Ke hadapan Menteri Belia Dan Sukan iaitu Syed Saddiq, saya terpanggil untuk membantah Syed Saddiq dalam isu yang berkaitan dengan Melayu Gah yang didabik sebagai retorik. Sebenarnya, tanpa yang diketahui oleh Tuan Saddiq, betapa bangsa-bangsa diluar sana akan menjual kisah kehebatan yang pernah dicapai oleh mereka demi meningkatkan jati diri mereka. Ini sesuai dengan saranan Hassan Al-Banna yang dipetik berikut:

“Umat yang sedang bangkit memerlukan kepada perasaan bangga dengan kaumnya sebagai satu bangsa yang agung, istimewa dan bersejarah sehingga terbentuk dalam diri generasi muda. Lantas mereka berjuang demi keagungan dan kemuliaan itu dengan darah dan roh mereka. Mereka bekerja demi kebaikan tanah air, kemuliaan dan kebahagiaannya”.

Ingat! Seorang pejuang kemerdekaan di dunia pernah berkata.

“Bangsa yang tidak percaya kekuatan dirinya sebagai sesuatu bangsa, tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa yang merdeka.” (Bapak Soekarno)

Jangan bunuh kepercayaan bangsa kita dengan tohmahan-tohmahan tidak berasas. Peganglah kuat kata Dr. Burhanuddin al-Hilmy pernah berkata dalam kongres Parti Islam Se-Malaya (PAS) dalam tahun 1964:

“Biarlah saya mengambil peluang mengingatkan lagi kepada bangsa-bangsa di dunia ini bahawa Melayu itu adalah nama satu bangsa yang mempunyai kebudayaan dan tanah airnya sendiri. Menghapuskan nama rupa bangsa Melayu adalah satu pengkhianatan politik kepada bangsa Melayu.”

Menghina, menjatuhkan Melayu adalah pengkhianatan kepada orang Melayu sebab ia berupaya untuk membunuh terus keupayaan bangsa itu, lantas membawa kepada kepupusannya seperti bangsa-bangsa agung yang lain dalam sejarah.

Contohilah bagaimana bangsa-bangsa luar dalam usaha mereka menaikkkan jati diri bangsa mereka. Mereka tidak berterusan menjual naratif bangsa mereka sebagai bangsa yang pengecut, tidak bertanggungjawab, pemalas, kuli dan sebagainya. Mereka menjual naratif hebat dalam pelbagai bentuk. Kes pertama yang saya ingin bawa di sini ialah negara Jepun dan Korea. Betapa negara bangsa ini boleh dijadikan contoh dalam menaikkan jati diri bangsa mereka. Mereka menggunakan pelbagai cara yang sangat menakjubkan.

Sebelum Revolusi Meiji menjadikan bangsa Jepun sebagai bangsa yang hebat di mata dunia, di kalangan masyarakat Jepun sudah ada gerakan pencarian jati diri yang dikenali sebagai “Kokugaku” (国学). Kokugaku ialah satu gerakan intelektual untuk mendefinisi semula ke-Jepun-an. Orang Jepun mula sedar, mereka jadi mundur dan terpencil akibat daripada membuang jati diri sebagai bangsa pulau (“shimaguni”) yang terbuka dan dinamik dan meniru budaya China yang tidak menepati fitrah orang Jepun. Maka berlakulah gerakan untuk memurnikan budaya Jepun dan menamatkan dasar tutup pintu yang telah diamalkan selama 200 tahun. Maka adalah formula “wakon yousai” (和魂洋才 ) – “Japanese spirit, Western ingenuity”.

Selain itu, perkara pertama yang Park Chung-hee, bapa pemodenan Korea Selatan lakukan selepas berkuasa adalah mendirikan monumen Jeneral Yi Shun Shin, wira yang mempertahankan Korea daripada serangan Jepun ketika Perang Imjin (1592-1598). Tujuannya adalah untuk membangkitkan semangat orang Korea untuk sama-sama mencipta “Miracle of the Han River”. Mungkin sebab yang sama, betapa kerajaan India bersungguh-sungguh membina patung Shivaji, seorang pemerintan Empayar Maratha dalam sejarah India yang telah mempertahankan Empayar Maratha dari serangan dan taklukan Mughal. Betapa mereka tidak pernah kisah mengenai kos pembinaan patung Sivaji setinggi 200 meter ini sahaja sudah mencecah 560 Juta Dollar US yang kalau ditukarkan kepada duit kita sekarang sudah melebihi jumlah 2 billion ringgit. Ini bermaksud tidak ada harga pada jati diri sebuah bangsa itu sendiri!

Hari ini, kita dapat melihat bagaimana bangsa Korea begitu berbangga dengan jati diri mereka sebagai bangsa Korea. Lihatlah filem paling meletup di panggung Korea ialah The Admiral yang memaparkan sejarah Laksamana Yi dalam Pertempuran Myeongryang mengalahkan mana-mana filem Korea. Dalam filem ini, bangsa Korea diajak untuk menghayati perjuangan panglima perang paling hebat dalam sejarah mereka mempertahankan jati diri bangsa Korea daripada dirogol oleh bangsa Jepun.

Laksamana Yi mengajar rakyat Korea bahawa walaupun pada ketika itu, bangsa mereka di tempat terendah sekalipun, ia bukan masa untuk mencemuh bangsa mereka sendiri, bukan juga melarikan diri dengan pelbagai naratif. Laksamana Yi dalam filem tersebut, juga seperti mana dalam sejarah, mengajar rakyat Korea meski ketika itu tinggal sebuah kapal perang untuk menghadapi lebih 300 buah kapal perang Jepun, kita harus berdiri gagah menghadapi musuh, memakai nama bangsa dan maruah mereka. Biar putih tulang, jangan putih mata! Tetap berdiri walau seorang diri mempertahankan maruah bangsa dari diinjak orang asing.

Orang Jepun hari ini tetap bangga menaikkan jati diri mereka. Mereka menjual naratif menjadi seorang bangsa Jepun itu sesuatu yang cool. Mereka menjual sejarah dan kebudayaan Jepun dalam animasi dan filem mereka. Daripada sebuah animasi yang berlatarkan Eropah zaman pertengahan, sehinggalah kisah lanun di lautan, mesti terselit mereka menjual betapa menjadi bangsa Jepun itu sesuatu yang sangat cool.

Mereka menjual naratif kebudayaan Samurai dalam bangsa Jepun sebagai kebudayaan yang mengangkat maruah mengatasi segala-galanya, bahkan sanggup mati demi mempertahankan prinsip hidup (sesuatu yang saya yakin kebanyakan politikus di Malaysia tidak akan memahaminya kerana mereka menjual prinsip dan maruah laksana menjual sayur di pasar). Mereka menjual festival-festival kebudayaan Jepun dalam animasi mereka yang menampakkan memakai Kimono dan Yukata itu adalah sebuah keindahan, sehinggakan bangsa asing tak malu untuk berpakaian seperti bangsa Jepun. Mereka menjual sejarah mereka dari Nobunaga, atau mitologi-mitologi bangsa mereka sehinggakan hari ini kita mengenali entiti seperti Izanagi, Ametarasu dan Susanoo. Kemuncaknya, betapa bangsa luar takjub dengan kebudayaan dan tamadun mereka, siap animasi Batman pun diselitkan kebudayaan Jepun. Lihatlah bagaimana Batman Ninjia yang memaparkan watak Batman dan para antagonisnya terperangkap di zaman pertengahan Jepun.

Bangsa-bangsa ini bangga menjual positif dan jati diri yang mereka julang dalam diri mereka kepada dunia, lantas sehingga hari ini, kebudayaan dan sejarah mereka menakjubkan ribuan manusia. Menjadi bangsa Jepun dan bangsa Korea ialah sebuah kegilaan. Tetapi tentunya, ia bukan berasaskan self-hating yang membara dalam diri. Pemimpin mereka tidak menjual naratif seperti 10/10 penghisap dadah di Korea ialah bangsa Korea sendiri, atau mereka mengatakan bahawa bangsa Jepun gah ialah sekadar sebuah retorik semata-mata.

Daripada kita menjual naratif Melayu bangsat, apa kata Syed Saddiq bersama dengan kami menaikan jati diri dengan menjual naratif kehebatan Melayu. Nenek moyang saya beribu tahun dulu adalah bangsa pelayar. Mereka bangsa pemula yang meredah laut lepas, bangsa pemula yang meneroka samudera Pasifik dan menemukan tanah baru disebelah selatan samudera besar itu. Mereka berdagang dengan tamadun lain sedang bangsa-bangsa lain ini takut dan gerun untuk ke laut sehingga timbul mitologi laut dijaga oleh makhluk dan tuhan yang menggerunkan seperti Poseidon.

Bangsa saya mengajar bangsa-bangsa lain membina kapal. Tanyalah bangsa China ketika zaman Dinasti Han dahulu bagaimana mereka belajar membina kapal dari nenek moyang saya. Tanpa nenek moyang saya, bangsa China tidak akan mampu untuk kenal tamadun-tamadun lain. Tanpa bangsa saya, Laksamana Cheng Ho tidak mungkin mampu melengkapkan perlayaran mengelilingi dunia yang lebih gah dari Christopher Columbus itu.

Nenek moyang saya wahai saudara tuan Saddiq adalah pembina empayar-empayar agung. Tanyalah pada Srivijaya dengan 13 negara kota yang disatukan di bawah sebuah empayar, yang kisah-kisah keagungan mereka dari kisah penaklukan yang melahirkan raja bernama Dharanindra yang bermaksud penunduk para musuh, atau kisah raja kerajaan jiran seperti Khmer yang dipenggal kepala hanya kerana mengimpikan melihat kepala maharaja Srivijaya di atas dulang makan malamnya, atau kisah bagaimana maharaja-maharaja empayar ini mencampakkan jokong emas ke dalam tasik hanya sebab mereka terlalu kaya. Tidakkah ini bukti bahawa Melayu itu gah dan hebat?

Nenek moyang saya adalah pembina pelabuhan-pelabuhan bertaraf dunia yang menimbulkan rasa takjub para pengunjungnya. Mereka akan bicarakan mengenai 2000 buah kapal yang mengunjungi Melaka yang dikatakan sebanyak pelabuhan Singapura Moden hari ini. Mereka akan bicarakan betapa nenek moyang saya mencipta sistem yang sangat sistematik dan unik demi mentadbir pelabuhan hebat ini. Mereka akan membicarakan kekayaaan yang nenek moyang saya kumpulkan sehinggakan mendatangkan malu pada pelabuhan-pelabuhan hebat di Eropah.

Tuan Saddiq, kalaulah Melaka itu tidak agung, tak akanlah penjajah sanggup mengembara jauh beribu batu demi menakluknya? Kata penjajah, kalau Melaka berjaya ditawan, maka Mekah dan Madinah akan mati. Betapa kota bangsa saya ini sangatlah bermakna pada agamanya? Malangnya tuan Saddiq, betapa jatuhnya Melaka kerana ada anak bangsa yang berhasad pada bangsanya seperti tuan Sadiq sendiri. Mungkin sebab itu salah satu kata-kata Soekarno dulu ialah perjuangannya adalah membebaskan bangsanya dari penjajahan, dan perjuangan anak bangsanya yang seterusnya ialah melawan bangsanya sendiri. Seperti hari ini, saya melawan tuan Saddiq kerana betapa mulut tuan menunjukkan betapa tuan ialah petualang bangsa tuan sendiri.

Tahukah bahawa tuan Saddiq, betapa kita orang Melayu ini sangatlah mencintai ilmu sehinggalah manuskrip yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita jumlahnya puluhan ribu di seluruh dunia yang ditulis dalam pelbagai bidang dari keagamaan, falsafah, sains, teknologi, linguistic dan pelbagai bidang lagi. Tahukah tuan Saddiq bahawa dahulunya Tamadun Melayu ini pusat ilmu sedunia? Tanyalah pada I-Ching yang dalam perjalanan ke India untuk mempelajari agama Buddha harus singgah di Srivijaya dahulu, mempelajari Bahasa Melayu dan berguru dengan pendeta Melayu di sini? Tahukah saudara kebudayaan ilmu di Srivijaya ketika itu mencetuskan mazhab baru agama Buddha yang dianuti sejauh sehingga ke Tibet? Tahukah tuan Saddiq betapa banyak ulama-ulama Melayu yang lahir ketika zaman kedatangan Islam sehingga menjadi guru di Mekah dan disanjungi seluruh umat Islam? Saya pasti tuan Saddiq tidak akan mengetahuinya kerana kalau tuan tahu, perkataan ketuanan Melayu sudah berakhir dan mengatakan Melayu gah adalah retorik semata-mata tidak pernah terluah dari mulut.

Zaman moden? Ohh sebenarnya kita mempunyai banyak anak muda hebat yang dilahirkan oleh bangsa saya.

Penuntut Doktor Falsafah (PhD) jurusan astrofizik dari Universiti Durham, United Kingdom, Nur Adlyka Ainul Anuar merupakan sebahagian daripada pasukan ahli astronomi yang menjumpai bukti lubang hitam berhampiran dengan sistem galaksi Bima Sakti kita pada tahun 2017. Penemuan ini membawa kepada lebih kajian berkenaan perkembangan lubang hitam itu sendiri dan bagaimana ia berevolusi bersama sistem galaksi mereka. Anak Melayu yang berasal dari Muar, Johor ini turut memegang ijazah Sarjana Sains dan Astrofizik dari Universiti Sheffield, United Kingdom.

Hafizah Noor Isa mencatat sejarah sebagai sebahagian daripada pasukan saintis yang membukti teori ombak graviti Albert Einstein selama ini adalah benar. Pasukan tersebut menemui bagaimana masa dan angkasa meleding yang dicetuskan oleh perlanggaran dua lubang hitam besar yang dikesan. Sumbangan Hafizah ialah sumbangannya kepada rangkaian pengesan ombak graviti atau eksperimen GEO600. Anak Melayu ini memegang ijazah Sarjana dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor dalam bidang Fizik Bahan di bawah seliaan Ketua Jabatan Fizik, Profesor Dr Md. Rahim Sahar.

Wan Nur Mafudah Wan Yusof mencipta sejarah dengan mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA). Tambah membanggakan, Wan Nur Mafudah turut mencatat sejarah anak Melayu pertama mendapat tempat teratas dengan markah tertinggi iaitu 95%. Sebelum ini kejayaan tertinggi yang pernah diraih oleh anak Melayu ialah tempat kedua, ketiga dan keenam dari tahun 2015 hingga 2017.

Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim yang merupakan anak gadis kepada Mufti Pulau Pinang ini pernah berkhidmat bersama Agensi Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di mana antara projek yang diberi kepercayaan pada beliau ialah projek satelit kecil NASA dipanggil SporeSat yang dilancarkan pada tahun 2014.

Kejayaan-kejayaan yang saya tampilkan di atas hanya secebis daripada kegemilangan anak Melayu moden. Masalahnya Melayu Apologetic seperti Tuan Saddiq suka melabelkan kejayaan mereka sebagai kejayaan “bangsa Malaysia” tetapi dalam masa yang sama, apabila perkara buruk mengenai bangsa Melayu, tuan akan meletakkan label bahawa itulah kebangsatan bangsa Melayu. Ironi bukan?

Saranan saya buat tuan Saddiq dan Tun M tukarkanlah naratif untuk membawa bangsa Melayu kita ke kegemilangan silam, daripada mengulang formula tuan guru terbesar tuan Saddiq yang berterusan menyerang, mengecam dan mengutuk bangsa Melayu. Dah lebih 22 tahun pemerintahan Tun M menggunakan formula itu, tetapi Melayu tetap tidak bangkit pada pandangannya. Ini bermaksud ia bertentangan sekali dengan psikologi manusia – mengutuk, mengecam dan merendahkan seorang manusia itu dengan harapan mereka akan jadi hebat. Realiti menunjukkan manusia yang menerima penghinaan sedemikian rupa akan mengalami pelbagai penyakit psikologi, bahkan akan membunuh diri mereka!

Akhir kata, peganglah kata-kata azimat ini di bawah dan terapkan dalam dada kita.

“Jalesveva Jayamahe.”

“Dilaut, Kita Jaya.”

Mungkin kata-kata watak dalam filem P.Ramlee ini, Sarjan Hassan boleh disemat dalam dada.

“Aku berharap tiada lagi manusia seperti ini (buang) dalam tanah Air kita. Kerana Manusia yang seperti ini, dia akan merosakkan keturunan kita. Memang Bangsa kita masih muda dan masih lemah . Aku langsung tidak peduli Harapanku adalah Kita sesama bangsa bersatu-padulah hendaknya.” – Sarjan Hassan (P. Ramlee- Sarjan Hassan,1955)

Mengutuk bangsa sendiri adalah tidak ubah seperti Buang kerana ia membunuh bangsa kita dari dalam…


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.