Ipoh sangat dikenali dengan kelahiran ramai pemuzik berbakat dan salah satunya adalah kumpulan SYJ. Mungkin generasi BBNU tidak mengenali SYJ tetapi bagi peminat rock, kumpulan ini adalah lagenda dan antara kumpulan rock terawal di Malaysia. Jadi bagaimana kumpulan heavy metal ini bermula?
Kumpulan SYJ telah wujud sejak era 70-an dengan menggunakan nama ‘Ex-December’ yang ditubuhkan oleh Syed Yusuf Jamalulail atau lebih dikenali sebagai Pak Syed. Pada tahun 1978, kumpulan itu ditukar nama dengan SYJ yang diambil sempena nama Pak Syed.
Memasuki era 80-an, Pak Syed telah menyerahkan SYJ kepada Eduat yang juga akan bertindak sebagai pemain drum dan ketua kumpulan. Ahli terawal kumpulan SYJ selepas diambil alih oleh Eduat adalah terdiri daripada Ucop, Nan, Jali dan Eduat sendiri.
Ketika itu SYJ banyak beraksi di majlis-majlis perkahwinan, funfair dan tapak ekspo bagi memantapkan lagi permainan mereka. SYJ sangat masyhur di negeri Perak lantaran aksinya di atas pentas yang agak ganas dan tidak seperti kumpulan-kumpulan lain.
Kumpulan ini semakin dikenali apabila menyertai Battle Of The Bands (BOTB) yang dianjurkan oleh Ali Bakar. SYJ telah dianggotai oleh ahli baru Man Taring, Man Rani, Zam dan pemain drum sama, Eduat tetapi selepas itu tempat Man Taring diganti oleh Amir sebagai vokalis utama. Melalui BOTB juga SYJ berjaya memuatkan empat lagu awal mereka iaitu Hati Syaitan, Orang Timur, Mata Sepet dan Teruskan dalam album Battel Of The Band 1 & 2.
Muzik SYJ ketika itu sangat lari daripada terma arus perdana apabila liriknya lebih berkisarkan tentang masalah sosial dan kemasyarakatan. Lagu-lagu itu juga diinspirasikan daripada kumpulan-kumpulan rock barat seperti WASP, Dio dan Black Sabbath. Jadi tidak hairanlah jika keempat-empat lagu itu dihasilkan dengan sangat heavy dan bikin kepala bergoncang.
Selepas sahaja album ini dikeluarkan, SYJ telah bertukar nama kepada Sofea apabila Pak Syed sudah tidak lagi menjadi pengurus mereka. Nama Sofea dikatakan diambil daripada fras berbahasa inggeris iaitu ‘So Fear’ dan disesuaikan dengan bunyi tempatan.
Sejak itu Sofea menaung di bawah label Warnada Records dan berjaya muncul dengan album pertama iaitu Kembali pada 1987. Ketika rakaman album ini dibuat, ahli anggota Sofea berlaku sedikit bertukaran. Eduat yang merupakan pemain drum double paddle terawal Malaysia telah menarik diri kerana masalah kesihatan dan tempatnya digantikan oleh Nahar.
Sofea tidak menoleh ke belakang lagi apabila berjaya muncul dengan album kedua iaitu Anak Liar. Album ini boleh dikatakan sebagai album paling berjaya buat kumpulan Sofea. Ahli anggota Sofea sekali lagi bertukar apabila tempat Zam sebagai gitar utama telah diambil alih oleh Fancy.
Album ini juga menyaksikan gitar bass Sofea iaitu Man Rani turut menyumbang suara dalam beberapa lagu. Tiada siapa boleh lupa betapa berhantunya lagu Bunga Padang Pasir nyanyian Man Rani. Lantaran daripada itu album ini mencatatkan prestasi yang sangat memberangsangkan apabila terjual lebih 25,000 unit.
Setahun kemudian, Sofea sekali lagi dapat merilis album ketiga mereka yang diberi nama Boneka Pentas dengan kebanyakkan dicipta sendiri oleh ahli anggota kumpulan. Lagu paling hits di dalam album ini adalah Syurga Di Hujung Jarum yang menyaksikan kesepaduan suara Amir dan Man Rani.
Sayangnya ketika Sofea mengeluarkan album keempat mereka iaitu Mimpi & Air Mata pada 1990, Amir sebagai vokalis utama telah menarik diri. Lantas tempatnya diganti oleh Alang dan Eduat kembali sebagai pemain drum. Malahan tempat Fancy juga telah digantikan oleh Atanka apabila dia telah undurkan diri untuk menyertai kumpulan Leon. Album ini dihasilkan bagi memberi pengiktirafan kepada Eduat selaku anggota SYJ terawal dan juga album terakhir Sofea.
Di pihak Pak Syed pula, beliau tidak berputus asa apabila sekali lagi menubuhkan SYJ pada 1987 dengan keanggotaan Aris (vokalis), Nan (gitar utama) dan Weerak (gitar bass). Walau bagaimanapun, kumpulan tersebut terus berpecah setelah Aris dan Nan mengambil keputusan untuk menubuhkan Ariwatan. Ariwatan hanya sempat merakamkan satu album sahaja sebelum mereka berpindah dan vokalisnya bergerak secara solo.
SYJ tidak terhenti setakat itu sahaja apabila muncul lagi satu kumpulan yang menggunakan nama serupa pada 1990. Kumpulan SYJ 90 dianggotai oleh Alang (penyanyi), Amir (gitar), Amy (gitar bass) dan Jun (drum) dengan penghasilan satu album sahaja iaitu Kudrat.
Senang cerita, terdapat tiga SYJ sepanjang kumpulan ini aktif iaitu SYJ/Sofea (BOTB), SYJ (Ariwatan) dan SYJ90. Walau bagaimanapun, kalau disebut tentang SYJ pasti ianya lebih terarah kepada kumpulan SYJ yang beraksi di BOTB dan dianggotai oleh Amir, Man Rani, Zam serta Eduat.
SYJ BOTB sangat dikenali dengan lagu Orang Timur dan sangat heavy dan penuh dengan kritikan terhadap keadaan masyarakat pada ketika itu. Kumpulan Sofea pula lebih dikenali oleh peminat arus perdana dengan lagu Bunga Padang Pasir. Namun begitu, lagu Syurga Di Hujung Jarum juga boleh dianggap terbaik yang penuh dengan kritikan terhadap masyarakat.
Selepas tahun 1990, SYJ serta Sofea telah dibubarkan dan para anggota membawa haluan masing-masing. Tahun 2008 menyaksikan SYJ bangkit kembali dengan anggota baru tetapi masih mengekal vokalis lama iaitu Alang (SYJ90).
SYJ juga kembali pada 2011 dengan menampilkan Man Rani dan Amir sebagai anggota asal lantas diundang membuat persembahan pembukaan untuk kumpulan Loudness. Jadi kepada anda semua, apakah lagu SYJ yang terus menjadi siulan anda? Apa-apa pun rockers never daiiii.
RUJUKAN:
Freddie Aziz Jasbindar. (2019, April 1). Sofea, Nostalgia Kumpulan Rock Dari Ipoh, Perak. Orang Perak. Dipetik daripada https://www.orangperak.com/sofea-nostalgia-kumpulan-rock-dari-ipoh-perak.html
MuzikRock. (2009, Januari 12). Pengkisahan SYJ (2008) [Fail video]. Dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=aRx5VrDx3yw&t=13s
Nazri Masnan. (2018, Januari 18). Perkembangan terbaru otai rock yang digelar raja pentas kumpulan SYJ [Fail video]. Dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=b43caaZaGbk
Riadz Radzi. (2016, Oktober 15). SYJ band ‘jahat, nakal’. Harian Metro. Dipetik daripada https://www.pressreader.com/malaysia/harian-metro/20161015/282879435274441
Riadz Radzi. (2016, Oktober 22). Muzik SYJ lebih berat. Harian Metro. Dipetik daripada https://www.hmetro.com.my/node/175918
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih