Jika diamati nama saintifik sotong pontianak iaitu Vampyroteuthis infernalis, ia sebenarnya bermaksud sotong pontianak dari neraka. Nama tersebut diberi disebabkan oleh rupanya yang menakutkan termasuk warnanya dari merah darah kepada hitam.
Bukan sekali ia dikelaskan semula dalam keluarga sefalopod oleh komuniti saintifik. Pada awalnya, ia diletakkan dalam kategori sotong kurita pada 1903 sebelum dikelaskan sebagai sotong. Hari ini, ia termasuk dalam kategorinya sendiri iaitu Vampyromorphida.
Bersaiz kecil iaitu sekitar 30 cm, sesetengah saintis menggelarnya sebagai fosil hidup. Ini kerana bentuknya hampir sama dengan bentuk fosil yang berusia 300 juta tahun yang ditemui baru-baru ini. Walaupun kecil, sotong pontianak betina jauh lebih besar berbanding sotong pontianak jantan.
Tidak seperti sotong lain, ia tidak boleh menukar warna kromtofornya. Sotong ini dilitupi oleh organ-0rgan yang menghasilkan cahaya yang dipanggil fotofor.
Selain mempunyai lapan lengan, ia turut mempunyai dua filamen penderiaan yang boleh dikeluarkan – satu ciri unik untuk haiwan ini. Seperti sotong dumbo, ia juga mempunyai dua sirip pada bahagian atas badannya.
Disebabkan ia mempunyai fotofor, ia secara tidak langsung mendedahkan habitat lautnya. Sotong pontianak tinggal di zon kedalaman antara 600 hingga 900 meter di bawah paras laut. Zon ini bukan saja mempunyai kadar oksigen yang sedikit tetapi ia juga gelap, sejuk dan mempunyai tekanan yang tinggi.
Tetapi terdapat beberapa ciri yang membantunya hidup di zon berkenaan. Pertama, darahnya yang berwarna biru lebih berkesan dalam mengikat dan melepaskan oksigen berbanding sefalopod lain. Kedua, ia juga mempunyai kadar metabolisme yang rendah sekaligus membantunya menggunakan tenaga secara berhemah. Ketiga, ia juga mempunyai statosista yang membantunya kekal seimbang.
Tidak seperti sefalopod lain, ia tidak dilengkapi dengan dakwat hitam sebagai mekanisme pertahanan. Namun begitu, sotong pontianak mempunyai dua mekanisme pertahanan. Pertama, melepaskan mukus biopendarfluor bagi mengelirukan haiwan pemangsa. Tetapi strategi ini hanya digunakan sebagai kaedah terakhir memandangkan ia memakan kadar metabolisme yang banyak.
Sebaliknya, sotong pontianak selalunya menggunakan mekanisme pertahanan kedua iaitu menukar bentuk badannya. Caranya ialah dengan menolak bahagian badan di bawah ke atas bagi menutup kepala. Bentuknya yang mirip nenas mengelirukan haiwan pemangsa sekaligus memberinya peluang untuk melarikan diri.
Walaupun digelar sotong pontianak, darah bukan makanan utamanya. Sebaliknya, makanan utama haiwan ini ialah salji laut, nama lain kepada detritus yang turun ke dasar laut. Sotong pontianak turut makan krustasea kecil sebagai makanan tambahannya.
Strategi pembiakan sotong pontianak berbeza dengan sefalopod lain. Ini kerana sotong betina membiak beberapa kali dengan hal ini memerlukannya menggunakan tenaga yang banyak. Walaupun cara membiaknya tidak diketahui, ia ditentukan oleh sumber makanan yang ada sekitarnya. Sotong betina akan menyimpan sperma sotong jantan sehingga masa sesuai untuk ia digunakan.
Terdapat tiga fasa tumbesaran sotong pontianak. Bagi fasa pertama, anak sotong ini mempunyai badan yang lutsinar, sepasang sirip, mata kecil, tiada webing dan filamen velar yang belum matang. Apabila ia mencapai fasa kedua, ia mempunyai dua pasang sirip dan makan salji laut. Akhirnya, bila sotong pontianak mencecah usia matang, ia mempunyai sepasang sirip. Sehingga hari ini, komuniti saintifik tidak mengetahui jangka usia haiwan berkenaan.
RUJUKAN
Helmenstein, A. M. (2018, 18 Mei). Meet the Vampire Squid from Hell (Vampyroteuthis infernalis). ThoughtCo.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih