Sukan tradisional ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri bermula daripada Zaman Tiga Kerajaan lagi. Hari ini, ia merupakan salah satu acara yang dipertandingkan dalam kejohanan sukan kebangsaan dan popular dalam kalangan anak-anak muda.
Apa itu ssireum?
Ssireum merupakan satu jenis seni mempertahankan diri Korea, yang sebaris dengan seni mempertahankan diri yang lebih terkenal seperti taekwondo, taekkyeon, hapkido dan kumdo. Berdasarkan definisi yang diberi oleh Persatuan Ssireum Korea:
‘Ssireum adalah satu bentuk sukan gusti Korea, menggunakan gaya tali pinggang, yang mana setiap penggusti harus menjatuhkan lawan mereka bermula dengan satu kaedah pegangan di pinggang masing-masing. Ssireum ini berkait rapat dengan sejarah Korea dan dianggap sebagai sukan tradisional. Cara untuk bermain ssireum adalah dengan melutut, mencengkam tali pinggang, berdiri dan terus bermain sehinggalah salah satu daripada pemain menjatuhkan badan dengan lututnya terkena tanah.’
Apa yang menarik tentang ssireum ini adalah semua golongan sama ada lelaki, wanita mahupun kanak-kanak boleh mencuba sukan ini. Secara budayanya, ssireum ini merupakan sebahagian daripada sukan yang dimainkan dalam acara keagamaan, festival, majlis umum dan apa-apa acara sosial atau majlis kebangsaan. Setiap kali masyarakat Korea berkumpul untuk meraikan sesuatu, mereka akan bermain Ssireum sebagai satu cara untuk membina dan mengeratkan hubungan kemasyarakatan.
Peraturan dalam ssireum
Bagi memulakan permainan ssireum ini, ritual asas yang harus dilakukan adalah, kedua-dua pemain perlu membongkok di hadapan satu sama lain dan kemudian memegang tali pinggang (satba) lawan mereka. Setelah membongkok dan memegang satba lawan, mereka berdua perlu mengikuti arahan pengadil untuk berdiri sambil memegang tali pinggang yang lain, yang tidak pernah dilepaskan hingga akhir permainan.
Setelah kedua-duanya bangun, mereka berdua mula bergerak dan masing-masing cuba untuk menjatuhkan yang lain. Pemain yang pertama kali menyentuh tanah (dengan mana-mana bahagian badan di atas lutut), dikira sebagai kalah. Perlawanan ssireum biasanya cepat dan ia adalah biasa untuk pihak lawan hanya bertahan sekadar beberapa saat. Ini menunjukkan bahawa sukan ini harus difahami sebagai satu aktiviti fizikal yang memerlukan kemahiran, bukan kekuatan mental semata-mata.
Ssireum adalah sukan yang dikuasai oleh lelaki, dan wanita hanya dibenarkan bermain pada peringkat amatur. Kerjaya sebagai seorang ahli gusti ssireum memerlukan seseorang itu untuk memulakan latihan berpasukan pada awal sekolah rendah dan terus mengambil bahagian dalam pertandingan sehingga pertengahan atau akhir dua puluhan. Jadual dan kaedah latihan adalah berbeza mengikut institusi, tetapi pada tahap ini, latihan harian berlangsung selama beberapa jam setiap hari. Atlit ssireum ini secara asasnya akan mempelajari bagaimana untuk menguasai kekuatan semula jadi mereka serta mengetahui pelbagai strategi dalam sukan ini.
Sejarah ssireum
Ada sejarah yang menyatakan bahawa ssireum ini telah wujud sejak zaman pra-sejarah apabila Semenanjung Korea mula ditemui, yang mana ia berperanan sebagai satu bentuk pertahanan diri oleh manusia bagi melawan haiwan liar dan manusia lain. Namun begitu, catatan awal sejarah mengenai ssireum ini boleh dilihat seawal Zaman Tiga Kerajaan, yang mana ssireum ini menjadi salah satu latihan wajib dalam ketenteraan bagi tentera dalam kerajaan.
Bukti-bukti sejarah yang dapat dilihat tentang ssireum ini terdapat pada makam diraja Goguryeo, yang dibina sekitar tahun keempat sebelum Masehi di kawasan Manchuria serta bahagian utara China (kini disebut Tonggou). Bentuk dua orang penggusti pada muralnya dipercayai menunjukkan aktiviti ssireum, namun lukisan ini tidak menunjukkan apakah peranan ssireum pada waktu itu.
Selepas Zaman Tiga Kerajaan, ssireum ini telah berubah daripada satu bentuk latihan ketenteraan kepada permainan rakyat. Dalam Dinasti Goryeo (berdasarkan History of the Goryeo Dynasty) menunjukkan ada catatan tentang teguran terhadap Raja Chunghye (1315–1344) disebabkan baginda secara tidak bertanggungjawab telah menyerahkan tugas rasminya kepada pihak pembesar kerana ingin meluangkan masa berlatih ssireum dengan seorang pembantu lelakinya di dalam istana. Walaupun mendapat kritikan, kegiatan raja ini dikatakan tetap berterusan.
Bukti sejarah mengenai ssireum pada era Joseon telah mula dikesan pada abad ke-14 hingga 17 Masehi. Bermula dalam Dinasti Joseon, ajaran Confucian telah dijadikan agama rasmi negara. Taktik ketenteraan menggunakan gusti telah memperlihatkannya sebagai suatu teknik yang sudah lapuk. Ahli Confucian menyarankan agar pendidikan dalam ketenteraan (teknik mental) diutamakan berbanding teknik fizikal yang lapuk seperti ssireum ini.
Sewaktu pemerintahan Raja Sejong, catatan The Chronicles of the Yi Dynasty telah menunjukkan baginda menganjurkan pertandingan ssireum bagi anggota tenteranya sewaktu sedang belayar. Satu lagi catatan menyatakan bahawa seorang lelaki hilang nyawanya sewaktu perlawanan ssireum, dan lawannya telah diarahkan untuk membayar harga pengebumiannya, tetapi tidak dijatuhkan hukuman.
Suatu pengisytiharan yang dibuat dalam catatan King Myeongjong’s Chronicles telah mengeluarkan larangan bagi para pelayan untuk bermain ssireum di dalam kawasan istana, tetapi membenarkan ia dimainkan oleh kanak-kanak.
Sementara itu, catatan dalam King Hyeonjong’s Chronicles (sekitar 1680) pula melaporkan bahawa seorang hamba telah menikam lawannya setelah kalah dalam pertandingan ssireum.
Satu catatan lukisan Sangbak pada abad ke-18 oleh Kim Hong-Do pula telah menggambarkan pertandingan ssireum di luar rumah yang mana para ahli gusti dikelilingi oleh ramai penonton serta para penjaja makanan, sekaligus menunjukkan kebangkitan semangat rakyat pada waktu itu.
Menjelang abad ke-20, ssireum tidak lagi dijadikan latihan dalam ketenteraan, dan ia dilihat sebagai satu sukan dalam kalangan kelas bawahan masyarakat Korea. Sewaktu penjajahan Jepun di Korea, pertandingan ssireum dibenarkan, kerana ia dilihat sebagai satu sukan yang menyerupai sukan sumo. Kejohanan ssireum yang ditaja secara komersil telah dianjurkan buat pertama kalinya pada tahun 1912, yang bertempat di Danseongsa Theater di Seoul. Penganjur bagi acara ini adalah Yugakkwon Club.
Pada tahun 1915, Kwangmundae Theater di Seoul telah membiayai kejohanan ssireum selama empat minggu dan memberi hadiah utamanya seekor lembu iaitu simbol bagi hasil pertanian di Korea. Pada September 1927, Kesatuan Ssireum Pan Joseon telah menganjurkan pertandingannya yang pertama bertempat di Sekolah Tinggi Whinmun di Seoul.
Pada tahun 1936, kesatuan ini telah membiayai Pertandingan Kejohanan Pan ssireum yang pertama di auditorium Chosun Daily News. Acara ini merupakan asas kepada Pertandingan Juara Ssireum Kebangsaan pada hari ini serta pelbagai lagi kejohanan ssireum kebangsaan yang lain.
Apa yang menarik tentang pertandingan ssireum ini adalah, pada zaman penjajahan Jepun, latihan serta kejohanan ssireum telah dijadikan alasan untuk para penentang pihak penjajah untuk mengadakan pertemuan rahsia mereka. Apabila penjajahan Jepun berakhir pada tahun 1945, ssireum mula dilupakan. Hal ini adalah kerana kebanyakan lelaki terlibat dalam proses pemulihan negara dan tidak mempunyai waktu untuk bermain ssireum.
Selepas berakhirnya era Perang Korea, pada tahun 1958, Festival Kesenian Rakyat Kebangsaan yang pertama telah diadakan dan ssireum menjadi acara dalam kategori sukan etnik. Undang-Undang Perlindungan Harta Kebudayaan Korea tahun 1962 telah menetapkan pemuliharaan terhadap sukan ssireum dan pada tahun 1972, stesen KBS (Korean Broadcasting System) telah menyiarkan kejohanan kebangsaan ssireum buat pertama kalinya.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Kesatuan Ssireum Daehan, berlangsung selama tiga hari di Stadium Tertutup Jangchung dan disaksikan oleh hampir 10,000 penonton. Ia adalah kejayaan besar dalam penganjuran kejohanan sukan ssireum yang menarik ramai orang terutamanya atlit dalam kalangan pelajar.
Pada April 1983, Kesatuan Ssireum Rakyat Korea telah menganjurkan Universal Hercules Contest yang pertama, bertempat di Stadium Tertutup Jangchung. Acara ini telah menarik ramai penonton termasuklah ahli politik dan ahli perniagaan, serta menaikkan rating siaran televisyen sehingga 80%, mengalahkan semua siaran bagi acara sukan yang lain di Korea pada waktu itu.
Tahun 1980-an menyaksikan semakin banyak organisasi serta badan kerajaan mula menubuhkan pasukan ssireum mereka yang tersendiri, dan ini menyumbang kepada peningkatan dalam ahli profesional ssireum. Badan-badan korporat seperti Samsung, LG Group dan Hyundai mula membiayai acara-acara ssireum ini.
Malah, semakin banyak acara ssireum kontemporari yang dianjurkan. Uniform untuk para penggusti ssireum telah dibuat, sistem pengadil dan peraturan asas dikuatkuasakan serta pemakaian pelbagai gaya satba (tali pinggang) mula dilaksanakan. Elemen simbolik warna biru dan merah yang menunjukkan Eum-Yang turut dimasukkan ke dalam sukan ini seperti gabungan seluar pendek biru bersama satba merah.
Pada tahun 2017, ssireum telah diletakkan sebagai National Intangible Cultural Asset yang bernombor 131. Setahun selepas itu, iaitu pada tahun 2018, ssireum akhirnya telah disenaraikan dalam Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity, hasil daripada penyertaan bersama antara Korea Selatan dengan Korea Utara.
Falsafah di sebalik ssireum
Jika dilihat dari sudut definisi praktikal, ssireum ini dikatakan sebagai satu sukan yang ‘bukan sekadar menolak, menarik dan mengimbangkan, tetapi merupakan falsafah bagi pergerakan manusia’. Malah, perkataan ssireum itu sendiri telah digunakan untuk menggambarkan suatu jenis komunikasi dan pergelutan, dalam erti kata perbuatan, seperti seseorang yang sedang ber ‘ssireum’ (bergelut) dengan sesuatu. Jadi, secara tidak langsungnya, ssireum ini mencetuskan satu ‘perasaan bersemangat untuk melakukan sesuatu, tetapi pada masa yang sama berjuang dan bergelut untuk mencapainya’.
Asal usul perkataan ‘ssireum’ itu sendiri masih tidak dapat dikenalpasti secara jelas. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ia datang daripada perkataan ‘ssauda’ yang bermaksud ‘berlawan atau berjuang’, manakala ada yang menyatakan ia berasal daripada perkataan ‘saruda’ yang bermaksud ‘mengulang pergerakan yang kuat’. Apa yang pastinya, ssireum kini semakin popular bukan sahaja dalam pelbagai golongan di Korea, malah mula dikenali di seluruh dunia.
Kebanyakan daripada bekas ahli gusti ssireum kini memiliki kerjaya yang terkenal dalam pendidikan, perniagaan, politik, serta hiburan, dan sejarah mereka dengan ssireum menjadi bahagian yang penting bagi biografi hidup mereka.
Oleh itu, sukan ssireum serta para atlitnya harus mengambil peluang pada hari ini untuk mengekalkan kehadiran mereka dalam media serta budaya popular Korea. Ssireum harus kekal sebagai sebahagian daripada nilai budaya Korea dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang.
RUJUKAN:
Green, T. A., & Svinth, J. R. (2010). Martial Arts of the World: An Encyclopedia of History and Innovation. California, USA: ABC-CLIO.
Telles, T. C. B., & Barreira, C. R. A. (2020). Ssireum: Approaching the Korean Wrestling. Martial Arts Studies, 10, 98–107. https://doi.org/10.18573/mas.107
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih