Bagi mengetahui perihal sejarah silam, rekod bertulis kerajaan-kerajaan terdahulu dilihat kunci untuk mendapatkannya. Bagi Tamadun Mesir Purba, rekod bertulis yang dianggap signifikan bagi pengkaji Mesir Purba ialah Surat-Surat Amarna. Surat-surat ini merupakan tingkap bukan saja kepada situasi Mesir Purba dan kerajaan-kerajaan sekitarnya. Malah, ia juga merupakan tingkap kepada sejarah Firaun Akhenaten.

Surat-Surat Amarna terdiri daripada 382 tablet yang diperbuat daripada tanah liat dan dikatakan berusia lebih 3,000 tahun. Surat-surat ini mula ditemui di kota Amarna, ibu kota Akhenaten sekitar tahun 1880-an. Semasa ia dijumpai, pada awalnya ia tidak mengandungi sebarang kepentingan dan disangka hanya dokumen biasa. Sebahagian daripada surat ini kemudiannya dibawa ke Muzium British, Muzium Mesir di Kaherah dan Muzium Staatliche di Berlin.

Tablet-tablet firaun.

Tetapi semua itu berubah apabila ahli arkeologi William Flinders Petrie mengetuai ekspedisi arkeologi di Amarna pada 1890-an. Salah satu bangunan yang diekskavasi mereka ialah bangunan yang dipercayai menempatkan semua dokumen penting era Akhenaten. Ia dibuktikan menerusi penemuan cap Biro Surat-Menyurat Firaun pada batu-batanya.

William Flinders Petrie

Petrie sedar penemuan ini bukan saja signifikan dari segi arkeologi. Tetapi ia juga dilihat cara untuk meraih lebih banyak dana diperlukan untuk kerja-kerja ekskavasi di Amarna. Hasilnya, pemeriksaan teliti pada tablet-tablet yang ditemui menjadi asas kepada pengetahuan komuniti Mesir Purba tentang era Kerajaan Baru termasuk Akhenaten.

Begitupun, tidak semua surat ditemui pada masa yang sama. Pada awal abad ke-20, pakar bahasa Norway Jorgen Alexander Knudtzon mengarahkan semua 358 tablet yang ditemui disusun mengikut kronologi dan kumpulan geografi. Baki 24 tablet lagi ditemui sekitar abad ke-20 dan dimasukkan sistem angka Knudtzon yang masih digunakan oleh para cendekiawan sehingga hari ini.

Mungkin ada menyangka surat-surat ini ditulis dalam Bahasa Mesir Purba. Hakikatnya, kesemua surat dikarang dalam Bahasa Akkadia, bahasa yang digunakan di Mesopotamia sebelum menjadi bahasa perhubungan rantau Timur Tengah ketika itu. Kebanyakan tablet merupakan surat yang diterima oleh Firaun dengan sebahagian kecil saja merupakan surat yang dikarang oleh baginda.

Surat-Surat Amarna dibahagikan kepada dua kategori. Pertama. surat yang diutus kepada Firaun oleh raja-raja di mana negeri atau wilayahnya merupakan jajahan takluk Mesir Purba. Kedua, surat yang diutus oleh raja-raja yang setaraf dengan baginda yang mewakili kuasa-kuasa bebas di rantau berkenaan.

Bagi raja-raja di mana wilayah mereka merupakan jajahan takluk Mesir Purba, mereka menggelar Firaun dengan pelbagai gelaran bersifat mulia dalam surat sebagai bukti pengiktirafan kekuasaan baginda. Kebiasaannya, mereka akan mengadukan hal mereka kepadanya untuk tindakan segera.

Misalnya, dalam surat antara pemerintah Tyre dengan Akhenaten, beliau mengadu wujud pakatan antara wakil sebuah wilayah dengan puak Habiru yang mengancam wilayahnya. Surat tersebut turut mendedahkan wilayah yang sebelum itu dikawal Mesir Purba kini dikawal oleh pakatan berkenaan.

Bagi surat dengan para pemerintah serantau, mereka amat berhati-hati tentang cara dan masa yang sesuai bagi menunjukkan kedudukan mereka sama. Pada ketika itu, Mesir Purba merupakan sebahagian daripada kelab kuasa serantau yang turut disertai oleh Babylon, Assyria, Mitanni, Hittite dan Alashiya (Cyprus). Walaupun Alashiya dianggap kecil, ia mendapat tempat dalam kelab kerana mengandungi rizab tembaga yang banyak.

Satu contoh surat-menyurat antara para pemerintah ini ialah antara ayahanda Akhenaten, Amenhotep III dengan Raja Kadasman-Enlil I dari Babylon. Dalam koresponden mereka di mana kedua-dua kerajaan saling bertukar hadiah, baginda berharap agar seorang puteri raja Babylon diutus ke Mesir. Amenhotep III berharap sekiranya Kadasman-Enlil I bersetuju dengan permintaannya, puteri itu akan menjadi sebahagian daripada harem baginda.

Begitupun, dalam surat seterusnya, Raja Babylon itu merasa kurang senang apabila permintaannya untuk mengahwini seorang puteri raja Mesir Purba ditolak. Kekecewaan ini dikongsi oleh para pemerintah lain tentang situasi Kadasman-Enlil I. Bagaimanapun, ia turut menunjukkan bahawa dari segi kekuasaan, Mesir Purba berada pada kedudukan yang disukar dicabar.

Dan ini dibuktikan menerusi koresponden antara ayahanda mentua Akhenaten, Tushratta yang memerintah Mitanni dengan baginda. Dalam suratnya, baginda mengadu mengapa hadiah yang dikurniakan Amenhotep III tidak setaraf dengan statusnya sebagai pemerintah Mitanni. Hadiah yang dimaksudkan dua patung emas yang dijanjikan rupa-rupanya dua buah patung kayu yang disadur dengan emas.

Tushratta amat mengharapkan bantuan sekutu pentingnya, Mesir Purba. Semasa era Amenhotep III, salah seorang isteri baginda merupakan puterinya sebelum dikahwini oleh Akhenaten. Perkahwinan itu berlaku tidak lama selepas baginda menaiki takhta menggantikan ayahandanya itu.

Tidak diketahui sama ada hadiah yang dikirim merupakan satu penolakan kepada status Mitanni yang semakin merosot. Tetapi sebagai pemerintah, Tushratta berusaha mengekalkan prestijnya walaupun kedudukannya semakin terancam. Buktinya, dalam koresponden surat yang lain, baginda telah menahan utusan Akhenaten sebagai tindak balas kepada tindakan Mesir Purba menahan utusan Mitanni.

Empayar Assyria.

Dengan Mitanni semakin lemah, Assyria mula bangkit sebagai sebuah kerajaan yang baru. Dan dalam koresponden surat mereka dengan Akhenaten, pihak Assyria mengurniakan hadiah-hadiah yang mahal sebagai tukaran kepada pengiktirafan kedudukan mereka. Bagaimanapun, pihak Babylon kemudiannya meminta pengiktirafan tidak diberi kepada Assyria tetapi tidak dilayan baginda. Ini menunjukkan Mesir Purba masih ada prestij yang tidak dapat digugat oleh mana-mana kuasa baginda.

Bagaimanapun, zaman kegemilangan Amarna berakhir seiring dengan kemangkatan Akhenaten. Selepas menaiki takhta sebagai Firaun, Tutankhamun memilih untuk memadamkan semua legasi yang ditinggalkan ayahandanya termasuk meninggalkan ibu kota yang dibinanya itu.

Semasa tempoh tersebut, pengkaji arkeologi percaya sebahagian Surat-Surat Amarna diletakkan dalam dua buah lubang di bawah lantai bangunan sebelum mereka pergi. Tablet-tablet tersebut kekal tersembunyi selama ribuan tahun sebelum ia ditemui semula pada akhir abad ke-19.

RUJUKAN:

Lull, Jose. (2021). These pharaohs’ private letters expose how politics worked 3,300 years ago. National Geographic.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.