Shin Chaeho, penulis Ancient Korean History pernah menyebut tentang figura bernama Soseono ini dengan menyifatkan beliau sebagai ‘permaisuri yang membina dua kerajaan purba, Goguryeo dan Baekje.’
Jadi, siapa sebenarnya wanita bernama Soseono ini?
Soseono ialah anak perempuan kepada Yeontabal (연타발), ketua suku Keru, iaitu salah satu daripada lima suku Jolbon Buyeo (졸본부여). Tarikh kelahirannya tidak dapat dipastikan, namun wanita ini berkahwin dengan Wutae (우태), cucu Raja Haeburu (해부루) dari Buyeo Utara, dan melahirkan dua anak lelaki, Biryu (비류) dan Onjo (온조).
Suaminya, Wutae meninggal dunia awal dan dia membesarkan dua anak lelakinya di Jolbon. Kehidupannya stabil, kerana dia mempunyai asas wilayah yang kukuh yang sebahagian besarnya diwarisi daripada bapa dan suaminya.
Selepas beberapa tahun berlalu, dia ditakdirkan bertemu dengan seorang lelaki bernama Jumong. Ketika berkenalan, Soseono sedar bahawa Jumong ialah lelaki berkebolehan dan mempunyai kemahiran memanah yang sangat baik. Jumong dikatakan pernah membuat busur dan anak panahnya sendiri ketika berusia 7 tahun.
Bagaimana Soseono boleh berkenalan dengan Jumong?
Jumong ini ialah anak kepada Yuhwa, iaitu puteri Dewa Habaek. Yuhwa telah diusir ke Sungai Ubal dan bertemu Raja Geumwa. Anak-anak Raja Geumwa (금와) ini cemburu dengan lelaki berbakat besar ini, dan Jumong melarikan diri dan berpindah ke selatan ke Jolbon Buyeo.
Walaupun Soseono lebih tua lapan tahun daripada Jumong, dan juga janda dengan dua anak lelaki, Jumong berkahwin dengan Soseono dan menetap di Jolbon. Dengan bantuan Soseono dan bapanya Yeontabal, ketua suku wilayah terkuat, Jumong menjadi pahlawan hebat dan mendapat sokongan daripada orang ramai.
Akhirnya Jumong mengasaskan Goguryeo pada 37 B.C. dan Soseono menjadi permaisuri kerajaan yang pertama. Soseono turut membantu menghalang ahli puak daripada berpecah, dan membantu Jumong dalam mengukuhkan kuasanya.
Namun, kebahagiaan Soseono tidak bertahan lama. Pada tahun ke-19 pemerintahan Jumong, isteri Jumong sebelumnya, Lady Ye, dan anaknya sendiri, Yuri, datang ke Goguryeo. Jumong menjadikan Yuri sebagai putera mahkota.
Soseono berkecil hati setelah Yuri naik takhta dan meninggalkan Goguryeo bersama anak lelaki, 10 orang pengikut serta sejumlah orang dari suku Keru, suku asal Soseono. Mereka bergerak ke selatan dan sampai ke Hansan.
Biryu mahu tinggal di tepi pantai, jadi dia pergi ke Michuhol. Onjo pula membina sebuah istana bernama Wirye (위례) di kawasan Hanam pada 18 B.C., dan mengasaskan kerajaan baru, Sipje (십제).
Biryu menghadapi masalah di Michuhol kerana keadaannya yang tidak sesuai didiami. Dia berasa malu dengan tindakannya, dan akhirnya meninggal situ. Kerajaan Sipje Onjo telah dinamakan semula sebagai Baekje, yang bermaksud ‘Seratus keluarga menyeberangi laut.’
Soseono melihat kejayaan anaknya membina kerajaan baharu sedikit demi sedikit sehinggalah dia meninggal dunia pada 6 B.C. Soseono dikenang sebagai wanita yang menjadi tulang belakang pengasasan Goguryeo dan Baekje, meskipun pengakhirannya hanyalah sebagai seorang ibu biasa yang menyokong anaknya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih