Spinosaurus merupakan haiwan pemangsa pra-sejarah yang masih kurang diketahui oleh pengkaji paleontologi. Diperkenalkan dalam filem Jurassic Park III, fosil dinosaur ini pertama kali dijumpai di Mesir sekitar 1910-an. Tetapi saintis baru mengetahui bahawa spinosaurus juga cekap memburu ikan dalam air.
Sebelum ini, ramai pakar paleontologi berspekulasi dinosaur yang wujud pada akhir era Cretaceous itu mampu memburu haiwan akuatik. Cuma yang menjadi perdebatan ialah sama ada spinosaurus mampu berenang dalam air atau sekadar menyambar mangsa pada kedalaman air yang cetek.
Bagi menguji sama ada ia memang berupaya berenang dalam air, sepasukan pengkaji diketuai Dr Nizar Ibrahim menguji ketumpatan dinding tulang spinosaurus dan baryonyx sebelum membandingkannya dengan ketumpatan dinding tulang haiwan yang masih wujud dan pupus.
Dan hasilnya, spinosaurus berkongsi ketumpatan dinding tulang sama dengan penguin. Ini menunjukkan spinosaurus menghabiskan banyak masa dalam air dan memburu haiwan akuatik. Ia juga mengesahkan spinosaurid – kumpulan yang mengandungi spinosaurus dan dinosaur yang sama jenis dengannya sebagai satu-satunya dinosaur selain burung yang beradaptasi dengan kehidupan dalam air.
Terdapat banyak ciri yang menyokong teori ini. Pertama, ketumpatan dinding tulang ini berperanan sebagai balast yang dapat menjimatkan tenaga spinosaurus bila menyelam dalam air. Tetapi dalam kes haiwan tertentu seperti gajah dan dinosaur jenis sauropod, ketumpatan tulang yang tinggi bertujuan menyokong badan haiwan-haiwan ini yang besar.
Tidak semua dinosaur dari keluarga spinosaurid mempunyai keupayaan sama seperti spinosaurus dan baryonyx. Suchomimus yang hidup sekitar kawasan Afrika dan diketahui mempunyai gigi panjang persis buaya mempunyai tulang berongga. Suchomimus juga memburu di permukaan air tanpa perlu berenang seperti spinosaurus.
Kedua, ketumpatan tulang yang dimiliki spinosaurus membantunya kekal dalam air untuk tempoh masa lama sebelum kembali ke darat. Bagi penyelidik Matteo Fabbri, kelebihan ini menjadikan spinosaurus sama seperti penguin dan buaya. Ini kerana haiwan-haiwan ini bukan sekadar mampu menyelam dan berenang dalam air tetapi mampu berjalan di daratan.
Di sebalik kelebihan ini, pakar paleontologi Kiersten Formoso dari University of South California (USC) berpandangan terdapat perbezaan antara spinosaurus dengan haiwan darat yang mampu hidup dalam air. Antaranya ialah ia mempunyai badan yang panjang dan kurus – haiwan akuatik pula mempunyai badan berbentuk bulat dan rata.
Selain itu, dinosaur jenis theropod seperti spinosaurus mempunyai badan lebih tegap jika dibandingkan dengan haiwan semi-akuatik lain – sesuatu yang boleh melambatkan renangannya dalam air. Spinosaurus juga bernafas melalui pundi udara sekaligus menyukarkan ia menyelam terlalu lama.
Tetapi semua ini berubah dengan melihat tapak fosil spinosaurus yang ditemui Dr Nizar di kawasan Sahara, Maghribi pada 2014. Pada lapisan batu sama yang memelihara fosil spinosaurus, terdapat juga fosil ikan pra-sejarah yang bergerak perlahan. Dr Nizar percaya ikan sebegini merupakan sasaran pilihan spinosaurus di kawasan habitatnya.
Ketika ini, fokus terbaru kajian beliau ialah melihat bagaimana spinosaurus dapat menyelam dalam air semasa menangkap ikan. Sementara satu kajian lain yang membandingkan dinosaur itu dengan spesies mamalia dan reptilia akuatik sedang dijalankan. Kajian kedua ini dijangka mendedahkan lebih banyak maklumat tentang haiwan pemangsa terbesar dalam era pra-sejarah.
RUJUKAN
James, L. (2022, 23 Mac). Spinosaurus: Largest prehistoric predator was ‘water-loving’ dinosaur which swam to hunt fish. The Independent.
Greshko, M. (2022, 24 Mac). Spinosaurus had penguin-like bones, a sign of hunting underwater. National Geographic.
Ilustrasi: Davide Bonadonna
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih