Sebut saja sotong gergasi, ramai membayangkan imej sotong raksasa persis Kraken dalam legenda Scandinavia. Tetapi haiwan invertebra yang diberi nama saintifik Architeuthis dux ini tinggal pada kedalaman lebih 900 meter dan tiada sebab untuk menyerang kapal. Disebabkan ia jarang ditemui oleh komuniti saintifik, masih banyak maklumat yang tidak diketahui tentang sotong ini.
Berdasarkan rekod komuniti saintifik, sotong gergasi terbesar yang pernah ditemui berukuran 13 meter panjang. Tetapi saintis merasakan ia boleh mencecah 20 meter panjang.
Ini berdasarkan penemuan muncung sotong gergasi dalam perut ikan paus sperma – pemangsa utama haiwan invertebra itu. Dalam kebanyakan spesies sotong, sotong betina lebih besar daripada sotong jantan dan ini turut terpakai kepada sotong gergasi.
Sotong gergasi mempunyai lapan lengan dan dua sesungut, lengkap dengan penghisap berduri yang membantu ia menangkap dan membawa mangsa dekat dengan muncungnya. Muncung sotong terdiri daripada kitin keras – bahan sama yang membentuk rangka luar serangga. Bahagian tajam muncung digunakan untuk memotong mangsa kepada saiz yang boleh dinikmati sotong berkenaan.
Tetapi jika ada menyangka sotong ini sebagai sotong terbesar di dunia, anda salah. Gelaran itu cuba dicabar oleh sotong raksasa atau nama saintifiknya Mesonychoteuthis hamiltoni.
Menghuni Laut Selatan, ia mempunyai badan dan berat jauh lebih besar berbanding sotong gergasi. Satu spesimen sotong ini yang dipamerkan di Muzium New Zealand Te Papa Tongarewa mempunyai berat 450 kg – jauh lebih berat daripada berat sotong gergasi (275 kg).
Tetapi dari segi ukuran panjang, sotong gergasi boleh mengatasi sotong raksasa di mana sotong tersebut hanya boleh mencapai 14 meter panjang berbanding 20 meter panjang (sotong gergasi).
Sotong gergasi boleh ditemui di semua lautan di dunia pada kedalaman sekitar 900 meter. Kebiasaannya, ia ditemui di utara Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik, Afrika Selatan dan New Zealand. Tidak seperti spesies sotong lain, tiada variasi membabitkan sotong gergasi dan ia bercampur dengan sotong gergasi lain melalui migrasi.
Sotong gergasi gemar hidup secara bersendirian. Ini mengakibatkan saintis hanya boleh berspekulasi bagaimana sotong jantan dan betina ini mengawan. Mereka percaya ia terjadi dengan cara tangan sotong jantan meletakkan spermanya pada tangan sotong betina. Dari situ, sotong betina akan mengeluarkan telur dan memegangnya semasa proses persenyawaan dalam air dijalankan.
Si sotong betina kemudiannya melepaskan jutaan telur yang telah disenyawakan. Jutaan telur ini membentuk kumpulan telur yang besar sementara menanti masa untuk menetas. Sebaik saja menetas, anak sotong hanya berukuran 1 hingga 4 mm panjang dan mencari makanan pada kedalaman 200 meter.
Apabila mereka mencecah usia matang, barulah mereka menyelam ke dasar laut yang lebih dalam. Sotong gergasi mempunyai jangka hayat yang pendek antara tiga hingga lima tahun. Disebabkan jangka hayat yang pendek, ini mendorong haiwan itu membesar sehingga mencapai saiz antara 13 hingga 20 meter panjang.
Makanan sotong gergasi kebiasaannya ialah sotong-sotong lain yang lebih kecil dan ikan. Sotong gergasi sentiasa menjadi buruan ikan paus sperma. Tetapi sebelum menjadi makan malam haiwan mamalia laut itu, ia akan melawan habis-habisan menggunakan penghisap-penghisapnya.
Para saintis percaya legenda Kraken sebenarnya diinspirasikan daripada kisah para nelayan dan pelayar melihat sotong ini. Kraken dikatakan menyamar sebagai pulau kecil bagi mengumpan kapal-kapal sebelum memusnahkannya.
Tetapi hakikatnya, manusia tidak pernah menjadi sebahagian daripada diet pemakanan sotong gergasi. Dan itu sudah cukup menjelaskan ia tidak mempunyai sebab mensasarkan kapal-kapal di lautan.
RUJUKAN
Pester, P. (2021, 16 September). Giant squid: The real-life ocean Kraken. LiveScience.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih