Tamadun Mesopotamia merupakan salah satu peradaban yang terawal di dunia sepertimana Tamadun Sungai Batu, Tamadun China, Tamadun Mesir Purba dan Tamadun Indus. Tamadun Mesopotamia merangkumi wilayah dari tebing sungai Tigris-Euphrates, sebahagian besar wilayah Iraq, Kuwait, utara Arab Saudi, timur Syria, tenggara Turki, disekitar perbatasan negara moden Turki-Syria dan Iraq-Iran.
Kehebatan tamadun dan bangsa yang terdiri daripada bangsa Akkadia, Sumeria dan Assyria dibuktikan dengan pembangunan pemerintahan pertama oleh bangsa Sumeria di sekitar daerah selatan Mesopotamia iaitu lebih tepatnya di kota Ur (Uruk) pada sekitar tahun 4000 SM dengan kelahiran tulisan Cuneiform pada tahun 3000 SM, 1000 tahun sesudahnya.
Tulisan Cuneiform merupakan salah satu tulisan yang paling awal di dunia dan ia juga digunapakai di dalam karya yang diiktiraf sebagai ‘kisah legenda’ yang paling tua di dunia iaitu, The Epic of Gilgamesh. Bangsa Sumeria juga membina kapal-kapal yang mampu membelah lautan di Teluk Parsi yang bertujuan memperdagangkan barangan mereka ke tamadun atau kerajaan di belahan negara yang lain (dicatatkan pelayaran mereka sehingga ke Harappan, India).
Tamadun Mesopotamia berubah ke bawah pemerintahan bangsa Akkadia pula pada tahun 2334 SM oleh Raja Sargon. Bangsa Akkadia mula mempengaruhi budaya dan bahasa bangsa Sumeria pada sekitar tahun 3000 SM, apabila bahasa utama yang digunapakai adalah bahasa Akkadia tergolong dalam bahasa Semitik (bahasa yang mempunyai hubungan dengan bahasa Hebrew dan Arab).
Pada era ini, bangsa Sumeria dan Akkadia disatukan dibawah satu pemerintahan berpusat di kota Akkadia dan pemerintahan ini berakhir dalam sekitar tahun 2154 SM, setelah 108 tahun lamanya pemerintahan mereka. Tamadun Mesopotamia berubah pula ke tangan pemerintahan bangsa Assyria oleh Raja Hammurabi yang berpusat di kota Babylonia, Iran.
Hammurabi bukan sahaja mengasaskan pemerintahan yang berkuasa di Mesopotamia, bahkan baginda juga pengasas kepada sistem undang-undang pertama di dunia iaitu Code of Hammurabi. Hammurabi memperkasakan sistem undang-undang ini melalui petikan dan gabungan daripada undang-undang pemerintahan bangsa Sumeria, Akkadia dan Assyria. Tamadun Mesopotamia dibawah pemerintahan Empayar Babylonia akhirnya tumbang dan diteruskan oleh dinasti seterusnya, Empayar Neo-Babylonia (626 SM), sebelum akhirnya jatuh ke tangan Empayar Parsi (539 SM.
Dalam sejarah ringkas di atas mengenai Tamadun Mesopotamia yang pernah diperintah oleh tiga bangsa utama dengan kehadiran pelbagai dinasti menjadikan tamadun ini kaya dengan pelbagai kesan sejarah, perubahan budaya, kelahiran bahasa dan sistem tulisan dan banyak lagi. Dalam fasa keempat-empat bangsa ini, adanya sebuah penemuan sejarah yang menarik perhatian para ilmuwan iaitu penemuan tablet tanah liat yang dipercayai sebagai surat aduan pelanggan yang pernah dicatatkan di atas muka bumi ini. Surat ini menyamai sepertimana surat aduan pelanggan atau ‘feedback’ yang dikemukakan oleh pelanggan atau konsumen ke atas suatu perusahaan mengenai produk atau barangan yang dikeluarkannya. Berikut dibawah, akan dikisahkan serba sedikit mengenai tablet tanah liat, Tablet Ea-Nasir.
Tablet Ea-Nasir mendapat namanya daripada catatan yang terdapat di atas tablet tanah liat ini, iaitu nama bagi seorang pedagang yang membekalkan tembaga kepada pedagang lainnya atau pembeli. ‘Surat aduan’ ini ditemui di tapak runtuhan kota kuno Ur (sekarang Tell el-Muqayyar). Kini, artifak bernilai ini diletakkan di Muzium British di London, United Kingdom. Tablet ini dipahat oleh seorang pembeli yang bernama Arbituram di dalam tulisan Cuneiform pada sekitar tahun 1750 SM yang lalu iaitu kejadian ini berlaku pada zaman pemerintahan bangsa Sumeria di kota Ur.
Terjemahan tablet tanah liat ini dapat dibaca di dalam buku ‘Letters from Mesopotamia: Official, Business and Private Letters on Clay Tablets from Two Millenni’ oleh, A. Leo Oppenheim (ahli Assyriologi).
Di dalam kandungan tablet ini, dinyatakan bahawasanya aduan ini ditulis (dipahat) oleh seorang pembeli yang bernama Arbituram (Nanni) kepada pembekal tembaga di kota Ur, iaitu Ea-Nasir. Daripada catatan aduannya ini, Arbituram menyatakan yang tembaga yang dijual kepadanya ini merupakan gred tembaga yang rendah dan bukan sepertimana gred tembaga tinggi yang dipesannya.
Bukan sahaja silap penghantaran, bahkan penghantaran tembaga yang dijanjikan tepat waktu sebaliknya mengambil waktu yang lama diluar waktu yang dijanjikan. Menurut kajian ahli arkeologi, Ea-Nasir merupakan salah seorang ahli pedagang daripada persatuan pedagang yang terkenal di negeri Dilmun (Telmun) iaitu Alik Telmun. Perjanjian diantara Ea-Nasir dan Abitarum juga dinyatakan di dalam tablet perjanjian mereka yang disimpan di Kuil Samas.
Ea-Nasir terkenal di kota Ur sebagai seorang pedagang yang menguasai import-eksport diantara kota Ur, negeri Telmun dan beberapa negara lainnya di Teluk Parsi. Beliau bukan sahaja membekalkan bijih tembaga, tetapi membekalkan juga rempah ratus, bekalan makanan dan perak kepada negeri-negeri yang lain juga. Senang cerita, Ea-Nasir merupakan ‘orang kaya’ yang dipandang dengan status tinggi.
Selain itu, Abitarum juga menghantar beberapa orang utusannya ke negeri Telmun untuk menuntut kembali wangnya setelah memperolehi bijih tembaga yang tidak sama seperti yang diharapkannya. Utusan pertama yang dihantarnya pulang dengan tangan kosong tanpa wang dikembalikan dari pihak Ea-Nasir. Abitarum tidak berputus asa, lalu beliau menghantar lagi utusan yang lainnya. Ibarat jatuh ditimpa tangga, bukan sahaja tidak diberikan kembali wangnya, bahkan utusannya juga ditangkap dan dihantar ke wilayah musuh.
Daripada kesan penipuan dan perilaku Ea-Nasir inilah yang menjadikan Abitarum menyatakan perasaan amarahnya ke atas pahatan tablet tersebut. Tujuan penulisan tablet ini tidak diketahui secara tepat, tetapi teori mengatakan tujuan Abitarum menulis surat tersebut untuk memperingati bangsanya untuk tidak melakukan kegiatan jual beli dengan pedagang dari negeri Telmun. Perniagaan Ea-Nasir tidak bertahan lama apabila para pelaburnya melarikan diri dan kebanyakan pelanggannya tidak lagi berurusan dengannnya dalam peristiwa The Great Crash dan akhirnya beliau pun terpaksa gulung tikar.
Kesimpulannya, daripada tablet tanah liat ini, kita bukan sahaja berkesempatan melihat surat aduan pertama di dunia tersebut, bahkan sikap seorang pedagang yang diketahui umum sebagai salah seorang anggota persatuan pedagang yang terkenal pada waktu tersebut, bahkan Ea-Nasir juga dianggap sebagai seorang pembekal bijih tembaga yang sangat buruk dalam melayani pelanggannya. Daripada terjemahan ini juga, sejarawan melihat bahasa yang disampaikan oleh Abituram mempunyai tonasi bahasa yang sangat marah dan ingin pampasan kembali sebagaimana perjanjian pembelian yang telah mereka sepakati.
Jadinya, untuk para pedagang, pembekal mahupun penjual yang rasa dirinya suka menipu, membohongi atau memberikan pelbagai janji palsu dalam melariskan jualan mereka beringatlah, keburukan diri anda tidak sahaja diingati dan dicatatkan pada masa sekarang, bahkan ianya akan diingati oleh generasi pada zaman seterusnya. Jangan lupa pula, kita sekarang berada di zaman teknologi maklumat yang mempunyai pelbagai bahasa, bukannya teknologi tablet tanah liat bertulisan paku Cuneiform.
Artikel yang berkaitan:
1. Tamadun Terkuat Mesopotamia: https://thepatriots.asia/empayar-terkuat-di-dunia-mengikut-garis-masa/
2. Pengaruh Melayu: https://thepatriots.asia/sayabgia-pengaruh-melayu-di-bumi-tamadun-parsi-dan-mesopotamia/
3. Tamadun Sungai Batu: https://thepatriots.asia/apa-istimewanya-tamadun-sungai-batu-di-kedah/
4. Raja Sargon Akkad: https://thepatriots.asia/sargon-of-akkad-penyatu-negara-kota-sumeria/
Rujukan:
1. 4,000-Year-Old Ancient Babylonian Tablet is Oldest Customer Service Complaint Ever Discovered, Ancient Origins oleh Liz Leafloor.
2. Societies, Networks, and Transitions: A Global History oleh Craig Lockard.
3. The Origins of Globalization oleh Karl Moore dan David Charles Lewis.
4. Money Changes Everything: How Finance Made Civilization Possible oleh William N. Goetzmann.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih