“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”

(Al-Shua’ra:214)

Tatkala ayat ini turun, sedarlah baginda ﷺ bahawa inilah permulaan untuk menzahirkan dakwah kepada masyarakat Islam. Lantas baginda segera memanggil Bani Hashim sehingga terhimpun seramai 45 orang di hadapan baginda.

Namun baginda hanya mendiamkan diri dan tidak bercakap. Apabila baginda memanggil mereka buat kali kedua baginda lantas berucap, “Segala Puji bagi Allah, aku memuji-Nya dan memohon pertolongan-Nya. Aku beriman dengan-Nya dan aku berserah kepada-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya.”

Al-Mubarakfuri menukilkan bahawa baginda kemudiannya meneruskan ucapannya dengan berkata, “Sesungguhnya orang yang merintis jalan ini tidak pernah dituduh berbohong oleh keluarganya. Demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada kamu dan seluruh umat Manusia”.

Sayugialah keadaan menjadi hangat lantas bangun sekujur badan bernama Abu Talib dan berkata, “Sungguh kami suka untuk membantumu dan menerima nasihat serta mempercayai berita yang engkau sampaikan. Maka buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan mempertahankan dirimu. Hanyasanya diriku ini belum terasa untuk meninggalkan agama Abdul Mutallib.”

Disinilah bermulanya episod derita bagi Abu Lahab kerana menentang baginda dengan membalas, “Demi Allah. Ini adalah keburukan. Halangilah dia sebelum dia mempengaruhi orang lain”. Abu Talib bingkas mempertahankan baginda, “Demi Allah, kami akan mempertahankannya selagi hidup”.

Jaminan bapa saudara baginda sungguh memberikan kepadanya suatu keberanian untuk berdakwah secara terang-terangan. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa baginda memanjat Bukit Safa lalu menyeru Umat Manusia ketika itu, “Wahai Bani Fihr! Wahai Bani Adi!” Sehinggalah terkumpul mereka yakni anak pinak Quraisy di hadapannya.

Kemudian datanglah juga Abu Lahab lalu baginda ﷺ bersabda, “Mahukah kamu percaya sekiranya aku memberitahumu bahawa di sebalik lembah ini ada Angkatan berkuda yang ingin menyerang kamu?”

Lantas mereka menjawab, “Ya, kerana engkau tidak kami dapati kecuali benar”.

Maka baginda menyambung dengan berkata, “Sesungguhnya Aku ini adalah pemberi peringatan kepada kamu tentang azab yang pedih”.

Dengan tidak semena-mena Abu Lahab bingkas bangun sambil mengibas tangannya lalu membalas ucapan baginda, “Celakalah engkau seluruh hari ini! Apakah engkau mengumpulkan kami hanya kerana ini?!” Lalu turunlah ayat ini:

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ

Maksudnya: Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah!

Ibnu Kathir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan binasa ini adalah benar-benar merugikan amalan Abu Lahab dan usahanya yang sesat. Maka perkataan (وَتَبَّ) membawa makna penekanan terhadap kebinasaan dan kerugiannya.

Dalam Tafsir Jalalyn pula, dibinasakan kedua tangan Abu Lahab adalah suatu ungkapan majaz kerana menurut mereka kebanyakkan pekerjaan manusia dikerjakan oleh kedua-dua tangan.

Ketika mana baginda ﷺ menyeru umat manusia Mekah untuk beriman dan mengingatkan mereka dengan azab Allah, Abu Lahab sekali lagi menunjukkan kekerasan hati, jiwa dan tubuhnya sang pemberontak agama Yang Maha Esa.

Abu Lahab berkata, “Jika apa yang telah dikatakan oleh anak saudaraku itu benar, maka sesungguhnya aku akan menebus diriku dari azab itu dengan harta benda dan anak-anakku.” Lantas turunlah ayat seterusnya:

مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ

Maksudnya: Tidaklah berfaedah kepadanya harta benda dan apa yang dia usahakan.

Kemudian ayat seterusnya di dalam surah ini:

سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ﴿٤﴾ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ

Maksudnya: Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelojak. Dan begitulah juga isterinya, seorang perempuan pembawa kayu bakar. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.

(Surah al-Masad)

Kata Ibnu Kathir, neraka yang akan dimasukkan Abu Lahab kedalamnya itu adalah api yakni api yang sangat besar dengan daya bakar yang teramat panas.

Suatu soalan yang berakal jika tertanya mengapa di dalam surah ini, isteri Abu Lahab turut terbabit. Sedangkan yang melawan, menghina, dan menyakiti baginda ﷺ adalah Abu Lahab dan bukan isterinya.

Sebenarnya isteri Abu Lahab ialah Ummu Jamil atau nama sebenarnya iaitu Arwa binti Harb bin Umayyah yang merupakan saudara perempuan Abu Sufyan. Sayangnya, dia terbabit dalam situasi ini kerana menjadi pembantu setia kepada kekufuran dan kederhakaan suaminya.

Al-‘Alamah al-Adib Jama’in Abdul Murad mentafsirkan bahawa bukan Abu Lahab sahaja yang akan dihumban ke dalam neraka bahkan juga isterinya kerana busuknya hati perempuan itu. Hal ini kerana Ummu Jamil selalu membuat fitnah yang sangat dahsyat kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Ibnu Kathir pula mengetengahkan dua kejahatan Ummu Jamil iaitu pertama membuat fitnah dan yang kedua ialah meletakkan duri di jalan baginda ﷺ. Namun demikian, pendapat yang lebih benar dan masyhur menurutnya ialah pendapat yang pertama.

Manakala di lehernya ada suatu tali itu adalah kerana dia mempunyai satu kalung rantai yang sangat mewah dan berharga sehinggalah pada suatu hari dia sanggup menjualnya dan berkata, “Aku akan dermakan kalungku untuk memusuhi Muhammad”.

Apabila sudah terbongkar kejahatan isteri Abu Lahab, barulah dapat difahami bahawa Ummu Jamil akan menjadi penolong kepada Abu Lahab di Hari Pembalasan dalam menjalani siksaan-Nya.

Isterinya “si pembawa kayu bakar” akan menambah lagi bebanan siksaan yang dihadapi Abu Lahab di Neraka dan Allah menimpakan kepadanya siksaan dengan meletakkan tali di lehernya yang dibuat daripada sabut Neraka.

Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa pengakhiran Abu Lahab begitu dahsyat kerana tatkala dia mati tidak mahu walau seorang daripada saudaranya untuk mengurus jasadnya. Hal ini sampai mayatnya dibiarkan tiga hari tanpa dikuburkan.

Namun,kekhuatiran menyelubungi hati kaum kerabatnya kerana bimbang akan dicemuh kerana membiarkan mayatnya, barulah mereka menggali kubur untuknya tetapi hanya menolak mayatnya ke dalam lubang tersebut dengan sebatang kayu. Tidak pula dikambus namun hanya melempar batu dari jauh sehinggalah timbunan itu menutupi jasadnya.

Sesungguhnya diturunkan surah ini adalah suatu pelajaran kepada umat manusia akan balasan azab kepada mereka yang memusuhi agama ini.

Jangan hanya kerana menjadi ‘pak turut’ kepada hawa nafsu, kepercayaan dan adat yang bercanggah, dan kerana kelebihan harta serta kemuliaan menyebabkan kita khayal sehingga memusuhi agama Allah. Sungguh tidak ada daripadanya dapat membantu di hari akhirat.

A.R.KASA
Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya.

Instagram: https://www.instagram.com/arkasa_philosophia/

RUJUKAN”

Abu al-Fida Ismail bin Umar bin Kathir. Tafsir Ibnu Kathir.

Al-‘Alamah al-Adib Jama’in Abdul Murad. Tafsir Juz ‘Amma (Jawi).

Jalaluddin As-Suyuthi & Jalaluddin Muhammad Ibnu Ahmad Al-Mahalli. Tafsir Jalalain.

Saffiyu Al-Rahman Al-Mubarakfurri. Sirah Nabawiyyah:Al-Rahiq Al-Makhtum. Pent. Mohd Ramzi Omar.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. "Cinta kepada Tamadun diiringi kebenaran Sejarah."

Comments are closed.