“Long Live The King, Our Lord King Philip IV… Took Possesion Of Formosa For The Crown Of Castile!”

Tamsui merupakan sebuah kawasan di daerah New Taipei, Taiwan. Kawasan ini memang popular dengan pelancong kerana kedudukannya di tepi muara Sungai Tamsui yang melebar ke Selat Taiwan, menghadap Gunung Guanyin yang terpasak megah dan juga lokasi yang menarik untuk melihat keindahan sang mentari melabuhkan tirainya.

Namun, bagi aku yang menyintai sejarah dan budaya setempat, Tamsui memberi seribu satu pengertian tentang peranan kuasa asing, penjajahan dan juga evolusi kehidupan yang terhasil daripada episod penjajahan tersebut.

Seperti Melaka yang menjadi rebutan kuasa asing Portugis, Belanda, Aceh dan Jawa; Tamsui juga menjadi permata yang diidamkan oleh petualang asing Sepanyol dan Belanda. Taiwan ketika itu menjadi pelabuhan singgah strategik kuasa asing sebelum berjaja dengan dinasti Ming, Ming Selatan dan akhir sekali Qing di tanah besar dan juga Jepun. Belanda pada waktu itu sudah menguasai selatan Taiwan, oleh itu, amatlah penting bagi Sepanyol menguasai bahagian utara Taiwan agar wujudnya konsolidasi kuasa mereka di Laut China Selatan. Filipina pada waktu itu juga sudah berada dalam genggaman mereka. Kisah Portugis/Sepanyol menentang Belanda ini bukan sahaja terjadi di Nusantara, di Taiwan pun mereka berbalah.’

Kelihatan Gunung Guanyin dan muara Sungai Tamsui dari Fort San Domingo

Penjajah Sepanyol menganggap Formosa (Pulau Taiwan) adalah sebahagian daripada gugusan kepulauan Filipina dan menggelar pulau ini sebagai La Isla Hermosa. Bagi mereka Taiwan adalah hak milik Crown of Castile.

Tamsui bukanlah lokasi pertama pertahanan Sepanyol di Taiwan, tetapi Chilung atau nama modennya Keelung merupakan lokasi pertahanan, petempatan dan pelabuhan pertama mereka. Kubu yang dinamakan San Salvador ini terletak di Bay of Chilung atau nama Latinnya Santìssima Trinidad (Holy Trinity).

Pulau Formosa merupakan kediaman orang asal (asli) sejak ribuan tahun dan mereka bukanlah kaum kuno yang hanya pandai memetik buah dan menjerat haiwan liar. Orang asal Formosa sudah pandai bercucuk tanam dalam skala yang besar. Malah, mereka yang hidup berpuak-puak ini sering terlibat dalam pertempuran sesama mereka dalam merebut kawasan dan isu-isu lain.

Mendaki untuk ke tapak Fort San Domingo

Hal ini menjadi suatu masalah kepada pendatang Sepanyol yang memerlukan sokongan orang asal untuk menjual beras dan bahan makanan lainnya. Orang asal pula melihat pendatang Sepanyol sebagai musuh dan mereka agak sukar memberi kerjasama.

Oleh sebab itu jugalah pihak Sepanyol terpaksa memberi sokongan ketenteraan kepada puak orang asal yang sanggup menjual stok makanan kepada mereka.

Pada tahun 1627, seramai 20 askar Sepanyol telah bertolak ke Tanshui (Tamsui) untuk membantu satu puak orang asal yang berperang dengan satu puak yang lain pula. Sebagai ganti mereka akan memberi stok beras kepada Sepanyol di Kubu San Salvador.

Namun, askar Sepanyol ini telah ditipu. Mereka diserang hendap dan akibatnya 8 daripada 20 askar ini mati di Tanshui. Sebagai tindak balas, pihak Sepanyol menghantar sebuah kapal untuk menyerang puak orang asli ini. Melihat kedatangan Sepanyol, mereka melarikan diri dan meninggalakan stok beras yang cukup untuk dimuatkan ke dalam 50 buah kapal.

Tamsui Old Street pada hari ini

Tanshui merupakan kawasan yang amat strategik, di sebelah kanan Sungai Tamsui yang melebar ke Selat Taiwan ada tanah tinggi yang amat sesuai dijadikan kubu pertahanan. Di situlah askar Sepanyol membina kubu yang diperbuat daripada kayu dan ia dinamakan sebagai Kubu San Domingo.

Pentadbiran Formosa masih lagi di bawah gabenor Filipina. Don Sebastian Hurtado de Concuera yang menjadi gabenor Filipina pada tahum 1635 pernah meminta Raja Philip IV untuk melepaskan Formosa dan hanya menumpukan hal dagangan di Manila sahaja. Tanpa menunggu jawapan daripada raja Sepanyol, beliau telah mengarahkan agar Kubu San Domingo ditinggalkan dan semua kepentingan Sepanyol di Chilung dikembalikan ke Manila, hanya 200 orang askar sahaja yang ditinggalkan di Kubu San Salvador.

Pekan Tamsui dari Stesen MRT Tamsui

Keputusan de Concuera tidak dipersetujui oleh 4 orang kanan beliau yang merasakan Missionary Kristian di Formosa bakal terdedah kepada ancaman. Ini membuktikan bukan sahaja hal perdagangan yang menjadi agenda utama penjajah Sepanyol di Asia, malah penyebaran agama Kristian itu sama penting juga. Sepanjang kuasa Sepanyol berada di Formosa, mubaligh Kristian Dominican mendominasi usaha penyebaran agama Kristian lebih daripada Belanda.

Berita pengunduran Sepanyol daripada Tamsui dan Chilung sampai ke telinga Belanda yang berkubu di Tainan. Pada Ogos 1641, tahun jatuhnya Portugis di Melaka, Belanda bergerak menuju Kubu San Domingo dan Kubu San Salvador.

Berserta dengan 209 askar Belanda dan ratusan orang asal, mereka mengelilingi kubu San Salvador tetapi tidak menyerangnya. Mereka tidak menyerang kubu ini tetapi mereka telah membakar Kimaurri, sebuah kawasan yang pernah dirampas Sepanyol daripada tangan orang asal.

Kubu San Salvador akhirnya jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1642. Kali ini Belanda datang dengan jumlah kapal, dan tentera yang lebih ramai. Tentera Sepanyol yang berjumlah kecil dan tidak cukup makan akhirnya menyerah diri. Maka, berakhirlah kependudukan Sepanyol di bumi Formosa.

Kubu San Domingo di Tamsui telah dihancurkan dan di atas tapak yang sama Belanda telah membina kubu yang dinamakan Fort San Antonio.

Apa yang tersirat dalam ceritera ini? Tahun 1640-an bukanlah tahun-tahun yang ‘memberangsangkan’ untuk House of Habsburg Sepanyol. Portuguese Restoration War di Portugal melemahkan sokongan dan kuasa Portugis di India dan Melaka. Pada masa yang sama Sepanyol juga sedang menghadapai Peperangan 30 Tahun di Eropah. Belanda dan Inggeris pula semakin menguasai jalan laut; dan ekonomi mereka yang kian berkembang menyukarkan konsolidasi kuasa Sepanyol di Asia dan juga benua Amerika.

Rujukan dan bacaan lanjut;

1. Security And Warfare On The China Coast: The Taiwan Question In Seventeenth Century, Yong- tsu Wong

2. Political Spectacle And Colonial Rule: The Landdag On Dutch Taiwan, 1629 – 1648, Tonio Andrade

3. The Rise and Fall of the Spanish and Dutch Colonies on Taiwan, 1624-1662, Tonio Andrade


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pengembara warisan yang fokus kepada tinggalan sejarah dan budaya setempat. Gemar membaca dan menulis itu cara beliau mengekspresi diri dan dunia marcapada

Comments are closed.