SULTAN Sharif Ali ibn Sharif Ajlan merupakan Sultan ketiga Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam yang memerintah dari tahun 1425 sehingga 1432. Baginda merupakan sultan Brunei dari keturunan Arab dan terkenal dengan gelaran sebagai Sultan Barakat. Baginda juga berketurunan Rasulullah SAW dari jalur Saidina Hassan.

Sharif Ali ketika kedatangan baginda ke Brunei pada tahun 1395 mempunyai keperibadian yang tinggi dan ditambahlagi dengan kearifan baginda di dalam syiar Islam telah berjaya menambat hati Sultan Ahmad, pemerintah kedua Brunei pada waktu itu sehingga akhirnya dikahwinkan dengan puteri baginda yang bernama Puteri Ratna Kesuma. 

Oleh kerana Sultan Ahmad tiada dianugerahkan putera maka Sharif Ali, menantunya ditabalkan menjadi Sultan Brunei yang ketiga dengan persetujuan daripada pembesar-pembesar Brunei dan rakyat pada waktu itu. 

Sewaktu pemerintahan Sultan Barakat inilah Kota Batu iaitu kawasan bersejarah Brunei dan pernah menjadi kota pertahanan Negara Brunei sewaktu dahulu itu dibina.  Diceritakan sewaktu pembinaan Kota Batu, lebih kurang 40 buah kapal sengaja ditenggelamkan di kawasan sekitarnya dengan meletakkan batu di dalamnya.  Dari situlah muncul kawasan itu dinamakan Kota Batu yang kita kenali sekarang. 

Selain terkenal dengan pengukuhan syiar Islam termasuklah undang-undang Islam sehingga terbinanya sebuah masjid yang pertama di Brunei, baginda adalah seorang pemerintah Brunei yang mewariskan alat-alat kebesaran Brunei seperti Tunggul Alam Bernaga dan Mahkota Sultan Brunei yang digunapakai sehingga sekarang di dalam adat istiadat Kesultanan Brunei. 

Jika kebanyakan kerajaan-kerajaan nusantara terkenal dengan keris-keris diraja yang mempunyai sejarah tersendiri, untuk Sultan Barakat amat berlainan kerana baginda memiliki satu pedang yang dikatakan sentiasa kemas dibawa oleh baginda walau ke mana sahaja sewaktu pemerintahan baginda di Brunei Darussalam.  Pedang yang dinamakan “Pedang Si Bongkok” masih lagi disimpan utuh di Muzium Brunei sebagai salah satu simbol sejarah di dalam menceritakan kewujudan Baginda di dalam pemerintahan Negara Brunei Darussalam.  

Berdasarkan catatan Tarsilah Brunei yang memperjelaskan Salasilah Raja-Raja Brunei yang bermula daripada Sultan pertama iaitu Sultan Muhamad atau Awang Alak Betatar sehinggalah kepada Sultan ke-19 Sultan Muhammad Tajuddin ada menceritakan bahawa Sultan Barakat, Sultan ketiga Brunei berasal dari Taif, Mekah. Dan keberadaan Pedang Si Bongkok yang dimiliki oleh Sultan Barakat kerana baginda adalah seorang penguasa atau Amir Mekah.

Menurut satu buku yang berjudul “Buku Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah Dan Kerajaan Melayu” ada menceritakan bahawa Sharif Ali diangkat menjadi Penguasa Mekah ketika usianya masih muda dan bukanlah senang untuk baginda menjadi Penguasa Mekah pada waktu itu kerana terdapat konflik perebutan kuasa selepas mangkatnya Syarif Ahmad pada tahun 1387. Ini kerana anakanda Syarif Ahmad yang bernama Syarif Muhammad masih kecil dan belum lagi akal baligh maka penguasa Mekah dibantu pentadbirannya oleh ayahanda saudara yang bernama Syarif Qubaish ibni Syarif Ajlan. 

Kemuncak kepada konflik perebutan kuasa adalah tatkala Syarif Muhammad telah dibunuh dan sejak itulah sepupunya iaitu Syarif Inan ibni Mughamis yang didokongi kuat oleh Syarif Ahmad ibni Thaqabah ibni Rumaithah, Syarif Aqil ibnu Mubarak ibni Rumaithah dan Syarif Ali ibni Ajlan ibni Rumaithah telah diiktiraf dan diangkat oleh Raja Mesir untuk menjadi penguasa Mekah.  Namun atas sebab-sebab tertentu Raja Mesir telah menarikbalik kuasa daripada Syarif Inan dan seterusnya melantik Syarif Ali ibni Syarif Ajlan sebagai penguasa Mekah yang baharu.

Bukanlah senang untuk menjadi Amir Mekah apabila mantan Amir sebelumnya masih lagi ada.  Syarif Inan terus-terusan tidak berpuashati dengan pentadbiran Sharif Ali sehingga menyebabkan ianya menganggu gugat pentadbiran yang baru.  Untuk itu Syarif Ali dengan keizinan daripada Raja Mesir telah bertemu secara empat mata dengan Syarif Inan bagi merungkai kekusutan yang sedia ada.  Namun seribu kali sayang, jalan perdamaian yang dicari tidak mendapat maklumbalas yang positif daripada Syarif Inan.  Dan kerana itulah Syarif Inan telah dipenjara agar penguasaan Syarif Ali sebagai Amir Mekah lebih aman. 

Ada satu ketika, Syarif Inan yang mendapat bantuan daripada luar telah berjaya melarikan diri daripada penjara dan berjaya menemui Raja Mesir.  Selepas memberikan penjelasan yang panjang lebar dan berjaya meyakinkan Raja Mesir akhirnya Raja Mesir telah membatalkan hukuman penjara ke atas Syarif Inan.  Sharif Ali yang mengetahui bahawa Syarif Inan telah berjaya meyakinkan Raja Mesir telah mula mengumpul segala kekuatan yang sedia ada. 

Kemuncak episod pertelingkahan perebutan kuasa Amir Mekah ini adalah pada tanggal 14 September 1387, apabila satu pertempuran antara pasukan Syarif Inan dan Syarif Ali bertembung di satu kawasan bernama Syeib Al-Azir.  Walau tiada pihak yang menang mahupun kalah pada waktu itu namun ianya sudah cukup untuk menimbulkan suasana genting di Mekah. Mekah pula dikhabarkan di dalam keadaan kacau bilau kerana telah terbahagi kepada dua kem iaitu pro Sharif Ali dan pro Sharif Inan.

Pada bulan Oktober 1387, Raja Mesir telah mengambil jalan tengah agar Mekah tidak terus bergolak kerana musim haji sudah semakin mendekat.  Untuk itu satu cadangan telah diutarakan agar Syarif Inan dan Syarif Ali berkongsi kuasa sebagai Amir Mekah.  Cadangan ini tetap ditolak oleh Syarif Inan yang sememangnya mahu kuasa yang unggul sebagai Amir Mekah satu-satunya. 

Di Mekah, Syarif Ali terus mendapat sokongan penuh dari Syarif-Syarif terkemuka di Mekah dan atas pengaruhsyarif-syarif inilah menyebabkan Al-Malik Az-Zahir Sayf ad-Din Barquq telah memberikan Amir Mekah sepenuhnya di tangan Syarif Ali.  Keputusan ini sekali lagi menjadi duri dalam daging bagi Syarif Inan dan penyokong-penyokongnya sehingga menyebabkan keributan di Mekah tiada penghujungnya. 

Bagi meredakan keamanan Mekah yang seringkali kacau bilau memaksa Syarif Ali telah bertindak menangkap dan memenjara penyokong Syarif Inan yang menentangnya secara terbuka.  Hal ini tidak disenangi oleh ramai syarif-syarif terkemuka di Mekah kerana ada antara mereka mempunyai pertalian keluarga menyebabkan akhirnya sokongan syarif-syarif di Mekah semakin kurang ke atas pemerintahan Syarif Ali.  Mekah terus di dalam keadaan genting sehingga menyebabkan ramai penduduk Mekah mula meninggalkan kota suci itu dan berpindah ke Yanbu. 

Pada penghujung tahun 1395, Sharif Ali ingin mencari ketenangan dari segala konflik yang membelenggu dirinya sejak mula menjadi Amir Mekah. Ditinggalkannya jawatan sebagai Amir Mekah sebegitu sahaja lantas mengembara dari Mekah ke Khaulan, Selatan Jazirah dan seterusnya membelah samudera luas sehingga menemui pelabuhan kekal bernama Brunei. 

Baginda sepanjang masa berkelana dari negara ke negara tetap tampil bersederhana sebagai seorang pendakwah mengembangkan syiar Islam tanpa sekalipun pernah memberitahu bahawa baginda adalah seorang Amir Mekah sebelumnya.  Hanya Pedang Si Bongkok pemberian Raja Mesir kepada baginda kekal disimpan sebagai saksi baginda pernah menjadi Amir Mekah.

Sultan Barakat mangkat pada tahun 1432 dan seterusnya pemerintah Brunei adalah putera baginda yang bernama Raja Sulaiman.  Daripada jalur Sultan Barakat inilah melahirkan pemerintah-pemerintah Brunei yang seterusnya dan ini termasuk Sultan Brunei yang bertakhta sekarang iaitu Sultan Hasanal Bolkiah. 

Baginda Sultan Barakat sewaktu hidupnya pernah beramanat bahawa apabila baginda mangkat kelak tiada pangkat darjat yang harus dibawa kerana semua manusia adalah sama disisi Allah yang Esa.  Kerana itulah hanya tertulis perkataan “Ali” pada batu nisan baginda yang terletak di Kubah Makam Diraja, Jalan Tuntong, Bandar Seri Begawan tanpa pangkat dan darjat. AL-FATIHAH.

-HB-

#kameksayangSarawakbah!

RUJUKAN:

  1. Buku Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah Dan Kerajaan Melayu. Penyusun Tun Suzana Tun Hussein & Haji Muzaffar bin Dato Haji Muhammad. (2006)
  2. Makam Sultan Sharif Ali. http://www.kerajaannusantara.com/id/brunei-darussalam/makam-sultan-sharif-ali
  3. Sultan-sultan Brunei – Pusat Sejarah Brunei. http://www.pusat-sejarah.gov.bn/Themed/sultanbrunei.htm
  4. Sultan Sharif Ali – Dikejar Dunia Tatkala Mengejar Akhirat – Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara
    https://www.facebook.com/MaktabPenyelidikanTamadunIslamNusantara/posts/sultan-sharif-ali-dikejar-dunia-tatkala-mengejar-akhiratsultan-sharif-ali-adalah/1488040324554052/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.