Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidil fitri yang mulia

Bagi yang mendengar korus lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf, semua maklum ini merupakan antara lagu klasik lagi malar hijau daripada Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad menjelang sambutan Aidilfitri. Selain lagu ini, lagu-lagu lain yang dianggap sinonim dengan beliau seperti Balik Kampung, Apa Khabar Orang Kampung, Chow Kit Road, Warisan dan Salam Terakhir. Ini menjadikan Sudirman sebagai antara penyanyi dan penghibur serba boleh yang memberi kesan yang bukan sedikit terhadap negara sehingga ke hari ini.

Latar belakang

Anak jati Temerloh, Pahang ini dilahirkan pada 25 Mei 1954 dan merupakan anak bongsu daripada tujuh cahaya mata pasangan Haji Arshad Haji Hassan dan Hajah Romlah Dahalan. Beliau diberi nama Sudirman sempena pejuang kebangsaan Indonesia, Jeneral Raden Soedirman dengan harapan beliau menjadi seorang pahlawan yang hebat.

Sejak dari kecil lagi, Sudirman sudah menunjukkan minat terhadap dunia nyanyian dengan menyanyi sebagai hiburan keluarga dan jiran tetangga. Menurut kakak beliau Datin Rudiah Haji Arshad, mereka kadangkala sengaja menyanyi sumbang untuk mengusik Sudirman. Tetapi tidak seperti penyanyi lain yang menyanyi dari sudut vokal, keunikan suara dan bakatnya sebagai penyanyi  menurut Datin Rudiah terserlah kerana beliau menyanyi ikhlas dari hati.

Sekolah dan institusi yang mendapat penghormatan sebagai alma mater beliau ialah Sekolah Rendah Abu Bakar, Mentakab (1963-1968), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia, Temerloh (1969-1971), Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar, Kuantan (1972-1975) dan Universiti Malaya (1976-1980).

Menariknya pada tahun 1976 ini juga, Sudirman turut memulakan langkah dalam bidang seni dengan menyertai pertandingan Bintang RTM (prestij pertandingan sama seperti Akademi Fantasia dan Mentor hari ini) sambil memenuhi tuntutan pembelajaran di universiti itu.

Pada peringkat awal pertandingan, beliau sudah menangkap hati penonton kerana bersikap jujur, lucu dan kualiti suaranya yang unik. Menjelang Ogos 1976, Sudirman bergelar juara menerusi dua lagu iaitu Seruling Bamboo dan Big Spender in the Cabaret. Dan itu merupakan batu loncatan untuk Sudirman menempa nama dalam arena seni tanah air.

Pada tahun 1980, beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang dengan Kepujian Kelas Ketiga bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail. Selepas itu, Sudirman menjalani latihan guaman selama dua tahun sebelum layak bergelar peguam pada tahun 1984. Tetapi minatnya terhadap dunia seni lebih tinggi berbanding dunia perundangan dan itu menjadi fokusnya untuk tahun-tahun berikutnya.

Bintang yang bergemerlapan

Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dan mula melakar pelbagai kejayaan sama ada di dalam mahupun luar negara. Pada tahun 1985, Sudirman menyertai Pertandingan Lagu ABU Sedunia di Singapura dengan membawa lagu Pesta Dunia hasil ciptaan Manan Ngah dan lirik oleh Habsah Hassan. Walaupun beliau hanya mendapat tempat kelima daripada 14 orang peserta, lagu tersebut berjaya mendapat anugerah Lirik Terbaik dan Penyanyi Terbaik semasa Festival Lagu Asia Tenggara. Dan ia juga membantu mengharumkan lagi namanya di hati peminat.

1986 boleh dianggap sebagai tahun bersejarah buatnya. Ini kerana tahun ini menyaksikan Sudirman menganjurkan konsert terbuka percuma berskala besar di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur yang dihadiri 100,000 penonton dan dimasukkan dalam Malaysia Book of Records. Konsert ini diadakan bagi memberi peluang kepada peminat-peminat dari golongan marhaen untuk menonton persembahannya tanpa perlu risau tentang bayaran tiket.

Tetapi tidak ramai tahu berikutan bilangan penonton yang terlalu ramai juga membuatkan pihak berkuasa tidak senang duduk. Sehinggakan semasa konsert berlangsung, Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu Tan Sri Zaman Khan berdoa tiada peristiwa buruk berlaku di konsert Sudirman itu. Untuk konsert ini, lagu-lagu popular beliau dimainkan seperti Merisik Khabar, Chow Kit Road dan Balik Kampung. Tahun itu turut menyaksikan Sudirman dilantik sebagai Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia dengan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia menjadi lagu tema Tahun Melawat Malaysia 1986.

Tetapi 1989 dianggap kemuncak kepada pencapaiannya sebagai penyanyi dan penghibur. Pada Mac 1989, Sudirman berjaya merangkul anugerah Penghibur Terbaik dalam Anugerah Muzik Asia 1989 di Royal Albert Hall, London mengatasi lapan lagi pencabar termasuk penghibur malar hijau Anita Sarawak dari Singapura dan pengasas pop Kantonis, mendiang Leslie Cheung.

Bagi bekas pengurus Sudirman, Daniel Dharanee Kannan, sejak dari awal lagi, para juri pertandingan sudah merasakan bahawa hanya beliau saja yang layak memenangi anugerah Penghibur Terbaik. Malah semasa konsert, Daniel mendedahkan Sudirman juga berkesempatan berjumpa dengan penerbit muzik dan juri pertandingan terkenal Simon Cowell. Cowell merupakan rakan kepada salah seorang juri iaitu penyanyi Sinitta Renau Malone memuji beliau kerana mempunyai pakej lengkap sebagai penghibur.

Tidak ramai tahu lagu One Thousand Million Smiles itu yang dinyanyikan beliau semasa di Royal Albert Hall pada tahun 1989 telah dijadikan sebagai single dan dibikin di Studio Abbey Road, studio rakaman sama digunakan oleh kumpulan pop legenda The Beatles. Lagu itu kemudiannya dijadikan sebagai lagu tema sempena Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Info menarik kerjaya Sudirman

1. Berkemampuan menyanyi dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Bahasa Jepun, Bahasa Korea dan Bahasa Tagalog dengan lancar tanpa sebarang masalah.

2. Sentiasa berusaha semua program yang dianjurkan mendapat tajaan bagi memastikan peminat-peminat dapat hadir menonton persembahannya tanpa dikenakan sebarang bayaran. Sudirman juga tidak pernah menolak permintaan peminat sama ada untuk bergambar atau mendapatkan tandatangan autograf.

3. Sentiasa berjuang memperjuangkan hak artis termasuk isu hak cipta melalui Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) di mana Sudirman pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden PAPITA selama sepenggal.

4. Tidak ramai tahu beliau juga merupakan seorang penulis dan ilustrator bagi beberapa majalah Kumpulan Karangkraf dan pernah menjadi kolumnis jemputan untuk akhbar Mingguan Malaysia. Menerusi Mingguan Malaysia, Sudirman menggunakan kolum khas yang diperuntukkan kepadanya untuk menulis pelbagai isu termasuk isu serius. Malah, beliau juga berkesempatan menemubual beberapa figura penting walaupun kadangkala ia menimbulkan rasa canggung teramat kerana ditemubual penyanyi nombor satu negara ketika itu. Antara figura yang pernah ditemubual Sudirman ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba.

5. Pernah menghasilkan beberapa buah buku iaitu Sejarah Awal Sudirman, Dari Dalam… Sudirman dan Taming Si Budak Pintar. Sejarah Awal Sudirman terbitan Kumpulan Karangkraf merupakan sebuah buku kartun berkenaan sejarah awal Sudirman dari tahun 1954 hingga 1972 hasil tulisan dan ilustrasi beliau sendiri. Sementara Dari Dalam… Sudirman pula merupakan koleksi artikel beliau dari kolum Cetusan Rasa akhbar Bacaria dari 1983 hingga 1984. Buku ini diterbitkan pada tahun 1986 bagi membolehkan semua luahan dan pandangannya dapat dikongsi dengan peminat di luar sana. Sementara Taming Si Budak Pintar pula merupakan koleksi cerita kanak-kanak bagi melahirkan kanak-kanak pintar. Buku yang diterbitkan pada tahun 1995 itu memenangi tempat pertama Mobil-Malaysian Association of Book Publishers Awards.

6. Aktif sebagai usahawan menerusi pelbagai produk dan projek seperti minuman tin berkarbonat Sudi, Sudi Shoppe (sebuah kedai cenderamata yang menjual barangan artis popular termasuk dirinya seperti cermin mata hitam fleksibel), Sudi Rasa (produk makanan tin), Restoran Selera Sudi, Sudirman Production dan Sudir Records. Selepas beliau jatuh sakit pada pertengahan tahun 1991, semua projek yang diusahakan termasuk Sudirman Production ditutup pada September 1991.

7. Pernah tampil sebagai seorang pelakon untuk filem Kami pada tahun 1982 hasil arahan dan tulisan Patrick Yeoh. Walaupun filem tersebut tidak mendapat sambutan dari penilai-penilai filem Melayu ketika itu, itu tidak menghalang Zul Zamanhuri yang memegang peranan sebagai Din memenangi anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Malaysia. Filem ini juga turut menampilkan lagu berhantu Pelangi Petang yang menjadi siulan sehingga hari ini.

Sisi peribadi Sudirman

Dalam kesibukannya menghiburkan dan menggembirakan orang lain, tidak ramai tahu derita yang dihadapinya. Tetapi Sudirman tidak pernah menceritakannya kepada sesiapa kecuali adik-beradiknya sendiri. Contohnya bila beliau menderita penyakit radang paru-paru pada pertengahan 1991, yang tahu hanya keluarga rapat sahaja.

Ini didedahkan oleh seorang lagi kakaknya, Rodziah bila ditanya mengapa beliau merahsiakan penyakitnya itu, “Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia.”

Sudirman juga pernah berkahwin pada tahun 1981 dengan kekasih hati sejak dari kecil iaitu Kamariah ‘Kay’ Jamaluddin. Tetapi sayang, perkahwinan tersebut hanya bertahan selama tiga tahun sebelum pasangan itu bercerai pada tahun 1984.

Semasa menulis untuk kolum Masih Kuingat Lagi untuk majalah Utusan Filem dan Fesyen, beliau mendedahkan dua perkara yang meremukkan hatinya iaitu kehilangan ibu tercinta semasa masih kecil dan kegagalan perkahwinannya dengan Kay. Manifestasi kesedihan Sudirman dapat dilihat menerusi lagu Terasing dan Merisik Khabar serta lagu ciptaannya untuk penyanyi Ibnor Riza bertajuk Setiamu Tiada Lagi. Sejak itu dan sehingga akhir hayatnya, fokusnya ditumpukan kepada bidang seni sahaja.

Di sebalik pelbagai pencapaian hebat yang meletakkannya sebagai penghibur nombor satu negara, itu masih tidak mengubah dirinya sebagai seorang yang berhemah dan baik hati. Pada bulan Ramadan, Sudirman tidak akan menerima mana-mana undangan persembahan bukan saja untuk menumpukan perhatian kepada ibadat tetapi juga untuk membalas kiriman kad raya seperti didedahkan oleh Daniel.

Menurut beliau, antara 10,000 hingga 15,000 kad raya ditempah bagi membolehkan ia dapat dibalas dan dikirim kembali kepada peminat. Pada bulan itu juga, Sudirman tidak mahu diganggu selepas waktu berbuka puasa hingga waktu tengah malam kerana inilah masa baginya bersendirian dengan Penciptanya. Selalunya beliau akan ke masjid dan akan diambil sekitar jam 12.00 tengah malam hingga 1.00 pagi.

Manusia hanya merancang tetapi Allah lebih mengetahui segalanya. Selepas bergelut dengan radang paru-paru selama tujuh bulan, Sudirman akhirnya kembali ke rahmatullah pada usia 37 tahun di rumah kakaknya, Datin Rudiah di Bangsar, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1992. Ramai peminat termasuk figura terhormat seperti Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi jenazah Allahyarham. Bagi Tun Dr Mahathir, pemergian beliau dianggap satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air. Jenazahnya dibawa pulang ke Temerloh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh hari yang sama.

Legasi

Selepas kematiannya, penghormatan mula mencurah-curah ke atas Allahyarham seperti Anugerah Khas Anugerah Industri Muzik (AIM) dan sebuah jalan di Temerloh dinamakan semula sempena nama beliau. Pada tahun 2009, Sultan Pahang ketika itu, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menganugerahkan pingat pasca-kematian Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk. Pada tahun 2016 pula, sebuah tabung dibentuk iaitu Tabung Biasiswa Sudirman oleh Kuala Lumpur Performing Arts Centre seiring dengan konsert penghormatan One Thousand Million Smiles. Tabung ini ditubuhkan bagi membantu mana-mana penggiat seni yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

RUJUKAN:

1. Ariffin, Afiq. (2019). Sudirman penyanyi yang amat menghargai peminatnya – Bekas pengurus. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-hiburan/sudirman-penyanyi-yang-amat-menghargai-peminatnya-bekas-pengurus-208543

2. Chua, Dennis. (2017). Sudirman lives on in our hearts. New Straits Times. https://www.nst.com.my/news/2017/02/215084/sudirman-lives-our-hearts

3. Idris, Hasif. (2019). Sudirman: penghibur milik masyarakat. Utusan Malaysia. http://www.utusan.com.my/80-tahun-utusan/utusan-rakam-sejarah/sudirman-penghibur-milik-masyarakat-1.871191

4. Rama Lohan, N. (2017). Remembering Sudirman 25 years after his death. https://www.star2.com/people/2017/02/22/resend-remembering-sudirman-25-years-after-his-death/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.