Dengan kes jangkitan Covid-19 semakin bertambah di sesetengah negara, bohonglah jika ada yang tidak mencari alternatif rawatan Covid-19. Bagi mereka yang terdesak, itu saja pilihan yang ada lebih-lebih lagi apabila rawatan konvensional tidak berhasil. Di India, sesetengah warganya sanggup menyapu air kencing atau tahi lembu pada badan kerana kononnya ia menjadikan mereka bebas daripada jangkitan!
Ketika ini, India berdepan 22.66 juta kes jangkitan di seluruh negara dengan 246,116 kes kema.ti.an dilaporkan. Bagaimanapun, ramai pakar kesihatan menyifatkan angka jangkitan dan kematian sebenarnya jauh lebih tinggi daripada angka rasmi yang dilaporkan. Berikutan kekurangan katil, tangki oksigen dan ubat-ubatan Covid-19, ramai warga India meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan sewajarnya.
Atas sebab itulah, bagi yang terdesak, mereka sanggup pergi ke pusat-pusat perlindungan lembu sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk mendapatkan apa yang dipanggil ‘ubat ajaib’. Di Gujerat misalnya, ‘ubat ajaib’ ini selalunya disapu badan dengan harapan dapat meningkatkan sistem imunisasi badan atau membantu mereka pulih dari Covid-19.
Begitupun, dakwaan bahawa sisa buangan lembu sebagai ubat ajaib Covid-19 dikecam ramai pakar kesihatan. Bagi Dr Dnyaneshwar Dhobale Pati, amalan tersebut hanya menambah bahana dari mengundang faedah kepada pelakunya. Ini kerana ia meningkatkan peluang jangkitan penyakit kepada pelaku termasuk pneumonia dan mencetuskan alahan teruk.
Sementara seorang lagi pakar kesihatan, Dr Nandita Iyer pula melihat tahi dan air kencing lembu lebih sesuai digunakan sebagai baja tanaman daripada dijadikan sebagai ubat Covid-19. Bagi beliau, dakwaan sebegini yang menyukarkan usaha vaksinasi Covid-19 dijalankan secara meluas di seluruh negara.
Selain potensi risiko kepada kesihatan pelakunya, satu lagi isu ialah ia berpotensi menjadi kluster jangkitan baru. Ini memandangkan setiap kali perkara sebegini dilakukan, ia biasanya dibuat secara berkumpulan. Atas sebab itu, sesetengah pusat perlindungan lembu terpaksa mengehadkan bilangan pengunjung kerana bimbang menjadi pencetus kluster jangkitan Covid-19.
Tetapi mengapa perkara ini timbul? Ia boleh dilihat dengan melihat lembu dalam konteks agama Hindu. Bagi penganut Hindu, lembu bukan sekadar haiwan suci tetapi merupakan ibu kepada dewa-dewi agama berkenaan. Sejak berabad lamanya, tahi lembu turut digunakan sebagai pembu.n.uh kuman dalam rumah dan dalam upacara keagamaan.
Begitupun, perkara ini bukan perkara baru dan ia pernah menjadi bualan akhbar antarabangsa. Pada permulaan gelombang pertama Covid-19 di India pada tahun lepas, sekumpulan aktivis Akhil Bharat Hindu Mahasabha (Kesatuan Hindu Seluruh India) mengadakan majlis minum air kencing dan mandi tahi lembu di New Delhi.
Bagi penolong pengurus sebuah syarikat farmaseutikal Gautam Manilal Borisa, dia suka berkunjung ke Shree Swaminarayan Gurukul Vishwavidya Pratishthanam, sebuah sekolah yang diuruskan oleh sami-sami Hindu. Ia terletak di seberang jalan dari ibu pejabat India syarikat farmaseutikal Zydus Cadila. Ketika ini, Zydus Cadila turut sibuk membangunkan vaksin Covid-19 mereka.
Menurut Borisa, dia disahkan pulih dari Covid-19 selepas menyapu badannya dengan tahi lembu. Malah, dia mendakwa ada doktor dan pakar kesihatan turut berkunjung ke situ sebelum meneruskan kerja mereka sebagai petugas barisan hadapan.
Kebiasaannya, peserta akan menyapu badan dengan air kencing dan tahi lembu. Sementara menunggu campuran tersebut kering, peserta akan memeluk atau memberi penghormatan kepada lembu di kandang mereka dan mengamalkan yoga. Setelah itu, mereka akan dimandikan dengan susu atau susu mentega untuk membersihkan campuran najis daripada badan.
Obsesi tahi lembu bukan sekadar berlegar dalam kalangan orang awam India sahaja. Bahkan, ia turut menjadi obsesi Menteri Kesihatan India Harsh Vardhan. Vardhan mengundang kemarahan ramai pada 13 April lepas selepas menyoal seorang pegawai tentang kelewatannya meluluskan kesahihan produk lembu termasuk sisa buangan untuk membanteras Covid-19 di bawah program pembiayaan kementeriannya.
Selain itu, komuniti kesihatan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kementerian yang terus menjaja produk yang tidak sahih sebagai ubat Covid-19. Salah satu produk yang dijaja Vardhan ialah Coronil yang turut mendapat pengiktirafan guru yoga terkenal Baba Ramdev. Bagi mereka, apa yang dilakukannya itu hanya meningkatkan kadar kes jangkitan dan melunturkan keyakinan terhadap vaksin.
RUJUKAN
Dave, A. (2021). Indian doctors warn against cow dung as COVID cure. Reuters.
Sharma, S. (2021). India’s top medical association warns over ‘health risks’ of using cow dung as Covid treatment. The Independent.
Sumber gambar hadapan: Amit Dave/Reuters
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih