Tidak lama lagi, Malaysia bakal menyaksikan upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang juga Sultan Pahang yang keenam, DYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Bagi peminat dunia sukan terutama sukan bola sepak, pasti sudah masak dengan peranan yang pernah dipegang baginda termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Ahli Majlis FIFA (2015-2019). Tetapi baginda lebih daripada itu dan menjadi kesayangan rakyat jelata tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik.

Sultan Abdullah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang. Baginda merupakan anak keempat dari lapan adik-beradik dan merupakan putera pertama Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Afzan. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan, Sekolah Kebangsaan St Thomas dan Sekolah Menengah St Thomas di mana kedua-dua sekolah berkenaan terletak di Kuantan.

Salah seorang guru baginda di Sekolah Menengah St Thomas, Arunandy Subramaniam, 69, menggambarkan baginda sebagai seorang pelajar yang berhemah tinggi, berbudi bahasa dan menghormati orang lain. Menurutnya, tidak wujud istilah perbezaan darjat walaupun Sultan Abdullah ketika itu merupakan pewaris takhta Kesultanan Pahang.

Masih segar di ingatannya semasa baginda menjadi ketua kelas Tingkatan Satu, baginda mencatatkan nama rakan-rakannya di papan hitam kerana berbuat bising. Tetapi sebaik melihat beliau, Sultan Abdullah segera memadamkan nama-nama itu dari papan hitam. Apabila ditanya mengapa baginda berbuat demikian, Sultan Abdullah menjawab baginda tidak mahu sesiapapun dihukum kerana berbuat bising.

Semasa di bangku sekolah, baginda juga aktif dalam bidang sukan terutama hoki dan bola sepak sebagai penyerang. Menurut Arunandy, jika Sultan Abdullah tidak menjadi pewaris takhta, baginda sudah pasti akan mempunyai karier sebagai ahli sukan yang hebat. Dan walaupun selepas berpuluh tahun berlalu termasuk apabila beliau menjadi guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah antarabangsa di Bukit Damansara pada tahun 2016, sifat dan keperibadian Sultan Abdullah yang dikenali Arunandy masih kekal sehingga hari ini.

Bagi yang pernah melihat gambar pertemuan baginda dengan Datuk Abd Mutalib Mohd Ali di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan pada 16 Januari lepas, pasti sedia maklum bahawa Datuk Abd Mutalib ini sebenarnya merupakan guru agama baginda. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Pertama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Selain sebagai guru agama baginda, beliau merupakan rakan muzakarah Sultan Abdullah berkenaan ilmu agama dari 1991 hingga 2000. Menurut Datuk Abd Mutalib, muzakarah ini selalunya diadakan apabila baginda bersemayam di istana di Pekan dan berlangsung antara setengah jam hingga sejam. Sultan Abdullah juga menunjukkan minat terhadap tulisan jawi kerana pada satu masa dahulu, ia digunakan secara meluas dalam banyak urusan termasuk urusan dengan pihak British. Berikutan itu, majlis perbandaran dan daerah Pahang dititah agar menggunakan tulisan jawi pada setiap papan tanda mereka.

Berkisar tentang pertemuan 16 Januari itu, Datuk Abd Mutalib merasa tersentuh apabila baginda sanggup mengenepikan protokol formal demi menunjukkan rasa hormat terhadapnya. Walaupun mempunyai kenderaan khas, Sultan Abdullah tetap menolak kerusi roda beliau ke khemah jamuan dan berulang kali mengungkapkan ‘Ini tuan guru saya’ sambil memperkenalkan Datuk Abd Mutalib kepada khalayak awam. Menurut beliau, didikan agama yang diterima baginda sejak dari kecil bukan saja menjadikan Sultan Abdullah tawaduk tetapi juga mencorakkan hubungan baginda dengan rakyat yang bersifat mesra masyarakat.

Sultan Abdullah kemudiannya melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan Aldenham School di Elstree, Hertfordshire (1975-1978), Kolej Davis, London (1978-1979), Akademi Tentera Diraja Sandhurst (1979-1980), Kolej Worcester, Oxford dan Kolej Ratu Elizabeth sebagai alma mater baginda. Di Kolej Ratu Elizabeth inilah, baginda menerima Diploma Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa pada tahun 1981.

Tatkala baginda berada di luar negara, Sultan Abdullah juga diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang pada tahun 1977 dan Pemangku Sultan Pahang buat kali pertama pada tahun 1979. Dari April 1979 hingga April 1984, baginda menjadi Pemangku Sultan Pahang semasa ayahanda baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad bergelar Yang di-Pertuan Agong.

Apabila keadaan kesihatan ayahandanya semakin merosot pada tahun 2016, Sultan Abdullah kemudiannya menjadi Pemangku Sultan Pahang buat kali kedua pada tahun sama sehinggalah baginda menaiki takhta sebagai Sultan Pahang pada tahun 2019. Pada Januari lepas, baginda menaiki takhta sebagai Sultan Pahang selepas Almarhum Sultan Haji Ahmad turun takhta atas sebab kesihatan.

Upacara yang berlangsung di Istana Abu Bakar itu menyaksikan baginda diberi gelaran Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar kini bergelar Tengku Ampuan Pahang.

Pada tanggal 24 Januari 2019, Majlis Raja-Raja Melayu memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 menggantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019. Majlis Raja-Raja Melayu juga memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan perlantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang yang baru dan menjadi Pemangku Sultan Pahang pada 29 Januari 2019. Memandangkan Tengku Hassanal Ibrahim masih lagi menuntut di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, tugasnya sebagai pemangku raja dibantu oleh Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh bapa saudara baginda merangkap adinda Sultan Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah dari 15 Februari 2019 hingga 15 Disember 2019.

Menerusi perkahwinan Sultan Abdullah dengan Tunku Azizah pada Mac 1986, pasangan ini dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat putera dan dua puteri. Sementara menerusi perkahwinan keduanya dengan bekas pelakon Julia Rais pada tahun 1991, mereka dikurniakan tiga puteri.

Sebelum menimang cahaya mata, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mengambil seorang anak angkat iaitu Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim pada tahun 1987. Tengku Amir Nasser merupakan putera bongsu Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim dengan isteri ketiganya, Czarina Abdullah.

Minat baginda dalam dunia sukan sejak dari kecil diterjemahkan menerusi kepimpinannya dalam beberapa organisasi sukan terutama bola sepak. Selain pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden dan Presiden FAM serta Ahli Majlis FIFA, baginda juga pernah menjadi Timbalan Pengerusi Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia 2015 dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan AFC.

Salah seorang rakan baik baginda merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB, Tengku Dato Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan baginda juga sebenarnya merupakan peminat setia Arsenal dan sentiasa mencari kesempatan menonton perlawanan bola sepak dengan antara perlawanan yang ditonton bersama ialah final Piala Dunia 2018 di Stadium Luzhniki, Moscow. Tengku Zafrul turut mengakui Sultan Abdullah sebagai seorang rakan yang baik dan berusaha mencari masa bersama rakan-rakannya termasuk mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali sebulan di sebalik kesibukannya sebagai ketua negara.

Selain sukan bola sepak, baginda juga aktif dalam sukan polo. Ini didedahkan rakan baik merangkap pemain polo Datuk Hata Ali, 73. Menurut beliau, sikap keterbukaan dan profesionalisme Sultan Abdullah di atas padang menjadikannya dihormati oleh rakan dan lawan termasuk bersedia mengetepikan soal protokol dan suka bersaing secara sihat.

Menurut Datuk Hata, minat baginda ini dikatakan bermula selepas mengikut ayahandanya, Almarhum Sultan Haji Ahmad ke padang-padang polo dan turut mencambahkan persahabatan mereka berikutan kedua-duanya sentiasa bertemu dalam perlawanan polo. Selain aktif bermain dalam negara, Sultan Abdullah juga aktif bermain polo di luar negara termasuk pernah bermain bersama Prince of Wales, Putera Charles. Di samping aktif sebagai pemain polo, baginda juga merupakan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) dan Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC).

Namun, minatnya terhadap dunia sukan sama hanyalah sekelumit berbanding soal hati-hati yang tersentuh dengan kebaikan yang ditunjukkan baginda sebagai pemerintah yang mencintai rakyatnya. Sudah pasti ramai membaca kisah mangsa kemalangan di Putrajaya yang menjadi tular bulan lepas apabila dia dibantu oleh Sultan Abdullah semasa dalam perjalanan ke Istana Melawati, Putrajaya untuk menghadiri sesi pra-mesyuarat kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mungkin ada yang menganggap ini sesuatu yang baru tetapi menurut pegawai khas dan protokol baginda, Datuk Abdul Rahman Endut, sudah menjadi tabiat baginda memerhatikan persekitaran sekeliling apabila mengembara ke sesebuah tempat.

Bukan sekali rombongan baginda menghentikan kenderaan untuk membantu mangsa kemalangan termasuk mangsa kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Lipis. Menurut Datuk Abdul Rahman, apabila mereka melalui kawasan kemalangan, baginda mengarahkan rombongan kenderaan dihentikan untuk meninjau apa yang berlaku dan melihat apa bentuk bantuan yang boleh dihulur.

Jika ada mangsa memerlukan rawatan kecemasan dan perlu dibawa ke hospital, baginda tidak keberatan mengarahkan ambulans rombongan diiringi oleh seorang pengiring motosikal membawa mangsa ke hospital. Ada ketikanya, baginda juga meminta salinan laporan kemalangan dan kesihatan mangsa dari polis dan hospital bagi melihat status mangsa dan menentukan apa lagi bentuk bantuan yang harus dihulurkan. Jika ada yang memerlukan rawatan segera termasuk melibatkan pembayaran, Sultan Abdullah tidak lokek melunaskan kos bayaran bagi memastikan mangsa kembali pulih seperti sedia kala.

Datuk Abdul Rahman yang sudah berkhidmat dengan Sultan Abdullah selama 45 tahun termasuk semasa baginda menjadi Tengku Mahkota Pahang turut menceritakan imej baginda yang tular membeli makanan segera KFC di restoran KFC di Temerloh bukanlah satu perkara yang baru. Ini kerana tabiat ini sudah menjadi tabiat baginda yang bermula sejak zamannya sebagai pelajar di Britain.

Justeru, jika ada yang melihat Sultan Abdullah dan kaum kerabat terdekatnya makan di restoran McDonald’s di Kuantan dan Pekan, maka itu merupakan satu pemandangan biasa. Nilai-nilai sebegini dianggap sudah sebati dengan penduduk Pahang yang arif dengan kesungguhannya mendekati rakyat.

Menurut Datuk Abdul Rahman lagi, jika baginda membaca artikel kesusahan rakyat di media massa atau menerusi aduan bila bertemu dengan rakyat, selalunya semua aduan ini akan disalurkan dalam satu kumpulan WhatsApp terdiri daripada setiausaha sulit baginda dan pegawai-pegawai MUIP. Mereka akan diarah menyiasat kesahihan aduan yang dibentangkan baginda dan menyediakan bantuan kepada pihak yang berkenaan.

Sultan Abdullah juga mahukan satu laporan berkenaan aduan itu dihantar kepadanya. Tambahnya, “Apabila Tuanku bertemu dengan rakyat, baginda tidak terlalu menekankan protokol. Tidak kira dari mana asal-usul si pengadu atau apa masalah yang dihadapi, baginda akan membantu mereka. Menurut pengetahuan baginda, bila orang mengadukan masalah kepadanya, baginda mahukan ia diselesaikan dalam hari yang sama.”

RUJUKAN:

1. Ishak, Amin Redzuan. (2019). Al-Sultan Abdullah tawaduk, pandang tinggi jasa ‘tok guru’. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/589280/al-sultan-abdullah-tawaduk-pandang-tinggi-jasa-tok-guru

2. Bernama. (2019). Al Sultan Abdullah pencetus inspirasi bola sepak Malaysia, Asia – AFC. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-sukan/al-sultan-abdullah-pencetus-inspirasi-bola-sepak-malaysia-asia-afc-203049

3. Bernama. (2019). Satu penghormatan besar didik Al-Sultan Abdullah, kata bekas guru. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/satu-penghormatan-besar-didik-al-sultan-abdullah-kata-bekas-guru-213061

4. Bernama. (2019). Sultan Abdullah sering bertanya khabar rakan – Tengku Zafrul. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sultan-abdullah-sering-bertanya-khabar-rakan-tengku-zafrul-213224

5. Bernama. (2019). When he plays polo, Al-Sultan Abdullah is just himself. New Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/07/506607/when-he-plays-polo-al-sultan-abdullah-just-himself

6. The Star. (2019). King’s humility wins accolades from the rakyat. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/07/25/kings-humility-wins-accolades-from-all-walks-of-life/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.