Nama lengkap beliau ialah Muhammad Mutawalli al-Sya`râwî. Beliau merupakan seorang tokoh ternama yang lahir di tanah Mesir yang menjadi daerah tempat tinggalnya kebanyakkan para Mujaddid Islam seperti al-Thanthawi dan Jamâl al-Dîn al-Afghâni.
Beliau dilahirkan pada 15 April 1911[1] bersamaan 17 Rabiul Akhir 1329 di Daqadus, sebuah perkampungan kecil di kawasan Mayyit al-Ghumar di wilayah al-Daqhiliyyah.[2] Jalur nasab keluarganya bersambung sampai kepada Imam Ali Zainal Abidin, iaitu putera Saidina Hussien.
Hal ini dikuatkan lagi menerusi sebuah buku yang bertajuk Ana Min Sulalah Ahl al-Bayt yang menyatakan bahawa beliau merupakan keturunan dari cucu Nabi SAW. Walaupun bapanya seorang petani biasa namun sangat dihormati masyarakat kerana iltizam dan istiqomahnya pada agama serta kecintaannya terhadap ilmu.[3]
Keluarga mereka dikenali masyarakat setempat sebagai sebuah usrah yang menitikberatkan pendidikan agama serta cinta pada ilmu pengetahuan dan para ulama.
Syeikh Mutawalli Syarawi dikurniakan dengan kecerdikan yang luar biasa sejak kecil. Hal ini amat jelas apabila beliau sudah mampu menghafal al-Quran apabila mencapai umur 11 tahun.
Syeikh Sya’rawi mendapat pendidikan formal di Madrasah Ibtidâi’yyah (lembaga pendidikan dasar) al-Azhar, Zaqaziq pada tahun 1926 M ketika berusia 15 tahun. Kecerdasannya bukan sahaja di dalam menghafal al-Quran malahan dalam menghafal sya`ir (puisi) dan pepatah-pepatah Arab.[4]
Memasuki Madrasah Tsanawiyah (lembaga pendidikan menengah), bertambahlah minatnya dalam bahasa dan kesusasteraan dan beliau telah mendapatkan tempat istimewa dalam kalangan rakan-rakannya, serta terpilih sebagai ketua persatuan mahasiswa dan menjadi Pengerusi Pertubuhan Adab dan Kesusasteraan di Zaqaziq.[5]
Memetik kata-kata Dr al-Jamili yang pernah mengulas tentang keperibadian al-Sha‘rawi semasa kecil, beliau menyatakan:
“Al-Sya‘rawi adalah merupakan seorang kanak-kanak yang memiliki peribadi tersendiri, sewaktu kecil lagi beliau suka berfikir terhadap apa yang berlaku di sekeliling beliau. Sentiasa kelihatan tenang dan tidak gopoh dalam setiap tingkah lakunya.”[6]
Suatu ketika, Mutawalli Syarawi pernah mel4w4n ayahnya yang keras mahu beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar tetapi beliau sendiri lebih mahu tinggal di kampung bersama-sama saudaranya.
Syeikh Sya’rawi melakukan helah dengan meletakkan syarat kepada ayahnya untuk membelikan kitab-kitab klasik berjilid-jilid agar ayahnya membatalkan hasrat untuk menghantarnya ke Azhar.
Namun begitu, ayahnya menyedari helahnya lalu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli kesemua kitab yang dipesannya walaupun terpaksa menjual kerbaunya sendiri.[7]
Sejak dari itu, beliau tekun menuntut ilmu sehingga mengkhatamkan seluruh kitab yang dibeli oleh ayahnya.
Kemudiannya beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar dalam bidang bahasa Arab sehingga tamat pada tahun 1941 dengan marhalah mumtaz (cemerlang), sebelum dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1943 sekali gus melayakkan beliau untuk menjadi tenaga pengajar pada ketika itu.
Kebanyakkan gurunya ialah tokoh-tokoh ulama dan masyaikh Azhar diantaranya ialah Sheikh Nur al-Husin, Sheikh ‘Abd al-Hamid ‘Abd al-Ghaffar Nasif, Sheikh Jad Soleh, Sheikh Muhammad Hassan al-Tudi, Sheikh Sulayman Nawwar, Sheikh ‘Abd al-Halim Qadm, Sheikh Muhammad ‘Abd al-Latif Darraz dan Sheikh ‘Ali Muhammad Mahmud Jawesh. [8]
Ketokohan beliau di dalam pengajian Islam khususnya dalam bidang tafsir mendapat perhatian dunia sehingga beliau diberi julukan “dai sejuta umat” serta mempunyai ramai anak murid yang berkaliber seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Hassan al-Shanawi dan Syeikh Abd. Al-Waris Al-Dasuqi.
Manakala menurut ‘Abd al-Mu‘iz ‘Abd al-Jazar, anak murid al-Sha‘rawi sangat ramai, kerana sesiapa sahaja yang pernah mengikuti kelas pengajian beliau sama ada di masjid, menerusi rancangan TV dan radio adalah merupakan anak murid beliau.
Ini kerana beliau mengajar di banyak masjid dan di kaca Tv seperti rancangan “nur ala nur”. Maka, ramailah yang mendapat istifadah dan manfaat daripadanya.
Syeikh Sya’rawi mendapat anugerah pertamanya iaitu Pingat Penghargaan Terbilang semasa majlis persaraan beliau pada 15 April 1976 sebelum beliau dipilih untuk menjawat jawatan Menteri Waqaf Mesir dan Pentadbiran al-Azhar.
Tidak lupa juga beliau pernah mendapat Anugerah Khas kerajaan Mesir pada tahun 1988, dan pada tahun yang sama mendapat anugerah pengiktirafan sebagai tokoh agama terulung sempena sambutan hari Pendakwah Mesir menjadikan beliau seorang tokoh Islam yang “favourite” dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.
Pada tahun 1997 pula beliau mendapat anugerah tokoh pendakwah Dubai kerana khidmatnya yang luar biasa terhadap al-Quran malahan beliau turut mendapat Anugerah Malik Faisal daripada kerajaan Arab Saudi.
Ironinya pada tahun 1998, beliau menyandang anugerah Dubai dan Pingat Amir Zaid Ali Nahyan daripada Putera Ali Nahyan sendiri dalam bentuk mata wang. Namun mata wang yang diperolehi beliau telah disedekahkan kepada al-Azhar dan para pelajar di Buh’uth Islamiah (Asrama pelajar al-Azhar).
“Moment” paling bersejarah adalah apabila beliau mendapat Anugerah Tokoh Islam daripada Presiden Mesir ketika itu iaitu Hosni Mubarak dalam bidang pengembangan ilmu dalam majlis peringatan kelahiran al-Azhar yang ke 1000 tahun.[9]
Syeikh Sya‘rawi men1ngg4l dunia pada pada hari Rabu 17 Jun 1998 Masihi bersamaan 22 Safar 1419 Hijrah[10] dan Mesir seolah-olah sudah mandvl untuk melahirkan seorang lagi Sya’rawi.
Keberanian dan ketegasan beliau dalam mempertahankan yang haq sudah pasti hanya menjadi sebahagian daripada kenangan umat Islam terutamanya rakyat Mesir ketika beliau dengan tegas memberi peringatan kepada Hosni Mubarak. Beliau berkata di hadapan seluruh rakyat Mesir:
“….wahai Tuan Presiden, aku ingin menyatakan satu perkara kepada engkau kerana mungkin ini merupakan pertemuan terakhir aku dan engkau. Jika nasib kami bergantung kepada engkau, semoga Allah memberi taufiq (menunjukkan kamu jalan yang benar). Tetapi jika nasib engkau bergantung kepada kami, semoga Allah memberi kekuatan untuk mu bagi menanggung beban (untuk menghadapi kami).”[11]
(https://www.youtube.com/watch?v=634JJ5Un2BE )
Keberanian seorang Ulama seperti beliau yang berjuang untuk mentarbawikan umat Islam pasti dirindui bahkan seluruh kehidupannya diperuntukkan untuk menasihati dan membimbing umat Islam bahkan sampai di akhir hayatnya. Ketika beliau terlantar di hospital beliau sempat berpesan:
“…apabila kalian melihat di dunia pertarvngan, berlaku dua pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, ketahuilah sesungguhnya pertembungan itu tidak akan kekal selamanya, kerana kebenaran hanya satu dan bahawasanya kebenaran itu pasti akan mengatasi kebatilan…[12]
(https://www.youtube.com/watch?v=2u5TvtptM8E).
RUJUKAN:
- Zulkifli Mohammad al-Bakri. Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi: Mawaqifnya. Nilai: Putaka Cahaya Kasturi, 2018.
- Selamat Amir, Elemen Saintifik dalam Al-Quran: Analisis Terhadap Tafsir Al-Sha’rawi Karangan Muhammad Mutawalli al-Sha’rawi. (Tesis Doktor Falsafah, Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya), 2016.
- Imroatus Sholihah, Konsep Kebahagiaan dalam al-Quran: Perspektif Tafsir Mutawalli Sya’rawi dan Psikologi Positif. (Tesis Sarjana, Studi Ilmu Agama Islam: Universiti Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang).
- Ahmad Umar Hasyim. Al-Imâm al- Sya’râwi Mufassiran wa Da’iyah. Kaherah: Akhbâr al-Yaum, 1998.
- Tafsir al-Sya‟rawi Khawatir al-Sya’rawi Haula al-Qur’an al-Karim, https://karomain.wordpress.com/2012/12/06/tafsir-al-syarawi-khawatir-al-syarawi-haula-al-quran-al-karim/.
- Petikan daripada Youtube :
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih