Norway menyembunyikan satu bahagian sejarah yang sangat kelam. Dalam satu tahun, petani meninggalkan ladang-ladang mereka (Gibbons, 2018). Majlis pengebumian pula dibatalkan secara besar-besaran.
Pengeluaran tembikar terhenti. Perlombongan besi pula dikurangkan secara mendadak. Selalunya perkara sebegini berlaku angkara peperangan; mungkin pihak musuh menimpa bumi ini.
Walau bagaimanapun, Denmark dan Estonia turut melaporkan dapatan yang sama pada tahun tersebut. Industri roti di Ireland dilaporkan hancur (Ball, 2008), kerana tidak dapat mendapatkan bekalan gandum.
Nun jauh dalam Empayar Rom, ramai orang terlalu lapar. Golongan ibu di kota Liguria terpaksa memakan bayi mereka sendiri (Arjava, 2005). Ini menimbulkan satu tanda tanya: musuh apa yang menyerang kuasa besar dan negara-negara kecil pada masa yang sama? Ini bukan sekadar musuh.
Pembesar Rom menerangkan bahawa Matahari kelihatan lemah dalam warna sedikit biru hingga sinarannya tidak dapat menyebabkan bayang-bayang semasa tengahari. Panasnya pula suam-suam sahaja. Ia merupakan musim salji tanpa ribut, musim bunga tidak indah dan musim panas tanpa haba.
Semua perkara ini berlaku pada tahun 538, bukan daripada satu sumber. Sebaliknya ia dilaporkan Procopius, Michael the Syrian, Hikayat Ulster, Hikayat Inisfallen, Hikayat Cambriae dan banyak lagi daripada Eropah ke Timur Tengah ke China, sampai Peru.
Bermakna ada sesuatu yang dahsyat berlaku pada tahun ini, sampai semua budaya cakap benda yang sama: kiamat telah menjelma.
Memperhalusi Bukti Saintifik
Walaupun banyak masa sudah berlalu, sains takkan sesekali melupakan. Seorang saintis bernama Mike Baillie daripada Universiti Belfast menjalankan kajian pada pokok oak yang hidup sejak abad keenam.
Semua tahu bahawa pokok mempunyai urat yang membantu saintis kira umur pokok. Baillie mendapati pokok oak yang dikajinya menghadapi sesuatu cabaran besar antara tahun 536 hingga 542.
Dalam sebuah kajian yang dijalani pihak lain, teras ais daripada Antarktika dan Greenland mempunyai kandungan sulfat yang agak tinggi. Setelah mengenal pasti, taburan sulfat ini tiba di sana antara tahun 534 hingga 536 (Larsen, et al., 2008).
Dapatan mengenai kandungan sulfat memang selaras dengan kajian Baillie. Ada dua teori yang menjelaskan kejadian ini: 1) letusan gunung berapi yang besar atau 2) hentaman batu angkasa.
Impak Dahsyat Yang Menyebabkan Kesan Sampingan
Kejadian ini dianggap satu bala bencana besar kerana kerajaan tidak dapat menghasilkan makanan. Sektor pertanian global ranap kerana suhu Bumi turun dalam lingkungan 1.5°C hingga 2.5°C, rendah tetapi cukup untuk membinasakan tumbuh-tumbuhan.
Makanan adalah satu-satunya benteng kerajaan untuk mengekalkan kestabilan dalam sistem politik. Tanpa makanan, maka bermulalah episod gelap yang begitu mencabar.
Suasana sejuk dan perut lapar memberi gambaran sangat kelam. Tetapi dugaan populasi ini sebenarnya baru bermula. Kerana dalam masa lima tahun, bumi Mesir mula jatuh sakit angkara wabak yang dipercayai daripada China. Seramai 50 juta orang menjadi mangsa penyakit ini, satu penularan begitu pantas yang dipercayai berpunca (walaupun secara sampingan) daripada kejadian tahun 536.
Secara logik, memang nampak tidak masuk akal. Tetapi kajian susulan sejak kebelakangan ini mendapati ada korelasi antara penularan penyakit dan letusan gunung berapi. Ambil contoh letusan gunung berapi pada tahun 44 S.M., 626, 934, 1258 dan 1783 (selain tahun 536). Semua letusan ini disusuli dengan penularan wabak dalam tempoh 1 hingga 5 tahun.
Walaupun satu kebetulan, ada satu penjelasan saintifik yang sangat relevan. Seorang manusia yang tidak cukup makan lebih mudah dijangkiti penyakit.
RUJUKAN:
Arjava, A. (2005). The Mystery Cloud of 536 CE in the Mediterranean Sources. Dumbarton Oak Papers. 59: 73-94.
Ball, P. (2008). They really were the Dark Ages. Nature.
Gibbons, A. (2018, November 15). Why 536 was ‘the worst year to be alive’. Science Magazine.
Larsen, L.B., et al. (2008). New ice core evidence for volcanic cause of the A.D. 536 dust veil. Geophys. Res. Lett. 35 (4): 04708.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih