Ekspedisi 64 ialah sebuah kumpulan 10 angkasawan yang sekarang berada di dalam Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Mereka diketuai seorang komander bernama Sergey Ryzhikov daripada Roscosmos dijangka hingga 18 April 2021.
Selepas tarikh itu, ISS akan dikendalikan Ekspedisi 65 pula dalam sebuah kitaran silih ganti berdasarkan jadual dipersetujui semua pemain angkasa. Banyak aktiviti dijalankan dalam ISS, terutamanya jenis yang tidak boleh dilakukan di Bumi.
Aktiviti paling mudah ialah pengawasan, yang tidak perlu satelit atau teleskop. Sesiapa sahaja dalam ISS boleh menatap Bumi yang indah dan sfera.
Ekspedisi 64 baru-baru ini dikejutkan pengalaman luar biasa semasa berapungan di langit Madre de Dios, Peru. Mereka ternampak beberapa batang sungai, yang mengalir dalam warna keemasan.
Sekilas pandang, Peru seolah-olah menyembunyikan fenomena sangat cantik. Mana tidaknya – sungai keemasan, berpinar-pinar pula. Tetapi setelah menyiasat semula, mereka tersedar satu perkara yang lain dari lain.
Itu bukan sungai keemasan. Itu memang emas!
Memahami Proses Perlombongan Emas
Industri pengeluaran emas sudah mewarnai sejarah manusia. Antara artifak emas paling tua dunia ditemui dalam Varna Necropolis di Bulgaria, antara zaman 4700 S.M. hingga 4200 S.M. Di sini jelas, bahawa perlombongan emas sudah bermula sekitar 7,000 tahun lalu.
Hari ini, kandungan emas di perut Bumi semakin berkurangan – tetapi kadar pengeluaran kian melonjak dengan teknologi jauh lebih maju.
Ramai melihat emas hanya sebagai sebuah matawang mutlak (hard currency) kerana permintaan sentiasa tinggi. Kestabilan nilai emas selalu menjadi punca ramai bergantung padanya (Daltorio, 2020).
Tetapi matawang bukan satu-satunya asbab yang mengapungkan nilainya. Emas masih digunakan hari ini untuk mengeluarkan barang kemas, anugerah ternilai dan barangan dalaman elektronik kerana berkonduktor baik (Mec Mining, 2020).
Ini juga sebab yang menjelaskan kestabilannya: 1) penampan apabila ekonomi dalam masalah, 2) jika ekonomi dalam keadaan baik, ramai membeli perkakas elektronik dan barang emas.
Perlombongan kecil-kecilan mungkin tidak mendatangkan sebarang masalah. Tetapi bagi memenuhi keperluan global, tentu sekali banyak piawaian yang tidak ditepati.
Sebab itulah wujud definisi “emas kotor”, yang menggunakan buruh paksa dan pekerja dalam kalangan kanak-kanak. Lapan pengeluar barang kemas terkemuka dunia seperti Cartier, Helzberg Diamond, dan Tiffany & Co. menggesa supaya tiada siapa membeli “emas kotor” ini.
Kerana impak perlombongan emas yang tidak mengikut piawaian pro-persekitaran hanya akan menjejaskan alam sekitar.
Bayangkanlah, sebentuk cincin dihasilkan dengan cara mengeluarkan 20,000 kilogram batu dan tanah (Johnson & Lichtveld, 2017).
Jumlah batu dan tanah begitu banyak menyebabkan tindakan kimia, yang mengeluarkan asid sulfurik. Tidak cukup dengan itu, pelombong menggunakan merkuri untuk mengeluarkan emas.
Bahan-bahan sebegini akhirnya menjejaskan perairan dan udara (Bland, 2014).
Kembali Ke Peru
Sebuah negara di Amerika Selatan tidak semestinya mempunyai dasar kerajaan dan piawaian kesedaran yang selaras dengan Amerika Utara.
Walaupun program pemuliharaan alam sekitar dilihat bagaikan sebuah ideologi sekarang ini, matlamatnya wajar dicontohi.
Kerana Bumi ini bukan sekadar diwarisi daripada ibu bapa – sebaliknya dipinjamkan untuk anak cucu. Apa yang berlaku di Peru hingga menyebabkan sungai keemasan sebenarnya adalah kerana perlombongan emas haram.
Teknik pengeluaran emas dengan cara open-pit mining ialah perkara biasa di semua tempat. Bagi Amerika Selatan, ia kerap dilakukan.
Pemain industri Peru sebenarnya menjalankan perlombongan di iklim basah yang mana aktiviti mereka menjejaskan tempat takungan air.
Keemasan yang dilihat pada Sungai Inambari itu sebenarnya lumpur yang melimpah akibat open-pit mining yang menjejaskan habis kehijauan di bumi Madre de Dios (Guy, 2021).
Lumpur ini kelihatan emas kerana kedudukan Matahari ketika gambar diambil. Cahaya terlalu terang menyebabkan permukaan sungai berlumpur nampak berkilat.
Jadi ini memang contoh terbaik – harap muka saja elok, tapi semuanya sudah ros.ak. Kerana manusia.
RUJUKAN:
Bland, A. (2014, Februari 14). The Environmental (ditapiskan) That is the Gold Industry. Smithsonian Magazine.
Daltorio, T. (2020, September 4). 8 Good Reasons To Own Gold. Investopedia.
Guy, J. (2021, Februari 11). Stunning NASA photo shows ‘gold’ Peruvian Amazon rivers – but there’s a dark backstory. CNN World.
Johnson, B.L., & Lichtveld, M.Y. (2017). Environmental Policy and Public Health. CRC Press. Halaman 301.
Mec Mining. (2020, November 4). Top 5 Uses of Gold – One of the World’s Most Coveted Metals.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih