Gurun Sahara merupakan gurun terbesar di dunia. Dengan luas keseluruhannya mencecah 9.4 juta kilometer persegi, Gurun  Sahara meliputi hampir keseluruhan rantau Afrika Utara. Memandangkan gurun ini menerima curahan hujan pada paras purata kurang 3cm dalam tempoh setahun dan sungai-sungainya pula (selain Nil) mengalir mengikut musim, maka kehidupan di sini sangat sukar untuk dijalankan. Walau bagaimanapun, terdapat juga kelompok masyarakat yang mendiami Gurun Sahara dan antaranya adalah suku Tuareg, suku yang sejarahnya boleh dijejak pada ribuan tahun yang lampau.

Menurut suatu sumber, perkataan ‘Tuareg’ merupakan variasi sebutan bagi sebuah perkataan berbahasa Arab yang membawa maksud ‘ditinggalkan oleh Tuhan’. Ada juga sumber yang mengatakan kononnya nama tersebut diambil daripada Targa, sebuah kota yang terletak di Fezzan. Masyarakat Tuareg sendiri kurang menggemari nama tersebut, dan mereka lebih cenderung menamakan diri sebagai ‘Imashaghen’ atau Imohag yangmembawa maksud ‘manusia bebas’.

Sejarahwan Yunani kurun ke-5 SM, Herodotus, mencatatkan bahawa pada masa itu, wilayah selatan Libya dihuni oleh sebuah masyarakat yang dikenali sebagai Garamantes. Kononnya, daripada Garamantes inilah lahirnya suku Tuareg. Menurut kisah rakyat Tuareg, asal-usul leluhur mereka dikembalikan kepada satu sosok yang dikenali sebagai Ratu Tin Hinan dan pembantu peribadinya, Takamet.

Kedua-dua tokoh ini dipercayai hidup pada kurun ke-3 atau ke-4 Masehi. Sewaktu Arab-Muslim membuka Maghreb (sebelah barat rantau Afrika Utara) pada kurun ke-7 Masehi, Tuareg mula berpindah ke barat daya. Menjelang kurun ke-11, mereka sudah pun tiba di Niger dan menubuhkan kota Timbuktu. Kehadiran suku Tuareg di rantau berkenaan memberi tekanan yang besar terhadap suku-suku tempatan, yang kemudiannya diusir jauh ke selatan.

Suku Tuareg berpakaian tradisional di padang pasir Mali

Memasuki kurun ke-14, suku Tuareg memeluk agama Islam dan kekal menganut agama tersebut sehingga ke hari ini. Mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti perdagangan di rantau Sahara, di mana barangan seperti emas, garam, dan hamba sahaya berkulit hitam lazim singgah di kota-kota mereka semasa dalam perjalanan menuju ke pantai Afrika Utara, Eropah, dan Levant.

Menjelang kurun ke-19, rantau Afrika Utara menerima kehadiran sebuah kuasa asing, iaitu Perancis. Pada mulanya, Perancis tidak berminat untuk mengambil wilayah-wilayah di Sahara sebagai koloni mereka. Namun, persaingan dengan Great Britain dan kuasa-kuasa Eropah yang lain dalam berebutkan Afrika pada penghujung kurun ke-19 dan awal ke-20 mendorong mereka untuk menakluki wilayah-wilayah yang dikuasai oleh suku Tuareg.

Tentunya, penjajahan Perancis ini ditentang dan dasar-dasar mereka ditolak oleh penduduk tempatan. Antara dasar yang dimaksudkan termasuklah pengeksploitasian tenaga kerja dan sumber asli yang dimiliki oleh suku Tuareg, pengerahan tenaga manusia secara paksa ke dalam pasukan tentera, penetapan cukai-cukai yang tinggi, dan pengharaman tradisi dan budaya suku Tuareg seperti mewarisi hamba sebagai harta pusaka dan tradisi menyerang suku-suku jiran. Sebagai bukti penentangan, suku Tuareg pun melancarkan serangan ke atas kepentingan-kepentingan Perancis demi merebut kembali kemerdekaan mereka. Namun malangnya, usaha tersebut tidak berhasil.


Lukisan dari Perancis yang menggambarkan seorang lelaki dari Timbuktu yang mengenakan pelitup muka, c. 1890

Pada tahun 1960, Perancis mula memberikan kemerdekaan kepada wilayah-wilayah koloni mereka di Afrika Barat. Justeru, banyak negara di sekitar Sahara mula membangun, kecuali wilayah suku Tuareg. Hal ini membangkitkan kemarahan mereka sekaligus mengakibatkan berlakunya penentangan pada tahun 1963, yang kali ini dihalakan kepada negara Mali yang ketika itu baru sahaja terbentuk.

Penentangan tersebut berjaya dihentikan pada lewat 1964, namun ia berlaku sekali lagi pada 1990an memandangkan permintaan mereka tidak diendahkan oleh pihak kerajaan Mali. Penentangan yang sama turut berlaku di Niger, di mana usaha-usaha awal untuk mengintegrasikan suku Tuareg ke dalam negara baru tersebut berakhir dengan sia-sia apabila berlaku pertukaran rejim pada tahun 1974. Rundingan demi rundingan dilakukan pada tahun 1995, namun tanpa hasil. Pada hari ini, perjuangan suku Tuareg untuk memperoleh kemerdekaan masih berlanjutan.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (13 April 2015). The Ancient Tuaregs, Lost Lords of the Sahara. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/ancient-tuaregs-lost-lords-sahara-002900


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.