meracun akarnya iaitu sejarah bangsa Melayu. Jika mereka mahu hidup dengan harmoni seperti yang digembar-gemburkan, tidak sepatutnya mereka memutarbelitkan sejarah masyarakat bumiputra. Seharusnya mereka menghormati dan menerima seadanya kelebihan yang ada pada kaum pribumi dan bumiputra yang paling awal membina tamadun dan kerajaan di tanah bertuah ini.
Apa tidak cukupkah dengan sejarah tamadun bangsa mereka di tanah asal nenek moyang mereka hinggakan sejarah ketamadunan bangsa rumpun Melayu juga ingin dibaham dan dihak milikan oleh mereka? Bagaimana jika kami orang Melayu memperkotak katikkan sejarah bangsa anda? Bagaimana kalau kami kata yang bahasa Tamil itu tidak wujud dan tamadun Chola itu hanya dongeng pak kaduk dan orang-orang India sebenarnya tidak pernah mempunyai tamadun apatah lagi kerajaan yang hebat? Amacam? Tentu anda berasa marah, geram dan menyampah bukan? Begitulah perasaan kami orang Melayu apabila sejarah tamadun bangsa kami cuba di pertikaikan. Sekian. Wallah Hu a’lam.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih