Lebih 1000 tahun yang lalu, terdapat sebuah amalan aneh yang dimulakan oleh seorang sami Jepun bernama Kukai. Amalan ini bertujuan untuk mempersembahkan tingkat kemuncak disiplin dan dedikasi keagamaan yang dimiliki oleh seseorang sami. Sokushinbutsu, satu amalan berbentuk memumiakan diri sendiri merupakan sebuah ritual yang mengambil masa bertahun-tahun sebelum mencapai tujuannya dan ia memuncak kepada kematian dan pengawetan jasad.

Jika seseorang sami berjaya dalam melakukan sokushinbutsu ini, jasadnya akan ditempatkan di sebuah kuil untuk dikunjungi, disaksikan dan dihormati bahkan dipuja oleh orang ramai.

Kukai (774-834M) merupakan seorang sami, pengkhidmat awam, cerdik pandai, ahli puisi, artis dan pengasas kepada sebuah aliran keagamaan yang dikenali sebagai Shinon. Aliran ini menggabungkan beberapa eleman daripada ajaran Buddha, Shinto Lama, Taoist dan agama-agama lain.

Kukai dan para pengikutnya menerapkan pengamalan Shugendo, iaitu sebuah prinsip falsafah yang disandarkan kepada pencapaian kekuatan kerohanian menerusi disiplin dan penafian diri (zuhud). Menjelang akhir hayatnya, Kukai menjalani satu meditasi tahap tinggi dan beliau bahkan menolak sebarang makanan mahupun minuman – sekaligus membawa kepada kematiannya.

Jasadnya disemadikan di Gunung Koya yang terletak di wilayah Wakayama. Setelah beberapa tempoh kemudian, makam tersebut dibuka dan Kukai, yang dikenali sebagai Kobo-Dashi, ditemui dalam keadaan seakan-akan sedang tidur dengan postur tubuhnya tidak berganjak apatah lagi kondisi jasadnya tidak berubah. Begitu juga rambutnya yang masih tumbuh secara sihat dan kuat.

Sejak itu, proses sokushinbutsu pun dibentuk dan dikembangkan lalu proses pengmumiaan diri sendiri ini mula diamalkan oleh sejumlah pengikut setia aliran Shingon. Mereka-mereka ini tidak memandang amalan tersebut sebagai satu tindakan membunuh diri. Sebaliknya, sokushinbutsu dipercayai merupakan satu bentuk amalan yang bertujuan untuk mencapai tahap pencerahan selanjutnya dalam hal keagamaan.

Kukai bermeditasi sehingga meninggal dunia

Di dalam bukunya yang berjudul Living Buddhas: The Self-Mummified Monks of Yamagata, Japan, Ken Jeremiah mengemukakan kenyataan bahawa terdapat banyak agama yang melihat jasad sami-sami yang tidak mereput apatahlagi tercacat cela itu sebagai satu petanda kurniaan rahmat istimewa atau satu bentuk keupayaan yang luar biasa.

PROSES PENGMUMIAAN DIRI SENDIRI

Langkah-langkah yang terangkum dalam proses pengmumiaan tubuh badan sendiri ini merupakan suatu yang amat ketat lagi menyakitkan. Pada 1000 hari pertama, sami yang ingin menjalankan sokushinbutsu perlu berhenti daripada mengambil sebarang makanan selain daripada kacang, bijirin, buah dan beri. Mereka turut mula mengamalkan aktiviti-aktiviti fizikal lanjut bagi tujuan menghapuskan kesemua lemak pada tubuh badan mereka.

Untuk seribu hari yang berikutnya, diet pemakanan mereka akan diketatkan lagi iaitu kepada hanya kulit kayu dan akar pokok. Pada penghujung tempoh ini, mereka perlu meminum teh beracun yang diperbuat daripada getah pokok Urushi yang bakal mengakibatkan mereka muntah teruk dan kehilangan cecair dalam badan dengan pantas. Minuman ini turut berperanan sebagai pengawet tubuh di samping membunuh kesemua cacing dan bakteria yang berpotensi membuatkan tubuh mereput sesudah meninggal dunia.

Pada peringkat terakhir, iaitu setelah lebih 6 tahun persiapan yang penuh menyeksakan, si sami tersebut perlu mengurung diri mereka sendiri di dalam sebuah makam batu yang bersaiz sedikit besar berbanding tubuhnya. Di dalam makam tersebut, sami itu perlu duduk dalam posisi teratai dan bermeditasi – langsung tidak berganjak hingga meninggal dunia.

Kemudian, sebuah tiub udara kecil akan dimasukkan ke ruangan itu untuk membekalkan oksigen. Pada setiap hari, si sami itu akan membunyikan sebuah loceng bagi memaklumkan kepada rakan-rakannya di luar bahawa beliau masih hidup. Apabila loceng itu mula berhenti berbunyi, tiub akan dialihkan dan makam tersebut akan ditutup dengan rapi selama seribu hari lagi.

Sami Shinon yang berhasil melakukan sokushinbutsu

Pada akhir tempoh itu, makam tersebut akan dibuka untuk melihat sama ada sami tersebut berjaya dalam proses sokushinbutsu-nya ataupun tidak. Sekiranya jasad sami itu ditemui dalam keadaan terpelihara, maka sami itu akan dinaikkan darjat sehingga ke tahap Buddha. Jasadnya akan dialihkan daripada makam dan akan ditempat di sebuah kuil di mana beliau akan dipuja dan dihormati.

Sekiranya jasad sami tersebut didapati mereput, ia akan disemadikan semula di makam itu dan hanya akan dihormati atas ketahanannya menghadapi ujian sokushinbutsu namun ia tidak dipuja.

Amalan pengmumiaan diri sendiri ini berterusan sehingga abad ke-19M. Pada abad itu, amalan sokushinbutsu diharamkan oleh kerajaan Jepun. Pada hari ini, amalan sokushinbutsu tidak lagi dianjurkan apatah lagi diamalkan oleh mana-mana aliran dalam ajaran Buddha.

Dipercayai bahawa terdapat ratusan sami yang cuba melakukan sokushinbutsu, namun hanya 28 orang sahaja dicatatkan berjaya memumiakan diri. Kebanyakan jasad sami-sami yang berjaya ini boleh dikunjungi di pelbagai kuil di Jepun pada hari ini. Antara yang paling terkenal adalah Shinnyokai Shonin dari Kuil Dainichi-Boo yang terletak di Gunung Yudono yang dianggap suci. Jasad sami-sami yang lain pula boleh dikunjungi di Kuil Nangakuji yang terletak di pinggir bandar Tsuruoka dan di Kuil Kaikokuji di kota kecil Sakata.

Danjogaran, sebuah kuil di Gunung Koya, Jepun

*Kapsyen gambar tajuk: Shinnyokai-Shonin di Kuil Dainichi-Boo

RUJUKAN

April Holloway. (9 November 2014). Sokushinbutsu and the ancient Japanese monks that mummified themselves to death. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-ancient-traditions/sokushinbutsu-and-ancient-japanese-monks-mummified-to-death-012938

Davey Young. (4 Oktober 2016). The Monks Who Spent Years Turning Themselves into Mummies – While Alive. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/articles/sokushinbutsu

Dylan.(n.d.). Sokushinbutsu of  Dainichi Temple.Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/places/sokushinbutsu-dainichi-temple

Krissy Howard. (25 Oktober 2016). The Japanese Monks Who Mummified Themselves While Still Alive. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/sokushinbutsu


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.