Setelah tulisan Travelog Al Marzaq, kisah Wali Allah yang dipancung kepalanya ketika dakwah di Kalimantan, ada komentar yang mencadangkan saya untuk menyambung penulisan berkenaan sejarah Wali Sembilan di Tanah Jawa. Terima kasih atas cadangan dan sokongan kepada pembaca demikian.

Alhamdulillah,  saya telah diberi kesempatan oleh Allah beberapa kali menziarahi ke makam Wali Sembilan (bahasa Jawa : Songo) di Tanah Jawa. Sejarah Wali Songo sangat memberi inspirasi kepada saya hingga terasa sangat dekat dengan Tanah Jawa. Tidak itu sahaja, saya juga telah menamakan Syarikat Penerbitan saya dengan nama Sunan Press PLT. Sejak perniagaan itu, saya digelar teman-teman sebagai Angah Sunan dan nama itu lekat hingga sekarang. Nama itu juga turut menjadi nama pena saya dalam penulisan.

Sepanjang permusafiran di sana, saya sedikit mencatat sejarah dan pengalaman di sana tetapi tidak lengkap. Insya Allah, atas dorongan demikian, saya mencari dan menyusun kembali catatan-catatan saya sepanjang berada di Tanah Jawa.  Sayamulakan dengan pengkisahan Raden Sahid atau Sunan Kalijaga, salah seorang anggota Wali Sembilan yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di Tanah Jawa dan sekitar. Mungkin kerana sejak akhir-akhir ini, saya banyak bertemu dan bergaul dengan anak-anak muda yang suka bernyanyi, hati terpanggil menulis sejarah Sunan Kalijaga terlebih dahulu.

Raden Sahid Wilwatika

Menurut Babad Tanah Jawi, Sunan Kalijaga adalah Putra Wilwatika, Adipati Tuban. Nama aslinya Raden Said, atau Raden Sahid. Gelaran ”Kalijaga” sendiri mempunyai banyak tafsir. Kelahirannya menyimpan misteri, oleh kerana itu, tarikh kelahirannya tidak dicatat dengan jelas. Kemungkinan lahir sekitar tahun 1430M-1450M. Selain Raden Sahid, Sunan Kalijaga juga dikenal dengan nama Syekh Malaya, Lokajaya, Raden Abdurrahman, Pangeran Tuban, dan Ki Dalang Sida Brangti.

Ilustrasi Raden Sahid atau Sunan Kalijaga

Sunan Kalijaga hidup dalam empat era yakni era Majapahit (sebelum 1478M), Kesultanan Demak (1481-1546M), Kesultanan Pajang (1546-1568M) dan awal pemerintahan Mataram (1580-an).

Ada yang menyatakan, asal gelar Kalijaga adalah daripada kata Jaga (menjaga) dan Kali (sungai). Gelaran ini muncul kerana Sunan Kalijaga atau Lokajaya menantikan kedatangan Sunan Bonang selama tiga tahun di tepi sungai. Ada juga yang menulis, kata itu berasal dari nama sebuah desa di Cirebon, tempat Sunan Kalijaga pernah berdakwah. Pendapat lain, oleh kerana kenakalan beliau yang berlanjutan menjadi perompak, beliau mendapat gelaran Lokajaya yang bermakna penguasa wilayah. Lokajaya adalah gabungan dari dua perkataan yakni Loka bermakna wilayah dan Jaya bermaksud menguasai).

Raden Sahid mendapat pendidikan agama sejak kecil dari guru-guru agama yang didatangkan khusus untuk penghuni Kadipaten Tuban. Setelah usianya menginjak dewasa, Raden Sahid menyedari banyak kezaliman yang dilakukan oleh pihak Kadipaten terhadap rakyatnya iaitu meminta cukai yang tidak masuk akal. Tidak tahan melihat musibah itu, Raden Sahid secara bersembunyi ‘mengambil’ bahan makanan di Kadipaten. Hasil ’ambilan’ itu diagihkan kepada rakyat yang memerlukan. Dipendekkan cerita, perbuatannya sampai ke pengetahuan Kadipaten dan hukuman dijatuhkan. Akhirnya beliau diusir daerah.

Setelah di usir dari Tuban, Raden Sahid membawa diri. Beliau menjadi seorang pengembara dan akhirnya dia menetap di Hutan Jatiwangi. Selama bertahun, Raden Said menjadi perompak ‘budiman’ kerana hasil rompakannya tidak pernah dimakan akan tetapi beliau agihkan kepada fakir miskin. Harta yang dirompak hanya milik para hartawan atau orang kaya yang bakhil dan tidak menyantuni rakyat.

Detik Perubahan

Pada suatu hari, seorang berjubah putih melalui hutan. Dari kejauhan, Raden Sahid memerhatikannya. Orang itu membawa sebatang tongkat yang gagangnya berkilauan. Terus diperhatikan sehingga Raden Sahid berjaya merebut tongkat tersebut dari tangan lelaki berjubah putih itu setelah mengadang langkahnya. Tindakan itu menyebabkan orang berjubah putih itu jatuh tersungkur.

Dengan susah payah orang itu bangun, bergenang air mata di kedua kelopak mata orang itu walau tidak menangis. Raden Sahid pada saat itu sedang mengamati gagang tongkat yang dipegangnya. Ternyata, tongkat itu bukan dibuat dari emas, hanya gagangnya sahaja dibuat dari warna kuning sehingga berkilauan seperti emas apabila diterangi cahaya matahari. Raden Sahid hairan melihat orang itu menangis lalu segera beliau menghulurkan tongkat itu kembali.

Jangan menangis, ini tongkatmu ku kembalikan”, kata Raden Sahid.

Bukan tongkat ini yang kutangisi”, ujar lelaki itu sambil memperlihatkan beberapa batang rumput di telapak tangannya.

“Lihatlah !, Aku telah berbuat dosa, berbuat perkara sia-sia. Rumput ini tercabut ketika aku jatuh tersungkur tadi”, ujar lelaki berjubah putih tersebut.

Dengan kehairanan Raden Sahid bertanya, “Hanya beberapa lembar rumput, kau merasa berdosa?”,  tanya Raden Said hairan.

“Ya, memang berdosa ! kerana kau mencabutnya tanpa suatu keperluan. Andaikata kucabut guna makanan ternak itu tidak mengapa, tapi untuk suatu perkara sia-sia suatu dosa !“, jawab lelaki itu.

Bergetar hati Raden Sahid atas jawapan yang sarat nilai iman itu,

“Anak muda, sesungguhnya apa kau cari dalam hutan ini?”, tanya orang berjubah putih itu.

“Saya mencari harta”, jawab Raden Sahid.

“Untuk apa?”, orang berjubah putih itu bertanya lagi.

“Saya berikan kepada fakir miskin dan penduduk yang menderita”, jawab Raden Sahid.

“Hmm, sungguh mulia hatimu, namun sayang, caramu tidak betul”, balas orang berjubah putih itu.

“Orang tua…apa maksudmu?”, soal Raden Sahid.

“Boleh aku bertanya anak muda?, Jika kau mencuci pakaianmu yang kotor dengan air kencing, apakah tindakahmu itu benar?”, orang berjubah putih itu melontarkan pertanyaan.

“Sungguh perbuatan bodoh”, Jawab Raden Sahid.

Hanya menambah kotor dan bau sahaja”, Raden Sahid menjawab lagi.

Lelaki berjubah putih itu tersenyum dan berkata, Demikian pula amal yang kau lakukan. Kau bersedekah dengan barang yang kau perolehi secara haram (mencuri) itu sama halnya mencuci pakaian dengan air kencing.”

Lelaki itu melanjutkan bicaranya lagi, “Allah itu adalah Zat yang baik, hanya menerima amal dari barang yang baik atau halal”.

Raden Sahid tercengang dan tersentuh dari kata-kata orang tua itu. Raden Said akhirnya diterima menjadi murid kepada orang tua tersebut setelah melalui beberapa ujian. Siapakah orang tua itu? Ternyata kelibat orang tua itu adalah Sunan Bonang, putera kepada Sunan Ampel yang juga merupakan salah seorang Wali Songo.

Pendekatan Dakwah Sunan Kalijaga

Kisah Sunan Kalijaga memang tidak pernah padam dalam kalangan masyarakat pesisir utara Jawa Tengah hingga Cirebon. Terutama caranya berdakwah, yang dianggap berbeza dengan kaedah para wali yang lain.

Dalam menyebarkan Islam, Sunan Kalijaga tidak menyerang pegangan dan budaya masyarakat yang kental dengan ajaran hindu-budha. Sebaliknya Sunan Kalijaga melestarikan kebudayaan serta tradisi. Beliau sangat terbuka terhadap nilai-nilai yang sedia ada. Tidak hanya menonjolkan jati diri muslim tetapi beliau juga mengamalkan toleransi serta menyediakan ruang yang terbuka kepada masyarakat dengan wadah kesenian, budaya dan tradisi.

Lantaran sifat keterbukaan itu, Sunan Kalijaga sangat memahami apa keinginan masyarakat setempat dan akan mengelak sebarang penyampaian atau pendekatan yang akan mengguriskan masyarakat. Sifat begini amat jarang dimiliki oleh pendakwah zaman sekarang yang tidak ambil kisah soal budaya dan tradisi malah ada yang memusuhi. Pendekatan unik dakwah Sunan Kalijaga adalah seperti berikut:

Pertama : Wayang Kulit

Medium dakwah Sunan Kalijaga yang sangat menonjol adalah wayang kulit.  Ahli sejarah mencatatkan bahawa wayang yang digemari masyarakat sebelum kehadiran Sunan Kalijaga adalah wayang beber. Wayang jenis ini di atas kertas yang bergambar kisah wayang. Wayang adalah sebuah kosakata asli bahasa Jawa yang bererti bayang atau bayang-bayang yang berasal dari kata ‘yang’ dan mendapat awalan ‘wa’ menjadi wayang.

Wayang Kulit

Sunan Kalijaga diyakini sebagai penggubah wayang kulit. Setiap tokoh wayang dibuat gambarnya dan disungging di atas kulit lembu. Bentuknya berkembang dan disempurnakan pada era kejayaan Kerajaan Demak, 1480-an. Cerita dari mulut ke mulut menyebut bahawa Sunan Kalijaga juga hebat sebagai Tok Dalang. Di wilayah Padjajaran, Sunan Kalijaga lebih dikenali sebagai Ki Dalang Sida Brangti.

Apabila mendalang di kawasan Tegal, Sunan Kalijaga bertukar nama menjadi Ki Dalang Bengkok. Ketika mendalang itulah Sunan Kalijaga menyisipkan dakwahnya. Lakonan yang dimainkan tidak lagi bersumber daripada kisah Ramayana dan Mahabarata tetapi Sunan Kalijaga mengangkat kisah-kisah rekaan beliau.

Sunan Kalijaga ternyata seorang yang kreatif kerana telah mencipta banyak kisah atau wayang yang berunsurkan tauhid. Misalnya cerita yang berjudul Jamus Kalimasada, Wahyu Tohjali, Wahyu Purboningrat dan Babat Alas Wonomarto. Disamping berpencak sebagai Tok Dalang, Sunan Kalijaga juga mereka peralatan kelengkapan wayang dan pementasan.

Rebana Peninggalan Sunan Kalijaga yang direka pada tahun 1412M yang terdapat di Muzium Benda Kuno, Keraton Kasepuhan, Cirebon.

Sebelum permainan wayang kulit, Sunan Kalijaga akan memulakan dengan berkongsi nasihat Iman kemudian mengajak para penonton mengucap dua kalimah Syahadah. Setelah beriman, beransur-ansur datang keinginan mahu solat dan ibadah lainnya. Bermula fasa itu, Sunan Kalijaga akan membimbing penonton yang serahkan diri mereka.

Klimaks dari pendekatan wayang kulit ini ialah perubahan dari wayang berbentuk manusia  kepada kalikatur seperti dilihat wayang kulit hari ini. Ceritanya, ketika bermesyuarat berhubung perasmian Masjid Demak, Sunan Kalijaga telah mencadangkan diadakan pertunjukan wayang kulit di Masjid Demak tatkala majlis perasmian. Kemudian diadakan dakwah dan rakyat yang berkumpul boleh masuk setelah mengucapkan Syahadatain. Ketika cadangan itu dilontarkan, wayang kulit masih berbentuk manusia pada kulit binatang.

Usul Sunan Kalijaga ditolak oleh Sunan Giri (juga salah seorang anggota Wali Songo) yang berhujah wayang berbentuk manusia adalah haram hukumnya. Sunan Kalijaga  kemudian melanjutkan perbincangan lanjut (kompromi) dengan Sunan Giri. Sebelum itu, beliau awal-awal  merubah bentuk wayang kulit berbentuk manusia kepada sebuah bentuk yang tidak lagi kelihatan seperti manusia tetapi mirip kepada kalikatur.

Sunan Kalijaga membawa wayang kulit rekaan terbarunya ke Sidang Wali, dan apabila dibentangkan, Sunan Giri menyetujui wayang kulit sebagai media dakwah kerana tidak lagi tampak seperti manusia. Kesepakatan tercapai, dan akhirnya perasmian Masjid Demak yang dimulakan dengan solat jumaat diteruskan dengan pertunjukan wayang kulit yang dikepalai oleh Ki Dalang Sunan Kalijaga.

Menurut Syaikh Sidi Rohimuddin Nawawi Al Bantani di dalam bukunya ‘Kisah Ajaib Wali Songo’, ada dua sebab kenapa Sunan Kalijaga memilih wayang kulit sebagai medium dakwah Islam.

  1. Wayang kulit adalah ciri khas seni yang halus dan mudah diterima masyarakat secara meluas. Secara nomatif, beliau menjalankan dakwah Islam dengan konsep ‘moderate’ yakni mengajak seseorang masuk Islam tanpa kekerasan dan mampu beradaptasi dengan kehendak masyarakat setempat.
  2. Pemakaian wayang kulit menunjukkan kehebatan Sunan Kalijaga dalam menghidupkan tradisi atau budaya setempat yang berkolerasi dengan nilai Islam.

Peranan Sunan Kalijaga dalam wayang kulit termasuk inovasi bentuknya adalah sumbangan besar dalam proses kesenian dan kebudayaan Nusantara. Bukan sahaja wayang kulit terkenal di Jawa, malah hingga ke Pattani dan Kelantan.

Kedua : Tembang – Tembang.

Selain wayang kulit, pendekatan dakwah Sunan Kalijaga juga ialah dengan karya tembang-tembang (seperti syair – syair lagu). Antara karya tembang Sunan Kalijaga yang masyhur dan paling banyak dihafal adalah Kidung Rumeksa Ing Wengi. Tembang lainnya adalah Ilir-Ilir. Tembang ini mengandungi nasihat spiritual dan juga banyak dihafal oleh orang Jawa. Liriknya mempunyai tafsir yang sarat dengan dakwah. Misalnya “tak ijo royo-royo dak sengguh penganten anyar”. Ungkapan ijo royo-royo bermakna hijau, lambang Islam. Sedangkan Islam, sebagai agama baru, dimisalkan pengantin anyar iaitu pengantin baru.

Senikata Ilir Ilir

Peninggalan Sunan Kalijaga lainnya adalah gamelan, yang diberi nama Kanjeng Kyai Nagawilaga dan Kanjeng Kyai Guntur Madu. Gamelan itu kini disimpan di Keraton Jogjakarta dan Keraton Surakarta, seiring dengan berpindahnya kekuasaan Islam ke Mataram. Pasangan gamelan itu kini dikenal sebagai gamelan Sekaten.

Ketiga : Ganti puji-pujian dalam adat sesaji

Sunan Kalijaga juga menggantikan puji pujian dalam acara sesaji yang biasa dilakukan penganut hindu dengan doa dan bacaan dari kitab suci Al Quran.

Keempat : Mengajarkan falsafah hidup.

Selain pendakwah dan seniman, Sunan Kalijaga juga merupakan seorang filosof yang banyak mengajarkan makna kehidupan. Beliau mengajarkan falsafah Wit Galingga atau falsafah pohon kelapa yang mana manusia seharusnya mencontohi pohon kelapa yang dari hujung daun hingga ke hujung akarnya memiliki manfaat.

Kelima : Memakmurkan masjid

Disamping itu, Sunan Kalijaga juga bertindak sebagai Penyatu Ummah. Beliau telah memakmurkan Masjid sebagai pusat dakwah dan pusat gerakan persatuan ummah atas dasar semangat persaudaraan Islam dan gotong royong. Masjid Demak menjadi saksi usaha Sunan Kalijaga menyatukan masyarakat yang tidak bersatu antara satu lain akibat pengaruh sistem sosial berdasarkan  kasta ketika itu.

Keenam : Tasauf

Selain pendekatan dakwah yang disebutkan di atas, cara dakwah Sunan Kalijaga seterusnya dan merupakan intipati segala macam cara dakwah beliau iaitu dakwah yag berakar dari tasauf atau kesufian. Sunan Kalijaga juga dikenali sebagai mursyid yang mengajarkan tarekah Syathariah yang diambil dari Gurunya Sunan Bonang.

Ajaran islam yang disebarkan oleh Sunan Kalijaga dan wali songo lain  adalah ajaran tasauf yang sangat menekankan kasih sayang, persaudaraan dan gotong royong. Hal ini sangat sesuai dengan keperluan masyarakat yang saat itu yang berpecah belah dan berada dalam konflik akibat ketidakstabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan.

Detik Akhir Hayat

Dakwahnya berlanjutan ke arah timur, melalui pesisir utara sampai ke Kadilangu, Demak. Di sinilah diyakini Sunan Kalijaga menetap lama hingga akhir hayatnya. Kadilangu merupakan tempat Sunan Kalijaga membina kehidupan rumah tangga. Isteri yang disebut-sebut hanyalah Dewi Sarah, puteri Maulana Ishak. Pernikahan beliau dengan Dewi Sarah dikurniakan tiga orang anak. Salah satu anaknya ialah Raden Umar Said, yang kemudian bergelar Sunan Muria.

Sunan Kalijaga adalah susuk yang sangat dekat dengan masyarakat Jawa sehingga kini. Beliau termasuk salah satu dari Sembilan Wali yang telah berperanan menyebarkan Islam di Tanah Jawa. Beliau telah menggunakan medium pendekatan tradisi dengan mengusahakan dakwah dengan seni budaya yang mengakar dalam masyarakat Majapahit. Misalnya melalui wayang kulit, gamelan, tembang, seni ukir dan batik yang sangat popular pada masa itu. Berbanding para wali dan ulama’ lain yang berjubah dan berserban, Sunan Kalijaga lebih senang berpakaian busana dan ‘ketayap’ Jawa untuk lebih dekat dengan masyarakat Jawa. Lebih menarik, Sunan Kalijaga sendiri yang mereka khas baju busana Jawa yang digelar Baju Taqwa.

Busana Jawa atau Baju Taqwa yang direka oleh Sunan Kalijaga memuatkan falsafah Jawa. Ternyata Sunan Kalijaga juga berkemahiran dalam seni reka batik.

Dari petani, pedagang, bangsawan termasuk para raja senang hati menerima ajaran Sunan Kalijaga yang berciri Jawa namun tetap Islami. Kombinasi ilmu, spiritual dan jiwa seni yang tinggi membuatkan beliau menjadi tokoh yang meninggalkan warisan budaya bernuansa Islam hingga kini.

Kehebatan Sunan Kalijaga tidak hanya pada bidang keilmuan sahaja, beliau juga memiliki pusaka handalan iaitu Keris Kyai Carubuk. Keris tersebut memiliki 17 lok kemudian diwariskan secara turun temurun. Dikatakan keris ini dapat mengalahkan ‘kesaktian’ Keris Setan Kober. Selain Carubuk, Sunan Kalijaga juga memiliki keris pusaka handalan lain iaitu keris Kyai Kiai Sengkelat.

Setelah lama berdakwah, Sunan Kalijaga kemudian mengasingkan diri (uzlah). Setelah uzlah selama 3 bulan, Sunan Kalijaga menghadap Allah Taala pada tahun 1580M dan dimakamkan di Kadilangu, Demak. Makam Sunan Kalijaga termasuk salah satu peninggalan yang bersejarah. Ia terletak di Desa Kadilangu, Demak iaitu sekitar 3KM dari Kota Demak sebelah tenggara. Nama Kompleks pemakaman Sunan Kalijaga disesuaikan dengan nama Desa Kadilangu menjadi Kompleks Makam Kadilangu. Kompleks Makam ini terbahagi kepada lima halaman dan lokasi makam Sunan Kalijaga berada di halaman kelima dengan kedudukan lebih tinggi berbanding makam lainnya.

Penulis di hadapan Kompleks Pemakaman Sunan Kalijaga di Kadilangu, Demak.

Namun, ada pendapat lain mengatakan bahawa Makam Sunan Kalijaga berada di Cirebon. Di Cirebon, terdapat desa yang bernama Kadilangu juga. Lokasinya sekitar 2.5KM ke arah barat daya dari Kota Cirebon. Kata sebahagian orang, di sana lah Sunan Kalijaga dimakamkan. Tambahan lagi, desa itu memang pernah menjadi tempat tinggal Sunan Kalijaga ketika hayatnya. Bukti lain yang mengatakan makamnya di Kadilangu, Cirebon juga kerana terdapat Soko Tatal di Masjid Kesepuhan alun-alun Cirebon yang diyakini dibuat oleh Sunan Kalijaga sebagaimana yang terdapat di Masjid Demak.

Laluan ke Makam dipenuhi gerai-gerai jualan. Suasana meriah yang sama di mana-mana kawasan Makam Wali Sembilan (songo).

Oleh itu, bagi mereka yang meyakini bahawa Sunan Kalijaga dimakamkan di Kadilangu, Cirebon, Makam Sunan Kalijaga di Demak hanya peninggalan sejarah cuma.  Walaupun terdapat dua pendapat berhubung Makam Sunan Kalijaga, persis apa yang berlaku kepada gurunya Sunan Bonang (ada Makam di Bawean dan di Tuban), masyarakat pada umumnya sering melakukan kunjungan ziarah Makam Sunan Kalijaga di Desa Kadilangu, Demak, Jawa Tengah.

Sekian,

Angah Sunan

Pengasas Sunan Press PLT

angahsunan.patriots@gmail.com

Rujukan

(1) Petikan dari kertas kerja Jejak-Jejak Dakwah & Tasauf Wali Songo oleh Sidi KH Dhiauddin Kuswandi di Wacana Keharmonian Islam Nusantara, Kota Kinabalu, Sabah 2017.

(2) Pengalaman peribadi penulis dalam kembara beliau

(3) I.Rofi’ie Ariniro, Panduan Wisata Religi Ziarah Wali Songo, penerbitan Saufa (2016)

(4) MB. Rahimsyah. AR, Wali Songo Penyebar Agama Islam di Tanah Jawa, disertai Tata Cara Ziarah Kubur, Cipta Karya Surabaya (2011)

(5) Sidi Rohimuddin Nawawi Al Bantani, Kisah Ajaib Wali Songo, Melvana Publishing (2017)

(6) angahsunan.blogspot.my (blog peribadi)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.