Sudahkah anda meminum susu pada hari ini? Jika belum, jangan lupa untuk mengambilnya selepas membaca artikel ini kerana mengambil susu merupakan diet yang sangat sihat, dengan kandungan nutrisinya seperti yang umum ketahui, kaya dengan kalsium, Vitamin D dan pelbagai mikronutrisi seperti kabrohidrat, protein dan lemak.
Bagi kalsium misalnya, pakar kesihatan mencadangkan agar setiap individu dewasa mengambil 1000 hingga 1200mg setiap hari dan dengan empat gelas susu sahaja, keperluan tersebut dapat dipenuhi (jika ukuran satu gelas bersamaan dengan 250ml).
Pengambilan susu
merupakan satu diet yang tidak seharusnya dikesampingkan terutama bagi
kanak-kanak, memandangkan nutrisi dan khasiatnya sangat membantu dlam proses penumbesaran.
Justeru, memulakan hari dengan mengambil susu merupakan satu rutin yang sangat
sihat. Bak kata pepatah di Pinterest,
“Milk is a breakfast powerhouse packed
with nine essential nutrients, including 8 grams of high-quality protein in an
8oz glass.”
Jika anda lapar, makan. Dan jika anda mahu membesar dengan sihat, minumlah susu
Walau
bagaimanapun, pengambilan susu haiwan merupakan satu amalan yang agak baru
dalam sejarah manusia – tidak lebih 10 000 tahun yang lalu. Malah lebih
daripada itu, di zaman dahulu manusia mengalami alahan laktosa (intoleransi
laktosa) yang membuatkan kita tak boleh minum susu. Asal minum susu sahaja,
perut akan terasa kembung dan cirit-birit. Sesetengahnya sampai membawa kepada
maut.
Hanya selepas
berlakunya evolusi atau mutasi genetik yang memakan masa bertahun-tahun
lamanya, barulah manusia perlahan-lahan beradaptasi dengan susu haiwan macam
sekarang. Walaupun alahan itu mungkin masih ada lagi bagi sesetengah individu,
tetapi ia tidaklah seteruk zaman dulu. Dalam erti kata lain, minum susu
merupakan satu nikmat dunia yang tak sempat dirasai oleh manusia purbakala,
tetapi disebabkan proses yang berlaku di zaman merekalah, kita dapat minum susu
tanpa alami kesan sampingan.
Selepas ini setiap kali minum susu, bolehlah tambahkan lagi
rasa kesyukuran. Selain daripada bersyukur sebab dapat minum minuman yang
sedap, bersyukur juga sebab dengan evolusi yang berlaku, kita tak rasa derita
masa minum minuman senikmat susu.
Sebelum memasuki perkongsian tentang sejarah pengambilan susu
haiwan ternakan di zaman purba, mungkin sesuai untuk saya mengambil kesempatan
berkongsikan tentang nenek moyang bagi salah satu haiwan tenusu paling utama,
iaitu lembu. Jom kita sembang pasal haiwan purba sekejap.
AUROCH – NENEK-MOYANG
KEPADA LEMBU MODEN
Walaupun sub-topik ini mungkin hanya sekadar satu selingan tambahan di dalam artikel ini, pada hakikatnya bidang paleontologi sebegini merupakan salah satu elemen penting dalam membantu para penyelidik memetakan lokasi komuniti terawal yang meminum susu. Nak minum susu haiwan sudah tentulah kena ternak haiwan tenusu, bukan?
Oleh kerana itu, selain meneliti tinggalan-tinggalan arkeologi dan lakukan ujian saintifik, para penyelidik juga mengenal pasti taburan haiwan-haiwan tenusu di zaman purba. Antara haiwan purba yang dikaji adalah Auroch, nenek-moyang bagi lembu moden.
Auroch (sebutan:
Or-ock) hidup di dataran Eurasia dan Afrika Utara di zaman Pleistocene-Moden (2
juta – 500 tahun dahulu). Walaupun bentuknya lebih hampir dengan kerbau, haiwan
ini diletakkan di dalam kelas Bos
primigenius, payung genus yang sama dengan lembu moden. Menurut ProCon’s Historical Timeline of Cow’s Milk,
Auroch kali pertama dijinakkan pada 8000 hingga 10 000 tahun yang lalu.
Perbandingan saiz antara auroch (kiri) dan lembu moden (kanan)
Antara catatan
sejarah yang pernah menyebut tentang Auroch adalah History of the Gallic War karangan Julius Caesar. Di dalam buku
tersebut dituliskan, “Auroch ini sedikit kecil berbanding gajah. Warna dan
bentuknya pula lebih hampir kepada kerbau. Ia memiliki kekuatan dan kepantasan
yang luar biasa. Haiwan ini ditangkap dengan susah-payah oleh orang-orang
Jerman. Pemuda-pemuda mereka menjadikan pemburuan dan penangkapan haiwan ini
sebagai satu latihan. Mereka yang paling banyak membunuhnya akan mengambil
tanduk Auroch sebagai bukti kegagahan dirinya, di samping untuk meraih pujian
orang ramai.”
Selain muncul
dalam sumber-sumber bertulis. Auroch juga merupakan salah satu haiwan
prasejarah yang digambarkan oleh masyarakat purba pada lukisan-lukisan gua.
Antara yang paling masyhur adalah lukisan di Lascaux, Perancis yang dianggarkan
dilukis pada 17 000 tahun yang lalu (gambar tajuk).
Auroch terbahagi
kepada tiga subspesis. Subspesis yang paling masyhur adalah bos primigenius primigenius yang berasal
dan bercambah di Eurasia. Subspesis inilah yang muncul pada lukisan di Lascaux,
Perancis. Subspesis kedua pula adalah bos
primigenius namadicus yang kebanyakannya terdapat di India dan menurunkan
spesis lembu Zebu moden. Auroch yang hidup di Afrika Utara (bos primigenius africanus) pula
menurunkan lembu-lembu yang kemudiannya berkembang di Timur Tengah.
Disebabkan Auroch
diburu secara berleluasa untuk dijadikan sebagai makanan di zaman purba, maka
haiwan tersebut mengalami kepupusan. Mujur, populasi kecilnya sempat bertahan
sehingga ke abad ke-17. Walau bagaimanapun, dicatatkan bahawa Auroch yang
terakhir mati pada tahun 1627 di Poland, sekaligus melenyapkan spesis tersebut
dari muka bumi. Memasuki milenia kedua ini, terdapat ura-ura bahawa para
penyelidik berhasrat untuk mengembalikan atau menghidupkan semula spesis ini
menerusi apa yang disebut sebagai penyahpupusan (de-extinction).
PENGAMBILAN SUSU HAIWAN TERNAKAN DI ZAMAN PURBA
Setiap kali anda
menyedut straw biru pada kotak susu Dutchlady, atau meneguk susu segar dari
botol Farm Fresh, atau mungkin juga membancuh susu tepung Everyday bersama
serbuk kopi dan gula untuk menghirup kopi susu panas sambil membaca buku,
pernahkah terlintas persoalan tentang bagaimana manusia mula meminum susu
haiwan? Atau macam mana manusia mendapat ilham buat kali pertama untuk memerah
kantung susu lembu dan kambing, lalu meminumnya? Persoalan-persoalan tentang
perbuatan ‘kali pertama’ dalam sejarah manusia sememangnya tidak pernah luput
dari menarik minat kita di zaman moden.
Saya sendiri pun
tidak pernah terfikir tentang sejarah pengambilan susu di zaman purba,
sehinggalah lalu di suapan berita Facebook saya laporan tentang penemuan botol
susu bayi prasejarah dan juga laporan penyelidikan yang mengesahkan tentang
pengambilan susu haiwan di England.
Setakat
penyelidikan yang telah dijalankan sehingga kini, ilmuwan meyakini bahawa
antara manusia terawal yang meminum susu haiwan ternakan (lembu misalnya)
adalah komuniti penternak di Eropah Utara dan Eropah Barat, sebelum amalan
tersebut tersebar ke Eropah Selatan kira-kira 6000 hingga 8000 tahun dahulu.
Misalnya di Rom dan Hungary, ahli-ahli arkeologi berjaya menemukan bekas yang
mengandungi kesan susu yang dianggarkan berusia 7900-7450 tahun.
Ada juga yang
mengutarakan bahawa komuniti manusia di Mediterranean telah meminum susu sejak
9000 tahun dahulu, sebagaimana yang dilaporkan oleh kertas kajian tahun 2016
yang disiarkan di dalam Proceedings the
National Academy of Science. Namun pada bulan lepas, terdapat satu hasil
kajian yang memberikan pengesahan yang lebih jitu berkenaan pengambilan susu di
England.
Lukisan dinding Mesir yang menggambarkan pemerahan susu lembu
KAJIAN TERKINI TENTANG SEJARAH AWAL PENGAMBILAN SUSU
TERNAK DI ENGLAND
Sekitar minggu
kedua bagi bulan September yang lalu, satu laporan kajian berkenaan pengambilan
susu oleh masyarakat England purba menghiasi dada media-media antarabangsa
seperti Ancient Origins, Science Daily dan Eurekalert.
Dalam kertas
kajian yang disiarkan pada jurnal Archaeological
and Anthropological Sciences itu, Dr. Sophy Charlton dan rakan sepasukannya
membentangkan bukti langsung tentang kehadiran protein susu haiwan ternakan,
dikenali sebagai beta-lactoglobulin (BLG)
yang terdapat pada plak gigi milik tiga rangka manusia yang hidup di England
pada Zaman Neolitik, atau tepatnya kira-kira 6000 tahun yang lalu.
Sebagai nota
lanjut, Zaman Neolitik British berlangsung dari tahun 4000SM sehingga 2400SM.
Sepanjang zaman tersebut, manusia yang hidup di kepulauan itu giat mengamalkan
aktiviti pertanian dan penternakan meliputi haiwan seperti lembu, kambing,
biri-biri dan ‘beliau’ di samping hasil tanaman seperti gandum dan barli.
Walaupun usia
rangka tersebut bukanlah yang tertua, malah jauh lebih lewat berbanding usia
anggaran pengambilan susu haiwan di zaman purba (6000-9000 tahun), hasil
penyelidikan ini berjaya menarik perhatian antarabangsa kerana
penemuan-penemuan berkenaan peminuman susu sebelum ini hanya terhad pada
bekas-bekas yang digunakan untuk menyimpan susu.
Akan tetapi bagi
kajian yang dilakukan oleh pasukan yang berlatar-berlakang dari Jabatan
Arkeologi Universiti York ini, mereka menampilkan kelainan apabila bukti
fizikal tersebut diperoleh daripada plak gigi manusia prasejarah sendiri.
Justeru ia disebut sebagai ‘bukti langsung’.
Penyelidilkan
ini melibatkan sepuluh rangka manusia yang diambil dari tiga tapak Neolitik
British yang berbeza, iaitu di Hambledon Hill, Hazleton North dan Banbury Line.
Lokasi yang berbeza-beza ini menghadirkan kemungkinan bahawa amalan meminum
susu pada waktu itu (4000SM) bukanlah satu amalan setempat. Sebaliknya, ia
merupakan satu diet pemakanan yang dilazimi secara meluas.
Kajian ini menemukan protein susu pada plak gigi berusia 6000 tahun
Walau
bagaimanapun, meminum susu haiwan ternakan di zaman dahulu tidaklah senikmat
sekarang. Bukan setakat tiada kepelbagaian perisa seperti coklat atau
strawberi, malah mereka yang mengambil susu lazimnya tidak terlepas dari
mengalami kesan-kesan sampingan yang amat menderitakan seperti kembung perut,
kejang tubuh badan dan cirit-birit. Sebahagiannya sampaikan membawa kepada
maut.
Keadaan sebegini
berlaku disebabkan oleh apa yang disebut sebagai intoleransi laktosa atau
alahan laktosa. Dalam penerangannya, Dr. Sophy Charlton menyebutkan bahawa
tubuh manusia ketika masih bayi menghasilkan suatu enzim khusus yang dipanggil
sebagai laktase, dengan amaun yang cukup optimum untuk mencerna laktosa yang
terkandung di dalam susu.
Memasuki usia
sekitar 5 tahun, penghasilan laktase mula berkurangan. Berkemungkinan ia
disebabkan atau menyebabkan seseorang bayi itu berhenti meminum susu badan.
Lantaran itu, apabila individu dewasa meminum susu, maka mereka akan mengalami
kesan-kesan sampingan yang telah disebutkan di atas. Hal ini kerana laktosa
tidak dapat dicerna dengan baik. Berbeza dengan situasi pada hari ini, kadar
intoleransi laktosa dalam kalangan manusia prasejarah sangat tinggi.
MUTASI GENETIK DAN ADAPTASI MANUSIA PURBA DALAM
MENANGANI INTOLERANSI LAKTOSA
Selain memiliki
daya ketahanan tinggi yang terhasil dari tekad yang kuat, manusia juga
mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dengan situasi-situasi sukar menerusi
penyesuaian. Bak kata pepatah Melayu, “Alah bisa, tegal biasa.” Tidak terkesan
dengan bisa yang berbahaya kerana sudah terbiasa dengannya. Keadaan sebegini
ini juga berlaku ketika manusia menyesuaikan diri semasa mengalami kesan-kesan
sampingan dari meminum susu.
Walaupun
penjelasan di sebalik ketahanan manusia terhadap laktosa masih belum mempunyai
jawapan yang benar-benar memuaskan, para penyelidik meyakini bahawa sekitar
7500 tahun yang lalu (5000-4000SM), komuniti penternak di Eropah Tengah dan
Balkan mengalami evolusi atau mutasi genetik di mana hal ini membolehkan mereka
menghasilkan enzim laktase walaupun sesudah dewasa. Hal ini sebagaimana yang
dilaporkan dalam kertas kajian yang dibentangkan oleh Profesor Mark Thomas dari
Universiti Kolej London.
Gambaran kehidupan komuniti petani-penternak
Terdapat
sejumlah teori yang dikemukakan bagi menerangkan tentang bagaimana mutasi
genetik ini boleh berlaku. Antara teori yang paling mendapat perhatian adalah
ia berlaku dalam kalangan komuniti petani-penternak yang bermigrasi dari
kampung halaman dengan membawa tanaman tempatan. Lantaran cuaca baru yang tidak
sesuai dengan tanaman tersebut, maka mereka terpaksa bergantung kepada susu
haiwan ternakan, di samping daging itu sendiri bagi melangsungkan hidup.
Disebabkan sudah
terbiasa mengalami kesan-kesan sampingan akibat intoleransi laktosa selama
bertahun-tahun, tubuh mereka menjadi semakin lali. Perubahan tersebut terus
berlaku generasi demi generasi di mana penghasilan enzim laktase terus berlaku
sehingga ke usia dewasa.
Di samping itu,
sebahagian penyelidik juga berpendapat bahawa mutasi genetik ini berlaku
disebabkan oleh nutrisi pada susu itu sendiri. Sama seperti keadaan sebelumnya,
meminum susu dari generasi ke generasi membuatkan nutrisi tersebut menjadi
sebati pada genetik mereka. Kemudian, ketahanan terhadap laktosa atau lebih
tepat, keaktifan laktase semakin tersebar apabila komuniti-komuniti
petani-penternak tersebut berkahwin kacuk dengan kebudayaan lain. Misalnya di
Coquimbo, Chile, komuniti di sana meraih keaktifan laktase secara meluas
setelah bergaul dengan komuniti Eropah yang tiba di sana 500 tahun dahulu.
Selain kaedah
penyesuaian terhadap pengambilan susu yang memakan masa panjang sebegini
(mutasi genetik), komuniti petani-penternak purba juga beradaptasi dengan
laktosa menerusi kaedah-kaedah yang lebih kreatif. Untuk mengurangkan
penderitaan dari kesan-kesan sampingan meminum susu, mereka mengambilnya dengan
jumlah yang sedikit – sekadar untuk mengalas perut. Malah, mereka juga
memproses susu menjadi pelbagai produk tenusu yang ternyata, berupaya
mengurangkan kandungan laktosa di dalam susu. Antaranya seperti mentega dan
keju.
Di Kujawy,
Poland, pasukan arkeologis pernah menemukan molekul lemak susu yang diyakini
tinggalan dari proses penghasilan keju pada kira-kira tahun 5500SM. Bulan
September 2018 pula, arkeolois menjumpai serpihan tembikar di Croatia moden
yang mengandungi asid lemak, berusia sekitar 5200SM. Menurut laporan
penyelidikan, tembikar tersebut dipercayai digunakan untuk menghasilkan keju.
Sementara itu,
satu lagi produk tenusu iaitu mentega pula muncul sedikit lewat dalam sejarah
manusia – sekitar 2500SM. Antara bukti yang mengesahkan kewujudan mentega di
zaman purba adalah ukiran mentega pada tablet tanah liat Sumeria.
Keju purba berusia 2000 tahun
KESIMPULAN
Menerusi
sub-topik di atas, dapatlah kita ketahui bahawa peminuman susu merupakan satu
amalan yang agak baru baru dalam sejarah manusia. Malah, sejarah awalnya
dipenuhi dengan bermacam-macam penderitaan akibat kesan sampingan yang dialami
oleh komuniti purba. Menerusi adaptasi dan penyesuaian yang dilakukan selama
bertahun-tahun, manusia pada akhirnya dapat menikmati susu haiwan sepenuhnya.
Kadar
intoleransi laktosa di zaman purba sama sekali berbeza dengan sekarang. Kini,
lebih 90% penduduk Eropah Utara tidak mengalami intoleransi laktosa. Keadaan
yang sama juga bagi sebilangan penduduk Afrika dan Timur Tengah.
Laporan tahun
2018 dari IFCN Dairy Research Network melampirkan bahawa penghasilan susu
sedunia meningkat pada setiap tahun sejak 1998. Pada tahun 2017, sebanyak 864
juta tan susu dihasilkan di seluruh dunia. IFCN menjangkakan bahawa permintaan
susu terus meningkat sehingga 35% menjelang 2030, dengan capaian penghasilan
mencecah 1.168 juta tan. Di Malaysia pula, Department of Statistics Malaysia
melampirkan bahawa penghasilan susu lembu pada tahun 2014 adalah sebanyak 75.3
juta liter dan 76. Juta liter pada 2015.
RUJUKAN
Ancient Origins.
(11 September 2019). Humans Have Been Drinking Animal Milk for At Least 6000
Years.
https://www.ancient-origins.net/news-general/milk-0012568
University of
York. (10 September 2019). Earliest evidence of milk consumption found in teeth
of prehistoric British farmers. Science Daily.
https://www.sciencedaily.com/releases/2019/09/190910105353.htm
Meilan Solly.
(11 September 2019). Prehistoric Farmers’ Teeth Show Humans Were Drinking
Animal Milk 6000 Years Ago. Smithsonian.
https://www.smithsonianmag.com/smart-news/prehistoric-farmers-teeth-show-humans-were-drinking-animal-milk-6000-years-ago-180973101/
Joseph Castro.
(21 Jun 2013). Why Do People Drink Milk. Live Science.
https://www.livescience.com/37649-why-people-drink-milk-benefits.html
Michael
Marshall. (20 Februari 2019). Humans didn’t start out being able to diest
animal milk – but now many populations do. Why has evolution favoured
tolerating dairy? BBC.
https://www.bbc.com/future/article/20190218-when-did-humans-start-drinking-cows-milk
Bob Strauss. (22
Julai 2018). Auroch: Facts and Figures. ThouhtCo.
https://www.thoughtco.com/auroch-1093172




No comments yet