Semua para pemerintah atau Sultan-sultan Empayar Uthmaniyah pastinya masing-masing memiliki minat dan hobi tersendiri, sebagai contoh, Sultan Mehmed II meminati bidang ilmu linguistik, Sultan Suleyman Qanuni pula peminat besar karya-karya syair dan puisi, atau yang lebih unik sedikit, Khalifah Abdülmecid III memiliki minat dan bakat mendalam dalam seni lukisan dan muzik.

Tetapi tiada mana-mana Sultan yang memiliki minat yang unik dan bahkan boleh dianggap sebagai satu keghairahan selain pada sultan ini. Sultan Abdülhamid II terkenal dalam pelbagai perkara tetapi baginda sering dikenang kerana kesetiaannya sebagai pembaca dan peminat terbesar novel fiksyen penyiasatan detektif yang terkenal iaitu Sherlock Holmes, di mana, betapa baginda menghargai karya tersebut hingga baginda menganugerahkan darjah kebesaran kepada pengarangnya, Sir Arthur Conan Doyle.

Sultan Abdülhamİd II yang memerintah pada tahun-tahun terakhir Empayar Uthmaniyah sememangnya merupakan seorang raja yang unik. Walaupun pendidikan yang diterimanya dianggap tidak memadai, baginda memiliki banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran pentadbiran dalam mengendalikan urusan pemerintahan dengan keunggulan akal fikiran dan tanggungjawab, dan sedikit sifat kecurigaan disebabkan oleh dua cubaan rampasan kuasa sebelumnya.

Walaupun menghadapi tekanan kerja yang kuat, Abdülhamid tidak pernah meninggalkan hobi membacanya, kerana kebiasaan membaca inilah menjadi sebab mengapa baginda mengendalikan sebahagian besar urusan pemerintahan negara dari perpustakaan peribadinya.

Sultan Abdülhamid II terkenal sebagai pembaca novel yang gigih. Sultan ‘ulat buku’ ini sangat meminati artikel-artikel pengembaraan, penerbitan berkaitan hal ehwal kesihatan dan novel penyiasatan detektif. Baginda sentiasa mengikuti perkembangan sebarang penerbitan karya terbaru di Eropah dan menterjemahkannya di pejabat terjemahan yang ditubuhkannya di Istana Yıldız.

Sir Arthur Conan Doyle

Abdülhamid boleh membaca apa saja jenis buku dari waktu pejabatnya hingga ke larut malam. Tetapi, genre pilihan utamanya sebelum masuk tidur adalah novel penyiasatan detektif.

“Saya menghadapi masalah tidur, jadi saya meminta seseorang membacakan buku untuk saya, ia terasa seperti lagu dodoian tidur dibacakan untuk saya. Saya cepat terlelap pada cerita bab pertama. Saya mengelak dari membaca buku-buku yang berat dan mencabar pemikiran kerana bimbang buku itu akan melekat dalam pemikiran saya, menyukarkan saya untuk tidur di kemudian hari.”

Begitulah kiranya apa yang pernah dikatakan oleh Sultan Abdülhamid II suatu masa dahulu, berdasarkan catatan memoir Ayşe Osmanoğlu, salah seorang puteri Sultan Abdülhamid II, yang diterbitkan dengan tajuk “My Father, Sultan Abdülhamid”.

Esvapçıbaşı Ismet Bey akan membaca novel-novel detektif dengan kuat di sebalik dinding pemisah ruang mudah alih berhampiran tempat beradu sultan dan apabila baginda sudah disahkan tidur nyenyak, maka dia boleh meninggalkan bilik tidur Sultan dengan tenang..

Sultan Abdülhamid II adalah salah seorang pembaca terawal yang menerokai dunia Sherlock Holmes yang terkenal di Empayar Uthmaniyah. Pembaca Uthmaniyah didedahkan dengan kisah Sherlock Holmes pada tahun 1908 berkat terjemahan Faik Sabri Duran.

Namun, ada banyak siri kisah-kisah Holmes yang diterjemahkan lebih awal untuk bacaan sultan di dalam dokumen yang dipanggil “Koleksi Utama Yıldız” di Arkib Uthmaniyah dan di perpustakaan Universiti Istanbul yang juga memiliki koleksi milik Sultan.

Sherlock Holmes diterjemahkan ke dalam bahasa Uthmaniyah

Seorang penterjemah yang memperkenalkan dirinya sebagai “Corci the Servant” melalui manuskripnya yang dipersembahkan kepada Sultan dalam bentuk buku catatan, menterjemahkan banyak kisah Holmes yang jauh dari sebelum tahun 1908. Erol Üyepazarcı yang melakukan penyelidikan mengenai novel detektif menelurusi terjemahan  kisah-kisah Sherlock Holmes dari bahasa Inggeris ke bahasa Uthmaniyah (bahasa Turki Klasik) dan mendapati bahawa terdapat 72 terjemahan di Istana Yıldız dan 505 di Arkib Uthmaniyah Universiti Istanbul.

Sultan Abdülhamid II memerintah Empayar Uthmaniyah antara tahun 1876 dan 1909

Menurut Üyepazarcı lagi, buku detektif terkenal, ‘Arsen Lupin’ diterjemahkan ke bahasa Turki pada tahun 1905, dua tahun sebelum ia diterbitkan di negara-negara barat sebagai sebuah buku. Abdülhamid menjumpainya di sebuah majalah di mana ia diterbitkan sebagai karya bersiri dan dia telah menerjemahkannya di istana sebelum ia  disusun dan diterbitkan,

Sultan Abdülhamid II tertarik dengan apa yang ditulis oleh akhbar Uthmaniyah dan Eropah mengenai dirinya.  Sehubungan itu, baginda memerintahkan pegawai Uthmaniyah yang bekerja di kedutaan untuk menterjemahkan penerbitan akhbar asing dan melaporkannya kepadanya. Melalui terjemahan ini, baginda berjaya menyimpan semua karya yang ditulis dan diterbitkan mengenai dirinya di luar negara.

Adakalanya Sultan meminta karya-karya pengarang kegemarannya dihantar kepadanya oleh duta besar agar dapat diterjemahkan di pejabat terjemahan istana.  Kemudian pada suatu hari, dalam edisi Oktober 1903, Strand, sebuah majalah asing yang dilanggan oleh Sultan, muncul sebuah artikel mengenai Sultan yang ditulis oleh seorang pengarang India diterbitkan.

Semasa Corci si penterjemah sedang menterjemahkan artikel ini umtuk Sultan, dia terlihat karya penulisan Arthur Conan Doyle “The Empty House” pada halaman sebelumnya, dan memandangkan dia sedia maklum bahawa Sultan sangat berminat dengan kisah-kisah detektif, dia turut menterjemahkan kisah ini dan dipersembahkan kepada Sultan Abdülhamid II.

Siri Sherlock Holmes terjemahan bahasa Turki hari ini

Ini adalah kali pertama Sultan Abdülhamid II mengetahui tentang Sir Arthur Conan Doyle dan warak detektif fiksyen yang diciptanya, Sherlock Holmes. Sebaik sahaja sultan membaca kisah itu, dia semakin menyukai Doyle berbanding kisah-kisah detektif dari Perancis yang pernah dia baca selama ini  Kemudian sultan meminta Muzurus Pasha, Duta Besar Uthmaniyah di London untuk mengirimkan semua hasil karya Doyle ke istana.

Sir Arthur Conan Doyle Menerima Darjah Kebesaran  Uthmaniyah

Laksamana Inggeris, Sir Henry F. Woods, yang bertugas sebagai perunding kepada Angkatan Ten-tera Laut Uthmaniyah antara tahun 1869-1909, menulis tentang bagaimana Arthur Conan Doyle menerima pingat Darjah Kebesaran Uthmaniyah dari Sultan Abdülhamid II, dalam memoirnya “Spunyarn: From the Strands of a Sailor’s Life Afloat and Ashore. Forty-seven Years Under the Ensigns of Great Britain and Turkey.”:

“Abdülhamid mempunyai fikiran yang sangat aktif, dan walaupun dia memiliki pengetahuan dalam bahasa Perancis yang sangat terhad, dan tidak tahu bahasa Eropah lain, dia banyak membaca atau dibacakan kepadanya terjemahan buku-buku Eropah. Terdapat kakitangan  penterjemah di Istana Yıldız yang sentiasa bekerja sama ada menterjemahkan surat khabar atau buku Eropah, dan saya diberitahu oleh salah seorang dari mereka, seorang Yahudi Wina, yang meninggal dunia bertahun-tahun yang lalu, bahawa dia telah menterjemahkan untuk Sultan satu karya Machiavelli untuk tujuan bimbingan pembelajaran Puteranya. Dia sangat menggemari cerita detektif, dan sangat menyukai karya dari Sir Conan Doyle. Dia telah menterjemahkan semua karyanya untuk Sultan, dan apabila beberapa tahun yang lalu, pencipta Sherlock Holmes itu berkunjung ke Turki bersama isterinya dan menemani saya ke Selamlık, di mana Sultan mengurniakan anugerah tinggi Darjah Kebesaran Madjidie.”

Sir Arthur Conan Doyle turut menulis tentang peristiwa ini dengan pandangannya sendiri sedikit berbeza dalam memoirnya “Memories and Adventures” :

“Ketika itu bulan Ramadhan, dan sultan lama mengirimkan pesanan kepada saya bahawa dia telah membaca buku-buku saya dan dia berbesar hati akan melihat saya sekiranya bukan pada bulan yang suci. Dia menemubual saya melalui pejabatnya dan mengurniakan saya Darjah Kebesaran Medjidie, dan, apa yang lebih menggembirakan saya, dia memberikan Darjah Kebesaran Chevekat kepada isteri saya. Kerana ini adalah Perintah Kebaikan, dan memandangkan isteri saya sejak dia memijakkan kakinya di Konstantinopel, dia telah berusaha memberi makan kepada gerombolan anjing jalanan yang kelaparan berkeliaran di jalanan, tidak ada lagi hadiah lain yang lebih sesuai selain ini.”

Darjah Kebesaran Medjidie Perintah Kelas Pertama

Tanpa mengira kedudukan seseorang, setiap manusia kadang-kadang perlu bercuti dari kehidupan sebenar, sama ada sultan atau rakyat biasa. Sebilangan pihak cenderung menyalahkan cinta Sultan Abdülhamid terhadap novel penyiasatan jenayah di atas keperibadiannya yang skeptikal.

Memang patut pun seorang Sultan bersikap curiga terhadap segala yang berlaku di sekelilingnya dan merasa bahawa dia perlu campur tangan dalam urusan negara di setiap peringkat. Terutamanya kerana peristiwa-peristiwa yang menjurus kepada kebangkitannya menaiki takhta, dan beberapa siri se-rangan dan cubaan bu-nuh terhadap dirinya sendiri.

Baginda telah mengikut kaedahnya sendiri dan mengasaskan rangkaian perisikan di Istana Yıldız untuk mengumpulkan maklumat melalui pemberi maklumat dari seluruh negeri. Semua ini boleh jadi, disebabkan oleh minatnya yang mendalam terhadap novel penyiasatan dan detektif.  Namun, Sultan sendiri telah menjelaskan minatnya terhadap genre ini sebagai kaedah untuk melepaskan diri dari beban pekerjaannya yang berat dan urusan negara yang rumit.

RUJUKAN:

Kayahan, Ayse. (2018). Sultan Meets Sherlock Holmes: Abdülhamid II’s Passion For Mystery. Daily Sabah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.