Salah satu objektif kembara penulis ialah mengelilingi pulau Jawa secara intim, bergerak perlahan-lahan dari satu kabupaten (daerah) ke satu kabupaten lainnya. Banyak sebenarnya yang boleh dilihat dan dipelajari di pulau Jawa, bukan setakat melawat lokasi pelancongan dan kota-kota besar, tetapi menyantuni budaya dan gaya hidup masyarakat setempat memberi kepuasan yang lebih kepada penulis.
Dalam penulis menelaah sejarah lama raja-raja Kedah, penulis agak tertarik dengan kisah Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang punya jiwa seorang pengembara.
Begini kisah epik pengembaraan baginda…
Pada 25 Jun 1920, DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah bertolak dari Kedah menuju Pulau Pinang dengan menaiki kereta api berserta dengan Tengku Muhammad Jiwa, Tengku Muhammad, Cik Ahmad dan Cik Ismail turut mengiringi DYMM Sultan Kedah.
Perjalanan baginda kemudian diteruskan pula ke Singapura, juga dengan menaiki kereta api. Di Singapura baginda bersemayam di Hotel Raffles. Pada 29 Jun 1920, rombongan kecil baginda menaiki kapal Melchior Treub menuju pulau Jawa dan berlabuh di Surabaya pada 2 Julai 1920 dan disambut oleh Syed Ali Al-Attas.
Setelah berputaran di Surabaya, Sultan Kedah kemudiannya ke Yogyakarta. Pada hari ini perjalanan dari Surabaya ke Jogja dengan menaiki kereta api pun mengambil masa lebih kurang 5 jam.
Dari Jogja, Sultan Kedah mengembara kembali ke Jawa Timur, lebih tepat lagi ke daerah Bromo yang semestinya terkenal dengan keindahan Gunung Bromo dan juga ke Tosari dan Pasuruan. Daerah ini terletak di kaki Gunung Penanggungan yang terasa kesejukannya. Candi Jawi yang dibina oleh Kertanegara, raja kerajaan Singosari juga terletak di Pasuruan.
Dari Pasuruan, Sultan Abdul Hamid kemudiannya bergerak ke Kediri dan seterusnya ke Solo dan kini Tuanku sudah berada di Jawa Tengah. Dalam catatan kembara ini, dinyatakan kerajaan Solo ini sebuah kerajaan yang besar. Mungkin sahaja Sultan Kedah memaksudkannya kepada Surakarta Hadiningrat, iaitu kesultanan raja-raja Surakarta yang menguasai Solo dan Jogja.
Di Solo juga catatan menyatakan Sultan Kedah ada melawat ‘rumah berhala’ yang besar. Mungkin yang dimaksudkan ialah sama ada Candi Cetho dan Candi Sukuh di daerah Karanganyar yang berdekatan dengan Solo; atau yang dimaksudkan ialah Candi Prambanan atau Candi Borobudur di Yogyakarta, yang agak jauh dari Solo tetapi sememangnya dua candi ini yang paling besar. Namun, agak tak masuk akal untuk Sultan Kedah kembali ke Jogja sedangkan Tuanku sudah ke sana sebelum itu.
Tuanku kemudiannya tiba di Semarang dari Solo pada 18 Julai 1920. Dinyatakan Tuanku juga melawat Pekalongan dan Tegal yang terletak di utara pulau Jawa. Pekalongan terkenal dengan perusahaan batik Jawa dan dianggap sebagai lokasi penghasilan fabrik batik Jawa terbaik di seluruh pulau Jawa. Tetapi penulis tidak dapat meneka apa yang dilawat dan dicari oleh Tuanku di Tegal.
Dari Tegal, Tuanku Sultan Abdul Hamid meneruskan perjalanan masuk ke Provinsi Jawa Barat dengan melawat Cirebon di sebelah utara, Bandung, Lembang dan Garut di sebelah selatan pulau Jawa. Garut sememangnya terkenal dengan keindahan alam semulajadinya.
Sukabumi yang terkenal dengan seni, budaya dan gaya hidup masyarakat Sunda juga dilawati oleh baginda sultan. Dari Sukabumi, Tuanku Sultan Kedah meneruskan pengembaraan ke Bogor dengan melawat taman-taman indah yang menjadi ikon Bogor hingga kini.
Persinggahan terakhir Tuanku adalah di Betawi; dan tiba di sana pada 6 Ogos. Lima hari kemudian, pada 11 Ogos, baginda menaiki kapal Don Juan dan belayar pulang menuju Singapura dan tiba di sana pada17 Ogos. Baginda akhirnya pulang ke Kedah dengan menaiki kereta api dan tiba pada 25 Ogos 1920, jam 11 pagi.
Naratif panjang di atas mungkin sukar untuk kalian hadam, tetapi silalah rujuk kepada peta di atas untuk memahami magnitud sebenarnya pengembaraan Tuanku Sultan Abdul Hamid dan rombongan kecil baginda. Titik-titik merah itu adalah lokasi yang telah dilawati oleh Tuanku seperti yang terdapat dalam catatan.
Pengembaraan ini mengambil masa selama lebih kurang 2 bulan dan ia adalah satu perjalanan yang panjang… satu pengembaraan epik merentas pulau Jawa (transjava) yang bukannya mudah suatu ketika dahulu.
Rujukan:
1. At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Muhammad Hassan Bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad, Selenggaraan Dr. Ibrahim Bakar, PSMCK, 2018
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih