Kerajaan Samudera-Pasai antara kerajaan Melayu yang pernah berdiri di Sumatera. Sejarahnya yang panjang mencatatkan banyak raja-raja Melayu yang hebat lahir, menempa namanya untuk kekal harum dalam sejarah. Apa yang istimewanya, namanya harum dipuji oleh Ibn Battuta, seorang pengembara Islam yang terkenal. Ibn Battuta mempunyai kecederungan untuk mengkritik setiap sultan dan pemerintah kerajaan yang dilawatinya, tetapi Sultan Malik Al-Zahir Thani bebas daripada kritikan tersebut. Apa yang istimewanya pada sultan yang memerintah pada 1326 sehingga 1350 Masihi ini?
Dalam catatan Ibn Battuta yang tinggal di Samudera-Pasai selama 15 hari, beliau telah meletakkan baginda sebaris dengan pemerintah agung yang wujud pada waktu itu di seluruh dunia. Nama seperti Andronikos III (Maharaja Rom Timur – Byzantine), Sultan Mohammed Uzbeg Khan (Empayar Monggol – Gerombolan Emas), Sultan Muhammad bin Tughluq (Kesultanan Delhi) dan juga Sultan Mujahid Nuruddin (Sultan Kerajaan Rasulid di Yaman) diletakkan sebaris dengan pemerintah Samudera-Pasai ini. Ibn Battuta sentiasa mengaitkan baginda sebagai seorang sultan yang dermawan, tawaduk, menghormati tetamu, adil, menegakkan hokum Islam dan sentiasa mesra para ilmuwan dan mencintai ilmu.
Sesuai dengan imejnya sebagai pencinta ilmu, pengetahuannya tentang agama, terutama berkaitan dengan Mazhab Syafie yang dianutinya sangat mendalam. Ini berkat daripada amalannya menghimpunkan para ulama dan belajar dengan mereka. Contohnya seperti yang diceritakan oleh Ibn Battuta yang menceritakan bagaimana selepas solat jumaat, beliau dipanggil oleh sultan sendiri yang ketika itu diapit kiri dan kanan oleh para penuntut ilmu di dalam masjid yang turut disertai oleh Qadi Besar Pasai iaitu Syarif Amir Sayyir Al-Syirazi. Ibn Battuta sendiri di suruh duduk disebelah baginda lalu dimintakan Ibn Battuta menceritakan kisah pengembaraannya.
Selepas tamat kisah Ibn Battuta, proses menuntut ilmu berjalan seperti biasa sehinggalah sampai masuknya waktu Asar. Selepas solat berjemaah, maka sultan sendiri akan menukarkan pakaiannya. Untuk yang tidak tahu, Sultan Malik Al-Zahir Thani mempunyai dua pakaian istimewa. Sebuah pakaian dipakaikan ketika mentadbir, sebuah pakaian lagi dipakaikan ketika menuntut ilmu dengan para ulama. Pakaian itu dinamakan sebagai “pakaian fuqaha.”
Perasaan cinta baginda kepada para ulama tidak dapat diselindungkan lagi. Contohnya ketika kehadiran Syeikh Jamaluddin Akbar ke Samudera-Pasai, baginda menyambut kedatangan ulama yang datang dari Gujerat itu dengan penuh gilang gemilang kerana betapa besarnya peranan ulama ini dalam menyebarkan Islam di Nusantara. Mungkin juga sebab inilah Ibn Batutta disambut dengan meriah oleh Qadi Syarif Amir Sayyir Al-Syirazi, Tajuddin Al-Asbahani dan beberapa ulama lain dengan seekor kuda tunggangan sultan dan kuda-kuda lain.
Selain itu, Sultan Malik Al-Zahir Thani sangat terkenal dengan ekpedisi ketenteraan menundukkan kerajaan musuh yang tidak beragama Islam. Banyak yang tewas, lalu bersetuju untuk berada di bawah naungan Samudera Pasai. Kerajaan yang tidak memeluk Islam akan membayar jizyah kepada baginda. Kerajaan-kerajaan bukan Islam yang berada di bawah naungannya akan menerima dakwah Islam tanpa henti daripada Samudera-Pasai. Empayar Samudera-Pasai ketika itu dikatakan sehingga mencapai sehingga ke Kedah!
Namun, ketika baginda dalam sebuah lagi ekpedisi menundukkan kerajaan musuh, anak saudaranya tiba-tiba menabalkan dirinya sebagai sultan dan memaksa rakyat Samudera-Pasai berbaiah kepada dirinya. Sementara Sultan Malik Al-Zahir tiada di atas takhta, anak saudaranya ini memerintah dengan kejam. Ini membuatkan baginda murka kerana betapa anak saudaranya itu sudah diberikan pelbagai posisi dalam kerajaan dan juga keistimewaan.
Bahkan anak gadisnya juga dinikahkan dengan anak saudaranya itu. Madu dibalas tuba! Ketika ketumbukan tentera Samudera-Pasai dalam perjalanan pulang merampas kembali apa yang hak, anak saudaranya telah lari sehingga ke Pulau Jawa kerana takutkan balasan yang akan menimpanya atas pengkhianatan yang baru sahaja dilakukannya.
Sudah tentu, apabila raja sehebat baginda menghadap ilahi, maka seluruh negara dan empayar berkongsi rasa sedih. Mungkin sebab itu di makam baginda, terukirnya perkataan “Yang Mulia Malik Al-Zahir, Cahaya Dunia Sinar Agama.”
Untuk cahaya dunia, maksudnya merujuk kepada kejayaan baginda membangunkan Samudera Pasai menjadi sebuah kerajaan yang kaya raya, rakyatnya hidup dalam keadaan tenteram dan damai serta kejayaan dan meluaskan jajahan takluknya. Pada sinar agamanya, baginda tidak pernah lelah mengangkat agama ke tempat yang tertinggi, bahkan mendampingi para ulama atas nama ilmu.
Kerana betapa baginda ialah contoh sultan yang warak, pentadbir yang dikagumi, pencinta ilmu dan penakluk yang digeruni, namanya terus mekar dalam sejarah, menempatkan dirinya sebagai salah seorang sultan yang dikagumi oleh Ibn Battuta, dan seterusnya diri kita sebagai anak Melayu.
RUJUKAN:
E. Dunn, Ross. (1986). The Adventures of Ibn Battuta: A Muslim Traveler of the 14th Century. University of California Press.
Hasanuddin Yusof. (n.d) Sultan-Sultan Soleh Di Nusantara. AlHijrah Production.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih