Nama Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas mungkin asing dalam kalangan orang kita tetapi dalam dunia akademik, beliau dianggap permata yang tidak ternilai harganya. Ini kerana pengetahuan beliau dalam soal teologi, falsafah, metafizik, sejarah dan sastera menjadikannya antara pemikir ulung Melayu dan Islam di rantau ini. Al-Attas juga merupakan pelopor kepada Islamisasi dalam ilmu pengetahuan menerusi bukunya, Islam dan Sekularisme yang diterbitkan pada tahun 1978. Tetapi siapa sebenarnya pemikir dan cendekiawan ini pada pandangan sejarah?
Anak kelahiran Bogor, Pulau Jawa, Indonesia ini dilahirkan pada 5 September 1931 dan merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik. Abang sulungnya, Allahyarham Syed Hussein Al-Attas merupakan seorang ahli akademik, pakar sosiologi dan antara pengasas Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) sementara adik bongsunya bernama Syed Zedal. Beliau juga merupakan sepupu kepada seorang lagi ahli akademik ulung di Asia Tenggara, Profesor Diraja Ungku Aziz. Latar belakang keluarganya penuh dengan pelbagai tokoh dan orang istimewa di mana keluarganya daripada keturunan cucu Rasulullah s.a.w, Husin bin Ali r.a. Malah salah seorang moyang Al-Attas merupakan seorang ulama Kesultanan Acheh bernama Sheikh Nuruddin Al-Raniri.
Pada usia lima tahun, Al-Attas mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar Ngee Heng (kini Sekolah Kebangsaan Ngee Heng), Johor Bahru, Johor. Johor dipilih atas sebab keluarganya mempunyai ramai sanak-saudara di negeri tersebut. Bagaimanapun selepas tercetusnya Perang Dunia Kedua, beliau terpaksa kembali ke Jawa dan menyambung pelajaran di Madrasah Al-Urwatu Al-Wuthqa, sebuah madrasah yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Selepas tamat perang, Al-Attas kembali semula ke Johor dan meneruskan pembelajaran di Sekolah Inggeris Bukit Zahrah dan Maktab Sultan Abu Bakar dari tahun 1946 hingga 1951.
Selepas tamat pendidikan menengah, beliau menyertai Rejimen Askar Melayu sebagai pegawai kadet dan terpilih untuk menyambung pelajaran di Eaton Hall, Chester, England dan kemudian di Akademi Tentera Diraja, Sandhurst antara tahun 1952 hingga 1955. Semasa berkelana di bumi England, Al-Attas memanfaatkan masanya dengan memahami faktor-faktor yang mempengaruhi kehidupan dan pandangan dunia masyarakat ketika itu. Di sinilah juga, beliau tertarik dengan aspek metafizik golongan Sufi terutama hasil kerja Maulana Nuruddin Abdul Rahman Jami. Al-Attas turut mengembara ke merata tempat terutama ke bumi Sepanyol dan Afrika Utara, satu pengalaman yang dilihat memberi kesan mendalam kepada dirinya dan mempengaruhi hasil kerjanya untuk dekad-dekad seterusnya.
Selepas kembali ke Tanah Melayu, beliau ditugaskan sebagai pegawai Rejimen Askar Melayu tetapi itu tidak bertahan lama. Ini kerana cintanya kepada ilmu mendorong Al-Attas melepaskan jawatan secara sukarela dan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, Singapura antara tahun 1957 hingga 1959. Di sinilah, beliau menulis karya sastera pertamanya bertajuk Rangkaian Ruba’iyat dan buku bertajuk Some Aspects of Sufism as Understood and Practised Among The Malays. Hasil kerjanya itu menyebabkan Al-Attas dianugerahkan Canada Council Fellowship untuk melanjutkan pengajian selama tiga tahun di Institut Kajian Islam, Universiti McGill, Montreal. Semasa di Kanada, beliau turut bertemu dengan ramai cendekiawan hebat seperti Sir Hamilton Alexander Roskeen Gibb, Fazlur Rahman dan Sayyed Hussin Nasr. Al-Attas mendapat Master dengan pengkhususan dalam falsafah Islam dengan tesisnya berkenaan moyangnya, Al-Raniri yang bertajuk ‘Raniri and the Wujudiyyah of the 17th Century Acheh’. Kemudian, beliau menyambung lagi pengajian di Sekolah Kajian Orient dan Afrika, Universiti London di mana beliau diberi peluang bekerja dengan Dr Martin Lings dan Profesor A.J Arberry dari Universiti Cambridge. Semasa di sini, tesis Al-Attas menjadikan soal mistik berkenaan seorang lagi ahli sufi pada zaman Kesultanan Acheh, Hamzah Fansuri.
Selepas berkelana lama di luar negara, beliau kembali semula ke Malaysia dan dilantik sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada tahun 1965. Tiga tahun selepas itu, Al-Attas diberi kepercayaan sebagai Dekan Fakulti Kesenian dari tahun 1968 hingga 1970. Antara reformasi yang dilakukannya sebagai dekan ialah mahukan setiap bahagian fakulti bekerjasama dan berunding untuk merancang dan menyusun aktiviti akademik pelajar, bukannya bersifat bebas seperti yang diamalkan sebelum ini.
Al-Attas kemudian berhijrah ke Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi dan dilantik sebagai Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu sebelum sekali lagi dilantik sebagai Dekan Fakulti Kesenian. Di sini, beliau memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran di peringkat universiti dan turut mencadangkan kaedah integrasi pengajian bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu supaya sebarang kajian terhadap peranan dan pengaruh Islam terhadap bahasa dan budaya dapat dilakukan dengan jelas. Untuk merealisasikan visi tersebut, Al-Attas mengasaskan Institut Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu (IBKKM) pada tahun 1973.
Bagi yang mengikuti perjalanan beliau dalam dunia akademik, antara jihadnya ialah mendaulatkan proses islamisasi ilmu. Al-Attas tidak keseorangan dalam perjuangan ini kerana beliau turut disokong oleh Allahyarham Dr Ismail Raji Al-Faruqi dan Fazlur Rahman. Isu ini diperjuangkan kerana isu akademik yang tercetus melibatkan pertembungan ilmu barat dengan pandangan dunia Islam. Mereka berpandangan isu ini berlaku berikutan timbulnya unsur dualisme (dua perkara berjalan seiring tetapi tidak serasi), dikotomi (dua kelompok yang saling bertentangan) sekularisme (pemisahan urusan agama dengan urusan duniawi) dalam soal pendidikan ummah. Perkara ini merupakan satu isu yang meresahkan dan perlu dipulihkan dengan segera. Al-Attas menulis dalam bukunya, ‘Aims and Objective of Islamic Education’, “Proses islamisasi ilmu perlu dibuat kerana ilmu yang disebarkan ke seluruh dunia hari ini bukanlah ilmu yang benar tetapi telah disalut dan dipengaruhi oleh sifat dan peribadi budaya Barat.
Para cendekiawan yang berkongsi idea yang sama dengan Al-Attas turut berpandangan sistem pendidikan moden yang dibelajari umat Islam hari ini bersifat ciplak kerana meniru sifat pendidikan barat yang dianggap lebih moden. Bagaimanapun, ia dilihat gagal menyaingi kreativiti dan kehebatan tamadun barat. Menurut mereka, perkara ini berlaku disebabkan umat Islam tidak mahu membangunkan wawasan mereka terhadap diri, dunia dan realiti yang bersifat unik dan terlalu mengikut acuan barat. Buktinya boleh dilihat melalui sikap orang Islam yang menyambung pengajian di universiti atas angin. Mereka belajar atas sebab material dan kepentingan diri sendiri, bukannya atas sebab motivasi iaitu membangunkan ummah. Selain itu, mereka dilihat gagal mencontohi keperibadian ilmuan-ilmuan Islam terdahulu seperti Al-Biruni, Al-Kindi, Al-Farabi dan Ibnu Khaldun semasa mempelajari ilmu-ilmu tamadun lain. Mereka juga mempelajari pelbagai disiplin ilmu dari pelbagai tamadun seperti Yunani, Rom dan India tetapi mereka tidak menerima secara bulat-bulat teori yang dibangkitkan. Sebaliknya, mereka berusaha menjernihkan dan mengislamisasikan ilmu tersebut agar selari dengan kehendak syarak.
Para cendekiawan terdahulu menggunakan pendekatan iman terhadap mana-mana ilmu pengetahuan asing. Atas sebab itulah, mereka berjaya membina tamadun besar sehingga membawa kepada Zaman Keemasan Islam. Dan inilah yang membezakan mereka dengan generasi Muslim pada zaman moden hari ini. Ini kerana generasi Muslim hari ini lupa menggunakan iman sebagai kompas dalam mendampingi ilmu-ilmu asing sehingga mereka menyeleweng dari prinsip syarak. Dan ini menyebabkan Allahyarham Dr Ismail berpandangan orang Islam yang pergi ke barat seperti peminta sedekah yang rakus keinginan makannya. Ini kerana barat tidak akan memberikan umat Islam kunci dan akses kepada ilmu pengetahuan dan kuasa. Sekiranya mereka memberi akses kepada perkara sedemikian, sudah pasti umat Islam tidak akan bergantung lagi kepada barat, satu perkara yang amat dibimbangi barat.
Bukan sekali dua isu ini dibangkitkan dalam pelbagai persidangan antarabangsa. Misalnya di Makkah, Arab Saudi, Al-Attas membentangkan kertas kerjanya bertajuk Preliminary Thoughts on The Nature of Knowledge and The Definition and Aims of Education semasa Persidangan Dunia Pertama mengenai Pendidikan Islam pada tahun 1977. Sementara di Malaysia pula, beliau menubuhkan Pusat Pemikiran Islam dan Ketamadunan Antarabangsa (ISTAC) untuk memperjuangkan islamisasi ilmu di bumi bertuah ini. Melalui ISTAC, institusi ini diharap menjadi pusat perbincangan ilmiah antara cendekiawan dan pakar akademik yang mahu melakukan transformasi yang lebih baik terhadap sistem pendidikan Malaysia.
Melihat kepada pencapaian dan sumbangan beliau terhadap dunia akademik, tidak hairanlah ramai pihak memberi pengiktirafan kepadanya. Pada tahun 1993, Pengerusi ISTAC dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganugerahkan Al-Attas penyandang pertama Kursi Pemikiran Islam Abu Hamid Al-Ghazali di ISTAC. Setahun selepas itu, Almarhum Raja Hussein dari Jordan menjadikan beliau ahli Akademi Diraja Jordan. Pada tahun 1995, Universiti Khartoum, Sudan menanugerahkan ijazah kehormat dalam bidang kesusasteraan kepada Al-Attas sebagai pengiktirafan dan jasanya terhadap falsafah dan pemikiran Islam. Dan pada tahun 2012, beliau merupakan antara penerima Anugerah Merdeka pada tahun tersebut.
Sumbangan Al-Attas terhadap dunia akademik terutama perjuangannya memperjuangkan islamisasi ilmu amat besar. Walaupun idea beliau ini kurang mendapat sambutan dalam kalangan sesetengah pihak, itu tidak menjadikannya berputus asa. Malah sebaliknya, usaha tersebut terus diperjuangkan sehingga ke hari ini.
SUMBER
Basirah, Alia. (2017). Tazkirah.net. Syed Muhammad Naquib Al-Attas: Pelopor Perjuangan Islamisasi Ilmu. https://tazkirah.net/syed-muhammad-naquib-al-attas-pelopor-perjuangan-islamisasi-ilmu/
Nota kaki: Al-Attas sebagai rujukan kepada Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih