Pada tahun lalu, kita semua dapat menyaksikan pelantikan Ketua Hakim Negara wanita yang pertama dalam sejarah negara. Hal tersebut merupakan suatu perkara yang jarang-jarang untuk dapat dilihat di negara kita pada hari ini.
Namun demikian, tidak ramai mengetahui bahawa negara kita pernah melantik seorang hakim termuda bukan sahaja dalam sejarah negara malahan dalam sejarah negara-negara komanwel. Lebih menarik lagi, individu yang dilantik tersebut merupakan seorang ahli kerabat diraja dan anakanda kepada seorang Baginda Sultan di sebuah negeri di negara kita
Hal ini pastinya tidak diketahui ramai terutamanya mereka yang tidak langsung mengambil tahu akan sejarah Raja-Raja Melayu di negara kita. Lebih sibuk ‘mengkaji’ tentang sejarah Raja negara-negara barat berbanding dengan Raja-Raja Melayu kita yang berdaulat.
Tidak salah untuk ‘mengkaji’ tentang sejarah Raja negara-negara barat bahkan ia merupakan satu hal yang bagus. Tetapi, yang menjadi kesalahan adalah apabila tidak diambil peduli langsung akan sejarah Raja-Raja Melayu kita yang berdaulat ini.
Penglibatan Awal Dalam Undang-Undang
Seperti yang pernah kita pelajari dalam mata pelajaran sejarah di sekolah, pada zaman sebelum kemerdekaan, anak-anak raja akan dihantar ke sekolah-sekolah elit bagi membolehkan mereka belajar ke peringkat lebih tinggi di luar negara.
Perkara yang sama berlaku dalam perjalanan pendidikan Almarhum Sultan Azlan Shah. Baginda telah menjejakkan kaki ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK) seusai tamatnya pendidikan sekolah rendahnya di Batu Gajah, Perak.
Selepas tamatnya pengajian di Malay College Kuala Kangsar, Almarhum Sultan Azlan Shah telah terbang ke England bagi melanjutkan pengajiannya ke peringkat universiti. Di England, baginda telah menyambung pengajiannya dalam jurusan undang-undang di University of Nottingham.
Almarhum Sultan Azlan Shah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Mudanya dengan jayanya di university tersebut pada tahun 1953. Lebih membanggakan lagi, baginda telah dilantik untuk menyertai Majlis Peguam Inggeris kurang setahun selepas menamatkan pengajian undang-undangnya.
Hakim Mahkamah Termuda Negara
Setelah lebih sedekad berkhidmat di perantauan, Almarhum Sultan Azlan Shah pun kembali ke tanah air untuk berkhidmat dalam institusi undang-undang negara pula. Pada tahun 1965, baginda telah dilantik sebagai salah seorang Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.
Usia baginda yang pada ketika itu baru sahaja menginjak 37 tahun membuatkan namanya tercatit dalam sejarah menjadi Hakim paling muda yang dilantik dalam mana-mana negara komanwel. Sungguh membanggakan pencapaian Almarhum Sultan Azlan Shah ini.
Pencapaian kerja baginda yang mengagumkan telah menjurus kepada perlantikannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan 8 tahun berikutnya. Peningkatan kerjaya baginda tidak terhenti di situ sahaja apabila baginda telah dilantik pula sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya 6 tahun kemudian pada tahun 1979.
Baginda telah memegang jawatan tersebut selama kira-kira 3 tahun lamanya sebelum baginda dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada tanggal 12 November 1982. Almarhum Sultan Azlan Shah merupakan waris takhta diraja pertama dalam negara yang memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara itu.
Almarhum Sultan Azlan Shah kemudian telah secara rasminya melatakkan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada tarikh 2 Februari 1984 kurang 2 tahun selepas pelantikannya. Hal ini berlaku atas pelantikan baginda sebagai Sultan negeri Perak yang baru pada ketika itu.
Walaupun selepas peletakan jawatan baginda itu, baginda tidak pernah berhenti melibatkan diri dalam hal undang-undang negara. Ini dibuktikan dengan penglibatan Baginda dalam penyampaian berkenaan undang-undang dalam kuliah-kuliah awam di serata negara.
Lebih menakjubkan lagi, penyampaian-penyampaian baginda dalam kuliah-kuliah awam tersebut telah pun dikumpulkan seterusnya diterbitkan dalam senaskhah buku untuk dijual kepada umum.
Catatan Penulis
Jasa Almarhum Sultan Azlan Shah dalam soal kehakiman negara amatlah luas dan besar. Jasa-jasanya itu tidak harus dilupakan kita dan wajar sentiasa kita sematkan dalam lembaran sejarah negara untuk renungan.
Tambahan pula, jasa-jasa baginda ini membuktikan bahawa tuduhan-tuduhan jijik pihak tidak bertanggungjawab bahawa Raja-Raja Melayu hanya duduk goyang kaki dan berjoli sahaja adalah tuduhan kotor dan tidak berasas serta bersifat hanya untuk mencemarkan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Oleh itu, ayuhlah kita bersama-sama berganding bahu meningkatkan imej Raja-Raja Melayu dan memelihara Kedaulatan Institusi Raja di negara kita daripada anasir-anasir buruk yang sentiasa ingin mencemarkan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kita sayangi ini.
Semoga Roh Almarhum Sultan Azlan Shah Dicucuri rahmat dan ditempat di kalangan orang-orang yang beriman di sisiNya. Al-fatihah.
RUJUKAN :
- Orang Perak (10 Januari 2019). Sultan Azlan, Hakim Paling Muda Dalam Sejarah Komanwel. https://www.orangperak.com/sultan-azlan-hakim-paling-muda-dalam-sejarah-komanwel.html?fbclid=IwAR0Y-XKlhlU2ZlVzBZdbcl2o5ioSdwHFcSUuixpyDhka7h-SPFnjRqnNXaM
- Laman Rasmi Sultan Azlan Shah (n.d). His Royal Highness Sultan Azlan Shah. http://www.sultanazlanshah.com/his-royal-highness-sultan-azlan-shah
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih