Sotong biru atau lebih dikenali sebagai blue-lined octopus (Hapalochlaena fasciata) memang nampak comel dengan garis-garis biru terang yang menyala pada tubuhnya. Tapi jangan tertipu dengan rupa manisnya, sebab sotong ini sebenarnya menyimpan rahsia gelap dalam kehidupan cintanya. Di lautan yang penuh bahaya, kisah cinta sotong biru jarang berakhir dengan bahagia. Sotong jantan dari spesies ini bukan sahaja perlu memikat pasangan, tapi juga kena pastikan dirinya tak jadi mangsa selepas mengawan.
Sotong biru bukanlah haiwan yang bergantung pada kekuatan fizikal semata-mata. Sotong kecil ini dah berjaya bertahan jutaan tahun di lautan dengan menggunakan senjata rahsianya – racun yang sangat berbahaya. Racun itu dikenali sebagai tetrodotoksin (TTX), sejenis neurotoksin yang cukup kuat untuk melumpuhkan mangsa dalam sekelip mata. Biasanya, racun ini digunakan untuk mempertahankan diri daripada pemangsa seperti ikan besar. Tapi, dalam konteks percintaan, racun ini juga jadi penyelamat sotong jantan daripada dimakan oleh pasangannya sendiri.
Kalau korang nak tahu, sotong betina dari spesies ini jauh lebih besar dan dominan berbanding sotong jantan. Saiznya boleh jadi dua kali ganda lebih besar! Bayangkan betapa hebatnya betina ini. Tapi, apa yang lebih menggerunkan adalah sifat kanibalismenya – betina sotong biru cenderung memakan pasangan selepas mengawan. Kalau jantan tak cukup pantas dan bijak, alamatnya habislah riwayat dia di tangan (atau lebih tepat lagi, sesungut) si betina.
Namun, jangan sangka sotong jantan ni lemah tak berdaya. Dia pun ada strategi unik untuk pastikan dirinya selamat. Pada awal proses mengawan, jantan akan menggigit betina sambil menyuntik racun TTX ke kawasan berhampiran aorta pasangannya. Racun ini melumpuhkan betina untuk tempoh kira-kira sejam – cukup masa untuk jantan memindahkan sperma dan melarikan diri sebelum betina pulih semula. Genius, kan?
Kajian terkini oleh pakar biologi marin juga mendedahkan fakta menarik – kelenjar air liur sotong jantan tiga kali ganda lebih besar daripada sotong betina. Ini menunjukkan bahawa evolusi memang memihak kepada jantan dengan kapasiti racun yang lebih besar, khusus untuk memastikan dia masih hidup selepas sesi mengawan. Setelah kesan racun hilang, betina akan pulih tanpa sebarang kecederaan kekal, tapi pengalaman lumpuh itu cukup membuatkan dia hilang mood nak makan pasangannya.
Yang menariknya, bukan semua pertemuan romantik antara sotong biru berakhir dengan suntikan racun. Kadang-kadang, ada jantan yang berjaya mengawan tanpa perlu guna taktik berbisa ini. Semuanya bergantung pada ‘mood’ si betina – kalau dia tenang dan tidak agresif, jantan boleh selamat tanpa perlu menyuntik racun. Tapi, kebanyakan jantan tetap memilih untuk bermain selamat sebab risiko terlalu besar kalau tersilap langkah.
Sotong biru memang terkenal sebagai antara haiwan laut paling berbisa di dunia. Walaupun saiznya kecil, kurang daripada 20 cm, racun TTX yang ada pada sotong ini mampu melumpuhkan otot dan menyebabkan kegagalan pernafasan pada manusia dalam beberapa minit sahaja. Racun daripada seekor sotong biru cukup kuat untuk membunuh sehingga 26 orang dewasa! Tak hairanlah kalau spesies ini dianggap sebagai salah satu haiwan paling bahaya dalam ekosistem laut.
Penemuan mengenai strategi sotong biru ini membuka mata kita tentang bagaimana evolusi membentuk cara haiwan bertahan hidup dalam dunia yang penuh ancaman. Ia bukan sekadar tentang mencari pasangan, tapi juga tentang memastikan kelangsungan hidup selepas proses pembiakan. Sotong biru ni memang nampak comel, tapi di sebalik kecantikannya tersembunyi satu cerita yang penuh taktik dan perjuangan hidup.
MasyaAllah, begitu luar biasa ciptaan Allah. Sotong biru ni kecil dan nampak comel, tapi tersimpan kehebatan dan kecerdasan luar biasa dalam menghadapi dunia yang mencabar. Dalam dunia liar, setiap makhluk dikurniakan kebolehan unik untuk memastikan kelangsungan hidupnya. Sotong biru mengajar kita bahawa walaupun nampak lemah dan kecil, kebijaksanaan serta strategi bertahan hidup lebih penting daripada saiz dan kekuatan fizikal. Allah menciptakan segala-galanya dengan penuh hikmah dan keseimbangan – setiap spesies ada peranan dan caranya tersendiri untuk terus bertahan di muka bumi ini.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ilmu, inspirasi, makna, ketepatan, dan keindahan.

Comments are closed.