Roxelana, yang pada awalnya merupakan calon gundik yang dianggap tidak mungkin boleh mencatat sejarah. Dia adalah seorang gadis muda yang ditawan oleh pedagang hamba dan menjadi gundik di harem istana Sultan Empayar Uthmaniyyah yang paling terkenal, Sultan Suleiman I. Namun, Roxelana berjaya mengatasi segala kemungkinan dan akhirnya menjadi isteri Suleiman.
Dia mengurniakan lima orang putera kepada Suleiman di mana salah seorang darinya akan menjadi pewaris Sultan seterusnya, dan juga seorang puteri. Roxelana juga merupakan pemikir dan dermawan yang disegani. Dia akan menjadi satu-satunya wanita dalam empayar yang mencipta namanya betul-betul di dalam struktur pemerintahan semasa suaminya masih hidup dan bertakhta.
Dia lebih dikenali sebagai Hurrem Sultan selepas memeluk Islam, nama itu bermaksud “gelak tawa”. Satu sumber mendakwa nama asalnya adalah Aleksandra Lisowska dan dilahirkan mungkin sekitar tahun 1504 di Rogatin.
Sumber itu juga mendakwa bahawa dia adalah anak perempuan seorang paderi Ruthenia. Apa yang pasti ialah dia dibeli sebagai hamba oleh Wazir Agung merangkap sahabat rapat Sultan Suleiman, Ibrahim Pasha.
Ibrahim Pasha memberikan Roxelana sebagai hadiah untuk Sultan. Sejak menjadi gundik harem, Roxelana memanfaatkan situasinya dengan sebaik mungkin. Dia adalah wanita yang sangat cantik dan menonjol di mata orang ramai kerana rambutnya yang merah menyala. Roxelana juga memiliki akal yang bijaksana dan berkeperibadian yang tinggi.
Tidak lama kemudian, dia melahirkan seorang anak lelaki bernama Mehmed. Maka Roxelana tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menjadi gundik kegemaran Sultan Suleiman.
Sebenarnya Sultan Suleiman telah melanggar tradisi peraturan dinasti dan harem iaitu seorang Sultan perlu meninggalkan atau membebaskan gundik (gundik istana Uthmaniyyah adalah berstatus hamba jariyah) setelah dia melahirkan anak lelaki.
Sudah menjadi satu kebiasaan bagi sultan Uthmaniyah untuk meninggalkan gundiknya setelah dia melahirkan seorang anak lelaki, agar perhatiannya tidak terganggu semasa membesarkan dan mendidik bakal sultan yang akan datang.
Sultan Suleiman dianggap melanggar tradisi pantang larang itu kerana Roxelana terus melahirkan seorang anak perempuan dan empat orang anak lelaki lagi. Walaubagaimanapun Suleiman telah mengahwini Roxelana, sekaligus membebaskan dia dari status hamba kerana darjatnya telah diangkat sebagai Sultana.
Setelah memeluk Islam, Roxelana diberikan nama Hurrem, dan dikenali sebagai Hurrem Sultan setelah menikahi Sultan Suleiman. Hurrem melahirkan enam orang anak iaitu Şehzade Mehmed, Mihrimah Sultan, Şehzade Abdullah, Sultan Selim II, Şehzade Bayezid, dan Şehzade Cihangir.
Salah satu sebab mengapa Hurrem digemari oleh Sultan adalah kerana mereka berdua sama-sama amat menyukai seni puisi. Jadi, dari minat yang sama ini, Suleiman kemudiannya banyak mengarang puisi untuk cinta hatinya itu.
Kem4tian Valide Sultan, (ibu Sultan) Hafa, telah mendorong ikatan perkahwinan antara Suleiman dan Roxelana. Ini kerana Suleiman tidak mahu menjejaskan kedudukan ibunya selaku pemerhati urusan kerajaan dengan mempunyai seorang isteri. Ini dianggap boleh menyinggung perasaan ibunya kerana ibunya telah bekerja keras untuk mendapatkan kedudukannya di Empayar Uthmaniyyah.
Hurrem Sultan, sebagai isteri Suleiman menjadi wanita yang paling kuat di Empayar Uthmaniyyah. Dia meninggalkan Harem dan berpindah ke kediaman Sultan di Istana Topkapi. Ini memberinya peluang untuk terlibat dalam urusan istana dan negeri. Ketika Hurrem menjadi isterinya, Suleiman memerdekakan semua gundiknya dan mengahwinkan sebahagian dari mereka dengan para pegawai berpangkat tinggi
Surat Cinta Dari Hurrem Kepada Suleiman
Pada awal tahun 2019 yang lepas, beberapa keping surat cinta dari abad pertengahan berusia sekitar 400 tahun didedahkan di Ankara, surat yang paling mendapat perhatian adalah surat berisi puisi yang dikarang oleh Hurrem Sultan kepada Sultan Suleiman, pendedahan ini memberi penerangan mengenai kisah cinta pasangan diraja yang paling terkenal pada zaman itu.
Penyimpan rekod di arkib menganggap surat-surat yang dikeluarkan oleh arkib presiden itu sebagai salah satu contoh terbaik karya seni puisi dan karangan prosa Turki di istana Uthmaniyyah, yang ditulis ketika Sultan Suleiman menuju ke medan per4ng.
Suleiman dianggap oleh ramai pengkaji dan sejarawan sebagai sultan Uthmaniyyah yang paling berjaya sepanjang lebih 600 tahun berdirinya empayar itu. Pemerintahannya bermula dari tahun 1520 hingga 1566 telah menyaksikan kempen-kempen ketenteraan yang berani yang meluaskan sempadan empayar.
Ketika itu, Islam kembali ke zaman keemasannya apabila Uthmaniyyah turut menyaksikan kemajuan dalam bidang perundangan, seni, sastera dan seni bina. Namun, bagi seorang raja yang berjiwa romantis, Suleiman terkenal dengan kisah cinta yang luar biasa dengan isterinya yang juga bekas hamba di harem Uthmaniyyah.
Berikut adalah surat yang dikirim oleh Roxelana yang sudah menggunakan nama Hurrem kepada Sultan Suleiman pada tahun 1526:
“Aku tersesat dalam di alam fana ini, yang dicipta Tuhan sekian alam, aku menghabiskan tahun-tahun terbaikku dalam lindunganmu, seumpama sebutir mutiara di dalam bekas permatamu.”
“Terimalah penyesalan ini dari hamba yang tidak berdaya dan sengsara, yang menderita kerana ketiadaanmu.”
“Aku hanya temukan kedamaian disisi mu. Kata-kata dan tinta pena tidak akan cukup untuk menyatakan kebahagiaan dan kegembiraanku, ketika aku berada di sampingmu.”
“Kenangan hari-hari yang kita lalui bersama, saat-saat yang kita kongsikan itu, memenuhi ruang hati hamba mu ini.”
“Aku menghiburkan diri dengan kenangan ini dikala ketiadaan dirimu. Aku lemah ketika kamu pergi. Tiada apa yang mampu meringankan kesakitanku,”
“Nyawaku, Tuanku, Sultan yang aku cintai, satu-satunya doaku kepada Allah adalah ingin menatap seri wajahmu lagi, usahlah ada perpisahan lagi.”
“Aku harapkan dari Tuhanku agar Sultanku yang aku sayangi, akan sentiasa berbahagia di dunia dan akhirat.”
“Kamu sentiasa meraih kemenangan melawan musvhmu. Aku amat mengerti bahawa Sultanku jatuh cinta pada hamba ini adalah sebagai takdir”.
“Menyapu air matanya.. Membahagiakannya..(mungkin merujuk kepada dirinya sendiri) Aku memilih Islam kerana dia. Kerana itu, aku hanya akan bahagia disamping dirimu.”
Ku kirimkan sehelai persalinanku, yang dibasahi titisan air mataku. Kenakanlah ia, demi diriku.”
Hurrem Sultan menulis surat ini pada tahun 1526 untuk Sultan Suleiman yang sedang melancarkan kempen penaklvkan. Bukan sekadar dia mengirimkan surat, dia juga mengirim pakaiannya yang basah kuyup bergenang airmatanya sendiri. Dia mengakhiri suratnya dengan kata-kata penamat:
“Aku hanya mahukan kebahagiaan buatmu, di kedua-dua alam. Hambamu yang lemah lagi hina, Hurrem.”
Mengapa Suleiman memilih untuk mengangkat gundik kegemarannya itu hingga menjadi terkenal masih belum jelas. Cinta itu sudah tentu satu hujah yang kuat. Sekitar abad tersebut juga turut menonjolkan kemunculan wanita-wanita berkuasa yang lain pada akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16, seperti Isabella I dari Castile dan Anne Boleyn.
Apa kaitannya? Ini menimbulkan spekulasi dan persoalan, adakah sultan mencari permaisuri yang memiliki gaya Eropah untuk memerintah di sampingnya? Bagaimanapun, dengan bertitik tolak dari langkah yang bermula sebagai hamba perempuan di harem Uthmaniyyah, Roxelana atau Hurrem Sultan berjaya membawa “wanita bangkit tepat di puncak pusat pemerintahan.”
Tidak terlepas dari kontroversi, imejnya tercalar setelah tersebarnya spekulasi bahawa dia telah menghasut Sultan Suleiman untuk memerintahkan hukvman m4ti pada tahun 1553 dijatuhkan terhadap Sehzade Mustafa, anak sulung Suleiman yang berusia 38 tahun dari kelahiran wanita lain.
Selama bertahun-tahun berkuasa, Suleiman bimbang akan ancaman pember0ntakan menuntut hak takhta oleh anaknya yang terkenal dan beraspirasi tinggi itu, sementara Hurrem memiliki kepentingan untuk mendorong anak lelakinya sendiri yang tidak popular menjadi pewaris takhta.
Kebanyakan sejarawan kontemporari mengatakan: Sultan yang paling berjaya dalam sejarah Uthmaniyah tidak mungkin begitu mudah ditipu seorang wanita, dan hukvman m4ti terhadap Mustafa boleh jadi satu pilihan yang teliti oleh Suleiman sendiri.
Hurrem Sultan meninggal dunia pada tahun 1558, beberapa tahun sebelum salah seorang anak dia dan Suleiman, iaitu Selim II, mewarisi takhta bapanya. Hurrem Sultan mendapat tempatnya sendiri dalam sejarah sebaris bersama dengan tokoh wanita lain yang bermula sebagai perempuan simpanan, seperti Jeanne Antoinette Poisson atau lebih dikenali sebagai Madame de Pompadour, ketua wanita simpanan diraja rasmi Perancis untuk Raja Louis XV dari 1745 hingga 1751.
“Permaisuri” Uthmaniyyah ini mungkin bukan tokoh wanita yang digemari dalam dunia sejarah imperialis di seluruh dunia, tetapi dengan semangat revolusi yang sebenar, dia berupaya mengubah tradisi bangsa Turki untuk generasi yang akan datang tanpa mempedulikan apa yang orang mahu kata.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih