Dalam cerita asal Spider-Man, Peter Parker digigit labah-labah radioaktif semasa lawatan makmal. Sejak itu, dia boleh panjat dinding, lompat jauh dan paling ikonik, hasilkan jaring sutera dari pergelangan tangan.
Ramai ketawa masa tu. Mustahil, kata orang. Tapi hari ini, sains mula tunjuk bahawa ilham fiksyen tu ada bayang dalam dunia sebenar.
Baru-baru ini, saintis di Universiti Bayreuth, Jerman berjaya mencipta labah-labah “edit” gen pertama di dunia. Hasilnya, labah-labah itu menghasilkan sut merah menyala bila dipintal jadi jaring.
Projek ini diketuai oleh Professor Dr Thomas Scheibel, pakar biomaterial yang sudah bertahun kaji sut labah-labah. Mereka gunakan teknik CRISPR-Cas9 untuk ubah DNA labah-labah rumah biasa bernama Parasteatoda tepidariorum.
Gen yang dimasukkan ialah gen untuk “red fluorescent protein”, iaitu sejenis protein bercahaya yang biasa digunakan dalam penyelidikan sel biologi.
Mereka suntik gen tersebut ke dalam telur labah-labah yang belum disenyawakan. Proses ini sangat halus, dan labah-labah dibius dulu dengan gas CO₂ supaya tidak bergerak.
Bila telur menetas dan labah-labah mula hasilkan jaring, sut yang keluar benar-benar bercahaya merah di bawah lampu tertentu. Ini membuktikan gen berjaya ditanam dan diaktifkan.
Kejayaan ini membuka laluan baru dalam dunia bahan biologi. Sut labah-labah memang terkenal kerana sangat kuat, fleksibel dan ringan. Saintis sekarang cuba kawal bukan saja kekuatan, tapi juga warna, ciri khas dan kegunaan.
Sut ini berpotensi besar untuk digunakan dalam pembedahan, fabrik khas, alat prostetik, baju kalis peluru dan mungkin juga struktur bangunan ringan.
Kajian ini juga menunjukkan kita boleh padam gen tertentu dan hasilkan labah-labah tanpa mata. Ia membuktikan potensi besar dalam kajian sistem saraf, deria dan perkembangan biologi.
Ada orang tanya, adakah ciptaan ini selamat? Jawapannya ya, selagi ia dijalankan dalam makmal terkawal dan tidak dilepaskan ke alam liar.
CRISPR-Cas9 ialah alat genetik yang sangat tepat, tapi jika salah guna, ia memang boleh jadi berisiko. Sebab itu kajian sebegini perlu ikut piawaian ketat antarabangsa.
Dalam kes labah-labah ini, ia dikurung dalam persekitaran tertutup, tidak dibiak secara liar, dan tidak disuntik dengan gen toksik atau berbahaya.
Setiap eksperimen genetik seperti ini perlu diluluskan oleh lembaga etika dan biosekuriti. Semua prosedur mereka tertakluk kepada undang-undang EU tentang organisma ubah suai genetik.
Tapi tetap ada soalan yang tak selesa, bagaimana kalau ada saintis gila yang cuba “edit” gen manusia atau cipta makhluk baru untuk tujuan jahat?
Soalan ini tidak boleh diambil ringan. Banyak negara sudah luluskan akta khas untuk larang sebarang eksperimen ke atas manusia kecuali dalam kajian perubatan yang sangat ketat dan diawasi.
Setiap langkah dalam projek genetik sekarang diselia oleh panel etika biosekuriti dan dibentang kepada komuniti penyelidik lain sebelum diluluskan.
Kita juga sedang hadapi dilema baharu. Bila teknologi jadi terlalu hebat, manusia kena lebih bijak kawal. Kuasa genetik ialah pedang dua mata. Kalau disalah guna, akibatnya mungkin lebih besar daripada yang kita sangka.
Untuk sekarang, projek labah-labah ini tetap satu pencapaian hebat dalam sains bahan. Ia bukan hanya cantik dilihat, tapi membuktikan manusia kini mampu mengawal struktur biologi dengan ketepatan luar biasa.
Jangan risau, usaha ini tidak mengambil alih tugas Allah. Mengubah gen makhluk ciptaan bukan bermaksud mencipta kehidupan baru dari kosong, tetapi memahami dan memanfaatkan ilmu yang sudah tersedia dalam ciptaan-Nya.
Sains hanya membaca sistem yang sudah ada, dan berusaha gunakannya untuk kebaikan manusia, bukan untuk menandingi kuasa Tuhan.
Dalam erti lain, Peter Parker mungkin lahir dari komik. Tapi labah-labah sut merah adalah hasil sebenar dari kerja makmal, data, dan gen yang dimanipulasi dengan sains sebenar.
Kalau satu hari nanti kita pakai baju pembedahan daripada sut labah-labah yang bercahaya, ingatlah semuanya bermula dari seekor serangga kecil yang dulu cuma dianggap makhluk menakutkan di penjuru rumah.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ilmu, inspirasi, makna, ketepatan, dan keindahan.

Comments are closed.