Blitzkrieg atau perang kilat merupakan sesuatu yang asing pra-Perang Dunia Kedua (WWII). Dan bila perang meletus pada tahun 1939, ramai menjangkakan ia akan berakhir sama seperti Perang Dunia Pertama. Tetapi tanggapan tersebut hilang apabila Nazi Jerman berjaya menawan sebahagian besar benua Eropah dari Warsaw hingga ke Paris dalam satu tempoh yang pantas. Taktik ini turut digunakan oleh Field Marshall Erwin Rommel semasa kempen bersama Africa Corp dan kemudiannya, jeneral Amerika Syarikat, George S. Patton dalam kempen Amerika untuk membebaskan Eropah dari Nazi Jerman. Tetapi apa sejarah di sebalik ini?

Sebelum tempoh Perang Dunia Pertama (WWI) iaitu 1914-1918, Jerman melihat dirinya dikelilingi oleh musuh-musuh yang mempunyai kekuatan dari segi bilangan tentera dan sumber. Dan bagi kebanyakan ahli strategi Jerman termasuk Alfred von Schlieffen menyimpulkan jika perang berlaku dalam tempoh lama, sudah pasti pihak Jerman akan kalah. Justeru untuk mengelak situasi itu terkena pada Jerman, mereka perlu menewaskan musuh mereka dengan pantas dan berkesan. Jika mereka mahu menyaingi kekuatan musuh mereka, Jerman perlu mengatasi kekuatan bilangan musuh dengan kualiti persenjataan dan jentera peperangan.

Schlieffen mencipta satu doktrin untuk mendorong pihak Jerman mengatasi musuh-musuh mereka dengan menekankan aspek pergerakan pantas dan menyerang tatkala musuh dalam keadaan paling lemah. Schlieffen juga sedar dengan doktrin ini, pasti musuh-musuh Jerman akan memberi reaksi segera untuk mengatasi taktik ini. Justeru dalam doktrinnya, beliau menggalakkan penggunaan sistem arahan fleksibel yang diperkenalkan oleh Helmuth van Molke The Elder. Dengan sistem ini, ia amat membantu komander-komander tentera membuat keputusan pantas lebih-lebih lagi apabila situasi peperangan boleh berubah bila-bila masa. Dan jika ada peluang yang terhidang, maka ia harus direbut dengan segera. Paling penting, doktrin sebegini membentuk seseorang pemimpin jadi lebih agresif dan fleksibel dalam membuat keputusan. Doktrin ini diterap dalam kalangan tentera oleh Schlieffen dan penggantinya, Helmuth van Molke The Younger dengan terma Bewegungskrieg.

Dan seperti dijangka, pasukan ini dapat mengalahkan musuh-musuh mereka setiap kali mereka bertembung di medan peperangan. Tetapi satu kekurangan dari taktik pada tahun 1914 ialah keupayaan untuk bergerak jauh dengan pantas. Jika jentera perang Jerman dapat dimodenkan semasa WWI meletus, kesudahan perang pasti akan berbeza. Kegagalan mereka memberi pukulan maut kepada musuh-musuhnya dalam siri-siri pertempuran awal mengakibatkan Jerman terjerumus dalam perang parit pada akhir tahun 1914. Dan untuk tahun-tahun berikutnya, pegawai-pegawai Jerman mencari jalan untuk memecahkan kebuntuan perang parit. Dan pada Mac 1918, solusi mereka ialah mengaplikasikan doktrin Schlieffen pada unit-unit kecil sama seperti unit-unit besar. Dengan memberi lebih banyak kuasa pada komander-komander dan menambah kekuatan tentera infantri, mereka sebenarnya mencipta lebih banyak unit bersaiz platun yang mampu bertindak bebas di medan peperangan.

Unit-unit ini diberi kebebasan bertempur mengikut tahap yang mereka rasakan terbaik tanpa perlu sentiasa merujuk kepimpinan tertinggi tentera. Sementara pihak Bersekutu bergantung kepada kereta kebal untuk memecahkan kebuntuan perang parit, Jerman pula bergantung kepada kekuatan tentera infantri yang dikuatkan dengan doktrin taktikal yang bagus. Selepas kalah dalam WWI, pemikir-pemikir tentera mula membentuk semula tentera di bawah arahan Hans von Seeckt. Pada tempoh inilah, ramai komander memilih doktrin Schlieffen yang menjadi kunci utama jentera Wehrmacht semasa WWII. Bosan dengan ketidaktentuan dari segi membuat keputusan dan pembaziran sumber serta tentera dalam perang parit, Jerman memperkenalkan doktrin Arahan dan Pertempuran dengan Gabungan Persenjataan (Command and Combat with Combined Arms).

Doktrin ini mengintegrasi idea tahap operasi dengan konsep taktik yang diperkenalkan Schlieffen semasa WWI. Dan apabila banyak ciptaan baru atau pemodenan jentera muncul pada dekad 20-an dan 30-an seperti radio, kereta kebal dan kapal terbang, ia turut dimasukkan dalam rangka kerja doktrin tersebut. Jeneral-jeneral yang berpandangan jauh seperti Heinz Guderian dan Erich von Manstein melihat perlindungan kereta kebal kunci kepada keupayaan tentera untuk bergerak bila berhadapan serangan artileri dan meningkatkan lagi kelajuan dan pergerakan tentera. Bagaimanapun, perlu diingat, teknologi moden yang digunakan hanya menambahbaik keupayaan sedia ada terima kasih kepada doktrin strategik tentera. Dan itu menjadikan mereka jauh berbeza berbanding pasukan tentera Bersekutu. Ini kerana mereka menekankan doktrin kepantasan membuat keputusan, kelajuan pergerakan dan kebebasan dalam bertindak. Dari idea Schlieffen inilah penekanan diberi pada kepantasan, serangan dari dua bahagian, pengepungan dan pertempuran muktamad.

 

Pengalaman WWI juga turut mengajar pemikir-pemikir Jerman doktrin Schlieffen ini patut diaplikasikan bukan saja pada tahap operasi tetapi juga dari segi taktikal. Gabungan persenjataan yang kuat dari semua pasukan boleh bergerak dan menembak dengan bebas. Kenderaan bermotor, kereta kebal dan kapal terbang hanyalah alat Wehrmacht untuk mengaplikasikan prinsip tersebut lebih berkesan dan membantu mereka menewaskan tentera Bersekutu pada tahun 1940, sekaligus membawa kepada kejatuhan mereka pada tahun 1939 dan 1940.

 

Apabila Nazi Jerman melancarkan kempen ke atas Belanda, Belgium dan Perancis, tentera Bersekutu terkejut beruk dengan serangan ini. Di seberang Selat Inggeris, kepimpinan tentera Britain masih terpinga-pinga bagaimana tentera mereka bergelut dan perang yang sepatutnya dimenangi jadi satu insiden memalukan kepada tentera British. Jika kita menganalis pemikiran kepimpinan tentera Bersekutu, mereka menjangkakan situasi tersebut sama seperti WWI dengan taktik bertahan akan memberi kemenangan kepada mereka. Maka atas sebab itulah, pada tempoh Perang Palsu (Phoney War), tentera Perancis berkubu di Garisan Maginot sementara tentera Nazi berkubu di Garisan Siegfried. Walaupun kedua-dua negara mempunyai 3,500 kereta kebal, ia hanya beperanan sebagai sokongan operasi infantri. Britain dan Perancis turut meletakkan tentera mereka di Belgium untuk mengukuhkan kedudukan tentera Belgium dengan menjangkakan rejim Nazi Jerman akan mengulangi taktik sama pada tahun 1914. Hakikatnya, ia sebenarnya satu tipu helah dan pihak Bersekutu tidak sedar sehinggalah semuanya terlambat.

Adolf Hitler sebaliknya memilih rancangan von Manstein iaitu menyerang Belgium melalui Hutan Ardennes dengan tujuan menyerang bahagian tentera Bersekutu yang lemah. Tiada siapa menjangka tatkala 29 divisyen tentera Nazi menyerang Belanda dan Belgium, 45 divisyen lagi menyerang sebelah kanan tentera Bersekutu dan terus mara hingga ke Selat Inggeris. Pada 21 Mei, mereka tiba di pesisir pantai Perancis dan dalam tempoh itu, mereka berjaya mengepung 35 divisyen tentera Bersekutu termasuk Tentera Ekspedisi Britain (BEF). Walaupun tentera Perancis cuba memberi tentangan bagi membantu pihak Bersekutu berundur, hakikatnya semangat melawan mereka semakin pudar dan kemaraan Nazi Jerman dari Belgium di sebelah selatan amat pantas dan muktamad. Walaupun Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill cuba membantu Perancis sebaik mungkin tetapi kekalahan teruk tentera Britain dan Perancis menamatkan sebarang peluang penentangan di Perancis.

Walaupun kerajaan Perancis pimpinan Paul Reynaud dan Jeneral Charles de Gaulle, bagi rakan-rakan kabinet lain untuk menyelamatkan maruah Perancis, gencatan senjata perlu diadakan dengan Nazi Jerman. Pada 16 Jun 1940, selepas pendiriannya itu ditolak kabinetnya di Bordeaux, Reynaud meletak jawatan dan beliau digantikan oleh wira Pertempuran Verdun, Marshal Philippe Petain. Dan sebaik diangkat sebagai Perdana Menteri, Petain mengumumkan Perancis akan memohon gencatan senjata dengan Nazi Jerman. Pada 21 Jun 1940, perjanjian gencatan senjata dimeterai antara kedua-dua belah pihak. Dan ironinya, ia diadakan dalam gerabak keretapi yang sama pihak Jerman menandatangani perjanjian sama dengan pihak Bersekutu lebih 20 tahun lepas. Pada akhir WWII, gerabak tersebut dimusnahkan oleh pihak Schutzstaffen atas arahan Hitler.

Bagi pemikir-pemikir tentera Bersekutu, kekalahan memalukan ini ibarat satu isyarat untuk tidak lagi bermimpi di siang hari. Menyedari taktik sebegini akan menyukarkan mereka pada tahun-tahun mendatang, mereka turut meniru taktik mekanikal Nazi Jerman dan menggunakan pendekatan pertahanan pada kereta kebal seperti meriam anti-kereta kebal dan halangan konkrit. Bagi Hitler pula, beliau enggan beradaptasi dan menggunakan pendekatan baru untuk memastikan blitzkrieg terus relevan. Dan ini mengakibatkan tahun-tahun berikutnya merupakan tahun berdarah bagi Jerman hingga akhir WWII.

Selepas gagal mengalahkan Britain dalam Pertempuran Britain pada tahun 1940, Hitler mula fokus kepada mewujudkan lebensraum atau ruang tempat tinggal bagi bangsa Aryan Nazi Jerman di sebelah timur, lebih tepat Rusia seperti dinyatakan dalam memoirnya, Mein Kampf. Bagi jeneral-jeneral Nazi, ia satu prospek yang menggerunkan kerana pada mereka, Rusia terlalu luas untuk ditawan dan taktik blitzkrieg tidak akan berkesan. Bagaimanapun, kerisauan mereka tidak dilayan oleh Hitler dan ia diteruskan dengan Operasi Barbarossa pada musim panas 1940. Tetapi beliau membuat satu kesilapan besar dengan berperang pada dua medan, tatkala Afrika Korp sibuk membantu Itali menentang tentera Bersekutu di Afrika Utara terutama di sebelah Mesir dan Libya, mereka berperang di Medan Timur. Akhirnya ramai jeneral ini kalah dalam perang dan maruah mereka turut tercemar apabila terlibat dengan kempen pembunuhan beramai-ramai yang dijalankan oleh kumpulan Einsatzgruppen ke atas orang-orang yang tidak dimahukan seperti orang Yahudi, orang Gipsi dan orang Slavik.

Bagi Guderian sendiri, walaupun beliau boleh mendakwa tidak tahu-menahu berkenaan tindakan Einsatzgruppen, tetapi itu tidak bermakna beliau boleh berbohong akan hakikat sebenar Hitler. Semua tahu doktrin seperti doktrin Schlieffen tercapai hasil percambahan idea para pegawai dan adakalanya ia boleh jadi medan perdebatan hangat. Tetapi semua itu tidak berlaku pada era Hitler kerana beliau tidak suka orang membangkang pandangannya dan tidak menggalakkan percambahan idea sesama pegawai. Semasa kempennya di Rusia, Guderian menulis pada isterinya, “Semua orang takut pada Fuhrer (Hitler) dan tiada siapa berani bersuara.” Walaupun pada awalnya, taktik ini berjaya membantu Nazi Jerman merampas wilayah-wilayah Soviet seperti kawasan Laut Baltik, Smolensk dan Ukraine tetapi penentangan sengit tentera Rusia dan keadaan cuaca yang buruk menyukarkan kemaraan mereka.

Pasca-Pertempuran Moscow, semua jeneral Nazi diberi arahan untuk mengekalkan barisan mereka dan tidak berundur walau setapak. Tetapi bagi Guderian, memandangkan keadaan cuaca sejuk dan serangan balas tentera Soviet dipimpin oleh Georgy Zhukov, beliau memutuskan untuk mengundurkan Panzergruppe 2 sejauh 100 batu dari Moscow. Berikutan itu, Hitler menggugurkannya dari senarai kepimpinan tentera atas alasan enggan mematuhi arahan. Apabila plot 21 Julai 1944 dimulakan, kebanyakan anggota konspirasi cuba mendapatkan sokongan pegawai-pegawai tentera yang dihormati untuk memberi pengesahan dan memberi isyarat kepada rakyat konspirasi ini mendapat sokongan mereka. Dan antara pegawai yang dihampiri anggota konspirasi ialah Guderian sendiri. Namun, Guderian menolak permintaan mereka itu kerana masih setia kepada Hitler dan pada akhir tahun 1944, beliau dilantik sebagai pemangku ketua staf tatkala kempen perang kilat Nazi Jerman semakin berkecai dan kekalahan merupakan satu prospek yang tak dapat dielakkan.

Dalam diarinya, Guderian menulis, “Inilah diktator Jerman, seorang lelaki yang terburu-buru dari satu kejayaan pada satu kejayaan, kemudian meneruskannya walaupun berhadapan dari satu kegagalan kepada kegagalan yang lain, kepalanya penuh dengan pelbagai rancangan yang dia sangka berjaya, terus bergantung kepada rancangan itu walaupun prospek kejayaan semakin tipis dan menyamakan dirinya dengan negaranya.” Pada akhirnya, Hitler membawa kejatuhan bukan saja pada Jerman tetapi juga pada angkatan tenteranya.

SUMBER

  1. Hyslop, Stephen G. (2007). Historynet.com. Blueprint for Blitzkrieg. http://www.historynet.com/blueprint-for-blitzkrieg.htm
  2. Apocalypse: The Second World War. (2009). National Geographic. https://www.youtube.com/watch?v=8O7j0fRQoZs
  3. Foley, Robert T. (2011). BBC. Blitzkrieg. http://www.bbc.co.uk/history/worldwars/wwtwo/blitzkrieg_01.shtml
  4. History.com. Blitzkrieg. http://www.history.com/topics/world-war-ii/blitzkrieg

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.